KUALA LUMPUR -
Penguatkuasaan bagi menangani masalah buli dan kelakuan ganas dalam kalangan
pelajar dan remaja di negara ini perlu diperketatkan lagi berikutan kekerapan
kes itu berlaku pada masa ini.
Pensyarah Pusat
Pengajian Psikologi dan Pembangunan Manusia, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Madya Dr Romzi
Ismail berkata, peringatan terhadap kesan negatif gejala itu perlu kerap
dimaklumkan kepada pelajar bagi menghindarkan mereka daripada cenderung
melakukan jenayah tersebut.
"Pihak
sekolah atau institusi pengajian, ibu bapa dan pelajar perlu melihat kembali
modul-modul sedia ada bagi mengetahui punca gejala itu berlaku dan mencari
jalan penyelesaian," katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Beliau berkata,
pihak bertanggungjawab perlu melakukan intervensi terhadap gejala buli agar
mereka yang terlibat dalam kelakuan itu dibawa ke muka pengadilan.
"Program
seperti aktiviti pembimbing rakan sebaya dan sesi kaunseling dapat membantu memupuk
kesedaran dalam diri pelajar, selain
pemantauan dari segi emosi dan akademik," katanya.
Beliau berkata,
kaedah 'role-play' atau lakonan peranan juga boleh dipraktikkan bagi menyelami
perasaan individu yang menjadi mangsa buli dan memberi pengajaran kepada mereka
agar tidak melakukan keganasan yang sama.
Romzi berkata,
dari sudut psikologi, kejadian buli berlaku disebabkan pembuli dan mangsa buli
mengalami masalah mengenali diri sendiri.
Beliau berkata,
kebiasaannya mangsa buli merasakan diri mereka lemah, tidak mempunyai kawan,
sering memendam perasaan serta tidak berkongsi cerita dengan orang lain
menyebabkan mereka rasa terasing daripada kelompok komuniti.
Bagi si pembuli
pula, katanya golongan itu sebenarnya tidak mempunyai keyakinan diri,
menunjukkan kekuatan bagi melindungi kelemahan mereka dan ada di antara mereka
mempunyai pengalaman hitam menjadi mangsa buli atau keganasan lain yang
menyebabkan mereka bertindak sedemikian.
Presiden Kesatuan
Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung (NUTP), Hashim Adnan pula
berpendapat, usaha menangani isu ini harus giat diteruskan dan tidak boleh
dipandang mudah oleh semua pihak.
Hashim berkata,
antara punca masalah keganasan itu berlaku adalah disebabkan pelajar atau
remaja cepat merasa bosan dan mengisi masa terluang dengan aktiviti negatif.
"Gejala buli
dapat dibendung jika diisi dengan aktiviti bermanfaat seperti kem motivasi dan
jati diri bagi mengeratkan hubungan di antara pelajar.
"Pengisian
kerohanian dalam diri pelajar seperti pendidikan keagamaan dan moral juga
penting bagi menggalakkan pelajar berkelakuan baik serta saling
hormat-menghormati," ujar beliau. - Bernama