Jumaat, 11 Mei 2012

ISU SOSIAL : Nasihat ikhlas mantapkan jalinan persaudaraan umat Islam


Oleh Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi

NASIHAT memiliki kedudukan istimewa dalam Islam kerana memberi nasihat dapat memantapkan jalinan persaudaraan sesama umat Islam. Justeru, apabila nasihat yang disampaikan seorang Muslim semata-mata kerana Allah, ia akan wujud sebagai pengikat kasih sayang sesama saudaranya.

Oleh itu, Rasulullah SAW menjadikan nasihat sebagai tiang agama, sekali gus kayu pengukur dalam melaksanakan ajaran Islam. 

Sahabat Rasulullah SAW bernama Tamim al-Dari meriwayatkan, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Agama itu nasihat. Agama itu nasihat. Agama itu nasihat. Agama itu nasihat. Maka sahabat pun bertanya: Kepada siapa? Jawab Baginda: Kepada Allah, kepada Kitab-Nya, kepada Rasul-Nya, kepada pemimpin kaum Muslimin dan juga kepada orang awam Muslimin.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim) 

Memberi nasihat termasuk sifat para nabi. Oleh itu, nabi dan rasul tidak pernah bosan memberi nasihat kepada kaumnya supaya beriman kepada Allah SWT. Para nabi dan rasul telah menunjukkan contoh teladan terbaik dalam menyampaikan nasihat kepada umatnya.

Adab nasihat ini perlu dihayati dan direnung supaya nasihat yang disampaikan itu mencapai matlamat dikehendaki Islam. Pertama, niat yang tulus ikhlas hanya kerana Allah SWT dan mengharapkan reda serta ganjaran akhirat. 

Kedua, nasihat yang berdasarkan ilmu dan ketiga, menghiaskan diri dengan akhlak yang lemah lembut. Pemberi nasihat wajib memiliki akhlak lemah lembut dan bersopan santun dalam menyampaikan nasihat. 

Hal ini diperintahkan Allah SWT kepada Nabi Musa dan Harun saat berdakwah kepada Firaun. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Pergilah kamu berdua kepada Firaun, sesungguhnya dia telah melampaui batas dalam kekufurannya. Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya, dengan kata-kata yang lemah-lembut, semoga ia beringat atau takut.” (Surah Taha, ayat 43-44) .

Keempat, memilih kaedah yang sesuai dan tepat kerana kaedah memberi nasihat adalah berbeza-beza sesuai dengan situasi, keadaan serta keperibadian seseorang. Dalam banyak keadaan, manusia memerlukan nasihat melalui teladan daripada tokoh yang disegani. 


Kelima, nasihat yang diberi tidak bertujuan mencela atau menyebarkan keburukan orang lain. Islam melarang perbuatan keji yang berpunca daripada lidah seperti mengumpat dan mengutuk.

Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “Bukanlah seseorang mukmin itu yang menjadi pencaci, pelaknat, bukan yang suka berkata kotor atau yang lidahnya suka menyebut kata-kata yang hina.” (Hadis riwayat Bazzar dan Hakim) 

Keenam, nasihat meliputi urusan dunia dan akhirat supaya yang benar dan hak dapat dijunjung tinggi bersama dan yang salah pula sama-sama dijauhi. Demikianlah hidup bermasyarakat yang menyerlahkan Islam agama nasihat dan seluruh ruang lingkup Islam adalah nasihat.

Akhirnya, yang ketujuh si pemberi nasihat wajib bersabar apabila orang yang dinasihati tidak bersedia menerima nasihatnya. Begitulah asam garam perjuangan dakwah yang menyaksikan ada insan menerima dan ada pula yang menentang. 

Justeru, kesabaran dan istiqamah dalam perjuangan penting dalam menyampaikan nasihat Islam kepada ummah sejagat. Namun, nasihat paling utama adalah nasihat untuk diri sendiri sebelum menasihati orang lain. 

Jika tidak, dia hanya menipu dirinya sendiri, dan juga dia tidak boleh diharapkan dapat menasihati orang lain. Allah SWT mencela orang-orang yang memerintahkan kebaikan kepada orang lain, namun dia sendiri tidak melaksanakannya. 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya! Amat besar kebenciannya di sisi Allah - kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya.” (Surah al-Saff, ayat 2-3) 

Nasihat yang disampaikan dengan tulus ikhlas akan memberi kesan besar terhadap seseorang dan mendorongnya melaksanakan nasihat diterima. Natijahnya, nasihat itu akan menjadi peringatan ke arah kebenaran dan ketakwaan kepada Allah SWT.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU SOSIAL : Usah dibelenggu hutang


Hidup tidak lagi tenteram  

SYAHIDATUL AKMAL DUNYA

Sememangnya berhutang akan membuatkan kehidupan menjadi tidak tenteram. Lihatlah betapa ramai pemiutang yang mengejar penghutangnya sehingga berlaku paksa memaksa kerana tidak mampu menyelesaikan hutang tertangguh.

Menurut perunding motivasi, Ustaz Zaharuddin Abdul Rahman, berhutang bagi mereka yang tidak berkemampuan mungkin tidak pelik, tetapi apabila terjadi dalam kalangan orang berada, ia menimbulkan persoalan.

“Ramai individu berharta menjadikan kaedah ini (berhutang) bagi mencapai keuntungan berganda untuk mengekalkan lagi kekayaan. Lahirlah hamba ALLAH yang berkemampuan untuk membuat pembayaran secara tunai, tetapi masih lagi suka berhutang dalam membeli kereta dan rumah.

“Hujah mereka mudah sahaja dalam hal ini, iaitu jika bayar tunai maka kita akan rugi. Inilah fenomena kurang sihat yang dianggap ‘sihat’ oleh masyarakat hari ini," katanya.

Pinjaman konvensional haram

Ustaz Zaharuddin berkata, berhutang adalah kegiatan kurang sihat menurut pandangan Islam, malah ia perlu dijauhi semampu boleh.

“Saranan saya jauhkan diri daripada menggunakan kad kredit. Selain riba yang begitu hampir dengan kad kredit, ia juga amat menggalakkan hutang secara berlebihan. Adalah lebih baik menggunakan charge card atau debit card," katanya.

Beliau berkata, pinjaman peribadi boleh mengakibatkan ketagihan duit dalam masyarakat. Malah ulama sepakat mengatakan bahawa pinjaman peribadi secara konvensional adalah haram di sisi Islam.

"Bagaimanapun, terdapat beberapa bank Islam dan perbankan Islam yang menawarkan pinjaman (pembiayaan) peribadi secara Islam,” katanya.

Keperluan asas dan keutamaan

Mengulas keperluan asas seperti kereta dan rumah, Ustaz Zaharuddin berkata, seeloknya hutang peribadi tersebut dihadkan kepada dua perkara itu sahaja. Itu pun mestilah menilai kemampuan kewangan dengan sebaiknya agar tidak mendedahkan diri kepada bahaya ketidakmampuan membayar hutang serta bukan daripada pinjaman secara konvensional.

Beliau berkata, mereka yang berhutang perlu mengutamakan pembayaran balik hutang itu daripada perkara-perkara wajib lain, misalnya menunaikan haji atau umrah.

“Tuntutan menunaikan haji adalah wajib bagi umat Islam yang berkemampuan, tetapi ia wajib sekali sahaja. Justeru, kita perlu memahami keutamaan dalam pengendalian wang peribadi.

“Menurut Islam, menggunakan wang yang diperuntukkan untuk menunaikan haji dan umrah kali kedua adalah lebih besar pahalanya disalurkan bagi melupuskan pembayaran hutang peribadi yang bertimbun,” katanya.

Malangnya, akibat ketidakfahaman umat Islam hari ini menyebabkan mereka kerap mendahulukan sesuatu yang kurang penting berbanding apa yang lebih penting.

Hutang diharuskan Islam

Sementara itu, pendakwah bebas, Ustaz Hamizul Abdul Hamid berkata, hutang diharuskan bahkan tidak dilarang sama sekali memandangkan dalam al-Quran ada menyebut ayat mengenai hutang :

“Dalam kehidupan Nabi, Baginda turut berhutang. Ibnu Majah ada meriwayatkan bahawa Nabi sendiri pernah berhutang pada saat perang Hunain kepada sahabatnya dan segera melunasinya selepas Baginda kembali dari peperangan.

“Maknanya, berhutang itu halal. Apa yang menjadi masalahnya apabila hutang dilakukan tanpa perancangan dan lebih memenuhi kehendak dan bukan atas dasar keperluan. Malah, ada setengah orang apabila tidak cukup wang akan terus berfikir untuk berhutang. Mulanya sedikit semakin lama menjadi bukit hingga tidak mampu pula untuk melunaskannya. Maka, hutang itulah yang menjadi duri dalam daging masyarakat kita hari ini,” katanya.

Menurutnya, seorang suami wajib menanggung perbelanjaan keluarga yang menjadi nafkah wajib ke atas dirinya. Hinggakan dalam bab zakat sekali pun, seseorang itu hanya boleh mengeluarkan zakat setelah keperluan asasi tanggungannya dipenuhi.

ALLAH berfirman: “Mereka bertanya kepada mu tentang khamar dan judi. Katakanlah: “pada keduanya itu terdapat dosa besar dan beberapa manfaat bagi manusia, tetapi dosa keduanya lebih besar dari manfaatnya”. Dan mereka bertanya kepada mu apa yang mereka nafkahkan. Katakanlah: “yang lebih dari keperluan.” Demikianlah ALLAH menerangkan ayat-Nya kepada mu supaya kamu berfikir.” (Surah al-Baqarah ayat 219).

Hamizul berkata, si suami dikira berhutang nafkah dengan isteri dan anak-anaknya jika mengabaikan perkara wajib tersebut.

"Ini jelas, kerana dalam bab fiqah, perkara yang wajib itu bila diabaikan maka ia menjadi hutang dan wajib diqada. Samalah orang yang sengaja tidak mahu solat, berzakat dan sebagainya dalam keadaan sudah cukup syarat, maka dia diwajibkan membayarnya kembali selepas dari itu dan dianggap qada.

“Walau bagaimanapun, amalan perundangan di negara ini tidak ada dimasukkan peruntukan ‘hutang nafkah', namun apa yang ada ialah ‘tuntutan nafkah’. Seorang isteri memang boleh dan berhak memohon kepada pihak mahkamah agar bekas suaminya memberikan tanggungan nafkah ke atas anak-anaknya. Bahkan si isteri juga berhak memohon nafkah selepas bercerai selagi masih berada dalam masa idah,” katanya.

Lunaskan hutang si mati

Hamizul berkata, dalam kes suami (si ayah) meninggal dunia sedangkan hutangnya bertimbun-timbun, maka anak-anak atau warisnya perlulah menjelaskan kesemua hutang itu.

"Tiada jalan lain lagi, kecualilah pihak yang memberikan hutang itu menghalalkannya, maka terlepas si ayah daripada belenggu hutang di akhirat nanti.

“Namun, hutang bukan sahaja dengan manusia. Jika si mati semasa hayatnya tidak mengeluarkan zakat hartanya, maka ulama fiqah menyatakan wajib dikeluarkan dahulu zakatnya sebelum harta-hartanya dibahagikan. Begitu juga hutang kifarat, nazar dan haji. Hal ini dinamakan hutang kepada ALLAH dan Imam Syafie menyatakan ia hendaklah terlebih dahulu dilunasi dalam senarai hutangnya," katanya.

Beliau berkata, sebaik-baiknya seseorang yang banyak hutang membuat satu surat wasiat yang menyatakan mengenai hutang-hutang masih belum dijelaskan, sama ada hutang peribadi, zakat dan sebagainya.
"Surat itu wajar disimpan dan diminta agar pasangan atau anak-anak membacanya sebelum mereka mengagihkan harta pusaka,” katanya.

Menurutnya, dalam dunia moden kini, kita boleh menggunakan sistem kafalah atau takaful yang mana, apabila berlaku kematian maka hutang-hutang itu secara automatik akan dibiayai sepenuhnya oleh takaful. Hal ini pasti meringankan semua pihak dalam mendepani hari-hari selepas kematian.

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

GURU INOVATIF MELONJAKKAN TRANSFORMASI PENDIDIKAN NEGARA



Kita berbicara tentang inovasi
Ciptaan baharu gaya hidup kini
Meningkatkan Produktiviti Terkini

Bangun, beranikan terima seruan
Mendidik, memimpin penuh berwawasan
Menciptakan kreativiti
Melahirkan Guru Inovatif

c/o
Sahutlah cabaran, perubahan
Daulatkan Bidang Pendidikan,
Guru Inovatif Melonjakkan
Transformasi Pendidikan Negara
Malaysiaku tercinta

Kita berbicara tentang inovasi
Ciptaan baharu gaya hidup kini
Meningkatkan Produktiviti Terkini

Tiada pernah jemu tiada putus asa
Sedia menimba ilmu di mana saja
Binakanlah keyakinan
Merentasi segala halangan

ulang c/o x2

Lagu : En. Rosman bin Adam
Lirik : En. Zainal Ariffin bin Yusof
(IPGM Kampus Ilmu Khas) 

ISU PENDIDIKAN : Beri nombor giliran calon gagal


Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan tahniah kepada Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) atas kejayaan memperkenalkan sistem secara atas talian, iaitu e-GTukar, yang telah memangkin proses permohonan pertukaran guru ke arah menjadi lebih telus dan sistematik, mulai tahun 2008.

Mengambil sempena siri Dialog Nasional Pendidikan Negara 2012 yang dilancarkan oleh Timbalan Perdana Menteeri merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 29 April lalu, saya ingin memberi cadangan penambahbaikan dalam aspek pertukaran guru. Ini sebagai usaha memartabatkan profesion perguruan dan memartabatkan sistem pendidikan negara.

Rasionalnya, pada setiap sesi permohonan pertukaran guru (sama ada pada sesi Januari atau Jun setiap tahun) bagi sesebuah negeri, terdapat sejumlah guru yang layak dipertimbangkan untuk bertukar masuk.

Bagaimanapun mereka gagal dalam permohonan bagi sesi tersebut, walaupun menepati syarat pertukaran (seperti mengajar opsyen subjek yang terdapat kekosongan di sesebuah negeri), kerana situasi kekosongan tempat yang terhad bagi sesebuah negeri.

Ini jelas dapat dilihat bagi kes-kes permohonan masuk ke negeri Kelantan dan negeri-negeri lain yang dikategorikan sebagai kritikal.

Oleh itu, bagi kumpulan guru yang 'layak tetapi gagal' dalam sesi permohonan pertukaran semasa, seharusnya diberikan nombor giliran sebagai keutamaan untuk diluluskan permohonan pertukarannya dalam sesi permohonan pertukaran akan datang.

Pemberian nombor giliran kepada setiap guru yang memohon pertukaran ini boleh dipraktikkan, dengan syarat permohonan yang dibuat oleh seseorang guru tersebut adalah konsisten, iaitu melibatkan sebuah negeri yang sama sahaja pada setiap sesi permohonan.

Saya berharap agar Bahagian Pengurusan Sekolah Harian yang menguruskan permohonan pertukaran guru bagi pihak Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM), dapat mencuba idea untuk menyediakan sistem nombor giliran atau ranking bagi permohonan pertukaran guru antara negeri.

Pengenalan sistem ini diharap mampu meredakan prejudis dan tohmahan kepada KPM yang dikatakan mementingkan 'kabel', dan pelbagai lagi tuduhan tidak benar dalam soal menguruskan permohonan pertukaran guru.

Selamat Menyambut Hari Guru 2012.

RAMBO MALAYA
Kota Bharu, Kelantan.


Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU PERKHIDMATAN AWAM : Budi Misi (Jururawat)



Oleh Nor Afzan Mohamad Yusof

MEREKA adalah insan gigih yang tidak pernah menolak beban tugasan diberikan. Biarpun bergelumang dengan perasaan cemas, namun keberanian mengatasinya. Biarpun terpaksa 'bermain' dengan darah, membersihkan luka dan nanah serta diri pesakit, diherdik dan meredah tugasan dalam bentuk syif dan bersabar dengan kerenah pesakit serta ahli keluarga mereka - semuanya diredah atas nama tanggungjawab.

Ringkasnya, kepentingan dan keperluan diri menjadi perkara kedua walaupun terpaksa berjauhan dengan keluarga apabila berkhidmat di bandar mahu pun ceruk negara. Tidak ketinggalan, budi yang ditabur tidak mengira masa, termasuk pada cuti umum.

Itulah pengorbanan ‘wira’ dalam bentuk jururawat yang seputih pakaian seragam mereka mencurahkan bakti dan kudrat. Namun, sejauh manakah budi mereka dihargai dan dihayati?

Justeru, menyedari kepentingan 96,000 jururawat ini, esok yang bersamaan 12 Mei diisytiharkan Hari Jururawat Antarabangsa. Apa uniknya sambutan di Malaysia?

Presiden Persatuan Jururawat Malaysia (MNA), Dame Ramziah Ahmad, berkata bertemakan ‘Closing Gap From Evidence To Action’, sambutan Hari Jururawat Antarabangsa itu bakal diadakan di Shah Alam Convention Centre (SACC), esok yang turut menjadi antara tanda aras kejayaan jururawat di negara ini.

Lebih istimewa, sambutan yang diadakan buat julung kali itu juga bakal mengangkat tiga tokoh dalam bidang kejururawatan membabitkan tokoh akademik, tokoh pendidikan dan tokoh komunikasi.

Rasionalnya bagi membolehkan mereka dijadikan contoh oleh jururawat sedia ada selain membawa dunia kejururawatan pada peringkat lebih tinggi, dihormati dan sentiasa berada di hati orang ramai seperti kerjaya lain termasuk perguruan dan sebagainya.

“Saya dapat merasakan apabila kita mengadakan sambutan secara besar-besar dan dipromosikan pula pihak media, kami sebagai jururawat berasa sangat berbesar hati dan bangga.

“Sungguhpun ramai pihak beranggapan kerja sebagai  jururawat tidak sukar, tetapi  ia sebenarnya amat mencabar. Apa tidaknya, waktu kerja mereka tidak sama seperti seperti orang lain yang bertugas 9 pagi hingga 5 petang, sebaliknya jururawat ada syif malam.

“Dengan keadaan masing-masing yang mempunyai peranan sebagai isteri, ibu serta menantu, tulus saya katakan jururawat sememangnya istimewa,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Mengulas tema global kali ini yang antara lainnya mengenai usaha merapatkan jurang dan mengubah bukti kepada tindakan, Ramziah yang mempunyai pengalaman 38 tahun terbabit dalam dunia kejururawatan dengan jawatan tertinggi sebagai Matron dan terkini, Dekan Fakulti Kejururawatan Allianze University Collage of Medical Sciences, Pulau Pinang, berkata, usaha itu menyentuh aspek transformasi keperluan profesion mempraktikkan tugasan kepada pesakit, berdasarkan kajian saintifik dan bukannya kerana ‘mengikut cara senior’.

Ini termasuk mengurangkan luka tekanan. “Dulu, jururawat akan mengurut belakang pesakit terlantar setiap empat jam sekali atas kepercayaan sentuhan dan urutan boleh mengurangkan luka tekanan. Tetapi bukti saintifik teknik itu dapat mengurangkan luka tekanan tidak ada. Ia hanya berdasarkan kepercayaan dan ‘ikut senior’ buat.

“Sebaliknya kajian membuktikan penggunaan alas katil khas serta mengalihkan pesakit dari kiri ke kanan ada bukti saintifik mengatakan boleh mengurangkan luka tekanan, maka kita akan praktikkan hal itu. Selaras dengan profesion itu di seantero dunia,” katanya.

Bagaimana pula dengan aspek pengambilan tenaga jururawat, termasuk kenyataan Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Shirlin baru-baru ini menyarankan hospital dan klinik swasta mengutamakan pengambilan jururawat tempatan berbanding rakyat asing?

Ramziah tidak menafikan keadaan itu berlaku lantaran segelintir  pihak  hospital dan pusat kesihatan lebih rela menggajikan jururawat berpengalaman, biarpun gaji ditawarkan lebih tinggi kerana memiliki pengalaman berbanding ‘menggajikan’ jururawat baharu yang perlu dilatih, dipantau dalam usaha mengutip pengalaman.

Tegasnya keadaan itu tidak seharusnya berlaku. Sambil memuji keprihatinan kementerian, khususnya Rosnah, Ramziah berkata lambat laun keadaan diyakini dapat dikurangkan secara perlahan-lahan apatah lagi kerajaan dalam usaha mensasarkan seorang jururawat untuk 200 pesakit dapat dicapai menjelang 2015 berbanding nisbah 1:374 ketika ini. Sasaran itu tidak bersandarkan kepada kuantiti, sebaliknya kualiti.

“Kalau dulu, untuk mengambil diploma pelajar perlu mendapat  3 saja kredit dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), tetapi dalam usaha memastikan kualiti, syarat kemasukan dinaikkan kepada  5 kredit. Sejak syarat kemasukan itu diketatkan, jumlah permohonan menunjukkan penurunan, tetapi itulah hasilnya.

“Kita mahu hanya individu yang benar-benar layak saja boleh menjadi jururawat. Pada masa sama kita tidak mahu orang melihat kerjaya kejururawatan sebagai pilihan terakhir atau mengambil diploma kerana ‘itu saja yang mampu dengan kredit yang rendah’,” katanya.

Mengenai penyertaan pelajar lelaki ke dalam dunia kejururawatan, Ramziah berkata ia dialu-alukan malah mereka turut memperoleh peluang kenaikan pangkat serta gaji sama seperti jururawat wanita.

“Bilangan jururawat lelaki hanya 20 peratus dan bilangan itu amat kecil. Tenaga jururawat lelaki sememangnya amat kita perlukan terutama dalam menguruskan pesakit lelaki, mengendalikan peralatan atau mesin di unit rawatan rapi atau mesin haemodialisis contohnya,” katanya.

Sekiranya guru dikaitkan dengan beban kerja yang tinggi gesaan untuk semua guru memiliki ijazah. Apa pula masalah berlegar dalam dunia kejururawatan?

Kesilapan perubatan, kata Ramziah, seperti pemberian ubat, dos serta pemberian darah tercemar, antara boleh merosakkan martabat kejururawatan dan ia boleh dikurangkan menerusi latihan, etika dan tanggungjawab yang tentunya boleh matang bersama tempoh pengalaman perkhidmatan.

Bagaimana pula dengan persepsi jururawat bengis? Sambil tersenyum, beliau turut mengakui hal itu, malah ketika zamannya bergelar jururawat, keadaan itu sudah terjadi.

“Tetapi itu dulu. Mereka garang kerana mereka punyai ilmu. Kalau doktor memberikan sesuatu dos, dan jururawat itu berasa sangsi, dia akan bertanya kembali kepada doktor berkenaan. Bukan kerana dia nak tunjuk pandai, tetapi kerana prihatin lantaran kesilapan boleh mengundang parah kepada pesakit. Tetapi hari ini, tidak lagi. Apa pun segala-galanya sudah berubah, pesakit pun sudah tahu apa yang perlu dilakukan sekiranya seseorang jururawat itu tidak disenangi,” katanya.

Ramziah turut menegaskan, generasi Y hari ini perlu diajar dengan cara lebih kreatif dan interaktif berbanding dengan zamannya dulu.

“Tenaga pengajar perlu kreatif. Sekiranya tidak, mereka sukar menerimanya. Sungguhpun pelajar ini sukakan pendekatan teknologi komunikasi ketika belajar, hakikatnya sentuhan manusia dalam merawat pesakit apabila bergelar jururawat kelak amat mustahak. Dan di sinilah perlunya ‘soft skill’ diajari menerusi latihan praktikal,” katanya.

Jururawat kita jadi pilihan di luar negara

MENGENAI perkembangan hampir 1,000 jururawat tempatan berkerja di luar negara, Ramziah berkata dia mempunyai dua rasa iaitu bangga tetapi pada masa sama sedih.

“Mac lalu ketika melakukan Umrah, saya dijemput memberi ceramah di sebuah hospital di Jeddah, Mekah. Ada kira-kira 15 jururawat Malaysia yang berkhidmat di sana. Saya bertanya kepada setiap orang kenapa mereka berkhidmat di sana. Apa yang dapat saya simpulkan, selain mendapat pengalaman serta gaji yang lebih besar, mereka berhasrat ‘memindahkan’ teknologi serta ilmu diperoleh itu nanti ke Malaysia untuk manfaat negara.

“Saya berasa sedikit terkilan, apabila memikirkan jururawat yang berhijrah ini adalah senior dan berpengalaman, tetapi mereka manfaatkan  ilmu kepada orang luar. Tetapi pada masa yang sama saya tetap berbangga kerana Kerajaan Arab Saudi memberikan pengiktirafan yang tinggi kepada jururawat kita kerana mereka amat profesional dan disenangi berbanding jururawat dari negara Asia lain,” katanya yang mengatakan kerajaan negara itu kini dalam proses melahirkan jururawat berikutan berlaku kekurangan tenaga kerja dalam sektor terbabit.

Sudah lebih lapan tahun bergelar Presiden MNA, secara peribadi beliau menyifatkan sambutan tahun ini lebih meriah dan terbaik.

“Kami di persatuan berazam memantapkan kerjaya ini, bukan saja menerusi promosi di media seperti sambutan hari jururawat, tetapi mulai bulan ini kami melakukan program ‘turun padang’. Bermula di Kota Damansara minggu lalu, seramai 600 penduduk di situ menerima pemeriksaan kesihatan secara percuma. Program sama akan turut diadakan di seluruh negara.

“Lebih manis, ia bagaikan serampang dua mata. Bukan saja jururawat dekat dengan masyarakat, penduduk akan semakin sedar mengenai penjagaan kesihatan diri dan keluarga, malah sumbangan menerusi pendermaan darah juga banyak kami peroleh,” katanya.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/