Jangan jadikan alasan umur
atau kesibukan kerja untuk menimba ilmu
DALAM perspektif menyahut seruan
pembangunan dan mengisi agenda modal insan negara yang berdaulat ini, setiap
staf atau pegawai bukan akademik yang berkhidmat di institusi pengajian tinggi
awam (IPTA) atau institusi pendidikan tinggi yang terkenal sebagai ‘gedung
ilmu’ ini perlu mempunyai minda kelas pertama dan sanggup melakukan perubahan
dalam hidup. Memang mudah dikata, terbukti sukar dicapai, tetapi tidak mustahil
dicapai dengan usaha yang padu!
Realisasikan impian hidup dan
gunakan peluang kerja yang berdampingan dengan golongan ‘bijak pandai’ untuk
meningkatkan tahap pencapaian akademik, walaupun kita hanya berjawatan kerani
atau penghantar surat sekalipun!
Melayan kesibukan tugas di
pejabat yang dipancari iklim akademik setiap masa, menghirup udara tumbesaran
minda pasti memberikan titik-titik muhasabah diri untuk kita turut meraih
kejayaan memiliki sekurang-kurangnya diploma, atau ijazah sarjana muda,
seterusnya sarjana mahupun cemerlang menamatkan Ijazah Doktor Falsafah (PhD).
Adakah seseorang yang berjawatan kerani tidak layak atau tidak mampu berjaya
sehingga memiliki ijazah doktor falsafah (PhD)?
Percayalah, dunia akademik tidak
zalim dan tidak menganiayai individu yang benar-benar tulus dan gigih menimba
ilmu.
Hanya mereka yang mempunyai
semangat tinggi, keyakinan ampuh, tahan diuji dan lasak ‘dibelasah’ cabaran
serta bijak mengatur strategi akan berjaya dalam perjuangan menimba ilmu.
Saranan positif ini dilontarkan
kepada semua pegawai bukan akademik supaya berani mencabar diri sendiri untuk
melakukan nilai tambah dalam hidup, supaya tidak menyesal ‘menggigit jari’
hanya menghitung hari pencen sebagai matlamat akhir bergelar penjawat awam di
universiti.
Ketahuilah, ‘Setiap masa, kita
melihat dan berkomunikasi dengan pensyarah hebat, yang tetap mempunyai pancaindera
sama seperti kita. Adakah diri kita tidak layak untuk berjaya seperti mereka?
Adakah kita hanya berdoa dan
menaruh harapan agar ada keturunan dalam keluarga kita nanti boleh berjaya
seperti mereka? Sedangkan, kita yang ditakdirkan untuk bekerja di universiti
telah dibukakan dengan pintu-pintu kejayaan, yang ‘anak kuncinya’ sudah berada
di tangan kita sendiri.
Sudah pasti, hati sudah puas
bermonolog dan otak sudah letih memikirkan pelbagai masalah kerja yang dihadapi
selama ini. Situasi diarahkan membuat kerja-kerja pentadbiran dan perlu
membantu urusan mesyuarat ketua, pasti meninggalkan kesan kepada diri. Ketahuilah,
kita kerja di mana-mana pejabat sekalipun, mesti ada masalah dan kita perlu
berani menghadapinya. Jangan sampai menjadikan ‘politik pejabat’ sebagai
halangan kita untuk berjaya dan merelakan diri sendiri menjadi mangsa dalam
situasi negatif yang boleh ‘membunuh’ potensi diri.
Teringat saya pada peribahasa
‘Seperti katak di bawah tempurung’ yang dapat saya olahkan menjadi ‘seperti
katak di dalam gelas’ mengikut situasi hidup sekarang.
Natijahnya, sama iaitu tetap
dalam keadaan kerugian bagi kedua-dua situasi itu. Malang sekali dan sangat
memalukan jika berada ‘di dalam gelas’ kerana dunia di luar yang penuh kejayaan
dan tersohor kegemilangannya sudah diketahui, tetapi ada individu yang ‘kecut’
untuk bertarung menikmatinya. Arus perubahan sudah lama tersebar, tetapi masih
ramai yang tidak mahu berubah.
Bayangkan, seseorang pembantu
tadbir yang mempunyai kelulusan ijazah sarjana muda dan diarahkan oleh seorang
ketuanya yang juga berkelulusan ijazah sarjana muda. Memang dari aspek kerja,
dua individu ini berbeza dan mempunyai jurang pendapatan yang berlainan.
Hakikatnya, kecerdasan pemikiran dan pengalaman bergelar mahasiswa di
universiti bagi mereka adalah sama.
Bagaimanakah keadaan kerja yang
positif dapat diwujudkan, andai kata berlaku percanggahan keputusan yang dibuat
oleh ketua itu, sehinggakan mewujudkan persepsi kurang profesional. Bahkan,
menunggu peluang dinaikkan pangkat setaraf dengan kelulusan yang ada seperti
kabur dan seperti mengharapkan ’keajaiban’ berlaku untuk mendapat jawatan yang
tinggi, kerana persaingan yang hebat dengan calon lain yang berwibawa untuk
berebut dengan jumlah jawatan sedikit.
Sesabar mana pun manusia, pasti
ada batasnya! Luahkan segala keinginan hati untuk dinaikkan pangkat, mendapat
anugerah perkhidmatan cemerlang dan sebagainya dengan membawa diri untuk
berjuang meneruskan pendidikan yang selama ini boleh dituntut sepanjang hayat.
Tuntutan belajar sepanjang hayat
yang sering bergema dilaungkan pendidik dan pemimpin negara perlu direbut oleh
semua lapisan pegawai bukan akademik di negara ini.
Baru-baru ini, Perdana Menteri,
Datuk Seri Najib Tun Razak dengan tegasnya menyarankan agenda sumber manusia
menjadi tonggak kejayaan negara. Justeru, setiap insan di negara ini perlu
menyahut seruan ini dan melakukan perubahan diri ke arah kebaikan serta menjadi
‘aset utama’ memakmurkan Malaysia.
Bukannya saling menuding jari dan
membiarkan tanggungjawab ini diusahakan oleh sesetengah pihak. Sebaliknya,
seruan bernas Perdana Menteri ini sewajarnya sudah berakar di dalam diri kita
dan mampu merangsang seluruh kudrat rakyat untuk memajukan diri dengan pelbagai
cara dan pelbagai arena kegemilangan.
Sesetengah institusi pendidikan
seperti yang diamalkan oleh Universiti Putra Malaysia, skim galakan menyambung
pendidikan dalam kalangan staf bukan akademik menjadi ‘batu loncatan’ untuk
merebut peluang keemasan memburu pengetahuan. Kemudahan bercuti dengan gaji
atau tanpa gaji menjadi antara pilihan kepada staf yang berminat untuk belajar.
Tahniah diucapkan kepada semua
golongan staf yang sedang menuntut ilmu biarpun terpaksa menghadapi pelbagai
cabaran. Usaha kalian, sanggup mengorbankan waktu rehat, bertarung dengan masa
untuk menyiapkan tugasan dengan komitmen lain, kurang waktu tidur, pening
kepala memikirkan pelbagai masalah yang timbul dan sebagainya, sangatlah
dihargai dan difahami.
Perlu diingatkan, jangan sesekali
‘berdagang’ masalah belajar, hal kerja pejabat, hal keluarga kepada umum. Bukan
semua orang suka mendengar ‘masalah’ itu. Kalau tidak, kata-kata seperti,
“Siapa suruh awak sambung belajar, lagi bertambah masalah” akan ditujukan
kepada kita.
Secara positif, dunia belajar
sambil bekerja sangat unik dan mempunyai perspektif yang luas. Memang benar,
’semakin banyak kita menuntut ilmu, semakin banyak lagi ilmu yang perlu
dipelajari’. Biar dunia kerja sudah bercampur dengan keperluan belajar kerana
secara langsung dapat menyuburkan amalan hidup dan pemikiran yang rasional dan
membentuk individu yang tahan diuji serta tidak mudah melatah dengan sebarang
situasi yang berlaku.
Pengalaman berharga saya sebagai
Pegawai Penerbitan dengan Penerbit di institusi pendidikan sambil belajar
Ijazah Doktor Falsafah Bahasa Melayu tanpa mengambil cuti belajar sangatlah
menguji kesabaran dan kebijaksanaan mengurus kehidupan.
Walaupun sibuk dengan keperluan
kerja hakiki di pejabat seperti mengedit dan menyemak pruf pelbagai bidang
serta terbabit dengan kerja-kerja pentadbiran, masih mampu bertahan dan
bersyukur kerana berjaya menyiapkan pengajian PhD dalam tempoh lima semester.
Ternyata, kekuatan semangat diri
perlu sentiasa ampuh dan kita sendiri perlu berada di sekeliling golongan
positif yang dapat memberikan cas motivasi hidup yang tinggi. Malahan,
pengalaman menjawat jawatan pembantu pentadbiran selama selama tahun jelas menjadi
platform mematangkan diri untuk berdikari dan membina kesedaran diri untuk
berusaha.
Ternyata, bukan semua individu
yang hampir atau mengenali diri kita sudi mendengar masalah diri yang kesibukan
dengan hal keluarga, dunia kerjaya dan pada masa sedang belajar lagi. Jadikan
segala dugaan yang timbul ini sebagai ’rencah kehidupan’ yang mematangkan diri
untuk bertindak secara profesional dan berfikir dengan rasional. Situasi ini
akan melahirkan sifat tidak putus asa untuk berjuang.
Biar apa-apa pun perjuangan dalam
hidup, pastikan diusahakan dengan sepenuh hati dan diberikan komitmen yang
tinggi. Mengingat pesan penyelia tesis saya, Prof Madya Dr Noor Aina Dani yang
mengatakan bahawa ’hidup lagi berilmu kena ikut resmi padi’ benar-benar
memberikan kesan mendalam dan menyuntik kesedaran diri untuk terus belajar.
Paling tidak, kita semuanya
berhak dan layak belajar mengenai perkara yang kita minati dan menyumbangkan
kepakaran kepada bangsa dan negara. Alangkah bertuahnya diri, sekiranya kita
antara golongan yang mampu menyumbang kejayaan kepada kemakmuran negara dan
berbakti kepada tanah tempat tumpah darah kita.
Penulis adalah Pegawai
Penerbitan, Universiti Putra Malaysia
Sumber : http : //www.bharian.com.my/