PROFESOR MADYA DR. SIVAMURUGAN
PANDIAN
SETIAP tahun apabila datangnya
bulan sambutan kemerdekaan, ia dilihat amat signifikan untuk negara-bangsa ini,
dahulunya dikenali sebagai Persekutuan Tanah Melayu atau Malaya sehingga ia
lahir sebagai negara bersama merangkumi Semenanjung, Sabah dan Sarawak pada 16
September 1963; membawa kepada 49 tahun penubuhan Malaysia.
Ia bukan sahaja menandakan 55
tahun kita sudah mengharungi hari kemerdekaan 31 Ogos 1957, tetapi juga
menandakan tradisi 'syukur', 'berterima kasih', 'imbas', dan 'nilai' anjakan
yang telah berlaku dan apa yang boleh dilakukan agar negara ini terus memacu kecemerlangan
perubahan dalam kesinambungan yang telah dilakukan oleh warisan kepimpinan.
Pencapaian 55 tahun merdeka
adalah pengisian kemerdekaan yang membezakan Malaysia dengan negara lain. Jika
pengisian dan pencapaian kita sama dengan negara lain, kenapa Malaysia sering
dijadikan contoh sebagai negara pesat membangun dan siapakah yang memeta
pencapaian selama 55 tahun merdeka dengan pengisian yang membolehkan Malaysia
gagah di mata dunia; bukan sebagai sebuah negara yang terletak antara Singapura
dan Thailand lagi, tetapi digeruni kerana mampu membangun dengan pantas serta
kesediaan melakukan pelbagai perkara yang tidak pernah terfikir bagi sesebuah
negara yang terus membangun seperti kita.
Hakikatnya, Malaysia sudah
berubah wajah kerana proses pemodenan dan pembangunan pesat. Bagaimanakah
Malaysia boleh tersenarai antara 21 negara paling kompetitif dalam Laporan
World Economic Forum 2012; tangga ke-18 sebagai negara paling mudah memulakan
perniagaan dalam Laporan Bank Dunia Doing Business 2012; yang 10 teratas dalam
Indeks Keyakinan Pelaburan Langsung Asing 2012; pendapatan perkapita negara
pada AS$9,700; KDNK RM852.7 bilion dan PNK pula RM830.7 bilion tertinggi sejak
1957; dan hasil tertinggi iaitu RM185.54 bilion.
Setiap warga harus boleh
mengimbas dan menilai persekitaran dan alam sekitar mereka untuk memahami
pengertian sebenar kemerdekaan. Kita perlu bertanyakan mana datangnya
pembangunan ekonomi, politik dan sosial sehingga Malaysia dihormati dan
diiktiraf oleh negara mundur, pesat membangun dan maju.
Apakah dalam jangka masa 63 tahun
merdeka pada 2020; kita boleh bersama menyuburkan semangat bangsa Malaysia yang
menjunjung ketinggian Perlembagaan, fasih berbahasa Malaysia dan bangga
menjadi warga Malaysia, takrifan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir
Mohamad dalam merangka Wawasan 2020?
Insan yang menghuni negara ini
ketika itu dan generasi transisi ke arah itu kini barangkali sudah boleh
bergelar 'kelas satu di negara kelas pertama', bukan sahaja memiliki
infrastruktur dan prasarana kemudahan kelas pertama tetapi bangsanya merupakan
yang ada ilmu, kebolehan dan kemahiran yang diselaputi dengan nilai moral pada
perilaku dan karakternya. Erti persaudaraan adalah pada kekuatan nilai
kemanusiaan agar tidak ada sifat syak wasangka dan curiga dan mencari titik
keseimbangan bersama demi masa depan tanah air dan generasi yang akan terus
mewarisi setiap inci pusaka bumi ini.
Ia juga amat memerlukan jiwa
nasionalisme dan patriotisme. Ia bukan semata-mata menaikkan bendera pada
bangunan, rumah atau kenderaan. Ia juga bukan sekadar menyanyikan lagu
Negaraku. Ia juga bukan sekadar menghormati nilai simbolik kenegaraan.
Pembangunan juga adalah nasionalis; memelihara alam sekitar, menjaga
kebersihan, mempunyai kualiti kehidupan yang baik, sektor pendidikan yang
membanggakan, peluang pekerjaan, sektor kesihatan yang melihat kadar kelahiran
lebih baik dari kematian, sukan dengan pencapaian yang cemerlang atau apa saja
yang kita harungi setiap hari demi untuk negara; kesemua yang membawa unsur
positif lahirnya dari kesungguhan untuk memartabatkan kebebasan dengan
pengisian yang memberi manfaat kepada populasinya.
Sepanjang 55 tahun, ada kelemahan
wujud dan diakui oleh mereka yang terlibat secara langsung dalam proses
merekayasa negara tetapi kita boleh menyoal, apakah sepanjang 55 tahun
kemerdekaan, kita lebih banyak diselubungi masalah sehingga menyukarkan suapan
diri atau pencapaian mendahului dan menutup kelemahan yang wujud tanpa
dinafikan sebarang kelemahan perlu diatasi agar tidak menjejaskan pembinaan negara-bangsa.
Misalnya, keperluan 40 peratus ahli masyarakat yang berada di bawah garis
kemiskinan bandar dan luar bandar merentasi Semenanjung, Sabah dan Sarawak
perlu terus diberi kepentingan agar sumbangan mereka dihargai dengan memelihara
kebajikan mereka.
Kita juga menyedari bahawa dunia
ini tidak terpinggir dari kebencian tetapi di Malaysia, perlu ada keinginan
untuk mempertahankan nilai kemerdekaan. Barangkali, pejuang kemerdekaan sudah
membayangi kita akan berhadapan dengan keadaan yang kita lihat selepas 55 tahun
sehingga bersedia untuk 'berkorban' dan 'berkompromi' di bawah gabungan besar
politik kepartian agar masing-masing masih boleh gelak, ketawa, berjumpa, pejam
mata dan esoknya negara masih kekal selamat.
Jangan menumpang simpati sisipan
sejarah kerana tiada sebarang pertemuan yang direkacipta secara kosmetik dalam
cubaan mendapatkan merdeka. Ia datang kerana pejuang kemerdekaan mencintai tata
merdeka dan Raja-raja Melayu juga bersedia untuk memindahkan kuasa kepada
pentadbiran kerajaan dan kekal sebagai ketua negara.
Tanpa Kontrak Sosial tidak akan
lahir Perlembagaan dan tanpa Perlembagaan, tidak mungkin kita meraikan 55 tahun
merdeka tahun 2012. Asasnya, warisan kepimpinan merangka masa depan bersama
tanpa mengira latar belakang etnik, agama dan praktis berbeza dalam kehidupan
kepelbagaian negara ini.
Pejuang kemerdekaan tidak
mendidik perasaan bangga diri tetapi pandai merendahkan diri dengan tatacara
sendiri. Dalam mendapat kemerdekaan ketika itu, semua yang baru hendak naik
tidak sombong atau biadab tetapi kuat, tabah dan ampuh dengan pujian
perwatakan; penekanan kepada nilai hormati antara satu sama lain.
Kemerdekaan tidak boleh ditukar
ganti. Kestabilan, keamanan dan hidup muhibah tidak boleh dipisahkan dan dalam
keadaan tidak menentu, ia tidak boleh dikorbankan. Ia mesti dijunjung oleh
kesemua warga yang sayangkan makna merdeka dan pengisian di sebalik
kemerdekaan.
Persahabatan dengan penipuan akan
menggagalkan kebenaran. Jangan kita senyapkan sejarah merdeka dengan
kemungkaran kita. Pengisian kemerdekaan hanya dapat dilakukan secara berterusan
jika kita mahu memahami dan terlibat sama dalam proses penambahbaikan
pembentukan negara ini dalam acuan sendiri.
Kita bertanggungjawab ke atas
tindakan kita, mengikut tuntutan hati. Perjuangan kemerdekaan bukan untuk
melihat siapa menang dan siapa kalah. Ini perjuangan bersama walaupun fahaman
politik berbeza. Keangkuhan tidak boleh menghalalkan pembohongan semata-mata
mahu melihat erti merdeka daripada lensa berbeza. Dalam perjuangan pengisian
merdeka, jangan biarkan ketakutan menjadi perisai kegagalan. Biar tatacara dan
sopan susila dalam Malaysia menggerunkan musuh di luar kerana warganya cekal dan
bersatu.
Mari kongsi kesedihan dan
kegembiraan negara atas nama Malaysia. Melalui kepercayaan ini kita mampu
mengharungi apa sahaja masalah bersama, memberi dan menerima seadanya dan dapat
lakukannya kerana percaya kita juga ada hak dan tanggungjawab. Tradisi lama
boleh digantikan dengan tradisi generasi baru tanpa menghilangkan nilai sebenar
di sebalik kesinambungan pembinaan 55 tahun Malaysia.
Pengisian kemerdekaan adalah
pelengkap kepada transformasi yang merupakan satu perjalanan yang memerlukan
kestabilan sepanjang masa dan bukan keadaan tidak menentu terutama dalam
demografi dan populasi yang majmuk dan kompleks seperti Malaysia.
Penulis ialah pensyarah di Pusat
Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia.
Sumber : http :
//www.utusan.com.my/