Khamis, 24 September 2009

Mengekang internet jadi lubuk luahan tidak bermoral

Oleh Johari Ibrahim

APA juga perkara apabila bersifat keterlaluan atau tanpa batasan, pasti akan menimbulkan masalah. Itulah juga isu yang kini hangat dibincangkan apabila kebebasan bersuara menerusi internet dilihat seolah-olah keterlaluan serta terlalu bebas sehingga mengetepikan undang-undang dan rasa tanggungjawab.

Sekali pandang, kebebasan bersuara di sesetengah tapak siber seperti blog tanpa nama, seolah-olah tiada batasan hukum dan adab apabila memperkatakan sesuatu isu, termasuk yang sensitif seperti agama, kaum dan raja-raja Melayu. Memang diakui bukan semua blog atau laman web mengamalkan kebebasan bersuara yang keterlaluan, tetapi hakikatnya segelintir blog yang bersifat sedemikian menerima ‘jumlah kunjungan’ yang baik.

Kerajaan mempunyai niat suci untuk membangunkan bidang teknologi maklumat (IT) apabila bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, mengumumkan gagasan penubuhan Koridor Raya Multimedia (MSC) Malaysia pada 1 November 1995 yang merangkumi kawasan bermula dari Pusat Bandar Kuala Lumpur (KLCC) hingga ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di Sepang.

Tidak keterlaluan jika dikatakan andainya kerajaan terleka atau lewat mengetengahkan agenda ICT pada waktu itu, kita tidak dapat membayangkan apa kesan buruk yang akan berlaku kepada negara dan rakyat pada masa ini.

Kewujudan MSC, yang kemudian disusuli penubuhan Majlis Teknologi Maklumat Kebangsaan (NITC) dan perumusan Agenda Teknologi Maklumat Kebangsaan (Nita) pada Disember 1996, menyediakan asas dan kerangka kerja penggunaan dan pembangunan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) untuk memacu Malaysia ke arah negara maju menjelang 2020 selaras Wawasan 2020.

Kemajuan MSC itu terserlah apabila jumlah syarikat berasaskan IT dalam dan luar negara yang bernaung di bawah koridor berkenaan bertambah daripada 300 pada 1996 kepada lebih 3,400 pada 2005 dengan 1,447 daripadanya berstatus MSC. Pada 2004, dilaporkan syarikat yang berstatus MSC memperoleh pendapatan RM7.21 bilion dengan nilai eksport produk dan perkhidmatan ICT sebanyak RM1.57 bilion.

Selepas mempengerusikan mesyuarat NITC 2009 di Putrajaya baru-baru ini, Datuk Seri Najib Razak, berkata Kelompok Multimedia Kreatif MSC yang membabitkan 183 syarikat berstatus MSC yang pakar dalam bidang pasca produksi, animasi, pembangunan permainan video, e-pembelajaran dan kandungan interaktif bergerak berjaya menghasilkan 7,115 peluang pekerjaan dan mencatatkan perolehan RM730 juta dengan RM125 juta daripadanya adalah nilai eksport.

Serentak itu, Perdana Menteri berkata industri kandungan digital dikenal pasti sebagai satu daripada sumber pertumbuhan baru dalam e-ekonomi. Itu adalah antara cerita manis daripada perkembangan bidang ICT negara daripada segi ekonomi. Serentak pengenalan Nita pada 1996, internet serta pembangunan kaedah penghantaran mesej secara bergerak menerusi SMS dan MMS mula popular di kalangan rakyat Malaysia.

Bermulalah apa yang disebut era ‘media baru’ atau ‘media panas’ di negara ini yang menyebabkan dunia dan negara menjadi sebuah perkampungan digital kecil tanpa sempadan dari segi kandungan digital dan internet. Wujud juga istilah ‘kewartawanan masyarakat’, yang kononnya setiap orang berhak melaporkan apa saja perkara dalam internet tetapi soal kesahihan, kewibawaan dan piawaiannya tidak pula ditekankan.

Kereta dicipta untuk memudahkan orang bergerak dan berurusan, itu adalah sisi baik teknologi berkenaan, tetapi apabila kereta itu digunakan untuk berlumba haram dan keterlaluan, ia akan menjejaskan banyak pihak. Ia adalah perumpamaan mudah bagi bidang ICT di negara ini yang soal ancaman siber turut menjadi topik perbincangan dalam mesyuarat NITC 2009 itu.

Mengikut kenyataan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi yang dikeluarkan sempena mesyuarat itu, antara perkara yang dibincangkan ialah mengenai kajian ke atas kelompongan undang-undang bagi menghadapi cabaran dalam persekitaran siber. Ini termasuk isu ‘tanpa nama’ (anonymity), bidang kuasa merentasi sempadan dan pengumpulan bukti bagi kes salah laku yang membabitkan keselamatan siber.

Tangan kerajaan yang ‘terikat’ kerana perlu mematuhi Akta Jaminan (Bill of Guarantees) MSC dan Seksyen 3(3) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berkaitan tiada tapisan terhadap kandungan internet dijadikan peluang oleh pihak tidak bertanggungjawab menggunakan alam siber sebagai tempat melampiaskan perkara yang di luar undang-undang, adab dan agama.

Bagi pihak ini, keterbukaan dalam alam siber adalah sama dengan keterbukaan masyarakat untuk menerima maklumat walaupun ia terlalu sensitif seperti dalam soal agama, kaum dan Raja-Raja Melayu.

Justeru, kebimbangan mengenai ancaman yang boleh menggugat kedaulatan negara akibat penyalahgunaan IT dan internet turut memuncak. “Berikutan penciptaan internet, ancaman siber menjadi kebimbangan seluruh negara. Adalah diharapkan kajian mengenai perkara itu yang baru selesai akan berupaya meningkatkan peruntukan undang-undang dan dasar untuk berdepan dengan kegiatan tidak bermoral dan menyalahi undang-undang dalam persekitaran siber,” kata Najib.

Sudah sampai masanya pihak berkuasa menggandakan usaha untuk mengekang internet daripada menjadi lubuk luahan perkara tidak bermoral dan menyalahi undang-undang sama seperti yang dilakukan terhadap pemantauan di luar talian tanpa menjejaskan jaminan tiada tapisan dalam kandungan internet.

Seperkara lagi ialah kecenderungan orang ramai yang turut menganggap blog dan laman web peribadi sebagai sama dengan media massa lain, pada hal ia adalah dua perkara berbeza. Pada ketika media massa termasuk akhbar dan portal berita dalam talian, beroperasi dalam lingkungan kebertanggungjawaban terutama dari segi kesahihan maklumat dan undang-undang, sesetengah blog dan laman web peribadi tanpa nama tidak memiliki ciri penting itu dalam soal kita menilai maklumat yang dibawa.

Apa pun, kebebasan bersuara, sama ada dalam atau luar talian adalah hak yang tidak mutlak yang mana ia perlu diamalkan bersama dengan rasa tanggungjawab. Kegiatan tidak bermoral dan menyalahi undang-undang sama saja sama ada di dalam atau luar alam siber. Justeru, masyarakat perlu disedarkan mengenai ancaman siber itu yang boleh memberi kesan tidak baik kepada kedaulatan negara dan kepentingan awam.

Langkah itu adalah pendinding paling berkesan pada ketika dunia seolah-olah tidak mampu mengawal pengaliran maklumat, sama ada palsu atau benar di alam siber.

Penulis ialah Ketua Biro Berita Harian, Putrajaya

Sumber: http://www.bharian.com.my/

Perlukah diet hari raya?

Oleh HAMDAN AHMAD

SELEPAS sebulan berpuasa, kini tiba saat untuk kita berhari raya. Ibadah puasa banyak memberi kebaikan sekiranya kita benar-benar menghayati kenapa ia difardukan kepada umat Islam.

Puasa dapat membentuk dan meningkatkan disiplin malah mampu meningkatkan kualiti peribadi kita kepada suatu tahap yang lebih baik dan bermakna.

Dan hari raya pula merupakan suatu hari gembira dan hari kemenangan bagi seluruh umat Islam yang berjaya melaksanakan tuntutan Allah pada bulan Ramadan.

Semasa berpuasa, kita dikehendaki menahan diri daripada nafsu termasuk makan, minum dan melakukan perkara yang dilarang. Inti puasa ialah bagi membentuk disiplin diri dan peribadi kepada tahap yang lebih baik dan hebat - jasmani dan rohani.

Biasanya pada bulan puasa, berat badan akan menurun dan ia mampu dikawal. Seluar yang dipakai akan semakin longgar.

Nikmat berbuka, kita akan cepat terasa kenyang dan tidak perlu makan berlebihan ketika berbuka.

Membazir itu perangai syaitan. Walau pun dikatakan ketika bulan puasa, syaitan-syaitan itu 'dirantai' tetapi masih ada kalangan kita yang gagal membendung nafsu.

Nafsu kita merupakan 'syaitan' yang masih berleluasa dan kita masih lagi gagal merantainya walau pun ketika itu bulan Ramadan. Secara tidak langsung, kita gagal mendisiplinkan diri kita. Sepatutnya pada bulan Ramadanlah patut menjadikan masa dan permulaan terbaik untuk kita memberi keutamaan dalam mendisiplinkan diri untuk semua aspek.

Semasa berpuasa kita seakan-akan berdiet dan sepatutnya usaha baik itu diteruskan selepas bulan puasa. Kita berdiet bukan sekadar pada bulan puasa tetapi lebih penting bulan-bulan selepasnya. Yang menjadi masalah, hari raya dan bulan seterusnya dijadikan lesen untuk kita mengamalkan budaya dan rutin biasa dari segi pemakanan seperti mana yang pernah kita amalkan. Tiada bezanya kita ketika bulan Ramadan dan bulan-bulan sebelum dan selepas bulan Ramadan.

Hari raya memang patut kita sambut dengan bergembira dan memakan makanan sedap-sedap tetapi kita hanya perlu mengawalnya. Maklum sahaja, setiap hari raya kita sudah tentu akan dijamu pelbagai makanan yang berat-berat seperti lemang, nasi impit, rendang, ketupat dan sebagai. Sudah tentu kebanyakan kita tidak akan melepaskan peluang tersebut, lebih-lebih lagi hari raya di negara ini terdapat banyak rumah terbuka. Kita boleh ambil peluang tersebut tetapi secara berhemah dan berhati-hati.

Apakah diet terbaik dan sesuai untuk berhari raya? Sebenarnya tiada diet khusus untuk berhari raya. Sambutlah dengan sederhana kerana makanan pada hari raya boleh dikatakan berat. Musim berhari raya jangan dijadikan pesta makan - bulan membalas dendam selepas berpuasa selama sebulan. Kalau ini dilakukan, maknanya puasa kita itu gagal menepati objektif sebenar.

Nasihat yang biasa diberikan, cuba elakkan memakan terlalu banyak makanan berminyak dan berkolesterol tinggi. Juga kurangkan minum minuman berkarbonat. Kita perlu kawal nafsu makan walau pun bulan puasa telah berlalu. Bulan-bulan selepas berpuasa merupakan ujian sebenar sama ada kita mampu mengekalkan tahap disiplin diri yang tinggi dari segi pemakanan sebagaimana yang kita amalkan ketika berpuasa.

Lazimnya, berat badan kebanyakan kita akan meningkat ketika bukan bulan puasa kecuali bagi mereka yang mengamalkan disiplin pemakanan seimbang dan sederhana dan melakukan senaman mengikut jadual.

Peribahasa Inggeris pernah menyebut, "You are what you eat." Kemampuan mengawal apa yang dimakan terletak pada diri kita dan bukan pada orang lain.

Kita perlu ada budaya makan terkawal iaitu suatu disiplin dari segi makanan harian yang dimakan. Kita tidak boleh makan ikut sedap rasa dan juga kerana kita mampu membelinya.

Apa yang penting kita perlu bersederhana dan makan makanan yang seimbang dan buruk padahnya kalau kita ikut rasa dan nafsu makan secara sembrono. Ikut rasa binasa bak kata pepatah. Oleh kita, kita perlu lebih berhati-hati apabila kita mengambil makanan dalam kehidupan setiap masa.

Kebanyakan penyakit yang dihadapi oleh manusia disebabkan oleh makanan. Oleh itu diri kita sendiri yang patut dipersalahkan dan bukan makanan jika kita mendapat penyakit. Jika kita makan makanan berkhasiat, maka kita akan jadi lebih sihat dan bukan sebaliknya. Ini semuanya terletak pada diri dan apa yang kita makan.

Betapa seriusnya isu pemakanan - diperkatakan setiap masa. Bagi mengekalkan tahap kesihatan yang baik - sebagai contoh, jika kita makan sekeping kek blackforest yang beratnya kira-kira 100gm, dikatakan kita perlu membakar kalori hasil daripada memakan kek tersebut dengan berjalan sejauh dua kilometer. Begitulah seriusnya amalan yang perlu diikuti dalam mengekalkan kesihatan kita pada tahap terbaik.

Pada dasarnya kita bersetuju. Kita perlu mengikut konsep 'makan untuk hidup' dan bukan 'hidup untuk makan'. Yang menjadi masalah, kebanyakan kita kerap mengamalkan konsep hidup yang salah iaitu 'hidup untuk makan'. Oleh yang demikian, kita sering dihinggapi pelbagai penyakit kronik. Yang tidak seronok didengar, masa sihatlah kita perlu makan apa sahaja yang kita hendak makan. Sudah sakit nanti apa-apa pun tidak boleh dimakan. Ini suatu konsep dan pendekatan salah yang selalu dikaitkan dengan pemakanan.

Masalah pokoknya, kita masih lagi tidak memandang serius tentang apa yang kita makan setiap hari, walau pun kita mengetahui makanan yang dimakan itu berlemak dan tinggi kolesterolnya.

Tahun demi tahun statistik menunjukkan meningkatnya bilangan warganegara yang dihinggapi pelbagai penyakit, antaranya termasuklah kencing manis, sakit jantung, kanser dan sebagainya. Kempen demi kempen dijalankan bagi memberi kesedaran kepada kita semua, namun tidak ramai mengambil iktibar daripadanya.

Sudah sampai masanya kita perlu mengubah sikap dan mindset sebelum terlambat. Mengubah sikap itu sesuatu yang sukar bagi setengah-tengah daripada kita. Kita lebih selesa dengan status quo sedia ada dan tidak berani berubah walau pun kita mengetahui akan kepentingan menjaga makanan dan kesan pada kesihatan. Selagi kita tidak sakit, selagi itu kita makan ikut nafsu.

Sampai bila kita harus begini? Tepuk dada, tanya selera! Tidak perlulah kita bercakap fasal diet hari raya kerana secara hakikinya tiada istilah diet hari raya. Kalau pun kita mampu berdiet pada bulan puasa dan sebulan berhari raya, ia cuma dua bulan, bagaimana pula dengan sepuluh bulan yang lain dalam tahun yang sama? Tidakkah ia juga sama?

PENULIS ialah Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi

UiTM Shah Alam

Sumber: http://www.utusan.com.my/

BEBERAPA PERSOALAN TENTANG PUASA SUNAT BULAN SYAWAL

Apakah dalil bagi kelebihan berpuasa di bulan syawal?

Dalilnya ialah sabda Nabi s.a.w.; “Sesiapa berpuasa bulan Ramadhan, kemudian ia ikuti dengan berpuasa enam hari di bulan syawal, maka ia seolah-olah berpuasa setahun” (HR Imam Muslim dari Abu Ayyub al-Ansari r.a.)

Adakah disyaratkan puasa enam hari itu dilakukan berturut-turut?

Tidak disyaratkan. Harus diselang-selikan asalkan dalam bulan Syawal dan bilangannya mencukupi enam hari. Namun yang terbaik (afdhal) ialah melakukannya berturut-turut dan lebih afdhal lagi memulainya dari dua syawal.

Jika seseorang itu mempunyai puasa Ramadhan yang perlu diqadhanya, adakah harus ia berpuasa enam sebelum mengqadha puasanya?

Harus kerana puasa qadha Ramadhan memiliki waktu yang panjang untuk dilakukan iaitu sehingga Ramadhan tahun berikutnya, adapun puasa enam hari di bulan Syawal waktunya adalah terhad. Namun jika kita dapat melakukan puasa qadha terlebih dahulu, kemudian diikuti dengan puasa Syawal, itu yang terbaik kerana kita mendahulukan ibadah yang wajib ke atas yang sunat. Dan ada ulamak berpendapat; harus kita meniatkan keduanya sekali dalam satu puasa, tetapi yang terbaik kita memisahkannya kerana akan memperbanyakkan amalan kita kepada Allah.

Sumber : http://fiqh-am.blogspot.com/