Isnin, 5 November 2012

ISU SAINS DAN TEKNOLOGI : Radiasi telefon bimbit sebabkan ketumbuhan?


OLEH: Herbalis Bahrain Samah, RH (AHG)

Seorang ahli perniagaan Itali, Innocente Marcolini, 60, telah mengalami lumpuh sebelah wajah selepas menggunakan telefon bimbit sehingga enam jam sehari sepanjang tempoh 12 tahun. Sehubungan dengan itu, Mahkamah Tinggi Itali telah memutuskan bahawa terdapat kaitan penyebab antara masalah kesihatan yang dialaminya dengan penggunaan telefon bimbit. Berita gempar ini yang tidak mendapat perhatian media tempatan telah disiarkan oleh pelbagai media utama dunia pada 19 Oktober 2012.

Marcolini biasa menggunakan telefon bimbit semasa berurusan dengan pelanggan di China dan di tempat lain di luar negara. Pakar Onkologi telah mendapati Marcolini mengalami ketumbuhan pada saraf trigeminal. Ketumbuhan yang dikenali sebagai neurinoma itu didapati bukan ketumbuhan kategori kanser (malignan).

Peguam Marcolini menyatakan bahawa Marcolini memerlukan pembedahan dan ketumbuhan tersebut telah menjejaskan kualiti hidupnya. Beberapa pakar telah dipanggil oleh peguam Marcolini bagi memberikan hujah dalam mahkamah bahawa penggunaan telefon bimbit secara berlebihan meningkatkan risiko ketumbuhan otak.

Kes penting

Kes ini merupakan pertama kali sebuah mahkamah tinggi memutuskan bahawa penggunaan telefon bimbit atau telefon tidak berwayar (telefon rumah atau pejabat) dikaitkan secara terus sebagai penyebab ketumbuhan otak. Ia juga memperkuat pandangan ramai saintis yang telah melaungkan bahaya radiasi telefon.

Dua pakar yang telah memberikan keterangan semasa kes sebutan Marcolini belangsung. Dr Angelo Gino Levis iaitu pakar Onkologi (pakar kanser) yang juga profesor bidang mutasi berpunca dari alam sekitar (environmental mutagenesis) bersama seorang pakar bedah saraf iaitu Dr Guiseppe Grasso menunjukkan bukti bahawa radiasi elektromagnet yang dipancarkan oleh telefon bimbit atau telefon tidak berwayar berupaya merosakkan sel.

Ketika ditemu ramah Marcolini menjelaskan, keputusan mahkamah tersebut sangat penting untuk orang lain. Beliau mahu agar masalah yang dihadapinya diketahui oleh orang ramai kerana menurutnya ramai yang masih tidak tahu risiko penggunaan telefon bimbit.

Ketumbuhan yang dialami Marcolini terbentuk pada bahagian kepala di mana Marcolini biasa melekapkan telefon ke telinga. Bukan setakat lumpuh wajah sebelah kiri namun beliau juga mengalami kesakitan bukan kepalang. Keadaan tersebut menyebabkan beliau terpaksa mengambil morfin setiap hari untuk meredakan kesakitan. Beliau terdedah dengan risiko kematian kerana ketumbuhan yang dialami didapati telah merebak ke arteri karotid secara perlahan-lahan. Arteri karotid ialah arteri utama yang membekalkan darah ke otak.

Pada 31 Mei 2011, Pertubuhan Kesihatan Sedunia telah memutuskan bahawa telefon bimbit sebagai ‘bahan karsinogen untuk manusia’ (possible human carcinogen). Telefon bimbit telah disenarai dalam Kelas 2B senarai bahan karsinogen. Karsinogen ialah bahan yang dapat membentuk kanser.

Telefon bimbit dan telefon tidak berwayar (yang biasa digunakan di rumah dan pejabat) memancarkan radiasi elektromagnet yang tidak mengionisasi. Ionisasi ialah pembentukan atau pemisahan ion yang dilakukan oleh haba, penyahan caj elektrik, radiasi atau tindak balas kimia. Pancaran radiasi yang rendah menyebabkan ramai saintis percaya telefon bimbit tidak menjejaskan kesihatan manusia dan sukar untuk dikaitkan dengan pembentukan kanser.

Pelbagai kajian sains pada masa lalu telah menunjukkan keputusan yang berbeza. Namun beberapa kajian terkini yang melibatkan pendedahan jangka panjang (10 tahun atau lebih) secara jelas mendapati kewujudan kaitan antara penggunaan telefon bimbit dengan beberapa jenis kanser.

DNA putus

Dr Lai dan Singh dari University of Washington (Mobile Phones and Health Symposium, 1998) yang didedahkan kepada radiasi telefon bimbit telah mengalami kerosakan DNA termasuk helaian DNA (DNA strands) putus. Mereka berdua juga menunjukkan bukti dari pelbagai kajian bahawa helaian DNA putus akibat dedahan kepada radiasi telefon bimbit pada paras radiasi lebih rendah dari paras piawaian persekutuan (Amerika Syarikat).

Penemuan mereka serupa seperti yang dijangka oleh Dr Andrew Goldsworthy dalam artikelnya The Biological Effects of Weak Electromagnetic Fields (2007) iaitu radiasi elektromagnet yang rendah menyebabkan membran sel membebaskan kalsium.

Kalsium adalah unsur penting untuk penstabilan fosfolipid yang menjadi sebahagian dari bahan struktur membran sel. Kekurangannya pada membran sel dikatakan menyebabkan kebocoran sel. Ia menyebabkan lisosom (lysosome, kilang dalam sel yang memproses bahan buangan) memuntahkan sejenis enzim dikenali sebagai DNAase yang akan merosakkan DNA!

Pesuruhjaya Eropah (European Commission) dalam brosurnya berjudul Health and Magnetic Field menunjukkan kajian makmal terhadap sel manusia yang didedahkan pada isyarat bimbit selama 24 jam didapati menyebabkan DNA putus. Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai kajian ini sila layari sub-judul The Reflect Project di HYPERLINK:

 http://ec.europa.eu/health/archive/ph_determinants/environment/emf/brochure_en.pdf.

Kesan sinar gamma

Fenomena ini serupa keadaannya dengan sel yang terdedah kepada bahan radioaktif yang memancar sinar gamma. Sinar gamma juga dikatakan menyebabkan kebocoran sel. Penyelidik The Refelct Project juga menemui bukti bahawa sel tertentu yang didedahkan kepada radiasi menyerupai radiasi telefon bimbit tersebut mengalami kesan dalam bentuk ekspresi gen dan beberapa jenis protein yang bertanggungjawab terhadap pembahagian sel, penambahan bilangan sel dan proses diferensiasi sel.

Dr Martin Blank, PhD, telah menyampaikan syarahan yang cukup bermakna pada 18 November 2010 dalam program Commonwealth Club of California. Dalam syarahan tersebut beliau menjelaskan mengapa DNA mudah dipengaruhi (dirosakkan) oleh semua jenis medan magnet.

Seperti dijelaskan dalam International Journal of Radiation Biology (April 2011), DNA terdiri dari dua buah struktur yang bersifat antena, pengalir elektrik dan simetri diri sendiri (self symetry). Apa maksudnya? Sifat DNA sebagai antena dan pengalir caj elektrik yang lebih reaktif terhadap medan magnet berbanding komponen tisu tubuh lain sepatutnya diberi perhatian penuh oleh saintis dan pengikut jenis ‘angguk dan geleng’. Ia kerana kesan pendedahan jangka panjang dipercayai dapat menjejaskan kesihatan manusia terutama seperti terlibat dalam pembentukan beberapa jenis kanser.

Dr Blank menyatakan bahawa terdapat bukti radiasi telefon bimbit adalah berbahaya dan bahaya yang dicetuskannya adalah amat ketara. Beliau juga menjelaskan bahawa bukti sains menunjukkan keburukan radiasi telefon bimbit telah disemak dan diterbitkan. Kajian yang telah berjaya diulang semula, dinilai dan dipertimbangkan oleh saintis yang memang berkelayakan untuk mempertimbangkannya.

Kegilaan menggunakan telefon bimbit semakin menjadi-jadi kerana caj untuk perbualan boleh dikatakan murah, terutama kepada golongan pendapatan sederhana dan ke atas. Namun risiko meningkatkan kanser dikatakan sama atau lebih tinggi daripada aktiviti menghisap rokok. Jika anda mengalami ketumbuhan di bahagian kepala di mana telefon bimbit sering dilekapkan dan anda mengadu kepada syarikat pengeluar telefon bimbit, adakah anda fikir mereka peduli?

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

ISU PENGAJIAN TINGGI : Dilema Mahasiswa Lembut


Oleh : Ruhaiza Rusmin
ruhaizarusmin@hmetro.com.my

Usah menghukum tapi beri sokongan
IMEJ mahasiswa yang terjejas dengan pelbagai isu, kini dipersoalkan lagi dengan kehadiran ragam mahasiswa berperwatakan lembut yang dilihat semakin ketara sejak akhir-akhir ini.

Biarpun bukan ancaman, kehadiran mereka ada kalanya kurang disenangi mahasiswa lain hingga wujud 'pergeseran' dalam diam. 

Ditambah lagi dengan sikap mahasiswa berkenaan yang dikatakan boleh berlagak 'selamba', bermulut laser dan tidak kisah dengan pandangan serong orang sekeliling, ia dikhuatiri boleh menimbulkan konflik berpanjangan. 

Namun, benarkah golongan mahasiswa itu mengganggu pandangan serta mengusik perasaan mahasiswa lain?

Atau, adakah ada penyebab lain mengapa mereka tidak selesa dengan kehadiran golongan berkenaan?

Pengarah Pusat Inovasi Keusahawanan dan Pembangunan Pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Dr Mohammad Shatar Sabran berkata, kehadiran golongan itu tidak wajar dijadikan isu kerana mereka juga berhak memperoleh pendidikan. 

Beliau berkata, penampilan individu menjadi hak eksklusif diri sendiri yang tidak boleh dipersoalkan dan masing-masing mempunyai cara tersendiri untuk menampilkan diri.

"Walaupun kehadiran mahasiswa begini kurang disenangi pihak tertentu, mereka masih mempunyai hak memperoleh pendidikan atau apa saja kebebasan selagi masih menuruti undang-undang. 

"Jadi, jangan anggap kehadiran mereka sebagai gangguan biarpun ada yang tidak suka. Kita tidak berhak memberi label atau penarafan berpandukan fizikal semata-mata.

"Malah institusi pengajian tinggi juga bersikap terbuka dan menganggap mereka sama seperti mahasiswa lain. Asalkan masih mengikut peraturan, tiada diskriminasi untuk menuntut ilmu, " katanya. 

Senario mahasiswa berperwatakan lembut yang kian membanjiri pelbagai institusi pengajian tinggi hari ini bukan janggal malah sudah lama wujud. 

Namun, sikap kurang terbuka masyarakat untuk menerima kehadiran mereka menjadi antara punca golongan terbabit seolah-olah dipinggirkan. 

Lebih menyedihkan apabila wujud suara sumbang mengatakan mereka antara punca terjadinya gejala sosial di kalangan generasi muda. 

Beliau yang menjalankan kajian mengenai permasalahan berkenaan pada 2008, bagaimanapun menafikan mahasiswa lembut adalah golongan bermasalah. 

"Memang tidak dinafikan, secara luaran, kehidupan mereka nampak 'bermasalah' kerana meniru perwatakan gender berlawanan namun keseluruhannya bukan begitu. 

"Hanya segelintir terbabit dan mereka terdorong melakukannya kerana beberapa faktor tertentu seperti pengaruh rakan, didikan keluarga juga persekitaran. 

"Boleh disimpulkan mereka sama seperti mahasiswa normal lain yang menjalani kehidupan biasa biarpun secara fizikal, masyarakat melihatnya sebagai sesuatu yang kurang wajar," katanya.

Beliau turut tidak menafikan kehidupan mahasiswa itu cukup mencabar dalam mengharungi dunia kehidupan di kampus. 

"Ini kerana mereka berdepan dengan diskriminasi atau penolakan hanya kerana penampilan digayakan. Tanpa memberi ruang golongan terbabit menunjukkan kebolehan diri, mereka ditafsirkan memang bermasalah. 

"Sebenarnya, mahasiswa ini sangat memerlukan sokongan bagi memperbetul keadaan.

"Malangnya, masyarakat menolak mereka menjadikan mahasiswa berperwatakan lembut ini tiada pilihan selain mendapat sokongan kumpulan senasib," katanya. 

Bagaimanapun, sesuatu yang istimewa ialah biarpun berdepan penolakan itu, jiwa mereka kental dan kebanyakan mereka tergolong dalam kategori pelajar cemerlang. 

"Hanya kerana penampilan fizikal yang sedikit berbeza, masyarakat terus memberi penilaian serta menjadikannya sebagai sasaran pengecualian interaksi sosial. 

"Golongan ini seolah-olah tidak mendapat keadilan kerana hanya dinilai secara luaran sedangkan mungkin mereka ada niat berubah tapi tidak mendapat kekuatan sokongan orang lain. 

"Sikap masyarakat yang suka menghukum tanpa memberi peluang atau menunjukkan jalan yang betul juga adalah antara penyebab mereka tidak mahu berubah malah boleh berpaling pada jalan salah," katanya. 

Ditanya mengenai pendirian institusi, katanya institusi berperanan menjalankan tanggungjawab utama iaitu memberi pendidikan sama rata kepada mereka yang memenuhi syarat tanpa prejudis. 

Menurutnya, tiada diskriminasi dalam memberi ilmu kepada sesiapa yang ingin belajar dan institusi tidak pernah memberi syarat atau melabel mahasiswa tertentu. 

"Yang penting setiap mahasiswa tertakluk pada peraturan. Sesiapa saja jika melakukan kesalahan akan dihukum dan dikenakan tindakan selaras peraturan sedia ada. 

"Bagaimanapun, adalah sesuatu yang sangat baik jika mereka mahu mengubah penampilan. Ini juga satu proses pembelajaran berterusan untuk membina masa depan. 

"Apapun, ini hak setiap individu dan institusi tidak boleh campur tangan sewenangnya. 

Walaupun mungkin salah pada pandangan kita, namun mungkin tidak pada orang lain," katanya.

Sumber : http : //www.hmetro.com.my/

Isu Kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik : Selesaikan dulu penyelenggaraan jalan raya


Oleh : AZLAN BAHARUDIN ZAMANI

SEBAGAI pengguna  jalan raya, kita tidak akan terlepas daripada menyebut perkataan kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) yang sedang heboh diperkatakan kini.

Ia menular begitu cepat walaupun ada yang tidak memahami maknanya ataupun melihat bagaimanakah rupa kamera tersebut.

Saya tidak menafikan keberkesanan kamera berkenaan dalam menyumbang kepada pengurangan kadar kemalangan jalan raya tetapi di sebalik pemasangan kamera itu, masih banyak perkara asas berkaitan jalan raya yang perlu diselesaikan terlebih dahulu mengatasi peranan yang dimainkan oleh kamera AES.

Pertamanya, masih banyak jalan yang berlubang dan tidak diturap dengan baik walaupun di kawasan yang bertaraf perbandaran. Mengambil pengalaman di United Kingdom (UK), perkara sebegini tidak berlaku. Sekiranya terdapat kerja-kerja mengorek jalan, setelah diturap semula, pemandu tidak dapat merasakan kesan turapan tersebut melainkan warna tar sahaja yang membezakannya. Bagaimanapun, kesan turapan di Malaysia terdapat dua kemungkinan iaitu sama ada ia akan menjadi seperti bonggol ataupun seperti longkang.

Mungkin juga pihak berkuasa tempatan di UK takut untuk membiarkan jalan berlubang kerana sekiranya berlaku sebarang kemalangan disebabkan oleh lubang itu, mereka boleh didakwa. Ramai penunggang motosikal di Malaysia yang maut kerana mengelak lubang secara tiba-tiba, akibatnya bergesel dengan kenderaan lain lalu terjatuh.

Perkara kedua yang sering diabaikan adalah garisan putih. Masalah ini serius terutamanya di jalan persekutuan dan lebuh raya. Garisan ini adalah pedoman kepada pemandu terutamanya ketika memandu di waktu malam dan dalam keadaan hujan lebat seperti sekarang ini. Kepudaran warna garisan putih ini menyebabkan pemandu tidak dapat mengagak kedudukan kenderaan dan menyumbang kepada pertembungan dengan kenderaan dari hadapan ataupun boleh terbabas sendiri.

Kos mengecat semula garisan putih ini mungkin kos yang paling rendah dalam kerja-kerja jalan raya tapi inilah perkara yang biasanya diabaikan. Saya yakin tidak ada prosedur supaya garisan putih ini di cat semula selepas suatu tempoh waktu.

Akhir sekali adalah papan tanda ' Kawasan Kemalangan'. Kita boleh lihat, kawasan yang telah dikenal pasti sebagai kawasan kemalangan, hanya papan tanda peringatan yang mampu didirikan tanpa mengambil kira faktor lain seperti melebarkan jalan ataupun memasang lampu dengan secukupnya.

Masalah yang dinyatakan merupakan perkara asas yang perlu diselesaikan dahulu sebelum pergi ke langkah seterusnya seperti pengenalan kamera AES.

Sekiranya keadaan asas jalan raya tidak sempurna, adakah dengan mengharapkan kamera AES, mampu untuk mengurangkan kadar kemalangan? Keadaan jalan raya yang teruk boleh mengorbankan ramai orang berbanding pemandu yang bersikap buruk.

Lokasi kamera AES ini perlu dikaji semula kerana fungsinya sekarang lebih kepada perangkap. Ia sepatutnya digunakan di zon jarak yang pendek sahaja. Mungkin kamera AES sesuai diletakkan di kawasan sekolah kerana zon yang memerlukan kenderaan dipandu perlahan hanya beberapa meter sahaja.

Mana mungkin ia dapat memperlahankan kenderaan dengan hanya sebuah kamera untuk sesuatu zon sepanjang berpuluh-puluh kilometer.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/