Jumaat, 6 April 2012
ISU PENDIDIKAN : Dialog transformasi pendidikan mencari nilai utama
Oleh Prof Dr Sidek Baba
CADANGAN Kementerian Pelajaran untuk mengadakan dialog terbuka terhadap perjalanan sistem pelajaran negara adalah sesuatu yang positif. Ia adalah demokratik supaya input dan pemikiran yang berguna mengenai arah tuju pendidikan negara dapat dibincangkan secara baik dan saksama.
Ia pernah terjadi apabila isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) berbangkit. Siri-siri perbincangan meja bulat terjadi dan disertai oleh banyak pihak yang berkepentingan untuk mencari suatu titik persefahaman mengenai hala tuju PPSMI. Ternyata secara majoritinya bersetuju dengan pendekatan asal sebelum PPSMI dan tampil dengan pendekatan Memartabat Bahasa Melayu dan Memperkasa Bahasa Inggeris (MBMMBI).
Transformasi Pendidikan yang seharusnya berlaku di Malaysia tidak saja dilihat secara struktural (prasarana) tetapi mesti dilihat aspek substantialnya (isi atau ilmu atau kurikulum) di samping aspek metodologi pengajaran dan pembelajaran supaya kesan penghayatannya terjadi. Aspek latihan keguruan adalah sesuatu yang amat utama kerana kesan penyampaian guru amat mustahak kepada murid.
Begitu juga aspek pengukuran terhadap maksud kecemerlangan pelajar tidak harus secara mutlak terhubung dengan aspek peperiksaan semata-mata tetapi harus diambil kira aspek pengukuran kokurikulum dan ekstra kurikulum yang perlu disusun semula di samping pendekatan psikometrik terhadap watak dan peribadi. Yang diperlukan dalam sistem kebangsaan ialah menghasilkan peribadi seimbang dan harmonis.
KEPENTINGAN ASAS FUNDAMENTAL
Dalam pendidikan ada asas-asas fundamental yang perlu mengalami proses pengukuhan sama ada dari sudut dasar, binaan kurikulum mahupun metodologi pengajaran dan pembelajaran yang memberi kesan kepada latihan keguruan supaya pendidikan kelihatan semasa tanpa merombak aspek-aspek fundamental yang menyentuh perkara-perkara asasi.
Asas-asas yang fundamental adalah menyentuh mengenai jenis ilmu yang ingin diajarkan, fokus terhadap ilmu yang sifatnya integratif, aspek potensi insani yang harus dibangunkan dan jenis manusia yang diperlukan oleh zaman dan perubahan.
Perubahan dalam sistem pendidikan adalah sesuatu yang lazim kerana sifat zaman juga dinamik berubah. Tetapi apakah perubahan itu sifatnya respons terhadap keperluan dan kecenderungan baru sehingga melupakan asas yang fundamental dalam proses pembangunan yang lebih manusiawi. Kalaulah kemajuan teknologi tinggi dijadikan sandaran perubahan apakah sentuhan keinsanan tidak diambil kira.
Sekiranya kecenderungan ke arah pengkomersialan dilihat sangat penting apakah wujud kualiti keinsanan dalam perdagangan bukannya ilmu yang mendukung terus fahaman eksploitasi dan diskriminasi dalam sistem muamalah dan tijarah (urus niaga).
Ini sebenarnya yang menjadi isu pokok dalam perubahan sistem pendidikan terutama bagi masyarakat berbilang di Malaysia. Tidak salah kita menjadikan faktor penarafan dari sumber luar sebagai kayu pengukur tetapi ukuran itu juga harus disandarkan kepada keperluan sistem pendidikan Malaysia dalam acuan kemalaysiaan yang tidak menolak faktor luar sebagai bandingan. Melihat kaedah penarafan luar sebagai faktor mutlak seolah-olah menafikan faktor setempat yang sudah tentu ada perbezaan dengan pihak luar.
Merit dalam matematik dan sains umpamanya tidak ada masalah untuk dijadikan bahan pengukuran tetapi Falsafah Pelajaran Kebangsaan kita umpamanya menekankan kepentingan membangun insan seimbang dan harmoni. Ia adalah sesuatu yang amat unik bagi Malaysia kerana kita tidak saja ingin cemerlang dalam merit subjek yang dipelajari tetapi cemerlang dalam sahsiah dan kualiti diri.
MAKSUD PELAKSANAAN PELAN INDUK
Pelaksanaan Pelan Induk Pembangunan Pelajaran/PIPP (2006-2010) menuntut pendidik menyediakan diri untuk memenuhi enam teras pelan tersebut iaitu membina negara bangsa, membangunkan modal insan, memperkukuhkan sekolah kebangsaan, merapatkan jurang pendidikan, memartabatkan profesion keguruan, melonjakkan kecemerlangan institusi pendidikan.
Proses membina negara bangsa adalah suatu yang payah. Ia memerlukan tekad pendidikan yang tinggi menginsafi asas perpaduan umpamanya merupakan agenda yang amat utama dalam pendekatan pendidikan kita. Merit akademik memang dituntut.
Tetapi ia memerlukan asas persefahaman mengenai kemajmukan budaya dan cara hidup supaya ada nilai dan etika bersama yang mempertautkan kelainan dan perbezaan secara interaktif. Kalau tidak perubahan dan kemajuan di Malaysia tidak memberi maksud yang relevan terhadap asas kepercayaan dan persefahaman di kalangan warganya.
Aspek teras lain adalah membangunkan modal insan berkualiti. Membangun modal insan tidak sewajarnya hanya memiliki merit akademik yang sifatnya mekanistik tetapi harus memiliki merit amanah, telus dan tulus, adil dan bijaksana supaya corak pengurusan sistem nantinya berada ditangan orang yang mempunyai integriti.
Memperkukuh Sekolah Kebangsaan adalah sesuatu yang amat selari dengan dasar bina negara. Oleh itu Sekolah Kebangsaan harus mengalami proses penstrukturan semula supaya ia menggambarkan kemajmukan dari segi kepimpinan berkualiti dan keterbukaan untuk subjek Bahasa Cina dan Bahasa Tamil diajarkan sebagai bahasa pilihan supaya ia menarik pelajar Cina dan India datang belajar dalam aliran kebangsaan ini.
Begitu juga isu merapatkan jurang pendidikan sama ada secara geograpikalnya dalam dan luar bandar, mahupun disebabkan oleh faktor sosio-ekonomi di kalangan warga murid yang tidak sama mahupun fokus pengajaran terhadap yang cerdik, sederhana dan lemah supaya pendekatan kolaboratif mengambil tempat supaya jurang yang terlalu dalam tidak terbina.
Profesion Keguruan adalah sesuatu yang penting dimartabatkan dengan pengembangan ilmu dan kemahiran supaya aspek pedagogi yang terjadi tidak sekadar orientasinya peperiksaan tetapi juga memberi penekanan kepada pendidikan yang menyeluruh iaitu membangunkan kokurikular dan ekstrakurikular yang seimbang dan boleh diukur seperti yang terjadi kepada pengukuran kognitif.
Natijah akhir dari asas teras ini adalah melonjakkan institusi pendididkan ke suatu tahap yang membanggakan. Kebanggaan kita terhadap sistem pendidikan negara diukur dari kesan penghayatan dan amal di samping kesan ilmu dan kemahiran.
Fokus kepada peperiksaan adalah perlu kerana pencapaian kognitif perlu diukur. Tetapi penyusunan kembali bidang kokurikular dan ekstra kurikular supaya ia berperanan mengembangkan bakat kepimpinan dan kepengikutan dalam organisasi perlu dilakukan.
KEMAHIRAN BERFIKIR
Aspek lain yang sangat penting dalam membangunkan sistem pendidikan ini ialah kemahiran berfikir sebagai asas pengembangan minda dan intelek supaya para pelajar diberikan asas berfikir sejak awal lagi.
Pendekatan hafazan dan pengingatan harus diikuti dengan pemupukan kaedah berfikir yang maju supaya pelajar tidak mengalami proses belajar secara sehala tetapi ada upaya interaktif yang mengembangkan lagi pemikiran sebagai asas menjana ilmu dan idea.
Isu pokok yang sering berbangkit terhadap modal insan yang dilahirkan dalam sistem pendidikan negara dalam konteks masyarakat yang majmuk ialah asas etika dan nilai yang menjadi landasan kepada proses pengilmuan dan pendidikan.
Pendidikan Islam seharusnya melalui proses tajdid ilmu dan pendidikan supaya wujudnya relevansi faktor rohaniah yang dijadikan fokus terhadap kualiti penghayatan dan amal.
NILAI PALING UTAMA DAN NILAI INTERAKTIF
Pendidikan Islam harus menjadikan Nilai Paling Utama (the supreme value) atau kerangka akidah sebagai asas pengembangan ilmu dan kemahiran dalam subjek seperti Quran dan Tilawah, Syariah dan Fekah, Syirah dan Sunnah supaya tidak saja menghasilkan produktiviti rohaniah yang tinggi tetapi terlihat dalam produktiviti amaliah yang tinggi juga.
Bagi pelajar Bukan Islam amat penting Nilai-Nilai Interaktif (interactive values) yang diambil dari saripati budaya dan tamadun, nilai-nilai murni yang sejagat, pemikiran falsafah yang mendukung kualiti manusiawi yang baik supaya mereka juga mempunyai etika dan nilai yang boleh berjalan seiring dengan pihak lain. Ia harus diolah dengan lebih kreatif, ada sumber contoh dan teladan yang diajar supaya olahan nilai-nilai interaktif ini memberi kesan penghayatan yang baik.
Justeru bagi menepati maksud falsafah pendidikan, pendekatan sepadu harus dijadikan faktor penting membangunkan ilmu dan kemahiran supaya tidak saja asas etika dan nilai mendasari subjek tetapi huraian dan pengajaran subjek sifatnya multi-disiplin.
Sekiranya ini terjadi pelajar akan dapat manfaat yang besar bagaimana pelbagai disiplin yang dipelajari mempunyai hubungan antara satu dengan lain bagi membolehkan pembinaan pemikiran terjadi secara holistik.
Oleh itu, dialog sistem pendidikan negara harus mengambil kira asas-asas fundamental ini supaya ukuran terhadap kemajuan dan kecemerlangan sesebuah sistem tidak hanya merujuk kepada aspek kemajuan teknologikalnya yang bersifat mekanistik tetapi diukur juga kualiti keinsanan yang menjadi bukti terbaik natijah sesuatu sistem itu.
PENULIS ialah Profesor Pendidikan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan