Sabtu, 12 Februari 2011

ISU PENDIDIKAN : Rejuvenasi budaya akademik

Oleh Meor Kamarul Shahid

Universiti perlu berani berubah dalam melahirkan pelajar mampu cetus teori baru

PERBINCANGAN bertajuk Perlunya Rejuvenasi Budaya Akademik pada Persidangan Akademik 2011, Menjuarai Kecemerlangan Universiti anjuran Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shah Alam, Jumaat lalu, mendedahkan betapa perlunya universiti di negara ini melakukan perubahan yang berteraskan kemajuan dunia hari ini dan menjangkaui masa akan datang.

Perbincangan juga menjurus kepada kemampuan universiti melahirkan ‘jutawan’ dalam pelbagai bidang yang dicetuskan daripada idea universiti. Sarjana dan mahasiswa universiti juga perlu melahirkan teori baru dan asli dalam pelbagai disiplin lengkap dengan kajian yang dijadikan rujukan sarjana dunia, sekali pun terpaksa menolak teori dihasilkan sarjana Barat sekiranya mendapati ia sudah jumud berikutan perubahan zaman.

Hari ini, kajian yang dijalankan dalam hampir semua bidang terpaksa merujuk kepada teori atau model Barat menyebabkan apa juga idea yang dicetuskan sarjana dan mahasiswa terikat kepada pemikiran Barat, terutama dalam bidang politik dan sains sosial. Inilah antara inti perbincangan mengenai maksud rejuvenasi budaya akademik yang diutarakan ahli panel.

Memang diakui, kejayaan yang dicapai universiti di negara ini hari ini, walaupun dalam usia yang singkat, sudah boleh dibanggakan dengan kualiti dan standard pembelajaran yang baik.

Suasana ini mendorong ramai pelajar asing memilih universiti di Malaysia sebagai tempat mereka melanjutkan pelajaran tinggi. Ini adalah pengiktirafan yang tinggi kepada Malaysia seperti pelajar dan negara kita mengiktiraf universiti di luar negara di mana ramai pelajar negara ini menuntut ilmu. Namun, untuk mencapai kecemerlangan masih banyak perubahan dan penambahbaikan yang perlu dilakukan.

Naib Canselor UiTM, Prof Datuk Ir Dr Sahol Hamid Abu Bakar tidak ragu-ragu menyatakan bahawa untuk menjadikan sebuah universiti bertaraf dunia, ia adalah tugas yang amat mencabar. Sebagai contoh, beliau membandingkan UiTM dan Universiti Harvard di Amerika Syarikat yang diibaratkan mempunyai matlamat dan dimensi yang sangat berbeza.

Jika pelajar di Harvard adalah kalangan anak orang yang berpengaruh, bangsawan dan berwang yang sememangnya mempunyai segala kemudahan dan kemampuan, UiTM adalah tempat anak pelbagai latar belakang menimba ilmu.

Jika diperhalusi seorang demi seorang pelajar UiTM, mereka adalah anak petani dan nelayan, pengayuh beca, pemandu lori, buruh kasar, kerani dan sebagainya walaupun ada juga anak orang berada. Dengan sasaran angka 250,000 pelajar, UiTM sebenarnya pun menempah satu kejayaan yang sangat cemerlang. Dari konteks ini, tidak banyak universiti yang mampu menyaingi UiTM.

Selain daripada negara yang mempunyai bilangan penduduk ratusan juta seperti India, malah melebihi angka 1 billion seperti di China, sebutlah apa juga universiti di dunia ini, mereka tidak mempunyai matlamat seperti yang digariskan oleh UiTM untuk membantu rakyatnya. UiTM perlu diakui sebagai sebuah universiti yang mempunyai visi dan misi yang luar biasa.

Cabaran UiTM sangat besar kerana ia bukan saja perlu menghasilkan kuantiti pelajar, tetapi lebih penting ialah kualiti. Namun, tidak dinafikan juga setiap universiti di negara ini turut memainkan peranan mengikut ‘niche’ masing-masing untuk membangunkan bangsa dan negara.

Rejunevasi dalam konteks budaya akademik ini tidak bermakna untuk meremajakan budaya akademik. Rejunevasi lebih menunjuk jalan kepada keberanian untuk berubah dan mengamalkan kaedah dan pendekatan serta persekitaran ekosistem yang baru. Universiti perlu sedia mengubahsuai apa juga yang sudah ketinggalan zaman kepada sesuatu yang lebih bertenaga. Jika cara pembelajaran kuliah, umpamanya menggunakan power point sudah difikirkan ketinggalan zaman, sesuatu yang baru perlulah difikirkan seperti syarikat terkemuka dunia mencipta pelbagai gajet baru di pasaran hari ini.

Cara bertindak dan bentuk komunikasi pelajar hari ini, yang kebanyakannya mewakili generasi Y, sudah berbeza dari pelbagai segi. Sementara, pensyarah mereka terkial-kial dengan alat dan gajet komunikasi canggih sama ada telefon, Ipad, komputer dan sebagainya, pelajar mereka tidur dan makan bersama alat-alat itu. Malah, mereka lebih layak mengajar pensyarah mereka dalam penggunaan alat canggih. Bagi pelajar seperti ini, teknik pembelajaran sedia ada mengurangkan minat mereka belajar. Pelajar hari ini sudah kurang menulis, tetapi menaip pada papan kekunci komputer.

Mereka tidak boleh lagi menerima alasan pemberitahuan pembatalan kuliah ditampal di papan notis. Dalam sebuah dewan kuliah, tanyalah siapakah antara mereka yang tidak mempunyai telefon bimbit? Jika 100 orang dalam sebuah dewan, semuanya mempunyai alat itu.

Apa pun budaya akademik yang diamalkan di universiti, kualiti pelajar ditentukan oleh pasaran. Sekiranya mereka diterima pasaran pekerjaan dan memberi sumbangan besar kepada majikan mereka dan seterusnya menyumbang kepada kemajuan dan kemakmuran negara, mereka adalah golongan yang berjaya. Dalam tempoh selepas negara merdeka, tidak siapa boleh menafikan bahawa kejayaan negara ini adalah hasil sokongan mahasiswa di universiti yang menggerakkan kemajuan ekonomi negara.

Sebenarnya, secara individu mereka yang berjaya dalam bidang dan profesion masing-masing di negara ini terutama mereka yang berada di puncak kejayaan, kebanyakannya adalah produk daripada universiti tempatan, seterusnya melanjutkan pelajaran ke luar negara. Sebahagian besar mereka tidak akan dapat keluar negara jika asas pembelajaran awalnya tidak bermula di negara ini.

Di Malaysia, sebenarnya sudah ramai yang berjaya menjadi ahli korporat ternama, presiden dan ketua eksekutif institusi ternama dan sebagainya, walaupun pada asalnya mereka adalah benih daripada sebuah keluarga yang miskin. Mereka ini adalah aset negara kerana peranan yang mereka mainkan adalah besar dalam pembangunan negara.

Dalam menghadapi cabaran akan datang, sudah tentu universiti perlu melihat sumbangan yang lebih besar. Universiti perlu menjana idea yang jauh lebih inovatif berasaskan kemudahan dan budaya akademik yang segar.

Sumber : http : //www,bharian.com.my/

ISU SOSIAL : Nilai komersial Hari Valentine

HARI Valentine menyumbang kepada keruntuhan moral kalangan remaja. – Gambar hiasan

Oleh Ku Seman Ku Hussain

Buku Consumer Rites: The Buying and Selling of American Holiday tulisan Leigh Eric Schmidt antara lain memperkatakan tentang hari-hari penting seperti Hari Krismas, Hari Ibu, Hari Valentine dan banyak lagi dari sudut budaya kepenggunaan.

Penulis yang juga seorang sarjana yang banyak mengkaji tentang agama ini melihat bagaimana Barat memperdagangkan hari-hari istimewa ini terutama berkaitan agama untuk mengaut keuntungan

Menurut buku ini, budaya kepenggunaan membentuk selain memperkukuhkan hari-hari tersebut dalam agenda kehidupan sejak abad ke 20. Para kapitalis memperhebatkan kerja-kerja pemasaran supaya hari-hari istimewa itu kononnya menjadi penanda aras dalam kehidupan moden. Hal ini telah berlaku di negara ini pada setiap kali sambutan Hari Valentine.

Esok 14 Februari adalah Hari Valentine. Sejak seminggu lalu pusat-pusat membeli belah besar dan ternama memperagakan barangan yang berkaitan Hari Valentine. Daripada sekecil-kecil barang hinggalah kepada yang besar dan mahal semuanya untuk perayaan yang senama dengan warna merah jambu ini.

Sebahagian besar remaja kita termasuk “bapa remaja” dan “emak remaja” turut menyibuk dengan hari yang diperkenalkan oleh Pope Gelasius I pada tahun 500 Sebelum Masihi. Mereka ini tidak tahu apa-apa tentang Hari Valentine serta tidak mempunyai sikap yang jelas terhadap sebarang pembudayaan dari luar.

Walaupun Hari Valentine mempunyai hubungan yang jelas dengan Kristian tetapi banyak pengagum dan pak turutnya adalah orang Melayu - Islam. Kepada golongan ini keghairahan menyambut Hari Valentine menenggelamkan Maulidul Rasul Selasa ini. Inilah kesan ledakan budaya kepenggunaan Barat untuk memasarkan Hari Valentine. Maka dalam kelompok manusia yang bingung itu muncullah yang sedikit cerdik lalu mencipta terjemahan dalam bahasa Melayu sebagai Hari Kekasih, ada juga menyebut Hari Kasih Sayang. Semua ini utuk memberi nilai setempat kepada satu nilai asing dari Barat. Hakikatnya Hari Valentine adalah Hari Valentine.

Tahun-tahun sebelum ini juga ada beberapa stesen televisyen termasuk yang diterajui oleh Melayu - Islam menyediakan rancangan khas Hari Valentine. Mereka juga mengambil peluang untuk menaikkan rating penonton yang akhirnya boleh menambah kemasukan iklan sebagai punca pendapatan. Sikap begini juga yang menyebarluaskan tentang “keperluan” Hari Valentine hingga di segenap ceruk desa dan pekan.

Banyak remaja Melayu - Islam tanpa segan silu turut mengambil bahagian dalam pesta Hari Valentine. Orang Melayu yang menyambut Hari Valentine adalah kalangan yang perasan menjadi manusia moden tetapi berada dalam kotak fikir yang mundur. Inilah yang menjadi kebimbangan banyak pihak seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang melancarkan Kempen Awas Jerat Hari Valentine. Sementara Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM) menyarankan kepada semua Jabatan Agama Islam negeri mewartakan pengharaman Hari Valentine. Ini dari sudut agama Islam dan sewajarnya Jabatan Agama Islam negeri lebih awal melaksanakan perkara asas begini sebelum didesak oleh pihak lain.

Nilai-nilai Hari Valentine yang bertentangan sama sekali dengan Islam telah banyak diperkatakan sebelum ini. Rencana ini cuba melihat Hari Valentine juga menjadi musuh kepada semua orang, tidak kira bangsa, agama atau budaya apabila sambutan ini menjadi agenda budaya kepenggunaan. Orang bukan Islam atau bukan Melayu tidak terkecuali kerana mereka yang meraikannya menjadi mangsa puak yang mengambil peluang dalam kepesatan budaya kepenggunaan.

Budaya popular

Sanggupkah anda dikatakan kurang cerdik kerana membiarkan diri menjadi mangsa pengiklan, pembuat barangan, pemilik hotel, pusat hiburan waima penjual riben merah jambu? Apa pun jawapannya, elok kita lihat bagaimana Hari Valentine ini digempur sebagai budaya popular setaraf dengan kegilaan kepada muzik untuk tujuan perniagaan. Golongan kapitalis memasang bubu untuk memerangkap ikan-ikan yang terdiri daripada remaja dan golongan dewasa. Mereka inilah yang terpesona dengan terjemahan Hari Valentine sebagai Hari Kekasih atau Hari Kasih Sayang.

Dalam ledakan budaya kepenggunaan, kebijaksanaan mengambil peluang, memperagakan strategi pemasaran yang kreatif serta mampu membentuk sudut pandangan umum adalah syarat untuk berjaya. Kerana itu kalau diperhatikan di Kuala Lumpur khususnya, pusat membeli belah, hotel dan pusat hiburan telah lama merangka strategi pemasaran mereka. Mereka tidak peduli dengan punah-ranah moral dan akhlak remaja Islam, malah turut menyumbang kepada gejala sosial bukan Islam. Matlamat mereka adalah mengaut keuntungan.

Budaya kepenggunaan merangsang orang membeli, ikut serta dalam nilai-nilai popular tetapi akhirnya menyumbangkan kepada golongan peniaga. Persiapan yang seolah-olah tahun ini “Hari Valentine terakhir” bertujuan meningkatkan kecenderungan masyarakat untuk berbelanja. Mana ada nilai-nilai kasih sayang yang diterapkan dalam kempen pemasaran Hari Valentine. Ini membuktikan ia tidak ada kena mengena dengan kasih sayang.

Masyarakat kita yang baru dijengah budaya kepenggunaan dengan mudah menjadi mangsa kapitalis yang menjaja Hari Valentine, Hari Ibu dan segala macam hari lagi kecuali Hari Merdeka, Hari Maal Hijrah dan Hari Pahlawan. Mereka dibentuk supaya berfikir bahawa tanpa menyambut Hari Valentine tidak ada kasih sayang. Pembudayaan yang datang bersama barangan Hari Valentine telah berjaya dalam agendanya. Padahal Hari Valentine tidak lebih perangkap untuk memaksa masyarakat yang kurang cerdik berbelanja kepada suatu yang tidak perlu selain menerima nilai-nilai moral yang muflis dari Barat.

Orang tua-tua pernah berkata, yang bodoh adalah makanan yang cerdik. Inilah yang berlaku pada setiap kali menjelang 14 Februari, ketika langit senja berwarna jingga seolah-olah bertukar menjadi merah jambu. Kepada pengagum Hari Valentine, bersedialah untuk berubah menjadi lebih baik, jadilah orang yang cerdik dan esok tidak wujud Hari Valentine untuk disambut. Hiduplah seperti biasa kerana kasih sayang tidak ada hari-hari tertentu saja untuk dizahirkan. Hari Valentine bukan untuk mengeratkan kasih sayang. Semua itu mengarut.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/