Oleh : Noor Azam
‘Hanya bangsa sendiri tahu keperluan kita’.
Pengumuman Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengenai rancangan
‘merombak secara besar-besaran Dasar Pendidikan Negara’ dan saranan Kesatuan
Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) supaya sekolah diberikan kuasa
autonomi, mendorong saya menulis lagi mengenai isu pendidikan. Kedua-dua
cadangan ini amat penting dan pasti akan banyak sekali mengubah sistem
pendidikan kita yang sudah berjalan sejak Penyata Razak (1956) dan Laporan
Rahman Talib (1960).
Persoalan yang timbul, apakah kesan kepada masa depan anak kita. Mereka
akan jadi insan jenis apa dan apakah kesannya kepada cita-cita pembentukan satu
bangsa Malaysia?
Di samping transformasi politik, pendidikanlah yang akan menentukan wajah,
semangat dan sikap generasi akan datang. Inilah cabaran paling utama terhadap
Dasar dan Sistem Pendidikan Negara kita.
Untuk menangani tuntutan parti politik, pertubuhan kaum dan juga perubahan
sosial-politik-ekonomi, sistem pendidikan kita sudah mengalami banyak sekali
perubahan yang positif dan juga negatif. Ada antara perubahan itu bertentangan
dengan semangat dan matlamat yang termaktub dalam Penyata Razak dan tergelincir
daripada landasan. Inilah sebabnya kita sudah gagal memenuhi hajat Tun Abdul
Razak Hussein hendak meletakkan anak kita di bawah satu bumbung sekolah yang
menggunakan bahasa pengantar Bahasa Melayu. Gagasan Sekolah Wawasan pun tak
tercapai.
Menurut laporan akhbar: “Dasar Pendidikan Negara bakal dirombak semula
mulai tahun depan bagi mewujudkan sistem lebih berkualiti serta mampu
melahirkan modal insan yang dapat menyumbang kepada perkembangan ekonomi
seiring dengan usaha ke arah menuju negara berpendapatan tinggi.”
Nyatalah matlamat Dasar dan Sistem Pendidikan kita yang baharu, adalah
untuk melahirkan rakyat yang dapat menyumbang kepada ‘perkembangan ekonomi’
supaya matlamat akhir ‘negara berpendapatan tinggi’ dapat dicapai.
Tidak ada matlamat untuk melahirkan warga negara yang menjunjung tinggi
Perlembagaan dan Rukun Negara. Tiada juga matlamat untuk mewujudkan kestabilan
sosial-politik dan ekonomi dan perpaduan nasional. Ini bermakna pendidikan
kewarganegaraan tidak mendapat tempat dalam dasar dan sistem yang baharu nanti.
Kita tidak seharusnya terpengaruh kepada mentaliti komersial sehingga melihat
insan sebagai ‘modal’ semata. Istilah dan konsep ‘modal’ adalah istilah
komersial – bukan istilah pendidikan.
Ramai yang berpendapat, kita perlu menimbang semula cadangan ‘pelan
pembangunan dan pelan strategik pendidikan’ yang akan ‘mengambil kira pandangan
UNESCO, Bank Dunia, hasil kajian panel bebas dan panel antarabangsa yang
dilantik’.
Baguskah pendapat Bank Dunia, panel bebas dan panel antarabangsa dibawa
masuk untuk merumuskan dasar dan sistem pendidikan kita? Siapakah anggota panel
bebas dan panel antarabangsa itu? Di manakah mereka berdiri?
Selepas 55 tahun merdeka dan dengan kemajuan yang disanjung oleh dunia,
kita tentulah tidak kekurangan ahli dalam pelbagai bidang untuk menyusun suatu
dasar dan sistem pendidikan yang wajar untuk kita sendiri. Hanya bangsa kita
sendiri yang betul-betul tahu akan masalah dan keperluan kita dan dapat menghayati
aspirasi Perlembagaan dan Rukun Negara kita. Jika bangsa kita tidak mampu
bagaimana institusi pengajian tinggi awam (IPTA) boleh diberikan status
autonomi.
Guru sering merungut kerana tugas mereka bertambah-tambah, di samping
tuntutan mengajar yang semakin rumit. Bayangkan apa yang akan terjadi apabila
sekolah diberi kuasa dan tugas menguruskan kewangan dan bangunan. Apa pula yang
dimaksudkan dengan tugas ‘memilih kemasukan pelajar’? Ditambah pula dengan
tugas ‘mengurus sendiri disiplin dan kebajikan pelajar’. Inilah autonomi
cadangan KGMMB.
Sekolah kita akan jadi seperti sebuah syarikat yang di dalamnya ada
macam-macam pegawai dan fungsi. Akan jadi ‘sekolah swasta’ yang dibiayai oleh
kerajaan. Mudah-mudahan kita tidak tersalah langkah.
Kita mengharapkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang meneruskan
usaha ayahandanya mengangkat taraf hidup rakyat miskin tidak bertanah dan
membawa FELDA ke persada dunia antarabangsa akan meneruskan semangat dan
cita-cita ayahandanya yang tersurat dan tersirat dalam Penyata Razak.
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan