Ahad, 8 April 2012

ISU ANTARABANGSA : ‘Bom jangka’ di selatan Thailand


Zulkiflee Bakar

SEBELUM ini konflik di selatan Thailand tidak begitu diberi perhatian kerana ia hanya berlegar di sekitar Pattani, Narathiwat dan Yala.

Ketiga-tiga wilayah yang majoriti penduduknya beragama Islam tidak pernah sunyi dengan peristiwa serangan hendap dan letupan bom.

Boleh dikatakan setiap hari ada sahaja nyawa yang melayang atau ada tubuh yang cedera. Ini belum lagi termasuk harta benda yang musnah akibat serangan bom. Justeru penduduk-penduduk Islam di selatan Thailand bagaikan hidup dengan dikelilingi dengan bom jangka.

Apa yang merimaskan, mereka tidak tahu bilakah ‘bom ’ itu akan meletup, di manakah ia ditempatkan dan siapa yang bakal menjadi mangsa.

Tetapi apa yang pasti, apabila ia meletup, kebanyakan mangsa adalah insan-insan yang tidak berdosa termasuklah penduduk kampung yang keluar mencari rezeki di waktu dinihari.

Untuk mencari jawapan mudah siapa yang bertanggungjawab, pihak berkuasa menuding jari kepada puak pemisah yang dikatakan masih meneruskan perjuangan mereka untuk mewujudkan Pattani Darussalam.

Berikutan itu, serangan bom di selatan Thailand dianggap perkara biasa dalam sebuah wilayah yang bergolak tetapi apabila ia berlaku di luar wilayah berkenaan seperti mana di Hatyai pada akhir bulan lalu ia menimbulkan persoalan.

Antaranya, apakah puak pemisah benar-benar sudah begitu hebat sehingga mampu mencipta satu serangan yang mengejutkan dunia? Ia kerana bukan sahaja Hatyai menjadi sasaran, malahan Yala juga turut menjadi ‘mangsa’.

Selepas kejadian yang menggemparkan itu, media massa melaporkan bahawa pihak berkuasa Thailand dalam tempoh yang singkat mampu mencari dalang serangan di kedua-dua daerah berkenaan.

Namun begitu, persoalan yang bermain di fikiran banyak pihak termasuk di kalangan rakyat Thailand sendiri, adakah dengan penahanan mereka yang didakwa terlibat dapat menjamin kejadian yang sama tidak akan berulang?

Sememangnya, kita tidak menafikan bahawa kerajaan Thailand sentiasa berusaha menyelesaikan kemelut di wilayah selatan negara itu, namun sehingga kini ia masih menemui jalan buntu.

Keadaan sedemikian dikatakan berlaku memandangkan, puak pemisah yang sering dikaitkan dengan keganasan di wilayah berkenaan, bukan hanya satu kelompok tetapi terdiri daripada pelbagai kelompok. Malah ada yang percaya kejadian yang berlaku mempunyai kaitan dengan tindakan pihak berkuasa Thailand berunding dengan kumpulan militan yang salah.

“Akibatnya, kumpulan yang sepatutnya ditemui oleh pihak berkuasa Thailand bertindak melancarkan serangan sebagai amaran bahawa mereka adalah benar-benar berkuasa dan masih wujud”, kata satu sumber keselamatan kepada penulis.

Sumber itu juga turut memberikan kepada penulis terjemahan kenyataan oleh sebuah kumpulan pemisah mengenai tragedi terbaru tersebut.

Antara lain, dalam blog Pattanikini yang berslogankan ‘Mempertahankan hak Melayu dan Ketuanan Islam’, kumpulan berkenaan mendakwa serangan bom yang berlaku perlu menyedarkan pihak berkuasa Thailand bahawa pejuang-pejuang yang menuntut kemerdekaan Pattani masih belum tumpul semangat walaupun sebilangan besar pemimpin yang letih telah mula mencari alternatif lain.

Sehubungan itu mereka menuntut supaya tiga pihak utama di Thailand bersatu menyelesaikan masalah Pattani iaitu pihak Istana Thailand yang diketuai oleh Penasihat Raja, Prem Tisulonda, tentera dan golongan politik yang menguasai Parlimen.

Jika kita mengkaji blog-blog yang dikuasai oleh kumpulan pemisah, adalah jelas perasaan curiga mereka terhadap keikhlasan kerajaan Thailand menyelesaikan konflik di selatan Thailand masih lagi menebal. Ia diburukkan lagi bila mana diketahui ada pihak berwajib di Thailand telah mengadakan perbincangan dengan kumpulan yang salah seperti didakwa oleh pihak tentera negara itu, yang juga tidak berpuas hati dengan usaha-usaha rundingan yang sedemikian.

Apa pun, konflik di selatan Thailand itu tidak boleh dibiarkan berterusan. Dalam soal ini, komitmen Malaysia untuk membantu dikatakan amat diperlukan.

Tindakan Kerajaan Malaysia mewujudkan Task Force 2010 (Malaysia) yang bekerjasama dengan Task Force 960 (Thailand) telah banyak membantu. Jumlah serangan dan kematian ketika era kedua-dua Task Force tersebut turun mendadak. Pendekatan berhemah yang digunakan oleh kedua-dua Task Force telah berjaya menambat hati masyarakat di selatan Thailand untuk menolak keganasan.

Pihak-pihak berkaitan berjaya diberi pemahaman, betapa pentingnya keamanan bagi membolehkan wilayah tersebut menikmati kestabilan dan pembangunan di Pattani, Narathiwat dan Yala.

Komitmen

Ketika diminta mengulas peranan Malaysia ini, bekas Ketua Pengarah Task Force 2010 (Malaysia), Leftenan Jeneral (B) Tan Sri Wan Abu Bakar Omar berkata, kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa penyelesaian konflik di selatan Thailand memerlukan komitmen politik adalah amat tepat.

‘Kejadian terbaru sudah membuktikan bahawa konflik di wilayah berkenaan sudah sampai ke tahap kritikal, oleh itu amat kena pada ketikanya, Malaysia sebagai negara jiran terdekat menghulurkan bantuan yang sebaik mungkin,’’ katanya kepada Mingguan Malaysia.

Dalam soal ini, kata beliau yang juga bekas Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan, masyarakat selatan Thailand amat menghormati dan mengharapkan Malaysia melakukan sesuatu bagi membantu meredakan keadaan.

‘‘Sememangnya usaha untuk meredakan konflik di selatan Thailand adalah amat sukar, tetapi ia tidak mustahil. Yang penting kesemua pihak yang terlibat hendaklah ikhlas dan memberikan komitmen secara menyeluruh,’’ katanya.

Beliau berkata, dahulu pun pada mulanya, Task Force 2010 (Malaysia) menghadapi kesukaran untuk memahami, mendalami dan menghayati krisis di selatan Thailand sama ada dari perspektif kumpulan pemisah mahupun kerajaan Thailand.

‘‘Akan tetapi dengan kesungguhan serta adanya kerjasama yang erat di antara kedua-dua Task Force, keyakinan serta kepercayaan daripada pihak-pihak yang terlibat telah berjaya diperolehi”, katanya.

Wan Abu Bakar berkata, satu saluran komunikasi yang mampu diterima oleh pihak-pihak terlibat perlu diwujudkan.

Kesepakatan bersama menyelesaikan masalah mesti ada dan amat penting untuk pihak tentera sendiri ikhlas serta komited dalam usaha berkenaan.

Tambahnya lagi, “kebimbangan saya, jika sekiranya kemelut di selatan Thailand ini berterusan, ia boleh merebak menyerupai beberapa krisis kritikal seperti di Iraq, Pakistan, Palestin dan lain-lain.

‘‘ Apabila sampai kepada tahap sedemikian, semua pihak akan menanggung kerugian, kerana ia boleh menjejaskan keadaan keselamatan, ekonomi dan politik serantau,”.

Justeru bagi Wan Abu Bakar, beliau mencadangkan agar kerajaan Malaysia dan Thailand mewujudkan semula agensi yang berperanan seperti yang telah dilaksanakan oleh Task Force 2010 (Malaysia) dan Task Force 960 (Thailand).

“Perlu ada agensi khusus bagi melaksanakan tanggungjawab ini dan bukannya dibuat secara sambilan, apatah lagi sampingan oleh beberapa buah agensi. Jika ini dilakukan, sudah pasti usaha Malaysia turut sama menyumbang ke arah membawa keamanan ke selatan Thailand akan lebih mudah tercapai”, katanya.

Sememangnya kita tidak pasti bilakah konflik di selatan Thailand akan berakhir tetapi apa yang nyata ia tidak menguntungkan mana-mana juga pihak sama ada pihak berkuasa Thailand mahupun puak pemisah.

Sebaliknya yang menanggung kesengsaraan dan penderitaan ialah masyarakat umum di wilayah berkenaan. Mereka bagaikan sekumpulan pelanduk yang mati di tengah-tengah akibat gajah bertembung sesama gajah.

Oleh itu jika kedua-dua pihak benar-benar ikhlas mereka perlu mencari penyelesaian terbaik dalam memastikan wilayah selatan Thailand tidak terus menjadi ibarat ‘bom jangka’ yang sukar dimatikan.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU KENEGARAAN : Keunggulan sistem beraja di dunia


Oleh : Zin Mahmud

Hari Rabu ini Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah akan ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14 dan Tuanku Hajah Haminah sebagai Raja Permaisuri Agong.

Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ini adalah acara paling penting bagi Malaysia kerana jawatan Seri Paduka itu adalah sebagai ketua negara.

Ia merupakan kedudukan tertinggi di negara ini dalam amalan sistem raja berperlembagaan dan demokrasi berparlimen.

Malaysia adalah salah satu daripada 43 negara di dunia yang mengamalkan sistem beraja.

Setiap negara mempunyai kaedah masing-masing dalam mengamalkan sistem beraja. Daripada 43 negara itu, 36 mengamalkan sistem raja berperlembagaan. Sementara lima negara mengamalkan sistem beraja kuasa mutlak, dan dua lagi adalah campuran, iaitu mutlak dan berperlembagaan.

Dua negara yang mengamalkan sistem beraja campuran mutlak dan berperlembagaan ialah Bahrain dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Sementara negara yang mengamalkan sistem raja berkuasa mutlak ialah Brunei, Oman, Qatar, Arab Saudi dan Swaziland.

Dalam sejarah manusia, semua bangsa dan negara asalnya mengamalkan sistem raja berkuasa mutlak. Tetapi apabila berlaku kesedaran demokrasi, maka banyak negara memilih untuk mengamalkan sistem raja berperlembagaan di mana kuasa raja disusun supaya turut sampai kepada rakyat melalui perlembagaan.

Selain Malaysia, negara-negara yang mengamalkan sistem raja berperlembagaan ialah Andorra, Antigua and Barbuda, Australia, Bahamas, Barbados, Belgium, Belize, Bhutan, Kemboja, Kanada, Denmark, Grenada, Jamaica, Jepun, Jordan, Kuwait, Lesotho, Liechtenstein, Luxembourg, Monaco, Maghribi, Belanda, New Zealand, Norway, Papua New Guinea, St Kitts and Nevis, St Lucia, St Vincent and Grenadines, Solomon Islands, Sepanyol, Sweden, Thailand, Tuvalu dan Britain.

Apabila melihat negara-negara yang mengamalkan sistem raja berperlembagaan, maka dapat disaksikan betapa ia terdiri daripada pelbagai jenis negara. Ia tidak mengira rumpun bangsa, agama, benua, saiz dan kedudukan ekonomi.

Berkongsi

Tetapi apa yang ketara ialah terdapat beberapa negara di dunia yang berkongsi seorang raja. Raja atau ratu yang dimaksudkan ialah Ratu Elizabeth II.

Baginda menjadi ratu bukan saja bagi United Kingdom tetapi bagi 15 negara Komanwel yang lain. Negara-negara itu ialah Antigua and Barbuda, Australia, Bahamas, Barbados, Belize, Kanada, Grenada, Jamaica, New Zealand, St Kitts and Nevis, St Vincent and the Geradines, Solomon Islands dan Tuvalu.

Apa yang diamalkan oleh 16 negara Komanwel yang beratukan Ratu Elizabeth II itu adalah kebalikan dengan sistem raja berperlembagaan Malaysia di mana di negara ini, terdapat sembilan orang raja yang secara bergiliran dan pilihan oleh Majlis Raja-Raja Melayu menjadi Yang di-Pertuan Agong.

Raja-raja Melayu mempunyai tradisi dan sejarahnya tersendiri yang boleh dicari susur galur jati dirinya hingga ke zaman silam, bukan saja pada zaman Kesultanan Melaka, malah hingga ke kerajaan Melayu Sri Wijaya.

Tetapi setiap Raja-raja Melayu mempunyai kerajaannya sendiri dengan latar belakang sejarah masing-masing yang berbeza-beza dan unik.

Pada zaman moden ini, terdapat 10 Raja Melayu yang memerintah dan berdaulat di negeri masing-masing.

Raja-raja Melayu mempunyai ciri-ciri tertentu dari segi adat istiadat yang boleh dilihat unik tetapi mempunyai kaitan di antara satu sama lain.

Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah adalah satu-satunya raja Melayu yang memerintah sebuah negara yang berdaulat dengan sendiri.

Sementara sembilan lagi Raja Melayu yang berdaulat di negeri-negeri Johor, Negeri Sembilan, Pahang, Selangor, Perak, Kedah, Terengganu, Kelantan dan Perlis bergabung dalam Persekutuan Malaysia.

Salah seorang daripada mereka menjadi Yang di-Pertuan Agong mewakili Raja-raja Melayu yang lain untuk menjadi ketua negara Malaysia meliputi negeri-negeri yang tiada raja iaitu Melaka, Pulau Pinang, Sarawak dan Sabah.

Dengan pertabalan Sultan Kedah sebagai Yang di-Pertuan Agong hari Rabu ini, Malaysia menjadi negara paling terkini mempunyai seorang raja baharu. Tuanku Abdul Halim menjadi Sultan Kedah yang ke-28 sejak tahun 1958 dan pernah menjadi Yang di-Pertuan Agong kelima pada tahun 1970 hingga 1975.

Raja paling lama yang masih memerintah di dunia ialah Raja Bhumipol Adulyadej yang menaiki takhta Thailand pada tahun 1946.

Dalam sistem beraja, hubungan ketua negara dengan agama negara adalah rapat.

Selain Malaysia, negara-negara Islam lain yang mengamalkan sistem beraja ialah Brunei, Jordan, Kuwait, Maghribi, Qatar, Arab Saudi dan UAE.

Negara-negara Jordan, Kuwait, Maghribi, Qatar, Arab Saudi dan UAE pernah berada dalam pemerintahan Khilafah Uthmaniah, Abasiah dan Umayah. Apabila khilafah-khilafah itu tumbang, maka muncul kerajaan-kerajaan Islam baru menggantikan mereka di wilayah masing-masing.

Malaysia dan Brunei pada satu masa pernah berada dalam kedaulatan Kesultanan Melaka. Walaupun kemudian penjajah datang, tetapi kedaulatan Raja-raja Melayu terus wujud dan terserlah selepas negara mencapai kemerdekaan.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/