Mohd Azrone Sarabatin, S Anand Kumar dan Syed Azwan
Syed Ali
bhnews@bharian.com.my
Kuala Lumpur : Kerajaan mengarahkan pejabat Kedutaan Besar
Malaysia di Damsyik ditutup serta-merta dan semua rakyat yang berada di Syria
dibawa pulang segera.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata kerajaan
mengeluarkan arahan itu berikutan pergolakan yang semakin meruncing di negara
berkenaan. “Ketika berbuka puasa tadi (malam tadi), Menteri Luar Datuk Seri
Anifah Aman menghubungi saya memohon izin membawa pulang rakyat dan pelajar
kita di sana.
“Keadaan semakin meruncing disebabkan pertembungan dua puak
dan ia boleh memberi kesan kepada pelajar kita.
“Jadi, saya izinkan dan mengarahkan kedutaan kita juga ditutup
bagi tujuan keselamatan,” katanya ketika berucap selepas menunaikan solat Isyak
dan Tarawih di Masjid Pulau Serai dekat Pekan, malam tadi. Hadir sama isteri
beliau, Datin Seri Rosmah Mansor.
Ketika ini ada 138 rakyat Malaysia, iaitu 128 penuntut dan
10 ekspatriat di negara bergolak itu, manakala berpuluh-puluh yang lain sudah
keluar sejak beberapa minggu lalu.
Semua rakyat Malaysia itu akan dikeluarkan menerusi jalan
udara bermula esok menggunakan pesawat syarikat penerbangan yang masih
beroperasi dari Damsyik. Difahamkan, mereka akan dipindahkan ke Dubai, Abu
Dhabi dan Doha sebelum dibawa pulang.
Dalam kenyataan media, Anifah berkata, pemindahan itu
sebagai langkah berjaga-jaga demi keselamatan pelajar dan bagi mengelakkan
sebarang insiden tidak diingini.
“Mengambil kira perkembangan di Syria yang semakin melarat,
kerajaan mengambil keputusan memulakan proses pindah pelajar Malaysia dengan
segera,” katanya.
Proses pemindahan akan diselaraskan Kementerian Luar, Majlis
Keselamatan Negara (MKN) dan Kedutaan Besar Malaysia di Damsyik.
Anifah mengesahkan 138 rakyat Malaysia di Syria sudah
berdaftar dengan pejabat Kedutaan Besar di Damsyik dan semua berada dalam
keadaan selamat.
Panggil duta pulang
Katanya, kerajaan juga membuat keputusan memanggil pulang
Duta Besar Malaysia di Syria dan empat pegawai kedutaan buat sementara waktu
bagi menjamin keselamatan mereka.
“Bagaimanapun, proses pemindahan duta dan pegawai kedutaan
hanya akan dilakukan selepas pemindahan pelajar dan rakyat kita yang lain
selesai,” katanya.
Anifah turut menggesa rakyat Malaysia lain yang masih berada
di Syria supaya pulang ke tanah air atau meninggalkan negara itu dengan kadar
segera selain menasihatkan mereka yang berhasrat melawat Syria menangguhkannya
sehingga situasi kembali pulih.
Sementara itu, Setiausaha MKN, Datuk Mohamed Thajudeen Abdul
Wahab ketika dihubungi berkata, semua urusan dokumentasi berkaitan dilakukan
pegawai agensi terbabit sejak seminggu lalu bagi membolehkan proses pemindahan
dilakukan dengan serta-merta.
Wisma Putra juga membuka bilik operasi dan orang awam boleh
menghubunginya untuk sebarang pertanyaan mengenai proses pemindahan ini. Bilik
Operasi Wisma Putra boleh dihubungi menerusi 03-88874570.
INFO :
Pergolakan bermula sejak Mac 2011, menentang pemerintahan
Presiden Bashar al-Assad.
Tentera Pembebasan Syria (FSA) – kumpulan pemberontak.
Lebih 20,000 orang terbunuh setakat ini.
22 juta jumlah penduduk Syria,
Sumber : http : //www.bharian.com.my/