Isnin, 16 Mei 2011

ISU PENDIDIKAN : Empat dianugerah tokoh guru

Oleh Nor Azma Laila
norazma@bharian.com.my

Bekas Ketua Pengarah Pendidikan mahu pendidik jujur berkhidmat

KUCHING: Bekas Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Dr Matnor Daim, 68, dipilih Tokoh Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan sempena sambutan Hari Guru 2011 peringkat kebangsaan ke-40, di sini, semalam.

Empat penerima Anugerah Tokoh Guru 2011 pula ialah bekas Dekan Fakulti Pendidikan, Universiti Industri Selangor (Unisel), Prof Datuk Dr Ab Rahim Selamat, 66, dari Melaka; Datuk Siva Subramaniam, 64, dari Perak; Hamedah Wok Awang, 63, dari Pahang dan Datuk Rita Jaafar, 62, dari Sabah.

Mereka menerima wang tunai RM10,000, pingat emas, plak dan sijil penghargaan disampaikan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran pada majlis dihadiri lebih 4,000 pengetua, guru dan pegawai perkhidmatan pendidikan di Pusat Konvesyen Borneo Kuching, di sini.

Turut hadir, Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud; Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Wee Ka Siong dan Dr Mohd Puad Zakarshi; Ketua Setiausaha kementerian itu, Datuk Dr Rosli Mohamad dan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Abdul Ghafar Mahmud.

Matnor yang pernah bertugas sebagai Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lutong, Miri menyifatkan anugerah yang diterima itu adalah mewakili jasa dan pengorbanan warga pendidik di seluruh negara.

"Saya terima anugerah ini dengan penuh rendah hati kerana ia adalah berkat sokongan semua insan yang bergelar guru. Anugerah ini besar maknanya bukan hanya kepada saya, tetapi kepada profesion perguruan itu sendiri kerana ia akan lebih memberi semangat kepada guru muda untuk memberikan khidmat terbaik kepada anak bangsa," katanya.

Sementara itu, Ab Rahim yang juga bekas Pengarah Institut Aminuddin Baki (IAB), menyifatkan anugerah diterimanya adalah di luar jangkaan kerana sebagai bekas warga pendidikan, beliau tidak pernah mengharapkan penghargaan.

"Anugerah ini adalah satu penghargaan yang jujur daripada komuniti pendidikan dan saya amat menghargainya.

"Bagi warga pendidik muda pada hari ini, saya nasihatkan supaya berkhidmatlah dengan sejujurnya tanpa mengharapkan penghargaan kerana mulia seseorang individu itu bukan kerana anugerah, tetapi kerana jasa dan bakti yang dilakukannya," katanya.

Rita yang juga bekas Pengetua Institut Perguruan Gaya, Kota Kinabalu, Sabah, berpendapat beliau terlalu kecil untuk menerima anugerah yang begitu besar pengiktirafannya kepada warga pendidik.

"Kalau dibandingkan anugerah ini dengan apa yang sudah dicurahkan sepanjang bergelar pendidik, memang ia adalah satu penghargaan yang tidak ternilai. Saya cuma menjalankan tugas sebagai guru dengan ikhlas untuk melihat anak murid berjaya dalam pelajaran dan kehidupan mereka," katanya.

Sumber : http : //www.bharian.com/

ISU PENDIDIKAN : PERUTUSAN KHAS PERDANA MENTERI SEMPENA HARI GURU

Bismillahir Rahamanirahim, Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam 1Malaysia.

Para guru yang dirai dan dimuliakan sekalian,

1. Pada hari yang bermakna ini, saya ingin mengambil peluang sebagai Perdana Menteri Malaysia juga bagi pihak kerajaan, rakyat, diri saya dan isteri untuk mengucapkan rasa terima kasih yang tidak terhingga kepada para guru. Hari ini merupakan hari kita meraikan serta memberi pengktirafan kepada mereka.

2. Sesungguhnya, jasa mereka yang begitu besar, budi mereka yang ditabur serta khidmat bakti mereka kepada negara tidak mungkin akan dapat diimbal dengan seadilnya. Hanya Allah SWT sahaja yang mampu memberikan ganjaran setimpal.

3. Hakikatnya, sejarah pembangunan Malaysia dilakar melalui kalam para guru, ia disuburkan hasil jerih payah dan pengorbanan warga pendidik di bilik-bilik darjah dan padang-padang permainan. Sebetulnya lagi, sebuah negara yang maju, sebuah tamadun yang hebat, tidak mungkin terbina tanpa insan yang bergelar guru.

4. Hari ini, di setiap ceruk rantau negara, para guru tanpa mengenal penat lelah senantiasa membawa cahaya harapan kepada anak-anak Malaysia. Para gurulah yang membuka pintu gedung ilmu pengetahuan, membolehkan penerokaan khazanah minda seterusnya mengoptimumkan potensi modal insan negara.

5. Setiap kejayaan nasional dari transformasi negara pertanian berpendapatan rendah kepada negara perindustrian moden berpendapatan sederhana tinggi, tercatat di celah-celah lipatan kudratnya para guru. Begitu juga lompatan transformasi berikutnya ke arah negara maju berpendapatan tinggi memerlukan sentuhan para guru sesuai dengan tema sambutan tahun ini “Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara”.

6. Lantaran itu, menyedari bebanan tugas dan pengorbanan yang telah dibuat para guru, maka kerajaan telah memutuskan untuk menambahbaik skim perkhidmatan Guru Malaysia. Sehubungan itu, sukacita saya maklumkan kerajaan telah bersetuju bahawa:

7. Sebagai kesinambungan kepada keperluan transformasi kecemerlangan dalam Perkhidmatan Perguruan dan dalam memartabatkan profesyen keguruan di samping mengambil kira keunikan fungsi tugas guru, kaedah kenaikan pangkat khususnya time-based perlu diberi nafas baru.

8. Kerajaan mendapati sekarang ini, majoriti guru yang bertungkus lumus di bilik darjah hanya akan mengakhiri perkhidmatan mereka cuma pada Gred DG48 setelah sekian waktu menabur bakti selama 25 tahun. Makanya, kini sampai masanya laluan kerjaya guru ditambah baik demi memastikan mereka yang membentuk modal insan negara diberi pengiktirafan dan ganjaran sewajarnya.

9. Oleh yang demikian, Kerajaan memperkenalkan kaedah baru kenaikan pangkat khusus kepada guru yang terlibat dalam pengajaran dan pembelajaran atau PDP yakni Guru Wibawa dan Pendeta Guru di mana guru akan dikategorikan mengikut empat lapisan jawatan Pertamanya: Guru Biasa, keduanya: Guru Kanan, ketiganya: Guru Wibawa dan keempat: Pendeta Guru. Jelasnya, pewujudan empat lapisan jawatan tersebut akan membolehkan peningkatan ke gred yang lebih tinggi berdasarkan kecemerlangan.

10. Selain itu, melalui konsep Guru Wibawa dan Pendeta Guru ini, laluan kerjaya guru dalam bidang pengajaran dan pembelajaran akan diperluaskan sehingga mencapai ke gred 54 dalam tempoh perkhidmatan 25 tahun dengan memenuhi tahap kecemerlangan serta lain-lain syarat yang ditetapkan Lembaga Kenaikan Pangkat Perkhidmatan Pendidikan.

11. Satu lagi berita baik bagi mereka yang menunjukkan kecemerlangan terkemuka mutunya seperti ditetapkan oleh Lembaga Kenaikan Pangkat Perkhidmatan Pendidikan, mereka boleh mencapai Gred Khas C dan ke atas sebelum bersara. Namun, untuk guru-guru yang tidak dinaikkan pangkat ke Gred Khas, mereka masih berpeluang untuk menikmati Pergerakan Gaji Tahunan. Untuk ini, Kerajaan bersetuju menambahkan lagi jawatan Gred Khas C bagi laluan pengajaran dan pembelajaran sebanyak 100% dengan menambah jumlah sebanyak 72 jawatan berbanding 36 jawatan sedia ada di bawah konsep Guru Wibawa dan Pendeta Guru.

12. Selanjutnya, sebagai membuktikan lagi kesungguhan Kerajaan dalam memartabatkan profesyen keguruan, Kerajaan bersetuju untuk menaikkan gred jawatan semua Pengetua Sekolah Menengah Gred DG48 ke Gred DG52 yang melibatkan 1,228 jawatan. Manakala, semua Guru Penolong Kanan (GPK) Pentadbiran, Hal Ehwal Akademik dan Kokurikulum Sekolah Menengah Gred DG44 dinaikkan ke Gred DG48 akan melibatkan 6,585 jawatan. Seterusnya, semua GPK Pentadbiran, Hal Ehwal Akademik dan Kokurikulum di sekolah rendah Kluster dinaikkan dari Gred DGA32 ke Gred DGA34 yang melibatkan sejumlah 99 jawatan.

13. Khabar gembiranya Insyaallah, tarikh kuat kuasa pelaksanaan semua perubahan yang dinyatakan tadi akan bermula pada 1 hb Januari 2012.

Para guru yang dimuliakan sekalian,

14. Begitulah, betapa pihak kerajaan amat memandang tinggi profesyen keguruan di negara ini. Hakikatnya, setiap seorang daripada kita tidak kiralah sama ada beliau seorang Pemimpin, Pentadbir, Doktor, Peguam, Akauntan, Jurutera, Ahli Sukan atau apa jua pun kerjayanya, telah terasuh dan dibimbing oleh insan yang bernama guru.

Pujangga bermadah:

Guru umpama kandil yang terang menyala,

Suluh cahayanya penerang jalan,

Sepatah kata dijadikan pelajaran,

Segumpal pesan dijadikan pedoman,

Ilmu dicurah mengorak alam terkembang.

15. Akhir kata, mudah-mudahan para guru sekalian terus ikhlas dan bersemangat menabur jasa serta khidmat bakti kepada anak-anak watan demi sebuah Malaysia.

Wabillahi Taufik Walhidayah, Wassalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Sumber : http : //www.mstar.com.my/

ISU BAHASA : Peranan radio memartabatkan bahasa Melayu

Oleh Zainuri Misfar
zainuri@bharian.com.my

SETIAP kali berada di selatan semenanjung Malaysia, iaitu Johor dan beberapa tempat di Melaka, saya tidak akan melepaskan peluang mendengar siaran dua saluran radio bahasa Melayu dari Singapura.

Dua saluran radio itu ialah Ria FM dan Warna FM. Persembahannya tidak banyak beza dengan saluran radio di tanah air kita. Mereka masih menyampaikan maklumat semasa kepada pendengar. Pada masa yang sama, melayan panggilan pendengar dan menyiarkan lagu popular semasa.

Sesuatu yang berbeza agak ketara dengan stesen radio kita adalah penyampai atau juruhebah di kedua-dua saluran itu menggunakan sebutan bahasa Melayu Johor-Riau dengan betul.

Memang kali pertama mendengar bahasa Melayu dalam sebutan baku terasa agak lucu, tetapi lama-kelamaan ia menjadi sedap pula untuk didengar.

Kita juga mendapati juruhebah yang ke udara tidak berasa kekok atau janggal apabila bertutur bahasa Melayu dalam sebutan baku ini.

Walaupun menerima dan melayan panggilan daripada pendengar yang menggunakan bahasa Melayu bercampur aduk dengan bahasa Inggeris, tetapi penyampai atau juruhebah tetap dengan sebutan bahasa Melayu dengan betul. Mereka tidak terikut-ikut atau mempersendakan pendengar.

Sebaliknya boleh kita rasakan pendengar secara tidak langsung terikut-ikut dengan pertuturan bahasa Melayu Johor-Riau yang digunakan oleh juruhebah radio berkenaan.

Bukan saja persembahan, tetapi iklan komersial dan iklan promo dalam Ria FM dan Warna FM juga turut menggunakan sebutan bahasa Melayu baku, jauh sekali bahasa Melayu rojak.

Ria FM dan Warna FM adalah antara 15 stesen radio di bawah Media Corp yang dimiliki oleh Temasek Holdings iaitu organisasi perniagaan dikuasai kerajaan Singapura. Media Corp ialah syarikat media utama yang mengendalikan sembilan stesen TV termasuk HDTV dan Mobile TV, 15 saluran radio, sebuah akhbar dan 18 majalah.

Walaupun mempunyai kepentingan kerajaan, tetapi dua saluran radio berbahasa Melayu di Singapura itu beroperasi secara swasta. Kedua-dua saluran radio ini masih bersaing berebut pendengar tetapi mereka seolah-olah bersatu dalam hal memartabatkan bahasa Melayu.

Di Malaysia, wujud kira-kira 60 saluran radio dan lebih separuh daripadanya beroperasi di bawah Jabatan Penyiaran Malaysia. Selebihnya dikendalikan syarikat swasta. Sama ada swasta atau kerajaan, corak persembahan stesen radio negara kita boleh dikatakan sama saja.

Dalam keghairahan bersaing merebut pendengar, pengendali dan penyampai atau juruhebah radio kita lupa untuk menggunakan sebutan bahasa Melayu yang betul.

Sudah berbuih pemimpin dan menteri berkaitan mengingatkan stesen radio berbahasa Melayu supaya jangan menggunakan bahasa Melayu rojak. Namun, ingatan, saranan dan setiap pesanan itu ibarat masuk telinga kiri, keluar telinga kanan.

Bagi kebanyakan stesen radio ini, khususnya penyampai atau juruhebah, bagaikan tidak sah dan mungkin kedengaran kurang moden kalau tidak menggunakan bahasa Melayu rojak dan lintang pukang. Atau apakah terasa kolot kalau menggunakan bahasa Melayu dengan sebutan yang betul dengan tidak ada langsung campur aduk dengan bahasa lain?

Tidak hilang seri dan kemeriahannya kalau menggunakan bahasa Melayu baku. Mula-mula agak janggal atau kekok, sama ada untuk disebut dan didengar. Tapi kalau digunakan setiap hari, lama kelamaan boleh menjadi kebiasaan.

Sekarang, kita selalu menemui kaum bukan Melayu bertutur bahasa Melayu dengan baik pada sebutan, nahu dan tata bahasanya. Ia lebih baik daripada orang Melayu sendiri. Ini bermakna kalau kaum atau bangsa lain lebih tahu macam mana menggunakan bahasa Melayu dengan betul, tidakkah kita orang Melayu berasa malu kerana cara pertuturan kita yang entah apa-apa?

Lebih memburukkan lagi keadaan apabila stesen radio bahasa Melayu memberikan teladan tidak elok kepada bangsa bukan Melayu kerana menunjukkan pertuturan dan penggunaan bahasa Melayu yang tunggang langgang.

Sejak kebelakangan ini, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyidin Yassin sering kali memberi kenyataan mengenai usaha untuk memantapkan dan memartabatkan bahasa Melayu, bahasa rasmi negara Malaysia seperti mana termaktub dalam Perlembagaan negara kita.

Bagi kita, bukan saja radio bahasa Melayu tetapi saluran radio bahasa Inggeris boleh sama-sama memainkan peranan mendaulatkan bahasa Melayu. Antaranya mewujudkan segmen atau peraduan menterjemahkan ayat bahasa Inggeris kepada bahasa Melayu. Malahan, radio bahasa inggeris ini juga boleh mengadakan ruangan seminit dua bertutur bahasa Melayu.

Ini pastinya bukan saja menarik pendengar aliran inggeris tetapi orang asing yang menetap lama di negara kita tetapi berminat untuk memahami bahasa Melayu.

Kita tidak menafikan pentingnya penguasaan bahasa Inggeris. Namun, bahasa ialah jiwa dan identiti bangsa. Tidak kira apa kaum sekalipun, identiti kita sebagai bangsa Malaysia adalah melalui bahasa, iaitu bahasa Melayu.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU PENDIDIKAN : Tugas guru mendidik, menerapkan akhlak mulia


Oleh HASAN AL-BANNA MOHAMED

DALAM dekad yang mutakhir ini, terlalu banyak dugaan menimpa golongan pekerja termasuk guru yang sering digelar antaranya dengan nama pendidik, pensyarah, tutor, fasilitator, mentor, Murabbi, Muaddib, Musyrif, Mudarris, Mu'allim, Mursyid dan seumpamanya.

Dalam pada itu, sering kali juga, kita mendengar dan melihat di paparan elektronik ataupun media cetak dihebahkan berita-berita sensasi yang berkaitan sektor pendidikan.

Antaranya segelintir pelajar malas belajar, suka tidur dalam kelas, ponteng, gejala samseng yang meruncingkan, berkhalwat, buang bayi, berzina, merempit, merokok serta terlibat dengan penyalahgunaan dadah dan pelbagai lagi kebejatan sosial yang berlaku.

Bukan setakat itu, dugaan yang datang daripada segelintir guru sendiri tidak kurang hebatnya seperti wujud sekelompok guru yang suka meminjam along, malas mengajar, merotan pelajar hingga cedera dan mati, mengalami tekanan mental, merogol anak murid, memberi markah secara timbangan dan sebagainya. Semua cerita berkaitan pelajar dan guru tersebut membawa seribu macam tohmahan dan cacian terhadap profesion perguruan ini.

Sedangkan profesion guru merupakan suatu pekerjaan yang amat mulia di sisi Allah S.W.T. dan banyak hadis Rasulullah S.A.W. yang menyarankan umat manusia untuk menjadi pendidik atau penuntut ilmu yang menabur bakti mengajar orang lain.

Dalam Sirah Nabawiyyah sendiri turut memaparkan konsep dan sistem pengurusan pendidikan yang diajar melalui teknik tersendiri oleh Allah S.W.T. menerusi perantaraan malaikat Jibril a.s. semasa penurunan wahyu pertama 'Iqra' di Gua Hira'. Malah Baginda S.A.W. menegaskan bahawa menuntut ilmu adalah suatu kewajipan bagi setiap individu dan hendaklah diajarkan kepada orang lain walaupun hanya satu ayat.

Tambahan pula ajaran Islam menekankan kelebihan amalan pendidikan dengan meletakkan seseorang yang berilmu pada darjat yang sangat tinggi dan mulia. Maksud firman Allah S.W.T. dalam surah al-Mujadalah, ayat 11 yang bererti : 'Allah akan meninggikan orang yang beriman antara kamu dan juga orang yang diberikan ilmu pengetahuan dengan beberapa darjat (kemuliaan). Dan Allah Maha Mengetahui segala yang kamu kerjakan'. Bukan setakat itu sahaja kelebihannya, jika individu tersebut sedang menuntut ilmu pengetahuan tiba-tiba meninggal dunia, maka beliau dianggap sebagai gugur Syahid. Betapa besar ganjaran yang diperolehi semasa di dunia dan apatah lagi ganjaran yang menantinya pada hari akhirat kelak.

Begitulah hebatnya seseorang yang mempunyai ilmu pengetahuan dan menyampaikannya kepada masyarakat agar sesebuah komuniti tidak dibayangi dengan sifat jahiliyyah atau berada dalam zaman kegelapan. Oleh itu, Islam telah memaparkan konsep menuntut ilmu secara berterusan yang diasaskan oleh junjungan besar nabi Muhammad S.A.W. melalui hadisnya yang masyhur iaitu: 'Tuntutlah ilmu dari buaian sehinggalah ke liang lahad'.

Justeru, sempena Hari Guru pada 2011 ini dengan bertemakan "Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara" memerlukan setiap warga pendidik untuk memperbaharui niat yang ikhlas dalam diri demi memberikan sumbangan terbaik kepada anak bangsa dan mampu melahirkan modal insan yang berkualiti, kreatif serta inovatif bukan sahaja dari aspek material, kognitif, sosial, ekonomi atau komunikasi; akan tetapi yang lebih penting aspek spiritual atau kerohanian.

Menurut Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian, Kementerian Pelajaran, Datuk Isa Abu pada 9 Mei lalu dalam satu rancangan khas TV1 sempena sambutan Hari Guru 2011 Peringkat Kebangsaan bahawa peranan seorang guru terbahagi kepada tiga peranan utama.

Pertamanya, guru hendaklah menyampaikan ilmu pengetahuan kepada anak murid, kedua, mengajar kemahiran-kemahiran dan peranan ketiga yang amat penting adalah menerapkan nilai-nilai dan akhlak mulia dalam diri seorang pelajar.

Lantaran itu, seorang pendidik yang hebat semestinya perlu mempunyai kemahiran mengurus dalam segala aspek duniawi serta ukhrawi secara sempurna mengikut sistem pengurusan yang disarankan oleh ajaran Islam.

Sememangnya tidak boleh dinafikan bahawa sistem pengurusan Islam perlu dijadikan satu budaya kerja seharian yang sebati dalam diri setiap individu pendidik bagi mengurus para pelajarnya ataupun dalam urusan pengajaran, pembelajaran dan pentadbiran organisasi atau di institusi pendidikan itu sendiri.

Sistem pengurusan Islam amat berbeza sekali dengan sistem lain. Hal ini kerana ia berpaksikan kepada konsep Tawhidik iaitu keyakinan yang sebenar kepada Tuhan yang Maha Pencipta dan Maha Esa serta kepercayaan sepenuhnya kepada junjungan Nabi Muhammad S.A.W. sebagai pesuruh Allah S.W.T. Malah, menerusi konsep Rabbaniyyah dan Uluhiyyah yang diimani oleh seseorang Muslim, turut akan melahirkan tenaga kerja yang mampu mengurus segala urusan pentadbiran dengan menjadikan sebagai satu ibadat yang murni dengan niat yang suci semata-mata kerana Allah S.W.T.

Rentetan itu, Islam telah membawa nilai Itqaan (kesempurnaan) sebagai salah satu prinsip dalam sistem pengurusan dan pentadbiran yang efisien dan efektif.

Nilai Itqaan hendaklah dijadikan sebagai satu nilai wajib dalam diri setiap pendidik agar dapat menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan dengan penuh akauntabiliti dan berintegriti tinggi. Tambahan pula nilai Itqaan sememangnya dapat dijadikan sebagai budaya kerja berkualiti bagi merealisasikan segala hasrat atau pelan transformasi pihak kerajaan demi mencapai gagasan dan wawasan yang dicita-citakan.

Nilai Itqaan telah pun diterangkan oleh junjungan besar nabi Muhammad S.A.W. menerusi hadisnya yang diriwayatkan oleh Saidatina Aisyah r.a. yang berkata: "Sesungguhnya Rasulullah S.A.W. pernah bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah menyukai sekiranya seseorang melakukan sesuatu perbuatan secara Itqaan atau bersungguh-sungguh (sempurna)" (Riwayat al-Baihaqi).

Jelaslah bahawa sistem pengurusan Islam yang berpaksikan konsep Tawhidik dengan nilai tambahan budaya Itqaan sudah semestinya melahirkan setiap warga pendidik sentiasa berpuas hati dan gembira dengan profesion mereka demi mendidik anak bangsa seikhlas hati agar menjadi manusia berjasa kepada agama, bangsa dan negara tercinta.

Tugas guru bukan hanya mencurahkan segala bakti kepada para pelajarnya menjadi manusia cemerlang dalam bidang akademik, namun yang lebih penting adalah guru itu berupaya mengurus aktiviti pengajaran dan pembelajaran berasaskan sistem pengurusan yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah S.A.W. sebagai seorang idola sepanjang zaman yang membawa rahmat sekalian alam. Firman Allah S.W.T. dalam Surah al-Anbiya', ayat 107 yang bermaksud : 'Dan tidak Kami utuskan Kamu (Muhammad) melainkan sebagai rahmat (kesejahteraan) bagi semesta alam'.

HASAN AL-BANNA MOHAMED ialah Pensyarah Kanan, Jabatan Pengurusan Sumber Manusia, Fakulti Pengajian dan Pengurusan Pertahanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/