Hidup tidak lagi tenteram
SYAHIDATUL AKMAL DUNYA
Sememangnya
berhutang akan membuatkan kehidupan menjadi tidak tenteram. Lihatlah betapa
ramai pemiutang yang mengejar penghutangnya sehingga berlaku paksa memaksa
kerana tidak mampu menyelesaikan hutang tertangguh.
Menurut perunding
motivasi, Ustaz Zaharuddin Abdul Rahman, berhutang bagi mereka yang tidak
berkemampuan mungkin tidak pelik, tetapi apabila terjadi dalam kalangan orang
berada, ia menimbulkan persoalan.
“Ramai individu
berharta menjadikan kaedah ini (berhutang) bagi mencapai keuntungan berganda
untuk mengekalkan lagi kekayaan. Lahirlah hamba ALLAH yang berkemampuan untuk
membuat pembayaran secara tunai, tetapi masih lagi suka berhutang dalam membeli
kereta dan rumah.
“Hujah mereka
mudah sahaja dalam hal ini, iaitu jika bayar tunai maka kita akan rugi. Inilah
fenomena kurang sihat yang dianggap ‘sihat’ oleh masyarakat hari ini,"
katanya.
Pinjaman
konvensional haram
Ustaz Zaharuddin
berkata, berhutang adalah kegiatan kurang sihat menurut pandangan Islam, malah
ia perlu dijauhi semampu boleh.
“Saranan saya
jauhkan diri daripada menggunakan kad kredit. Selain riba yang begitu hampir
dengan kad kredit, ia juga amat menggalakkan hutang secara berlebihan. Adalah
lebih baik menggunakan charge card atau debit card," katanya.
Beliau berkata,
pinjaman peribadi boleh mengakibatkan ketagihan duit dalam masyarakat. Malah
ulama sepakat mengatakan bahawa pinjaman peribadi secara konvensional adalah
haram di sisi Islam.
"Bagaimanapun,
terdapat beberapa bank Islam dan perbankan Islam yang menawarkan pinjaman
(pembiayaan) peribadi secara Islam,” katanya.
Keperluan asas
dan keutamaan
Mengulas
keperluan asas seperti kereta dan rumah, Ustaz Zaharuddin berkata, seeloknya
hutang peribadi tersebut dihadkan kepada dua perkara itu sahaja. Itu pun
mestilah menilai kemampuan kewangan dengan sebaiknya agar tidak mendedahkan
diri kepada bahaya ketidakmampuan membayar hutang serta bukan daripada pinjaman
secara konvensional.
Beliau berkata,
mereka yang berhutang perlu mengutamakan pembayaran balik hutang itu daripada
perkara-perkara wajib lain, misalnya menunaikan haji atau umrah.
“Tuntutan
menunaikan haji adalah wajib bagi umat Islam yang berkemampuan, tetapi ia wajib
sekali sahaja. Justeru, kita perlu memahami keutamaan dalam pengendalian wang
peribadi.
“Menurut Islam,
menggunakan wang yang diperuntukkan untuk menunaikan haji dan umrah kali kedua
adalah lebih besar pahalanya disalurkan bagi melupuskan pembayaran hutang
peribadi yang bertimbun,” katanya.
Malangnya, akibat
ketidakfahaman umat Islam hari ini menyebabkan mereka kerap mendahulukan
sesuatu yang kurang penting berbanding apa yang lebih penting.
Hutang
diharuskan Islam
Sementara itu,
pendakwah bebas, Ustaz Hamizul Abdul Hamid berkata, hutang diharuskan bahkan
tidak dilarang sama sekali memandangkan dalam al-Quran ada menyebut ayat
mengenai hutang :
“Dalam kehidupan
Nabi, Baginda turut berhutang. Ibnu Majah ada meriwayatkan bahawa Nabi sendiri
pernah berhutang pada saat perang Hunain kepada sahabatnya dan segera
melunasinya selepas Baginda kembali dari peperangan.
“Maknanya,
berhutang itu halal. Apa yang menjadi masalahnya apabila hutang dilakukan tanpa
perancangan dan lebih memenuhi kehendak dan bukan atas dasar keperluan. Malah,
ada setengah orang apabila tidak cukup wang akan terus berfikir untuk
berhutang. Mulanya sedikit semakin lama menjadi bukit hingga tidak mampu pula
untuk melunaskannya. Maka, hutang itulah yang menjadi duri dalam daging
masyarakat kita hari ini,” katanya.
Menurutnya,
seorang suami wajib menanggung perbelanjaan keluarga yang menjadi nafkah wajib
ke atas dirinya. Hinggakan dalam bab zakat sekali pun, seseorang itu hanya
boleh mengeluarkan zakat setelah keperluan asasi tanggungannya dipenuhi.
ALLAH berfirman:
“Mereka bertanya kepada mu tentang khamar dan judi. Katakanlah: “pada keduanya
itu terdapat dosa besar dan beberapa manfaat bagi manusia, tetapi dosa keduanya
lebih besar dari manfaatnya”. Dan mereka bertanya kepada mu apa yang mereka
nafkahkan. Katakanlah: “yang lebih dari keperluan.” Demikianlah ALLAH
menerangkan ayat-Nya kepada mu supaya kamu berfikir.” (Surah al-Baqarah ayat
219).
Hamizul berkata,
si suami dikira berhutang nafkah dengan isteri dan anak-anaknya jika
mengabaikan perkara wajib tersebut.
"Ini jelas,
kerana dalam bab fiqah, perkara yang wajib itu bila diabaikan maka ia menjadi
hutang dan wajib diqada. Samalah orang yang sengaja tidak mahu solat, berzakat
dan sebagainya dalam keadaan sudah cukup syarat, maka dia diwajibkan
membayarnya kembali selepas dari itu dan dianggap qada.
“Walau
bagaimanapun, amalan perundangan di negara ini tidak ada dimasukkan peruntukan
‘hutang nafkah', namun apa yang ada ialah ‘tuntutan nafkah’. Seorang isteri
memang boleh dan berhak memohon kepada pihak mahkamah agar bekas suaminya
memberikan tanggungan nafkah ke atas anak-anaknya. Bahkan si isteri juga berhak
memohon nafkah selepas bercerai selagi masih berada dalam masa idah,” katanya.
Lunaskan
hutang si mati
Hamizul berkata,
dalam kes suami (si ayah) meninggal dunia sedangkan hutangnya bertimbun-timbun,
maka anak-anak atau warisnya perlulah menjelaskan kesemua hutang itu.
"Tiada jalan
lain lagi, kecualilah pihak yang memberikan hutang itu menghalalkannya, maka
terlepas si ayah daripada belenggu hutang di akhirat nanti.
“Namun, hutang
bukan sahaja dengan manusia. Jika si mati semasa hayatnya tidak mengeluarkan
zakat hartanya, maka ulama fiqah menyatakan wajib dikeluarkan dahulu zakatnya
sebelum harta-hartanya dibahagikan. Begitu juga hutang kifarat, nazar dan haji.
Hal ini dinamakan hutang kepada ALLAH dan Imam Syafie menyatakan ia hendaklah
terlebih dahulu dilunasi dalam senarai hutangnya," katanya.
Beliau berkata,
sebaik-baiknya seseorang yang banyak hutang membuat satu surat wasiat yang
menyatakan mengenai hutang-hutang masih belum dijelaskan, sama ada hutang
peribadi, zakat dan sebagainya.
"Surat itu
wajar disimpan dan diminta agar pasangan atau anak-anak membacanya sebelum
mereka mengagihkan harta pusaka,” katanya.
Menurutnya, dalam
dunia moden kini, kita boleh menggunakan sistem kafalah atau takaful yang mana,
apabila berlaku kematian maka hutang-hutang itu secara automatik akan dibiayai
sepenuhnya oleh takaful. Hal ini pasti meringankan semua pihak dalam mendepani
hari-hari selepas kematian.
Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan