Jumaat, 10 Jun 2011

ISU SOSIAL : Perbanyak usaha sama tangani jenayah

Anggota Skim Rondaan Sukarela sentiasa komited menjalankan tugas walaupun terpaksa berjaga tengah malam bagi memastikan keselamatan di taman-taman perumahan.

SAYA berpendapat lebih banyak usaha perlu dilakukan untuk menangani kekerapan kejadian jenayah di negara ini melalui penguatkuasaan undang-undang efektif dan lebih banyak pembabitan masyarakat setempat.

Salah satu isu utama yang perlu kita atasi ialah berkenaan budaya keganasan yang kini semakin menular di dalam masyarakat kita.

Penularan jenayah keganasan ini pastinya bukannya ciri-ciri yang terdapat dalam masyarakat kita.

Kita perlu mencari punca masalah serta langkah yang lebih sesuai untuk mengatasinya.

Kita kini menghadapi pelbagai masalah sosial, contohnya, ancaman najis dadah, salah laku juvana dan jenayah selain masalah pembuangan bayi serta keganasan terhadap kanak-kanak.

Ini semua adalah penanda penurunan nilai-nilai murni yang jika tidak diatasi dengan berkesan akan menggugat aspirasi kita dalam menjadikan Malaysia negara yang maju. Dunia kini dibelenggu oleh satu fenomena yang sangat membimbangkan.

Di mana juga langkah pemodenan dan pembangunan ekonomi dilakukan, yang menghasilkan taraf kehidupan lebih baik, di situlah munculnya masalah sosial baru.

Apa yang membimbangkan ialah hampir tiada hari lagi yang berlalu tanpa laporan mengenai masalah sosial dan jenayah.

Kita perlu mengkaji punca berlakunya jenayah ini dan mencari jalan penyelesaian untuk membendungnya.

Kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta masyarakat perlu melaksanakan program nilai murni bagi mempromosikan kesedaran terhadap nilai-nilai kemanusiaan dan murni dalam masyarakat kita.

Kita perlu mendidik anak dan memastikan agar mereka menghargai nilai-nilai murni seperti sifat toleransi, persefahaman, hormat-menghormati orang tua, patuh kepada undang-undang, mempunyai keyakinan diri dan sifat keterbukaan terhadap perbezaan agama, kepercayaan, adat dan budaya.

TAN SRI LEE LAM THYE,
Kuala Lumpur.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/