Khamis, 9 Jun 2011

ISU BAHASA : Inisiatif meningkatkan penguasaan BI

Oleh AZMY MOHAMED
pendidikan@utusan.com.my

PENGUASAAN bahasa Inggeris (BI) pelajar di negara kita secara umumnya masih lemah dan sering dijadikan salah satu faktor kegagalan dalam temu duga permohonan biasiswa atau untuk mendapatkan pekerjaan.

Hal ini tidak sepatutnya berlaku kerana pelajar telah menerima pendidikan BI secara formal bermula dari sekolah rendah hingga ke sekolah menengah.

Selama sebelas tahun, ia sepatutnya lebih daripada mencukupi untuk menyediakan asas kepada pelajar menguasai BI.

Malah pelajar juga telah didedahkan kepada proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) BI pada usia lima atau enam tahun ketika di peringkat prasekolah.

Ironinya, pelajar yang sama jika diajar secara intensif selama tiga bulan, dia mampu berkomunikasi dalam BI dengan baik.

Pastinya ada sesuatu yang tidak kena dalam sistem pendidikan BI di sekolah sama ada pengajaran guru tidak berkesan atau kurikulum yang digunakan sudah ketinggalan.

Mungkin kaedah P&P guru BI tidak menyeronokkan dan terlalu berorientasikan peperiksaan. P&P lebih fokus kepada aspek akademik seperti tatabahasa, kosa kata dan penulisan.

Kurikulum yang diguna pakai mungkin kurang memberi tumpuan kepada aspek BI untuk berkomunikasi.

Justeru, Kementerian Pelajaran melalui dasar Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI) telah menggunakan beberapa pendekatan inovatif untuk memantapkan penguasaan BI di kalangan pelajar.

Misalnya dengan mengambil penutur jati untuk melatih guru BI supaya P&P bahasa tersebut lebih 'hidup' dan menyeronokkan serta mudah difahami.

Proses P&P tidak lagi terlalu bergantung kepada buku teks semata-mata tetapi menggunakan bahan pelbagai media yang mencakupi elemen multimedia dan sumber daripada Internet.

Selain itu, guru yang telah bersara tetapi mempunyai kepakaran, pengalaman dan pengetahuan diambil secara kontrak untuk memantapkan BI para pelajar.

Bagaimanapun, terdapat sedikit kekangan kerana golongan guru bersara ini cenderung untuk memilih mengajar di sekolah yang berhampiran dengan tempat kediaman mereka sahaja.

Masalah guru baharu atau yang masih dalam perkhidmatan enggan mengajar di pedalaman dan kawasan luar bandar juga merupakan salah satu faktor yang merencatkan usaha memperkukuh BI selama ini.

Natijahnya, guru lain yang bukan opsyen bahasa itu terpaksa mengajar BI di sekolah luar bandar dan pedalaman. Apabila ini berlaku, umpama ketam mengajar anaknya berjalan lurus.

Inisiatif lain ialah kerajaan Malaysia dan Amerika Syarikat pada dasarnya telah bersetuju untuk menggunakan khidmat sukarelawan Peace Corp bagi mengatasi masalah penguasaan BI di kawasan pedalaman dan luar bandar.

Sukarelawan yang terdiri daripada pelabagai latar belakang akademik ini bukan sahaja mempunyai kemahiran tertentu malah sanggup ditempatkan di kawasan terpencil untuk menunaikan amanah yang diberikan.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU BAHASA : Pelajar harus ada kesedaran awal guna bahasa betul

PERKEMBANGAN pesat teknologi maklumat dan penggunaan gajet serba moden lagi canggih sejak akhir-akhir ini bukan saja merubah cara manusia berkomunikasi menjadikannya lebih pantas biar pun di mana berada, malah ia juga mampu merubah gaya hidup mereka. Satu daripada perubahan ketara yang berlaku sehingga menjadi satu fenomena terutama di kalangan generasi muda kini ialah penggunaan bahasa singkatan SMS dan sembang siber. Memandangkan ia sudah menjadi amalan kehidupan seharian golongan muda, penggunaan bahasa singkatan SMS dan sembang siber didapati semakin mempengaruhi kehidupan dan urusan harian mereka terutama pelajar termasuk dalam menyiapkan tugasan sekolah dan tesis pada peringkat pengajian tinggi. Bahasa yang digunakan dicampur aduk dan diringkaskan sehingga hilang ejaan, struktur ayat dan kosa kata asalnya menjadikan golongan bukan sebaya sukar memahaminya. Penggunaan singkatan SMS menerusi telefon bimbit atau laman sosial memang bukan satu kesalahan, namun kesannya terhadap pelajar jika sudah terbiasa sehingga terbawa-bawa dalam penulisan karangan atau menulis jawapan dalam peperiksaan yang mereka duduki boleh menjejaskan masa depan. Menyedari kesan negatif ini, mereka harus lebih berhati-hati dan tidak terbawa-bawa dengan gaya penulisan tidak beretika ini dalam setiap urusan rasmi. Tentunya tidak wajar bahasa singkatan ini digunakan bagi tujuan penulisan karangan di sekolah mahupun tesis atau tugasan di pusat pengajian tinggi. Pelajar harus bijak membezakan bila mereka patut menggunakan bahasa singkatan dan bila pula menggunakan bahasa rasmi standard.

Guru juga tidak harus menggunakan bahasa singkatan ini ketika menulis nota, membuat catatan atau menjawab mesej daripada pelajar kerana ia boleh menjadi alasan bagi mereka terus mengguna pakai bahasa singkatan SMS dalam pelajaran. Anggaplah pendedahan yang dibuat menerusi laporan akhbar ini semalam dan kelmarin sebagai peringatan semua pihak termasuk pelajar supaya lebih berwaspada ketika membuat tugasan tertentu. Gejala bahasa singkatan SMS ini jika dibiarkan boleh menjejaskan kualiti bahasa Melayu dalam peperiksaan. Oleh itu ia harus dibendung segera dan disekat dengan berkesan sebelum menjadi semakin kronik. Pihak sekolah hendaklah mengambil tindakan sewajarnya bagi mengatasi masalah ini dan sentiasa mengingatkan pelajar agar tidak menggunakan bahasa tidak rasmi ketika menulis karangan, termasuk tesis di peringkat pengajian tinggi. Oleh kerana gejala ini berlaku secara berleluasa di kalangan pelajar Melayu khususnya, kita khuatir satu hari nanti pencapaian pelajar Melayu bagi subjek Bahasa Melayu akan lebih teruk berbanding bukan Melayu. Kegagalan pelajar menulis bahasa standard kerana sudah terbiasa menggunakan bahasa singkatan SMS atau chatting ini pada peringkat sekolah akan memberi kesan negatif terhadap keyakinan mereka menghasilkan penulisan bermutu apabila melanjutkan pelajaran ke pusat pengajian tinggi. Justeru, adalah wajar pelajar sendiri mempunyai kesedaran untuk menggunakan bahasa betul dan tidak terpengaruh dengan bahasa singkatan SMS dan siber ketika membuat tugasan sekolah sejak peringkat awal lagi.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/