Jumaat, 6 April 2012
ISU AGAMA : Petanda mimpi menurut Islam
WARTAWAN SINAR HARIAN
Mimpi ialah pengalaman minda separa sedar yang melibatkan penglihatan, pendengaran, pemikiran, perasaan atau pergerakan lain-lain panca indera manusia sewaktu tidur. Mimpi berlaku tanpa kawalan dan kesedaran oleh orang yang mengalaminya.
Penceramah bebas, Emran Ahmad berkata, dalam al-Quran, ALLAH SWT menyebut mengenai mimpi dalam tiga keadaan. Pertama dengan menggunakan kalimah ar-Rukyah iaitu mimpi yang benar. Kedua dengan menggunakan kalimah al-hadis yang bermaksud mimpi tentang kejadian yang akan berlaku. Ketiga ialah kalimah al-hulum, iaitu mimpi khayalan dan mainan tidur.
Menurutnya, berdasarkan penjelasan di atas maka tidak semua mimpi itu boleh dipercayai dan tidak pula boleh didustakan sebaliknya ia amat bergantung kepada peribadi orang yang bermimpi dan keadaan mimpi yang berlaku kepada dirinya.
“Ini disebabkan golongan ulama menyebut bahawa mimpi itu dinilai berdasarkan keperibadian seseorang itu. Maksudnya jika orang yang bermimpi itu ialah orang yang soleh dan dipercayai, maka mimpinya itu juga boleh dipercayai.
“Tetapi jika orang yang bermimpi itu ialah seorang yang fasik dan ahli maksiat maka mimpinya adalah dusta dan tidak boleh dipercayai,” katanya kepada Sinar Harian.
Beliau menjelaskan, hukumnya adalah tetap sama dengan prinsip Islam dalam bab penerimaan maklumat atau berita sebagaimana firman ALLAH SWT yang bermaksud:
“Wahai orang-orang beriman, jika datang kepada mu orang yang fasik membawa sesuatu berita, maka hendaklah kamu periksa dengan teliti agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatan mu itu.” (Surah al-Hujurat : 6)
Perspektif Islam
Emran berkata, mimpi mempunyai kedudukan dalam Islam kerana ia pernah dijadikan ALLAH SWT sebagai alat atau kaedah dalam penyampaian wahyu kepada nabi dan rasul.
Bagaimanapun keadaan ini hanya berlaku apabila wahyu masih berjalan dan Rasulullah SAW masih hidup. Apabila Baginda wafat maka wahyu pun terputus dan tidak ada lagi nabi selepas Baginda serta syariat Islam pun telah sempurna.
Oleh yang demikian, mimpi telah disebutkan ulama ahli sunnah secara ijmak bahawa ia tidak boleh dijadikan sebagai hujah agama atau pegangan dalam akidah. Sebaliknya mimpi yang baik atau rukyah solehah itu adalah lebih kepada nasihat atau tazkirah dan rezeki daripada ALLAH secara peribadi dan khusus untuk orang yang bermimpi sahaja tanpa menokok tambah atau mengubah apa-apa daripada ajaran Islam yang telah sedia ada dalam al-Quran dan Sunnah.
Muslim haruslah berhati-hati dalam masalah mimpi dan jangan terpedaya dengan dakwaan sesetengah pihak yang membawa ajaran atau fahaman kononnya bertemu nabi atau wali tertentu dalam mimpi yang mengajarkan kepadanya ilmu atau memberitahu sesuatu rahsia.
Sesungguhnya Islam itu telah pun sempurna dan Rasulullah menunaikan amanah sebagai utusan ALLAH dengan menyampaikan semua kebaikan dan perkara agama tanpa tertinggal. Maka tidak perlu lagi ditokok tambah oleh golongan tukang karut atau penipu,” katanya.
Selain itu katanya, dalam hadis mimpi itu terbahagi kepada tiga bahagian iaitu mimpi yang benar daripada ALLAH, seperti wahyu kepada golongan nabi dalam tidur mereka atau pun ilham dan pertolongan kepada orang yang soleh; mimpi buruk yang datang daripada syaitan; mimpi biasa yang sering berlaku kepada kita dalam kehidupan seharian apabila terbawa-bawa perkara pada waktu siang atau apa yang dilalui individu itu ke dalam mimpi akibat kelesuan otak dan permainan minda separa sedar.
Ini berdasarkan hadis dari Abu Hurairah RA yang berkata bahawa bersabda Rasulullah yang bermaksud: “Mimpi itu ada tiga bahagian iaitu berita atau khabar gembira dari ALLAH, apa yang berlaku dalam hidup seharian dan mimpi buruk yang menakutkan dari syaitan.” (Riwayat Ahmad)
“Setiap mimpi yang dialami seseorang perlu dibahagikan atau diperhatikan mengikut kategorinya apakah mimpi tersebut merupakan mimpi yang benar atau merupakan gangguan syaitan atau pun permainan tidur akibat keletihan otak.
“Sekiranya mimpi tersebut jatuh dalam kategori mimpi yang benar maka ia boleh dipercayai dan perlu dirujuk kepada orang yang soleh dan alim untuk ditanyakan pengertian dan maksudnya,” jelasnya.
Tafsir mimpi
Tidak ramai orang tahu mentafsirkan mimpi kecuali sedikit. Ilmu mentafsirkan mimpi adalah anugerah ALLAH kepada mereka yang mendalami ayat-ayat al-Quran serta berpengetahuan tinggi terhadap kitab ALLAH dan sunnah. Kata Emran, adalah menjadi kebiasaan bahawa orang yang mahir mentafsirkan mimpi ialah mereka yang tahu mentafsirkan al-Quran dan ayat ALLAH serta mempunyai pengalaman luas dalam hidup.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Barang siapa yang dikehendaki ALLAH akan kebaikan baginya maka ALLAH pun akan memberikan kepadanya kefahaman dalam urusan agama.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
“Mimpi tidak boleh diceritakan dalam ceramah atau menjadi modal untuk tazkirah kepada orang ramai akan apa yang ditemui atau dilihat individu itu dalam tidurnya kerana hal tersebut menyalahi adab mimpi serta berlawanan dengan sunnah Rasulullah. Dalam Islam, tidur dianggap sebagai mati kecil dan proses keluarnya roh daripada jasad buat sementara waktu,” ujarnya.
Emran berkata, digalakkan sebelum tidur umat Islam membersihkan diri dan mengambil wuduk serta membaca doa di samping zikir yang diajarkan Rasulullah SAW seterusnya membaca surah daripada al-Quran. Antara yang baik dan mudah diamalkan ialah membaca surah Al-Ikhlas, Al-Falak dan An-Nas sebanyak tiga kali sebelum tidur bagi memohon perlindungan ALLAH daripada gangguan syaitan dan kemudian meniup tapak tangan lalu menyapu ke seluruh badan seperti yang diajarkan oleh Baginda.
“Kesimpulannya, Muslim wajib bersangka baik kepada ALLAH dan selalu meyakini bahawa tiada mudarat dan manfaat yang boleh diberikan makhluk kepada kita tanpa izin ALLAH SWT. Ini kerana hanya ALLAH yang boleh menimpakan mudarat atau memberikan manfaat kepada manusia bukan selainnya termasuklah mimpi atau gangguan tidur serta jin dan syaitan,” katanya.
Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan