Isnin, 31 Ogos 2009

Sambut merdeka dengan keinsafan

TAHUN ini sekali lagi kita menyambut kemerdekaan negara kali ke 52.

Satu tarikh yang bersejarah dimana negara dibebaskan daripada penjajah inggeris satu ketika dulu.

Kemerdekaan negara adalah satu nikmat yang amat disyukuri atas hasil usaha para pentadbir, pengurus, ulama, para ilmuwan dan para pahlawan yang berjuang demi masa depan bangsa dan tanahair.

Setiap titisan darah dan air mata perjuangan yang ditabur oleh mereka tidak harus kita lupakan kerana dengan perjuangan inilah memungkinkan kemerdekaan negara yang kita nikmati ini berjaya diperolehi.

Itulah sejarah yang tidak boleh dipadam daripada ingatan anak bangsa pada hari ini kerana perjuangan generasi terdahulu harus dijadikan iktibar bagi kita generasi hari ini untuk dipertahankan.

Jika aspirasi perjuangan orang-orang terdahulu tidak diambil peduli maka generasi hari tidak akan sekali merasai akan nikmat merdeka dengan sepenuhnya.

Inilah hakikat yang harus dibentuk semoga perjuangan bersejarah tidak akan padam dibenak hati generasi pada hari ini.

Ada ungkapan yang menyebut memerdekakan negara adalah satu perjuangan bermakna dan besar dalam konteks kehidupan.

Pun begitu juga dari sudut agama ianya adalah satu jihad yang besar dimana membebaskan insan daripada elemen penjajahan yang mana jika tidak dilakukan akan membantutkan perjuangan mengangkat maruah bangsa, agama dan tanahair untuk tempoh jangka panjang.

Namun daripada itu cabaran yang jauh lebih besar pada hari ini dalam konteks kemerdekaan adalah bagaimana untuk kita mengisi erti kemerdekaan dan mempertahankannya dengan sepenuh hati dan jiwa raga.

Inilah asas perjuangan yang mesti ditabur dan dibentuk dikalangan generasi hari ini bagaimana harus sama-sama berjuang untuk mengisi erti kemerdekaan dan perjuangan orang terdahulu selain mempertahankannya daripada anasir yang menganggu dan menggoyahkannya.

Perjuangan mengisi kemerdekaan memerlukan jatidiri yang sangat besar kerana perubahan zaman sedikit sebanyak memerlukan golongan yang bukan sahaja kental jasad dan mental namun memerlukan jiwa dan ruh yang padu demi mempertahankan maruah negara.

Mengisi erti kemerdekaan haruslah didahului dengan memahamkan generasi muda akan perjuangan membebaskan negara daripada penjajahan.

Maknanya pembebasan ini membawa maksud bebas kebendaan, ertinya puak penjajah keluar daripada elemen menjajah negara dan dalam masa yang sama bebas daripada cengkaman idea dan pemahaman serta ideologi.

Cabaran kebebasan dalam ertikata merdeka daripada ideologi penjajah ini yang mesti dirungkai dan difahami secara tuntas agar generasi muda yang lahir selepas kemerdekaan dapat memahami dan mensyukuri kemerdekaan itu.

Yang menjadi momokan pada hari ini erti merdeka kita adalah bebas daripada inggeris, bebas untuk mentadbir negara dan sebagainya, namun apakah kita bebas daripada cengkaman ideologi penjajah, atau kita hanya bebas daripada jasadiah namun minda dan pemikiran masih ditakuk yang lama.

Inilah aspirasi mengisi kemerdekaan. Dalam pada itu juga bagi memastikan generasi muda memahami makna kemerdekaan mereka harus diberi maksud yang jelas apakah itu merdeka dalam diri.

Jika merdeka yang ingin ditanam sekadar menyemak sejarah tanpa diberi makna baru, maka generasi muda tidak akan mampu bersaing dengan kemajuan.

Sememangnya sejarah harus dibuka dan dipamer sebagai pengajaran untuk generasi akan datang namun tidak cukup dengan tatapan sejarah, persoalan penting bagaimana mengolah dan menjelaskan kebenaran sejarah kepada anak bangsa.

Jangan dimomok dengan peristiwa dan sejarah yang dangkal dan mengenepikan kebenaran hakikat kemerdekaan.

Hari ini kita lihat sejarah kemerdekaan hanya menampilkan kejayaan dan usaha-usaha dikalangan para pentadbir, ahli politik yang berjuang membebaskan negara dari penjajah.

Amat sedikit sekali kita melihat huraian sejarah bagaimana peranan ulama, sekolah pondok, kesedaran agama dikalangan masyarakat juga turut menjadi penyumbang kepada kesedaran rakyat tentang semangat kemerdekaan.

Hakikat merdeka juga tidak harus dipolitikkan. Bahawa merdeka yang kita perolehi ini adalah perjuangan pihak-pihak tertentu sahaja dan menafikan pihak-pihak yang lain.

Bagi memastikan generasi muda menghayati erti kemerdekaan , upaya memahami sumbangan mereka juga harus diketengahkan.

Konsep kemerdekaan tidak harus dijadikan faktor musiman. Bila datang musim dan bulan kemerdekaan sahaja kita membangkitkan soal perjuangan kemerdekaan.

Usaha meningkatkan upaya memahami tanggungjawab kepada bangsa dan negara juga harus diberi keutamaan.

Generasi muda harus diberi kefahaman secara menyeluruh melalui peringkat sekolah tentang apakah peranan mereka dalam mengisi dan mempertahankan kemerdekaan.

Umumnya memahami bahawa bila mana datang tarikh bersejarah 31 ogos maka semua rakyat akan diingatkan dengan tarikh keramat tersebut.

Namun bagaimana bentuk sambutan, pengisian yang dibentang kepada rakyat benar-benar boleh membentuk kesedaran terhadap ingatan kemerdekaan.

Bila mana sambutan merdeka dilakukan semata-mata dengan mengibar bendera jalur gemilang, menyanyi lagi merdeka sudah cukup bahawa generasi telah faham erti merdeka?

Apakah dengan program-program umum yang dianjurkan oleh pihak kerajaan mahu pun NGO tentang sambutan merdeka boleh melahirkan cinta dan kasih pada negara.

Inilah persoalan yang harus dilihat demi memastikan sambutan merdeka memberi makna yang amat mendalam dalam jiwa anak-anak muda generasi hari ini.

Seperkara lagi dalam membahaskan isu kemerdekaan ini, kita harus melihat dari sudut agama.

Agama juga memberi sumbangan besar dalam mewujudkan kesedaran bebas dari kongkongan dan batasan hidup.

Apakah merdeka nya kita daripada penjajah inggeris itu telah memberi satu dimensi baru bahawa kita benar-benar merdeka dari sudut agama khususnya orang-orang Islam.

Ini antara persoalan yang harus dikembangkan kerana generasi muda hari ini sentiasa akan mengaitkan persoalan kemerdekaan dengan agama dan kefahaman.

Sejauhmana menyambut kemerdekaan itu satu tuntutan yang selari dengan ajaran agama.

Apakah dengan mengibarkan bendera itu benar merupakan penjelmaan kasihnya kita kepada negara?

Kasih dan cinta kepada negara adalah separuh daripada iman.

Apakah golongan muda pasca merdeka benar-benar menghayati maksud hadis ini.

Apakah modul-modul yang dipakejkan bagi merangsang minda generasi muda dengan elemen jiwa merdeka dengan semangat cintakan negara?

Inilah cabaran kita dalam membentuk generasi pasca merdeka agar kesedaran ini tidak akan hanya jadi siulan, perayaan dan pesta semata-mata dalam pada itu generasi muda lupa akan falsafah dan dasar perjuangan kemerdekaan sebenar.

HASRI HARUN

Penulis adalah Presiden, Kumpulan Pengkajian Islam Malaysia ( Malaysian Islamic Study Group) Angkatan Belia Islam Malaysia UK-Eire

Sumber :http://mstar.com.my/

Sudahkah kita cukup patriotik dan nasionalis?

USIA 52 tahun bagi seorang kakitangan awam, adalah petunjuk bahawa usia persaraan kian hampir tiba. Namun bagi sebuah negara bangsa seperti Malaysia, 52 tahun usia merdeka, adalah petunjuk bahawa masih banyak usaha perlu dilestarikan.

Negara sebagai sebuah entiti berdaulat tidak boleh bersara daripada melaksanakan tiga fungsi asasinya. Pertama melindungi keselamatan wilayah dan rakyatnya.

Kedua, menjamin dan merealisasikan hak sivil warganya, dan ketiga, memberi identiti serta membina semangat kekitaan kepada penduduknya. Rakyat tanpa negara, ibarat warga Palestin, yang diusir ke sana ke mari. Negara tanpa rakyat, adalah satu ruang kosong yang tidak memberi apa-apa makna.

Justeru, sebagai rakyat Malaysia kita cukup beruntung. Bertuah dalam erti kata, sudah banyak modenisasi, urbanisasi, dan kejayaan demi kejayaan yang kita kecapi.

Kita juga bertuah kerana kemerdekaan kali ke-52 tahun ini disambut dalam bulan Ramadan, bulan penuh barakhah yang dijanjikan Allah pelbagai ganjaran pahala bagi segala amal kebaikan, yang kita jayakan.

Tempoh 446 tahun usia negara dijajah, oleh pelbagai kuasa asing, hak rakyat dirampas, masyarakatnya dipecah perintah, landskap sosio-budaya diubah, ekonomi diperah, kita menjadi hamba di bumi sendiri.

Ini bahana akibat penjajahan. Ini kesan bila perpaduan tidak dipedulikan sebaliknya persengketaan jadi keutamaan. Ingatlah kembali sebab-musabab Perjanjian Pangkor pada Januari 1874 ditandatangani.

Ingatlah kembali bagaimana dengan tipu daya British dan atas nama kemanusiaan dan usaha mengamankan negeri, British mampu mentadbir negeri ini melalui peranan Residennya.

Hasil mahsul bumi diperah, kekayaan negara diratah, tidak cukup dengan itu, bagi memenuhi tembolok dan perut penjajah, dan kononnya atas dasar rakyat pribumi malas bekerja, maka ramai imigran dibawa masuk pada penghujung kurun ke-19 dan awal kurun ke-20 untuk bekerja di ladang getah dan lombong bijih timah.

Bukan itu sahaja, sejarah negara ditulis semula, nama bandar, jalan, empayar Melayu diubah secara semborono, lalu dijustifikasikan kononnya pemodenan yang berlaku adalah hasil buah tangan penjajah dan kaum pendatang.

Walhal, kaum pribumi tidak diberi peluang yang wajar, jika dibina sekolah sekalipun, sekadar bertujuan ibarat melepaskan batu di tangga. Tidak lebih semata-mata mahu menjadikan anak-anak Melayu belajar menjadi petani, peladang atau nelayan yang lebih baik sedikit daripada keturunan mereka.

Semenjak merdeka, begitu banyak perubahan. Sebut apa sahaja, baik ekonomi, pembangunan politik, kesejahteraan sosial, dipacu oleh kerajaan yang dipilih rakyat. Pelbagai dasar dirangka, program dilaksana, semuanya bermatlamat untuk memenuhi keperluan rakyat.

Mengutamakan rakyat, supaya igauan penindasan secara halus, langsung mahupun tidak langsung yang dialami oleh generasi terdahulu tidak berulang menimpa generasi kini.

Lantaran itu, setiap warga Malaysia harus bertanya diri sendiri. Sudah cukup patriotikkah kita? Adakah kita faham akan susah payah, pengorbanan pimpinan, pejuang terdahulu memerdekakan negara?

Apakah pengertian dan makna Merdeka di sanubari kita? Apakah cuti Merdeka diingati sekadar satu cuti umum, melihat perarakan, berlibur ataupun tidak lebih daripada hari-hari biasa yang kita lalui.

Sama seperti Ramadan, yang ibadahnya kita jalani, adakah puasa hanya sekadar menahan lapar dan dahaga, sedangkan mata, telinga, hati kita, nafsu kita, niat kita tidak berpuasa dalam erti kata sebenarnya.

Siang kita berpuasa, namun malam harinya kita asyik bercerita perihal keburukan orang. Siang kita berpuasa, namun dalam masa yang sama timbul niat tidak baik kepada saudara seagama kita.

Siang kita berpuasa, namun malamnya kita tidak mengimarahkan masjid atau surau, memperbanyakkan tadarus al-Quran, berqiamulail, beriktikaf dan berusaha menghubung silaturrahim, sebaliknya sibuk berpesta membeli belah, akibat gamitan promosi Hari Raya yang entah apa-apa.

Siang kita berpuasa, namun kita kikir untuk bersedekah, sebaliknya membazir ketika berbuka. Kita remehkan anak yatim, ibu tunggal dan fakir miskin.

Bantuan diberi kita alunkan dengan liputan media secara besar-besaran, walhal konsep sedekah dalam erti kata yang sebenarnya, 'tangan kanan yang memberi, tangan kiri pun tidak akan sedar perihal pemberian tersebut'.

Demikian juga darihal Merdeka, jika pengertian Ramadan hakiki mahu diserapkan dalam usaha menghayati Merdeka di bulan Puasa. Patriotik dan nasionaliskah kita, jika kita asyik menyatakan keburukan kerajaan yang selama ini menjaga keselamatan dan kebajikan kita?

Patriotik dan nasionaliskah kita jika kerajaan yang selama ini membantu menjayakan agenda pendidikan anak-anak kita dituduh dengan pelbagai tohmahan dan kata nista yang tiada kesudahannya?

Patriotik dan nasionaliskah kita, jika hanya kerana berebut kuasa politik, saudara seagama kita kafirkan, rakyat kita peralatkan, agama jadi mainan dan keamanan jadi taruhan.

Patriotik dan nasionaliskah kita, jika amanah yang diberi pada kita dijadikan laluan untuk berlaku rasuah dan salah guna kuasa? Patriotik dan nasionaliskah kita jika kekayaan yang kita perolehi berkat dinamisme dasar kerajaan, namun akhirnya dengan kekayaan yang kita ada digunakan pula untuk meruntuhkan tamadun yang sedia ada?

Patriotik dan nasionaliskah kita jika kita asyik merungut itu dan ini, mengharapkan kerajaan memberi itu dan ini, sedangkan kita sendiri sebagai warganegara tidak pernah ataupun masih kurang dalam mewakafkan diri kita dalam usaha berkorban untuk negara.

Jika kesemua persoalan ini mampu dijawab, difahami, dimuhasabahkan, dipraktik secara jujur dan ikhlas, barulah rahmat Merdeka di bulan Ramadan yang mulia ini mampu menyerlahkan barakahnya.

Biarlah seluruh rakyat Malaysia dapat hidup sebagai satu bangsa, satu suara, satu hasrat, Satu Malaysia dengan mengutamakan perpaduan, kemajuan, keharmonian dan kemajuan berterusan.

SOBRI SUDIN

Alor Setar, Kedah

Sumber : http://www.utusan.com.my/

Jangan sekadar laung 'merdeka'

Oleh ZULKIFLEE BAKAR
pengarang@utusan.com.my

''Saya memantau banyak Facebook status sepanjang minggu ini dan apa yang saya dapati agak menakutkan. Sebahagian anak muda Melayu, bukan sekadar berbeza pendapat dengan pemimpin negara malah ada di antaranya yang menunjukkan kebencian kepada negara, Jalur Gemilang dan sambutan Hari Kemerdekaan itu sendiri. Saya fikir ini cukup berbahaya."

Demikianlah bunyi sebahagian Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) yang diterima oleh seorang menteri kanan menjelang detik 12 tengah malam, 31 Ogos iaitu ketika negara di ambang menyambut ulang tahun kemerdekaan ke-52 semalam.

SMS itu sudah menunjukkan dengan jelas betapa erti dan nilai kemerdekaan yang sebelum ini begitu disanjung oleh generasi-generasi sebelum merdeka semakin terhakis di kalangan generasi muda.

Bagi sebahagian golongan muda kemerdekaan bererti kebebasan dengan berkumpul di tempat-tempat di mana ambang kemerdekaan akan disambut hatta biarpun di bulan Ramadan.

Ia menjadi semakin meriah apabila ada VVIP yang hadir biarpun sepatutnya VVIP berkenaan berada di Masjid Negara bagi menghadiri majlis doa selamat.

Semua keadaan ini sebenarnya adalah satu ancaman yang semakin menular di kalangan rakyat Malaysia. Perasaan sayang kepada negara semakin terhakis di kalangan generasi muda dan mereka juga tidak akan sama sekali memahami betapa bernilainya sebuah kemerdekaan.

Oleh itu, kita tidak perlu membuang masa berhujah atau membuat seruan supaya menghargai dan mengingati jasa-jasa pejuang kemerdekaan, kerana sebahagian generasi muda tidak akan mempedulikan itu semua.

Pemikiran dan pandangan mereka tidak lagi serupa dengan generasi sebelum merdeka atau generasi yang mengenal sejarah. Kita kini berhadapan dengan generasi Facebook, Myspace dan entah-entah apa-apa lagi kelompok yang lebih mengenal sejarah hidup artis atau ahli sukan berbanding pahlawan-pahlawan bangsa.

Malah kita juga tidak perlu berasa terkejut kalau dalam kalangan generasi berkenaan untuk menyebut lima menteri Kabinet pun mereka tidak tahu, apatah lagi meminta mereka menghuraikan siapa itu Tok Janggut.

Inilah realitinya dan inilah juga generasi yang sering kita laung-laungkan sebagai pewaris masa depan negara. Persoalannya, apakah masa depan negara itu akan benar-benar wujud atau 52 tahun lagi, Malaysia sudah tiada identiti bangsanya?

Semua ini tidak mustahil akan berlaku jika generasi tersebut terus 'dijajah' akibat ledakan teknologi maklumat sekarang. Kehilangan identiti bangsa tersebut sekali gus akan meletakkan Malaysia dalam bahaya. Impian untuk melihat kita maju dengan acuan sendiri hanya akan menjadi satu mimpi indah yang mengasyikkan.

Persoalannya, sebelum terlambat apakah yang boleh kita lakukan, bagi mengembalikan sebahagian generasi muda ini untuk memahami betapa besarnya erti sebuah kemerdekaan dan betapa pentingnya mereka menghargai negara sendiri?

Setakat ini, kita harus akui tiada usaha bersungguh-sungguh dilakukan oleh mana-mana pihak untuk menanam semangat patriotik di kalangan generasi muda.

Kita hanya melaungkan seruan mengibarkan Jalur Gemilang atau menjerit 'merdeka' bersama-sama mereka di malam 31 Ogos, tetapi selepas itu apa kesannya?

Parti-parti politik pula lebih banyak bercakaran sesama sendiri demi merebut kuasa. Kalau ada sedikit sahaja isu berkaitan kaum yang boleh dieksploitasikan, mereka akan menggunakannya habis-habisan. Mereka tidak peduli kesannya kepada generasi muda.

Mereka tidak mahu memikirkan bahawa generasi muda melihat apa yang mereka lakukan dan ia kesudahannya akan menjadi contoh. Akhirnya yang akan menjadi mangsa ialah negara.

Justeru janganlah memandang ringan fenomena tidak sayangkan negara yang semakin menular di kalangan generasi muda tersebut. SMS yang dipaparkan pada awal rencana ini, sudah jelas membuktikan bahaya yang menanti kita.

Kita tidak pasti, apa yang akan dilakukan oleh kerajaan dan apa pula sumbangan parti-parti pembangkang dalam soal ini.

Selagi semangat meletakkan kepentingan politik mengatasi segala-galanya, maka selagi itu generasi muda akan terus hanyut dengan dunia mereka.

Tokoh-tokoh politik yang ada sekarang akan meninggalkan alam fana ini apabila tiba masanya, oleh itu kalau benar mereka sering melaung-laungkan untuk mewariskan sebuah negara yang aman, damai dan maju dengan identiti sendiri maka mereka perlu bertindak daripada sekarang untuk menyedarkan generasi muda daripada terus hanyut dengan dunia mereka.

Malaysia sudah 52 tahun mereka, Malaysia memerlukan pewaris bangsa yang mempunyai identitinya sendiri dan bukan 'kembali dijajah' dengan budaya luar.

Semua ini hanya akan mampu tercapai seandainya, daripada sekarang kita menerapkan kepada mereka untuk menghargai kemerdekaan dalam erti kata sebenar. Kita harus faham sama ada sesebuah negara itu mampu terus merdeka atau tidak, ia bergantung kepada pewaris pemerintahan negara.

Semoga pihak-pihak berkenaan tidak memandang ringan isu yang dibangkitkan dalam SMS yang diterima oleh menteri tersebut. Janganlah kita terlalu ghairah mengejar soal-soal mencapai kemajuan dari segi fizikal tetapi dari segi semangat cintakan negara ia semakin pudar.

Apalah gunanya segala kemajuan yang dinikmati kalau akhirnya rakyat Malaysia ibarat pelarian di negara sendiri. Tiada gunanya 52 tahun lagi kita hanya menjerit 'merdeka' sedangkan segala-galanya sudah menjadi milik asing tidak kira siapa pun mereka.

Sumber: http://www.utusan.com.my/

Ahad, 30 Ogos 2009

Penjajahan nafsu musnah kemerdekaan

Manja Ismail

WALAUPUN sambutan ulang tahun Hari Kemerdekaan Ke-52 hari ini tidak semeriah tahun-tahun sebelumnya kerana jatuh pada bulan puasa serta ancaman wabak selesema babi (H1N1), ia tidak seharusnya menghalang kita daripada merenung sejenak erti sebenar kemerdekaan.

Malah, ketiadaan acara berbentuk hiburan dan pesta, yang digantikan dengan majlis tahlil dan doa selamat di masjid serta upacara kesyukuran di tokong, kuil dan gereja menjelang ketibaan ambang kemerdekaan malam tadi, dilihat lebih bermakna kerana ia menterjemahkan sambutan itu dalam bentuk kesedaran, penghayatan dan kesyukuran.

Cuti umum dan laungan merdeka semata-mata tentu tidak membawa sebarang makna jika rakyat, terutama generasi muda gagal menghayati nilai kemerdekaan yang diperjuangkan dengan darah dan air mata oleh nenek moyang kita dulu.

Dari segi usia, 52 tahun adalah angka yang melepasi tempoh kematangan dan kepada sesetengah orang sudah mencapai tahap kebijaksanaan. Bagaimanapun, sebagai sebuah negara yang rakyatnya pelbagai kaum dan agama, apakah kita sudah benar-benar matang selepas 52 tahun merdeka?

Jawapannya tentulah tidak jika pelbagai perkembangan, terutama dalam bidang politik, sejak beberapa tahun kebelakangan ini dijadikan ukuran. Insiden bantahan pembinaan kuil di Shah Alam adalah contoh terbaru betapa masih jauhnya kita, sebagai rakyat negara yang sudah 52 tahun merdeka, mencapai kematangan.

Wawasan Bapa Kemerdekaan, Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj, untuk melihat Malaysia sebagai model sebuah negara demokrasi yang rakyatnya pelbagai kaum hidup dengan penuh harmoni, masih jauh untuk dicapai. Kerana itulah, antara langkah pertama Datuk Seri Najib Razak lakukan apabila menjadi Perdana Menteri ialah memperkenalkan konsep 1Malaysia.

Melihat sejarah tamadun bangsa yang maju, perjalanan kita sebagai satu bangsa merdeka dalam erti kata sebenar, masih jauh. Kita hanya merdeka daripada penjajahan dan penaklukan secara fizikal, tetapi penjajahan bentuk baru berlaku tanpa disedari.

Penjajahan minda, budaya dan ekonomi semakin berleluasa kerana globalisasi menjadikan dunia lebih sempit dan negara-negara merdeka semakin terhimpit. Rakyat yang kurang semangat patriotisme mudah dipengaruhi untuk melakukan perkara yang boleh mengancam semangat kemerdekaan dan perpaduan rakyat.

Kita belum merdeka sepenuhnya dari segi psikologi kerana ramai antara kita yang tidak memiliki daya saing dan daya tahan untuk berjuang serta cepat mengalah. Sebaliknya, ramai yang suka mencari jalan mudah sehingga sanggup menggadaikan maruah dan harga diri untuk mencapai sesuatu matlamat, baik di alam pekerjaan, perniagaan atau pun politik, fitnah, tuduh - menuduh dan saling jatuh-menjatuh tanpa memikirkan kepentingan rakyat dan negara, pastinya bukan mencerminkan budaya satu bangsa yang merdeka dalam erti sebenar.

Hakikatnya, ramai daripada kita belum merdeka dari segi nafsu sehingga terlupa tanggungjawab kepada keluarga, bangsa, agama dan negara. Kerana dijajah nafsulah, ramai yang mempunyai kuasa, menyalahgunakannya untuk memenuhi kepentingan diri dan kelompok.

Mereka yang belum ada kuasa tetapi bernafsu untuk berkuasa pula menggunakan pelbagai taktik kotor, tanpa mengira kesannya kepada perpaduan rakyat dan kedaulatan negara. Begitu juga dengan mereka yang sudah kehilangan kuasa, tetapi masih bernafsu untuk berkuasa.

Jika pemimpin politik bebas daripada penjajahan nafsu ini, tentunya krisis terbaru dalam MCA sekarang dan kemelut tanpa berkesudahan politik Terengganu yang muncul lagi minggu lalu, tidak berlaku. Begitu juga dengan pelbagai kemelut politik yang berlaku sejak pilihan raya umum lalu.

Sambutan ulang tahun kemerdekaan kali ini yang jatuh pada Ramadan, bulan bagi umat Islam menentang nafsu, adalah peluang terbaik kepada kita untuk membuat ikrar baru perjuangan membebaskan diri daripada penjajahan nafsu. Sama seperti penjajahan minda dan budaya, penjajahan nafsu juga boleh memusnahkan kemerdekaan negara yang dicapai 52 tahun dulu.

Sumber : http: //www.bharian.com.my/

ISU KENEGARAAN : FORMULA KEJAYAAN MALAYSIA

Alhamdulillah, pertama sekali marilah kita semua mengucapkan rasa syukur ke hadrat Allah SWT justeru di atas rahmat dan limpah izin-Nya jua, esok sekali lagi kita akan menyambut Hari Kebangsaan kali ke-52 dengan tema 1Malaysia Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan.

Lima puluh dua tahun yang lalu, sekumpulan patriot negara yang diterajui oleh YTM Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj telah berjaya mencapai kemerdekaan negara setelah hampir lima kurun berada di bawah belenggu penjajahan.

Pasca kemerdekaan kemudiannya menyaksikan tugas dan tanggungjawab untuk menentukan arah tuju tanah air yang satu ketika dahulu berada di dalam genggaman penjajah telah beralih ke tangan anak watan.

Dengan pengalaman berkerajaan sendiri begitu singkat, berlatar belakangkan pula pemberontakan komunis yang masih belum reda, wujudnya ketidakseimbangan sosioekonomi yang meluas di tambah lagi dengan sifat majmuk negara baru, maka banyak pihak kala itu yang meramalkan bahawa Malaya ibarat retak menanti belah dan tidak mungkin berjaya.

Namun begitu, kita telah membuktikan bahawa sangkaan tersebut meleset sama sekali. Di dalam tempoh lima dekad merdeka kita telah berjaya muncul sebagai negara membangun yang termaju. Kita telah menjadi negara pertama di dunia yang berjaya mengalahkan pemberontakan komunis di samping kita juga berjaya mewujudkan keadilan sosial dengan rasa kehakmilikan saksama hanya dalam tempoh masa amat singkat yakni dua generasi sahaja.

Apakah formula rahsia yang telah mendasari kejayaan ini? Sesungguhnya, tidak lain dan tidak bukan, ia adalah faktor perpaduan di antara rakyat berbilang kaum dan kepercayaan yang berteraskan kepada falsafah meraikan kemajmukan yang wujud sebagai sumber kekuatan bukannya perkara titik bengik yang menyebabkan perpecahan.

Sayangnya, masa yang berguling telah menyaksikan jambatan dibina oleh bapa-bapa kita dahulu dengan segala susah payah telah mula digoyahkan oleh golongan tertentu yang cuba menangguk di air keruh.

Mereka telah mengeksploitasikan garis-garis gelinciran yang wujud dalam masyarakat berbilang kaum sama ada ia bersifat politik, agama mahupun sosial demi untuk memuaskan agenda sempit mereka.

Di persimpangan ini, cabaran terbesar rakyat Malaysia ialah untuk membaik pulih jambatan yang sedia ada di samping meruntuhkan tembok-tembok pemisah antara sesama kita. Pokoknya, kita perlu terus mengurus kejayaan, membina di atas apa yang ada dengan membajai dan menyuburkan kerukunan terpupuk selama ini.

Beringatlah, apa yang ada tidak semestinya akan bertambah baik malah akan musnah jika kita tidak berwaspada. Buktinya, lipatan sejarah dunia sarat dengan catatan bahawa kejayaan yang tidak diurus dengan baik akan berakhir dengan kegagalan.

Benarlah kata orang, yang pipih tidak datang melayang, yang bulat tidak datang bergolek. Sehubungan itu, saya ingin berpesan kepada semua terutamanya generasi muda bahawa nikmat yang kita sedang kecapi hari ini tidak terhasil begitu sahaja tanpa perancangan yang rapi, pelaksanaan yang cekap dan pengorbanan yang tinggi.

Kejayaan ini hasil perjuangan, keringat, air mata dan darah para wira serta para wirawati negara sama ada yang didendang atau pun tidak. Ia dibangunkan oleh pendahulu-pendahulu kita yang lampau.

Ia dipertahankan oleh anggota pasukan keselamatan yang sanggup berkorban apa sahaja hatta nyawa. Ia disuburkan oleh para murabbi dan pendidik yang gigih berjuang di kelas-kelas dan bilik kuliah.

Ia dimakmurkan oleh wira swasta, wira korporat, para penjaja, waima peniaga kecil yang gigih dengan semangat keusahawanan mereka mencipta kemakmuran. Tuntasnya, ia dilincirkan pula oleh para penjawat awam yang gigih berkhidmat.

Nyatanya, kejayaan dan kemakmuran Malaysia sepanjang ini tumbuh dan berkembang hasil sumbangan serta dokongan semua kaum, semua penganut kepercayaan, semua lapisan masyarakat, di desa mahupun di kota, yang berada ataupun tidak, tua atau muda.

Kendati itulah, saya ingin tegaskan bahawa setiap seorang daripada kita mempunyai peluang yang terbentang di bawah langit Malaysia. Yang membataskan pencapaian masing-masing hanyalah kemahuan untuk berjaya, kesanggupan untuk bekerja keras dan keberanian untuk mengambil risiko.

Di atas segala, sepanjang lebih lima dekad Malaysia telah melalui pelbagai detik dan panca peristiwa. Segalanya, dilalui penuh dengan suka duka, pahit manis dan jatuh bangun bersama dalam kemajmukan.

Bertitik tolak dari kepahitan mengharungi ganasnya Bintang Tiga, keperluan monumental mengisi erti kemerdekaan bitara yang dicapai tanpa pertumpahan darah, kepincangan sosioekonomi, keretakan hubungan kaum tanggal 13 Mei 69, kemelesetan ekonomi 80-an dan krisis kewangan Asia hujung 90-an.

Semuanya telah kita tempuhi dan semuanya telah kita redai dengan jaya. Ternyata walau apa pun, harus diinsafi bahawa kita tidak mampu bernostalgia dengan kejayaan lalu tanpa berusaha mencipta kejayaan-kejayaan baru.

Lantaran itu, untuk menentukan hari esok lebih baik dari hari ini kerajaan telah pun memperkenalkan dasar-dasar yang lebih ampuh dan mampu menjulang kita menjadi sebuah negara yang maju.

Sebermula pentadbiran saya telah diutarakan konsep 1Malaysia yang berpaksi kepada Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara sebagai teras hala tuju matlamat kerajaan. Kita tidak berhenti setakat penyataan hasrat sebaliknya kita telah mengadakan prakarsa yang konkrit.

Bermula dengan usaha merevolusi sistem penyampaian sektor awam, mengangkat agenda kesejahteraan rakyat sebagai keutamaan perdana membawa kepada usaha merangsang ekonomi negara agar kemakmuran akan terus merahmati rakyat dan negara.

Akhir kalam, ayuhlah kita suburkan semangat patriotisme yang membara dengan mendedikasikan usaha tanpa berbelah bahagi atas nama 1Malaysia.

Marilah kita realisasikan masa depan yang lebih sejahtera dan makmur untuk semua rakyat Malaysia - Marilah kita pastikan panji keramat Jalur Gemilang berkibar megah di persada antarabangsa. Sama-samalah berdoa agar perjalanan mulia ini terus diberkati dan diberi petunjuk-Nya jua.

Sumber : http://www.utusan.com.my/

Bersihkan imej Islam akibat tindakan si jahil

TINDAKAN sekumpulan pihak yang mengarak serta memijak kepala lembu ketika membuat bantahan tentang cadangan pembinaan kuil di Selangor sebenarnya suatu tindakan yang jahil bersulamkan kebiadapan melampau.

Kebiadapan mereka itu walaupun kelihatan seperti membela hak orang Islam di Malaysia, namun ia jelas ketara tambah memburukkan lagi imej Islam di mata golongan bukan Islam.

Label dan momokan Islam sebagai agama yang ganas seolah-olah sudah disahkan oleh tindakan bodoh mereka.

Islam amat bertegas tentang penghinaan kepada agama lain yang bakal mengundang permusuhan yang tidak berkesudahan kerana setiap insan akan bermati-matian mempertahankan akidah anutan mereka walau dengan nyawa sendiri.

Larangan provokasi ini dijelaskan oleh al-Quran, maksudnya: Dan janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembah yang lain dari Allah, kerana mereka kelak, akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan. Demikianlah Kami memperelokkan pada pandangan tiap-tiap umat akan amal perbuatan mereka, kemudian kepada Tuhan merekalah tempat kembali mereka, lalu Ia menerangkan kepada mereka apa yang mereka telah lakukan. (al-An'am [6:10]).

Keharmonian Malaysia yang sudah sekian lama terjalin di atas rasa toleransi kaum dan agama, pastinya akan mengundang kekeruhan apabila kepercayaan orang Hindu dihina sedemikian rupa.

Bayangkan apakah reaksi umat Islam sekiranya tulisan Allah diarak, diinjak dan dibakar pula oleh para penganut Hindu yang tersinggung dengan tindakan jahil kumpulan terbabit.

Untuk itu satu langkah drastik perlu dilakukan oleh pihak berkuasa agama seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Majlis Fatwa Kebangsaan untuk segera mencuci tahi yang telah dipalitkan oleh kumpulan terbabit.

Sekiranya pihak berkuasa agama boleh segera bersidang untuk mengeluarkan fatwa berikutan kenyataan politik sesetengah tokoh yang dirasakan mengancam akidah umat Islam, situasi kritikal seperti ini lebih lagi perlu diutamakan.

Jelaskan segera kepada penganut agama lain, bagaimana Islam melarang sama sekali tindakan sedemikian. Peranan pihak berkuasa agama perlu disegerakan untuk menjernihkan kembali kekeruhan yang melanda bertepatan dengan firman Allah, maksudnya:

Dan kalaulah Allah tidak mendorong setengah manusia menentang pencerobohan setengahnya yang lain, nescaya runtuhlah tempat-tempat pertapaan serta gereja-gereja (kaum Nasrani), dan tempat-tempat sembahyang (kaum Yahudi), dan juga masjid-masjid (orang Islam) yang sentiasa disebut nama Allah banyak-banyak padanya dan sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolong agama-Nya (agama Islam); sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa (al-Hajj[22:40]).

Hak penganut Hindu untuk mendirikan rumah ibadat mereka tidak pernah dibantah oleh Islam. Itulah keistimewaan Islam yang agak terbuka dengan pengamalan agama lain selagi mana penganut agama itu masih berstatus dhimmi (bernaung di Negara Islam) dan bukannya harbi (memusuhi Islam).

Selain itu, pendekatan penerangan melalui media arus perdana perlu segera dibuat bagi mengubat luka para penganut Hindu di Malaysia.

Sekiranya tindakan lambat diambil, luka itu akan bertukar menjadi barah yang sukar diubati lagi.

Bahkan barah ini kelak boleh menjadi penyebab gagalnya gagasan 1Malaysia. Pengalaman perit konflik agama yang menumpahkan darah di negara luar perlu dijadikan teladan oleh pihak berkuasa agama di Malaysia.

Kepada mana-mana kumpulan yang bercadang untuk melakukan sebarang tindakan provokatif di masa hadapan, silalah bertanya dahulu kepada ahlinya.

Hayatilah firman Allah: Maka bertanyalah kamu kepada orang yang mengetahui jika kamu tidak mengetahui (al-Anbiya'[21:7]).

Jangan sampai apabila kekacauan telah meletus kerana tindakan bodoh sesetengah pihak, pihak yang tidak bersalah pula menerima kesan akibatnya.

Renunglah ancaman Allah di dalam ayat ini: Dan jagalah diri kamu daripada (berlakunya) dosa (yang membawa bala bencana) yang bukan sahaja akan menimpa orang-orang yang zalim di antara kamu secara khusus (tetapi akan menimpa kamu secara umum). Dan ketahuilah bahawa Allah Maha berat azab seksa-Nya (al-Anfal[8:25]).

PENULIS ialah Pensyarah Jabatan TilawahAl-Quran, Pusat Bahasa, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia

Sumber : http: //www.utusan.com.my/

WATIKAH DI DAERAH MERDEKA

Telah berpesan Laksamana Hang Tuah kepada kita
‘Takkan Melayu Hilang di Dunia’

Ayuh! Mari kita susur pantai maknanya
di negeri tempat darah pahlawan Melayu mengalir
berselirat ke akar umbi buminya
mencengkam lumat hasad dan dendam
takkan sekalipun meracuni himpunan setia
meski dimesrai penjajah bersilih ganti.

Melayu yang dikurnia akal budi
tiadalah gentar mendaulatkan jati diri
meski dibelenggu derita dan mimpi ngeri
ayuh! Kita rentang semangat, tenaga dan minda
menghindar sengketa, menggarap cita di daerah merdeka.

Menjelang malam 31 Ogos
aromanya bak kasturi
menyusup ke tiap pelusuk empat belas negeri
dengan sejuta harapan dan doa
mengharum setiap nadi anak bumi
gemilangnya daerah merdeka milik abadi!

Di daerah merdeka yang permai ini
kita berdiri teguh bercakap tentang maruah bangsa
kedaulatan pertiwi dan gagasan mengangkat makna merdeka
di bawah rahmat Yang Maha Esa
siap siaga bukan sekadar sedar di mata
halangan dan cabaran menuntut ketelusan
menghayati tindakan dan kewajipan
menyelinap ke tiap kerangka visi dan misi
kemajuan dunia melangkah seiringan
tegas mendepani perubahan!

Dengan keyakinan dan iltizam bangsa
jihad ke daerah merdeka
menekuni perkongsian perjuangan dan kehidupan
jangan sampai tergadai diselar petualangan
yang sering datang bertandang mesra
sedang hati diulit dengki khianat
suka melihat kita tersungkur, memaut ehsan.

Demikian terkenang pesan pahlawan terbilang
gah! Suara anak Malaysia bergema di medan pembangunan
lantang meningkat ekonomi dan martabat
dunia menyaksi tamadun bergerak pantas
lenyaplah kesedihan bangsa kita!

Kini mendepani generasi bijak bestari
perdengar dan ajarkan perjuangan silam
jangan sampai terbiar hingga alpa
harga diri bukan pada kemajuan semata
kebebasan, keadilan dan teknologi canggih
tetapi jua menuntut pertanggungjawapan di jiwa!

Karya: Jariah Haji Taha

Sumber : http://penyair.wordpress.com/

ISU SELESEMA BABI (INFLUENZA A H1N1)

WHO dedah kemunculan Influenza A lebih teruk


SEORANG guru memberi gel antibakteria kepada murid sekolah di bandar raya Mexico, kelmarin.

Virus serang paru-paru mangsa tak kira usia, terus tenat

WASHINGTON: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), berkata pihaknya menerima laporan kemunculan virus selesema babi (H1N1) jenis teruk yang terus menyerang paru-paru menyebabkan penghidapnya sakit tenat serta perlu menjalani rawatan mahal di hospital.

Virus jenis teruk itu turut dilaporkan boleh menyebabkan pesakit muda yang tidak mempunyai masalah kesihatan jatuh tenat.

WHO ketika melaporkan perkembangan terkini wabak selesema babi menyatakan, sehingga 15 peratus pesakit dimasukkan ke hospital dengan virus H1N1 baru itu memerlukan penjagaan rapi, sekali gus meningkatkan lagi bebanan kepada sistem penjagaan kesihatan sesebuah negara.

"Pada musim dingin di Hemisfera Selatan, beberapa negara mengakui keperluan menambah unit penjagaan rapi menjadi beban terbesar dalam perkhidmatan kesihatan.

"Langkah persediaan mesti berupaya memenuhi tuntutan yang semakin meningkat terhadap unit penjagaan rapi selain memastikan ia mencukupi jika jumlah penghidap bertambah secara mendadak," kata WHO dalam laporannya.

WHO sebelum ini melaporkan bahawa H1N1 sudah berada pada peringkat wabak di Jepun, sekali gus memberi isyarat kemungkinan berlakunya musim influenza yang panjang tahun ini dan memburukkan lagi keadaan di wilayah tropika.

"Perkara paling jelas, kalangan doktor dari seluruh dunia sudah mula melaporkan jenis selesema babi paling teruk, menyerang golongan muda dan orang sihat, yang jarang dilihat ketika musim influenza.

"Virus menyerang terus ke paru-paru pesakit dan menyebabkan kegagalan pernafasan yang teruk. Usaha menyelamatkan mereka memerlukan penjagaan di unit rawatan rapi untuk tempoh lama dan menelan belanja besar," kata laporan itu lagi. - Reuters

Sumber : http ://www.bharian.com.my/

Sabtu, 29 Ogos 2009

Mereka Kelak, Akan Mencerca Tuhan Kita

Masih terngiang kata-kata seorang pensyarah berkaitan perkara yang menghalang proses dakwah dalam tazkirah sempena ramadhan sewaktu masih menuntut di fakulti syariah dahulu. Antara bait-bait katanya yang masih menjadi pegangan saya dalam menyampaikan dakwah hingga kini ialah:

“Kadang-kadang orang tidak suka kepada Islam bukan kerana agama Islam itu sendiri tetapi kerana individu-individu yang menyampaikan Islam dengan cara yang salah dan tidak sepatutnya membuatkan orang yang tidak kenal Islam bertambah benci dan seterusnya menjauhi agama Islam yang benar lagi suci ini.”
'

Penulisan kali ini, saya kiaskan kata-kata ustaz tersebut dengan demonstrasi yang dianjurkan semalam oleh sekumpulan penduduk seksyen 23 Shah Alam dan beberapa NGO Melayu yang membantah pembinaan kuil hindu di tempat mereka. Sebenarnya artikel ini bukanlah hendak menyalahkan mereka berdemonstrasi berkaitan pembinaan kuil tersebut tetapi cara mereka berdemonstrasi pada saya agak keterlaluan apabila menggunakan kepala lembu sebagai lambang ketidakpuasan hati mereka.

Sememangnya kita orang Melayu mengetahui yang haiwan lembu disifatkan sebagai simbol kebodohan tetapi apakah orang India akan mentafsirkan perkara yang sama sedangkan umum mengetahui haiwan yang dinamakan lembu ini merupakan haiwan suci pada agama mereka. Ternyata sedikit sebanyak perbuatan tersebut telah mencalarkan imej Islam itu sendiri. Jijiknya perbuatan mereka yang sanggup memijak-mijak kepala lembu yang masih berdarah sambil mengangkat-angkat sepanduk bertulis “Take Beeer!!!” yang sepatutnya tertulis perkataan “Takbir” dalam Islam iaitu takrifannya kalimat Allahuakbar. Apakah mesej yang hendak mereka sampaikan hanya mereka sahaja yang mengetahui. Hendak marah pun jagalah adab dan batasnya kerana marah yang tidak berbatas boleh mengundang marah yang tidak berbatas juga kemudiannya.

Perbuatan dan tindakan kita janganlah sampai boleh melukakan hati penganut agama lain kerana Islam tidak mengajar kita sedemikian. Sedangkan kita sepatutnya berdakwah menyeru mereka kepada agama kita dengan mempamerkan keindahan dan kebaikan Islam. Atas sebab itu ada dalil tiada paksaan dalam memeluk agama Islam. Apa akan jadi sekiranya mereka juga selepas ini turut mempersendakan Tuhan kita ekoran dari tindakan kita terlebih dahulu menghina simbol ketuhanan mereka. Pastinya kita semua tidak inginkan perkara ini terjadi. Bersamalah kita mengajak dan menyeru manusia ke jalan kebenaran dengan hikmah dan kebijaksanaan bukan dengan nafsu dan kemarahan tambahan pula sekarang kita berada di bulan Ramadhan iaitu bulan penuh keberkatan dan keampunan. Saya tinggalkan penulisan ini dengan dua petikan kalam suci Al-Quran dari surah An-Nahl ayat 125 dan dari surah Al-An'am ayat 108 sebagai renungan dan panduan kita bersama:
'
“Serulah (manusia) ke jalan (agama) Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbantahlah (berbahaslah) dengan mereka dengan (jalan) yang terbaik. Sesungguhnya Tuhanmu lebih mengetahui akan orang-orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dia lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat petunjuk.”
'
“Janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembah yang lain dari Allah, kerana mereka kelak, akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan. Demikianlah Kami memperelokkan pada pandangan tiap-tiap umat akan amal perbuatan mereka, kemudian kepada Tuhan merekalah tempat kembali mereka, lalu ia menerangkan kepada mereka apa yang mereka telah lakukan.”

Sumber : http: //mutiaraminda2u.blogspot.com/
'

Menyemai perpaduan, cinta akan negara

Oleh Abdul Halim Taib

SEPERTI biasa setiap 31 Ogos seluruh rakyat Malaysia akan menyambut ulang tahun kemerdekaan negara. Namun sambutan tahun ini agak berbeza dengan tahun sebelumnya kerana ia disambut serentak pada Ramadan, bulan yang mulia di sisi Islam. Oleh itu rakyat khususnya umat Islam pada tahun ini di samping mengerjakan ibadat puasa mereka juga turut menyambut dan memperingati Hari Kemerdekaan yang menjadi lambang kebebasan negara daripada belenggu penjajahan Inggeris.

Pada tahun ini, di samping usaha mengembang dan menyemarakkan syiar Islam sepanjang Ramadan seperti sembahyang sunat tarawih, witir, bertadarus al-Quran dan memberi sumbangan kepada fakir miskin, kerajaan juga menyusun beberapa program bagi menyambut ulang tahun kemerdekaan ke-52 .. Malah, tempat sambutannya juga berubah dari jadual asal iaitu Stadium Bukit Jalil ke perkarangan Bangunan Parlimen.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim, berkata tema Hari Kemerdekaan tahun ini ialah 1Malaysia: Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan, selaras dengan hasrat dan wawasan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk menjadikan Malaysia negara yang maju dan bersatu padu.

Najib memperkenalkan konsep 1Malaysia sebaik saja beliau mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri Malaysia keenam pada April 2009. Ia adalah konsep pembangunan negara bangsa Malaysia yang mencerminkan kesungguhan beliau yang tidak jemu-jemu berusaha menyatupadukan rakyat pelbagai kaum di negara ini.

Namun masih ramai lagi rakyat, terutama generasi muda termasuk golongan mahasiswa-mahasiswi, belia dan pelajar yang masih keliru dan belum benar-benar memahami mengenai konsep 1Malaysia. Mereka sering kaitkan dan samakan ia dengan konsep Malaysian Malaysia yang diperjuangkan pembangkang.

Konsep Malaysian Malaysia menggariskan hak kesamarataan versi total yang membuta tuli. Ia digariskan tanpa mengambil kira realiti negara Malaysia yang berbilang kaum dan faktor sejarah bagaimana wujudnya persepakatan bagi membentuk negara Malaysia.

1Malaysia pula berbeza dengan Malaysian Malaysia kerana ia adalah satu konsep bagi mewujudkan rakyat yang berdiri, berfikir dan bertindak sebagai bangsa Malaysia dan mengambil tindakan berdasarkan kehendak semua kumpulan atau etnik yang ada di dalam negara ini. Malah, ia mementingkan dan menganggap masyarakat majmuk sebagai aset negara, apatah lagi konsep Malaysian Malaysia juga tidak lari sama sekali dengan Perlembagaan negara.

Dalam apa keadaan atau suasana dan di mana jua tempat berlangsungnya sambutan kemerdekaan tidak menjadi persoalan, yang penting ialah semangat bersatu padu di kalangan rakyat dan juga semangat cintakan negara atau patriotisme perlu ditanam di jiwa setiap rakyat. Inilah yang sering ditekankan Perdana Menteri apabila bercakap mengenai kemerdekaan dan konsep 1Malaysia.

Malah ketika majlis pelancaran Kibar Jalur Gemilang pada 12 Ogos lalu bagi menandakan bermula sambutan Hari Kebangsaan tahun ini, Najib mengajak rakyat memperkukuhkan semangat patriotisme dengan meningkatkan amalan nilai dan perangai terpuji demi menjaga keharmonian serta mematuhi undang-undang. Majlis itu menandakan bermula sambutan Hari Kebangsaan tahun ini dengan sambutan kemuncak pada 31 Ogos di pekarangan Parlimen. Penutup sambutan kemerdekaan ialah pada 10 Oktober di Kuching, Sarawak.

Bagi menyedarkan rakyat betapa pentingnya semangat patriotisme dan kemerdekaan ini jugalah Perdana Menteri hadir dan menyampaikan ucaptama pada ‘Wacana Patriotisme: Ke Arah 1Malaysia dan Pelancaran 100 Wajah Wira Malaysia’ di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pada 7 Ogos lalu. Pada majlis anjuran bersama UIAM dan Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak), 100 wajah wira negara diumumkan sebagai menghargai sumbangan mereka dalam pelbagai bidang kepada negara.

Perdana Menteri yang juga bekas Presiden UIAM, berkata beliau memilih universiti berkenaan untuk program itu bukan saja kerana ia dekat di hati malah masyarakatnya yang pelbagai dan berbentuk antarabangsa perlu memahami konsep 1Malaysia yang baru diperkenalkan. Semangat patriotisme penting difahami dan dihayati semua pihak, khususnya generasi muda kerana dengan patriotisme yang tinggi mereka akan dapat menghadapi persaingan dalam era semakin mencabar sekarang.

Pada majlis itu, beliau menjelaskan semangat 1Malaysia sebenarnya sudah bermula pada awal pembentukan Malaysia dengan kerjasama padu semua kaum bagi membentuk negara yang berjaya. Semangat patriotisme yang unggul semua kaum menyebabkan negara memperoleh kemerdekaan daripada Britain tanpa sebarang pertumpahan darah.

Perdana Menteri berkata: “Bukan senang penjajah hendak lepaskan negara yang dijajah… tetapi bila rakyat Malaysia datang dengan bersatu, pada masa itu tak ada 1Malaysia … mereka datang dengan satu komitmen ke arah satu Malaysia atau satu Malaya, maka kita telah mencapai kemerdekaan,”

Sementara itu, Rektor UIAM, Prof Datuk Seri Dr Syed Arabi Idid ketika melancarkan sambutan bulan kemerdekaan dan ketibaan Ramadan pada 19 Ogos lalu menggesa semua kakitangan dan pelajar bekerja kuat demi kejayaan selaras dengan konsep 1Malaysia yang diperkenalkan kerajaan.

Menurutnya, konsep 1Malaysia yang diperkenalkan Perdana Menteri adalah kesinambungan kepada konsep pentadbiran yang dilakukan oleh semua Perdana Menteri sebelum ini dengan pendekatan berbeza tetapi matlamat yang sama iaitu ke arah mencapai perpaduan dan kemajuan negara.

Katanya, menurut satu kajian yang diadakan baru-baru ini lebih 90 peratus rakyat menyatakan mereka berbangga menjadi penduduk Malaysia kerana negara ini maju dalam pelbagai bidang, malah lebih baik berbanding dengan beberapa negara jiran.

Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah, Yayasan 1Malaysia, Prof Chandra Muzaffar, berkata persepsi 1Malaysia tidak memanfaatkan kaum Melayu dan Bumiputera mungkin muncul kerana perubahan yang dibuat kepada peraturan mengenai kuota dalam sektor ekonomi tertentu dan keperluan mengenai saham dalam pasaran saham.

Ini adalah perubahan pendekatan; bukan pemansuhan dasar. Dasar mempertingkatkan ekonomi masyarakat Melayu dan Bumiputera yang lain secara adil, tetap dilaksanakan seperti terbukti dalam pembentukan syarikat Ekuinas untuk mengenal pasti usahawan Bumiputera yang berpotensi dan memperkukuhkan kedudukan mereka.

Chandra berkata, membetulkan persepsi yang salah mengenai 1Malaysia adalah antara misi Yayasan 1Malaysia yang baru ditubuhkan. Malah yayasan itu juga akan menyampaikan idea dan pandangannya dari semasa ke semasa kepada kerajaan, pembangkang dan badan bukan kerajaan (NGO) mengenai matlamat dan hasil pencapaian konsep 1Malaysia.

Disebabkan konsep itu baru, masih ramai lagi rakyat yang samar-samar, keliru dan kurang jelas mengenai konsep, pendekatan, matlamat dan faedahnya kepada rakyat berbilang kaum di negara ini.

Demi kejayaan konsep 1Malaysia ini, semua pihak termasuk agensi kerajaan seperti Jabatan Penerangan, Biro Tatanegara, pihak swasta dan NGO perlu memainkan peranan menerangkan kepada rakyat mengenai konsep berkenaan. Apabila sudah faham barulah rakyat termasuk generasi muda dapat menerimanya dengan hati yang lapang dan terbuka. Tidaklah salah atau keterlaluan sekiranya dalam bulan kemerdekaan dan Ramadan yang penuh berkat ini, penerangan mengenai konsep 1Malaysia ini dapat diselit dan diterapkan melalui majlis ilmu demi faedah semua.

Penulis ialah bekas pensyarah Jabatan Komunikasi, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan bekas wartawan Bernama.

Sumber : http://www.bharian.com.my/

IMBASAN SEJARAH KEMERDEKAAN NEGARA

Malaysia 52 tahun merdeka


TUNKU Abdul Rahman menerima watikah kemerdekaan daripada wakil Ratu Elizabeth II
di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada 31 Ogos 1957.



Tunku Abdul Rahman bersama delegasi ke London
untuk membincangkan tentang kemerdekaan Tanah Melayu.












Dalam usaha mendapatkan kemerdekaan daripada penjajah, semua negara di dunia mempunyai pelbagai kisah dan pengalaman tersendiri dalam memperjuangkan kemerdekaan. Ada yang berjuang sehingga mengorbankan banyak nyawa, ada yang terpaksa bersekongkol dengan militan dan gerakan bawah tanah. Pada masa yang sama ada juga yang percaya pada perjuangan tanpa keganasan.

Dalam konteks kemerdekaan negara ini, ia dicapai melalui cara yang berhemah iaitu melalui rundingan tanpa perlu menumpahkan darah. Inilah perkara paling unik yang membezakan Malaysia dan negara-negara lain dalam perjuangan kemerdekaan. Tarikh keramat 31 Ogos 1957 terus terpahat dalam sejarah sebagai hari negara ini bebas dari cengkaman penjajah yang senantiasa menjadi petualang demi untuk kepentingan mereka.

Namun begitu ini tidak bermakna kita memperoleh kemerdekaan dengan mudah. Sejak negara ini dijajah pada 24 Ogos 1511 dengan runtuhnya Kesultanan Melayu Melaka kepada Portugis, telah berlaku banyak peperangan dan pertempuran terhadap penjajah bagi menyatakan kebencian penduduk negara ini terhadap penjajah.

Kemudian dengan bermulanya campur tangan British di Tanah Melayu pada 1874, ini mula menimbulkan kebencian terhadap penjajah, yang akhirnya mendorong orang Melayu untuk bangkit menentang British.

Nama-nama seperti Datuk Bahaman, Datuk Maharajalela, Haji Abdul Rahman Limbung dan Mat Salleh di Sabah, hanya menyebut beberapa nama merupakan antara tokoh pejuang awal yang sanggup mengorbankan diri demi memperjuangkan kebebasan dengan menghalau penjajah. Walaupun penentangan yang dilakukan ini tidak memperoleh apa-apa kemenangan tetapi semangat perjuangan inilah yang telah memercikkan api nasionalisme untuk memperoleh kemerdekaan.

Nasionalisme

Gerakan nasionalisme untuk memperoleh kemerdekaan mula timbul berikutan semangat penduduknya yang inginkan sebuah negara bangsa yang merdeka, bebas dari penjajah dan mentadbir negara sendiri dengan corak kepimpinan sendiri.

Langkah paling berkesan dalam menyemarakkan semangat nasionalisme di kalangan masyarakat ialah melalui akhbar yang mana ia telah berjaya meniupkan semangat anti penjajah. Terdapat beberapa golongan yang cerdik pandai yang berjuang dengan menggunakan mata pena untuk menanamkan semangat perjuangan. Antara mereka ialah golongan berpendidikan agama yang mendapat pendidikan di Al Azhar, Mesir. Golongan kedua adalah golongan berpendidikan sekular Inggeris dan golongan ketiga ialah golongan sekular berpendidikan Melayu.

Mereka menggunakan teknik penulisan untuk menentang penjajah dan dalam masa yang sama menanamkan semangat nasionalisme.

Namun penjajahan Jepun pada 1942-1945 adalah punca sebenar yang telah membuka mata masyarakat bahawa penjajahan boleh dihapuskan. Keupayaan Jepun menundukkan penjajah British sekali gus membuktikan bahawa penduduk negara ini boleh membebaskan diri dan berdikari.

Selepas pendudukan Jepun, orang Melayu telah sedar bahawa pihak British tidaklah sekuat yang di sangka, ditambah pula oleh semangat untuk merdeka yang bertiup kencang di Indonesia yang sedikit sebanyak mempengaruhi penduduk di sini.

Namun begitu Tanah Melayu sekali lagi dijajah oleh British, dan malangnya penjajah melihat kemerdekaan bukanlah perkara utama bagi mereka malah mengumumkan cadangan penubuhan Malayan Union .

Sir Harold MacMichael telah dihantar ke Tanah Melayu untuk mendapatkan tandatangan daripada Raja-raja Melayu. Beliau telah bertindak memaksa Sultan-sultan Melayu untuk menerima cadangan-cadangan pihak British. Malah Sultan yang enggan menandatangani perjanjian tersebut diugut akan digantikan dengan sultan yang lain atas tuduhan bekerjasama dengan Jepun

Malayan Union juga mencadangkan undang-undang baru yang memberikan kewarganegaraan kepada semua orang yang dilahirkan di Tanah Melayu dan Singapura, serta pendatang yang tinggal sekurang-kurang 10 tahun sebelum 15 Februari 1942. Semua warganegara Malayan Union yang baru itu akan mempunyai hak-hak yang sama, termasuk penerimaan masuk untuk perkhidmatan awam yang juga dikenali sebagai 'jus soli'.

Tergugat dengan keadaan ini orang Melayu yang selama ini dilihat lemah oleh penjajah telah bangkit membantah. Komuniti Cina dan India juga tidak ghairah dan telah mengkritik sesetengah peruntukan yang terdapat di dalam kertas putih Malayan Union. Pesara-pesara British dalam Perkhidmatan Awam seperti Frank Swettenham, George Maxwell, R. O. W. Winstedt, Cecil Clementi dan Laurence Guillemardt turut membantah rancangan Malayan Union.

Dari sudut pandangan orang Melayu, penentangan ini telah disampaikan dengan lebih berkesan selepas penubuhan UMNO atau Pekembar yang muncul untuk menyuarakan bantahan Melayu terhadap Malayan Union.

Pada 1 Mac 1946, sebuah Kongres Melayu Seluruh Tanah Melayu (Pan-Malayan Malay Congress) diadakan di di Kelab Sultan Suleiman, Kuala Lumpur yang disertai kira-kira 200 orang wakil Melayu daripada 41 buah persatuan.

Pada 1 Mei 1946, Kongres Melayu Seluruh Tanah Melayu Ke-2 diadakan di Johor Bahru. Dalam kongres itu, pembentukan UMNO diisytiharkan dan Dato Onn Jaafar, Menteri Besar Johor, dilantik sebagai presiden pertama. Kongres itu turut mendesak Malayan Union dimansuhkan. Pihak British sangat terkejut dengan perubahan sikap masyarakat Melayu.

Negeri-negeri Melayu yang selama ini terpisah dan tidak bersatu telah bangun bersama-sama,

Perubahan

Malah Sultan di negeri-negeri Melayu turut bersama berganding bahu menentang Malayan Union dan semua ini berjaya dicapai melalui usaha tersusun yang dilakukan UMNO.

Meskipun penentangan orang Melayu begitu hebat, kerajaan British enggan menarik balik pelaksanaan Malayan Union. Sebaliknya, Malayan Union telah diisytiharkan pada 1 April 1946 dengan Edward Gent dilantik Gabenor pertama. Bagaimanapun, penentangan terhadap Malayan Union begitu kuat sehingga rancangan itu tidak dapat dikuatkuasa sepenuhnya. Malah pada majlis pelantikan Edward Gent, majlis tersebut telah dipulau oleh Sultan-sultan Melayu. Akhirnya, Malayan Union dibatalkan pada 1 Februari 1948 dan ia telah digantikan dengan Persekutuan Tanah Melayu dan bermulalah episod untuk mendapatkan kemerdekaan.

Percubaan pertama untuk mendapatkan kemerdekaan berlaku pada 1954, di mana Tunku Abdul Rahman mengetuai sekumpulan perwakilan ke London untuk memperoleh kemerdekaan Malaya. Bagaimanapun, percubaan tersebut gagal.

Pada tahun yang berikut, Pilihan Raya Persekutuan yang pertama diadakan. Parti Perikatan yang ketika itu merupakan gabungan UMNO dengan MCA memenangi 51 daripada 52 kerusi yang ditandingi. Tunku dilantik sebagai Ketua Menteri Malaya yang pertama dan MIC yang mewakili kaum India menyertai parti tersebut pada tahun 1955.

Pada tahun 1955, Tunku sekali lagi pergi ke London untuk berunding tentang kemerdekaan Malaya. Pada kali ini, beliau berjaya dan tarikh 31 Ogos 1957 diputuskan sebagai tarikh kemerdekaan. Laungan "merdeka" yang bergema di Stadium Merdeka turut sama dilaung dan dikongsi bersama di seluruh negara.

Sejak itu, tanah air ini telah berjaya melakar pelbagai kejayaan dan kemakmuran yang membanggakan selama 52 tahun untuk dikongsi bersama setiap warganya tanpa mengira kaum, agama dan kedudukan.

Sumber : http ://www.utusan.com.my/

Wacana

Oleh MUHAMMED SALLEHUDIN AMAN

SETIAP ayat yang dibina mempunyai satu tumpuan makna yang membentuk satu fokus pemikiran. Fokus pemikiran ini disebut wacana. Wacana ialah satu unit bahasa yang lengkap, yang melebihi batas ayat.

Dari segi tatatingkat tatabahasa, wacana terletak pada tingkat yang tertinggi selepas ayat, yakni bermula daripada “perkataan” di tingkat bawah kepada “frasa” (di tingkat kedua), kemudian “klausa”; selepas itu “ayat”, dan tingkat yang tertinggi “wacana”. Kedudukan ini diperjelas melalui rajah yang berikut:

Perkataan > Frasa > Klausa > Ayat > Wacana

Wacana boleh terdiri daripada ayat, sejumlah ayat, ceraian, dialog, bab, buku, siri buku dan sebagainya, yang memperlihatkan hubungan dan perkembangan fikiran secara berurutan serta lengkap. Sesuatu wacana, sama ada dalam bentuk lisan (pidato, khutbah), atau tulisan (surat, novel, cerpen, artikel) diujarkan/ditulis bagi tujuan menyampaikan sesuatu maklumat tentang sesuatu topik. Wacana bentuk tulisan ditulis dalam pelbagai bentuk, iaitu sama ada bentuk naratif (pemerian), deskriptif (penggambaran, eksposisi (pendedahan) atau penghujahan.

Sesuatu wacana yang utuh mempunyai dua ciri utama, iaitu kohesi (tautan) dan koheren (runtutan).

Kohesi bermaksud keserasian hubungan antara satu unsur linguistik dengan satu unsur linguistik yang lain. Keserasian hubungan ini, lazimnya, melalui hubungan antara satu perkataan, frasa atau ayat dengan perkataan, frasa atau ayat lain dalam wacana yang sama. Hal ini dijelaskan dalam ayat contoh yang berikut:

1. Pada waktu ini, abang dan kakak tinggal di bandar Kajang.

2. Sekarang, mereka tinggal di sana.

Kohesi antara ayat 1 dengan ayat 2 wujud melalui pertalian antara Pada waktu ini dengan Sekarang, abang dan kakak dengan mereka, dan di bandar Kajang dengan di sana.

Koheren atau runtutan pula merupakan kesinambungan idea yang terdapat dalam sesuatu wacana sehingga menjadikan teks itu bermakna. Contohnya:

Ekonomi Malaysia masih dalam keadaan gawat. Jelaslah, ekonomi kita masih belum betul-betul pulih. Harga komoditi kita masih rendah. Imbangan dagangan kita masih belum meningkat. Oleh itu, kita mesti menghadapi kenyataan ini dengan realistik. Kita tidak harus berbelanja lebih kerana keadaan ini.

Dalam contoh di atas, kesinambungan idea tentang keadaan ekonomi yang tidak menentu terjalin melalui perkataan dan frasa ekonomi Malaysia dalam ayat 1, belum betul-betul pulih dalam ayat 2, harga komoditi dalam ayat 3, imbangan dagangan dalam ayat 4, dan menghadapi kenyataan ini dalam ayat 5. Kelima-lima ayat dalam perenggan di atas menjadi koheren yang bermakna.

Untuk memahami ciri koheren dengan lebih jelas lagi, telitilah satu contoh lagi.

Sebutan berdasarkan ejaan dikenal juga sebagai sebutan fonemik.

Sebutan fonemik menegaskan bahawa pengucapan sesuatu bunyi itu menurut nilai bunyi yang dilambangkan oleh huruf atau grafem.

Prinsip ini berasaskan hakikat bahawa hampir setiap fonem dalam bahasa Melayu dilambangkan oleh sesuatu atau satu grafem yang mendukung satu nilai bunyi.

Dalam contoh di atas, koheren terjalin daripada sebutan berdasarkan ejaan dalam ayat 1, sebutan fonemik dan pengucapan sesuatu bunyi itu menurut nilai bunyi yang dilambangkan oleh huruf atau grafem dalam ayat 2, prinsip ini dan morfem dilambangkan oleh sesuatu atau satu grafem dalam ayat 3. Ketiga-tiga ayat dalam perenggan ini menjadi koheren yang bermakna.

Selain ciri kohesi dan koheren ini, terdapat juga ciri-ciri lain yang membantu menghasilkan wacana yang utuh, seperti tujuan sesuatu wacana, penerimaan oleh pendengar atau pembaca, maklumat yang terkandung, keadaan yang mewujudkan wacana dan peranan wacana.

Dalam bentuk tulisan, seperti surat kiriman, esei dan lain-lain, wacana yang utuh mempunyai tubuh, yakni format teks yang lengkap. Format teks itu mengandungi pendahuluan, tubuh (isi dengan jalinan bahasa yang mantap), penutup, dan unsur lain (yang melengkapkan wacana seperti graf, jadual, peta, statistik, dan sebagainya).

Begitulah huraian tentang wacana dalam berbahasa. Wacana begitu penting dalam menentukan kegramatisan bahasa.

Sumber : http://www.utusan.com.my/

Jumaat, 28 Ogos 2009

RM3.97 juta taja 822 pelajar ikuti KIBA

Anakanda Nurul Husna bergambar bersama Datuk Seri Adnan Yaakob
selepas menerima anugerah Pelajar Wanita Terbaik KIBA
Yayasan Pahang

KUANTAN 28 Ogos – Yayasan Pahang membelanjakan sebanyak RM3.97 juta sejak tahun 1992 bagi menaja seramai 822 pelajar mengikuti Kursus Intensif Bahasa Arab (KIBA).

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, pihak yayasan juga telah membelanjakan RM29 juta bagi menaja pelajar menyambung pengajian mereka ke Mesir, Jordan dan Maghribi.

‘‘Jumlah peruntukan yang besar ini, jelas menunjukkan kerajaan negeri melalui Yayasan Pahang, begitu konsisten untuk melahirkan lebih ramai generasi berpendidikan tinggi terutama di kalangan pelajar aliran agama,” katanya.

Beliau berucap pada majlis penyampaian sijil KIBA kepada 120 pelajar Kolej Antarabangsa IKIP di Kompleks Yayasan Pahang, Tanjung Lumpur di sini, semalam.

Turut hadir Pengurus Besar Yayasan Pahang, Datuk Saariah Saad dan Pengarah Maahad Tahfiz Pahang, Datuk Zulkifli Ali.

Pelajar terbabit akan melanjutkan pengajian mereka ke beberapa universiti terpilih di Mesir, Jordan dan Mahgribi.

KIBA dianjurkan oleh Kolej Antarabangsa IKIP dengan kerjasama Universiti Yarmouk Jordan untuk meningkatkan kemahiran dan keyakinan pelajar terbabit berkomunikasi dalam bahasa Arab.

Adnan berkata, beliau percaya pelajar terbabit mampu mengekalkan nilai dan norma jati diri Melayu meskipun tidak berada di dalam negara.

‘‘Janganlah terpengaruh dengan budaya negatif yang melalaikan dan boleh merosakkan jiwa. Pastikan masa tidak dibazirkan dengan perkara tidak berfaedah,” katanya.

Sementara itu, beberapa pelajar yang ditemui mengakui KIBA membantu meningkatkan penguasaan bahasa Arab mereka sebelum melanjutkan pengajian ke Timur Tengah dijadual bulan depan.

Mereka turut melahirkan rasa teruja untuk melanjutkan pengajian ke seberang laut bagi menimba ilmu pengetahuan dan pulang ke tanah air berbakti kepada agama, bangsa dan negara.

Muhammad Abdillah Mohd. Sarif, 20, berkata, beliau akan melanjutkan pengajian dalam tahun tiga dan empat di Universiti Yarmouk Jordan dalam bidang syariah, ekonomi dan perbankan Islam.

‘‘Saya bercita-cita menjadi pakar ekonomi Islam,” katanya yang merupakan anak ketiga daripada lapan beradik.

Muhammad Suleiman Syed Ibrahim, 21, pula berkata, beliau akan melanjutkan pengajian di Universiti Al-Azhar, Mesir dalam bidang Qur‘an wal qiraat.

‘‘Saya yakin boleh melakukan. Kalau orang lain boleh buat kenapa saya tidak,” katanya yang mahu menjadi ulama profesional.

Bagi Nurul Husna Mohamad Tawpik, 18, pula, beliau hendak menjadi penterjemah selepas menamatkan pengajian di Maghribi kelak.

Sumber : http: //www.utusan.com.my/

Nota hujung:

Penulis ingin menyatakan rasa bangga dan bersyukur atas kejayaan anakanda NURUL HUSNA muncul sebagai pelajar terbaik wanita dalam program berkenaan.Tahniah! Harapan ayahanda moga kejayaan anakanda menjadi pendorong untuk anakanda lebih cemerlang apabila melanjutkan pengajian di Maghribi nanti. AMIN!

PENGAJARAN DARIPADA MANUSIA TERPANTAS DUNIA

APA pengajaran yang boleh diberikan pemenang tiga pingat emas Olimpik, Usain Bolt, manusia terpantas di dunia, terhadap pemimpin perniagaan masa depan?

Agak mengejutkan, banyak juga. Bintang pecut itu dan jurulatihnya, Glen Mills, berada di Lausanne, Switzerland minggu lalu untuk berkongsi pengalaman, motivasi dan prinsip kejayaan mereka di depan 200 peserta seminar di sebuah sekolah perniagaan IMD.

"Kejayaan bagi saya adalah berterusan melakukan perkara hebat. Saya belum betul-betul berjaya. Bagi saya, saya akan menjadi atlit hebat jika saya mampu melakukan perkara ini saban tahun," katanya pada seminar itu.

Namun ia bukanlah semestinya mengenai memecahkan rekod, Bolt berkata: "Tahap saya adalah kejuaraan, bukan catatan rekod. Saya mahu menjadi legenda. Saya mahu orang berkata saya adalah antara atlit terhebat dalam sukan ini."

Pelari Jamaica berusia 22 tahun itu disertai jurulatihnya yang bagaikan bapanya sendiri, Mills.

"Ya, dia adalah bintang. Tapi apabila kami berada di trek, saya adalah bos," kata Mills, yang menegaskan bahawa Bolt perlu mengekalkan tahap tingginya. "Dia perlu memiliki motivasi untuk mengatasi apa yang dilakukannya sebelum ini. Dia belum memuncak lagi. Dia ada dua tahun lagi sebelum memuncak."

Mills pertama kali menyaksikan Bolt berlari pada kejohanan remaja dunia di Jamaica tujuh tahun lalu.

Di depan penyokong sendiri, Bolt yang berusia 15 tahun ketika itu memenangi acara 200 meter dengan masa 20.61 saat, muncul pelari paling muda memenangi perlumbaan pada kejohanan remaja dunia.

Namun perubahan daripada sekolah tinggi ke era profesional tidak mudah. Bolt mengalami beberapa kegagalan sebagai atlit remaja, terutamanya teknik yang lemah dan kecederaan berulang.

Menarik diri daripada pusingan pertama dalam kemunculan sulungnya pada Sukan Olimpik 2004 kerana kecederaan menimbulkan kritikan di tanah airnya.

Mills mula melatih Bolt pada 2005 dan mengemudi atlit itu daripada seorang yang sering cedera kepada juara Olimpik dalam tempoh dua tahun.

"Perkara pertama yang diberitahunya kepada saya adalah saya perlu kalah sebelum boleh menang," kata pelari pecut itu.

"Ia penting untuk mengajarnya mengenai perjalanan daripada terus kepada destinasi terakhir," kata jurulatih itu.

"Saya seorang yang bersifat realistik. Anda akan menjadi lebih berjaya jika anda bersedia bagi kejayaan dan kegagalan," katanya. "Sesetengah jurulatih hanya bercakap mengenai kejayaan. Tapi jika anda bersedia bagi segala keadaan, maka anda akan mampu menangani semua keadaan dengan lebih baik."

Profesor IMD, John Weeks berasakan pelari pecut Jamaica itu memberikan banyak pengajaran buat ahli perniagaan masa kini.

"Mencapai tahap yang dimiliki Bolt memerlukan motivasi, pemikiran kritikal dan fokus. Malah lebih penting, ia memerlukan seseorang mengubah kegagalan terdahulu kepada kelebihan, mengubah kekurangan kepada kekuatan dan mengembangkan motivasi yang diperlukan oleh seorang juara dunia," katanya.

Pakar perunding Fabio Antonello bersetuju adalah menarik mendengar daripada seseorang yang belajar menerusi masa-masa sukar.

"Dalam dunia hari ini kita perlu mengetepikan ketakutan berdepan kegagalan dan percaya terhadap keupayaan diri sendiri," katanya.

Sumber : http : //www.hmetro.com.my/

ISU SUMBER TENAGA ALTERNATIF

Teknologi nuklear bantu Malaysia capai status negara maju

Oleh Jamudin Idris
rencanabh@bharian.com.my

WALAUPUN isu nuklear tidak serancak diperkatakan ketika harga minyak mentah melambung dulu, usaha kerajaan untuk memajukan teknologi nuklear masih tidak terlambat apa lagi jika dibandingkan dalam konteks negara serantau.

Di kalangan negara Barat, nuklear sudah tidak asing lagi. Tenaga nuklear digunakan dengan meluas dan jiran terdekat kita seperti Korea Selatan, sejak tiga tahun lalu dilaporkan sudah mempunyai 20 reaktor nuklear dan hampir 40 peratus bekalan elektrik disumbangkan oleh sektor berkenaan.

Secara jujur, kepentingan nuklear kepada sesebuah negara sebagai sumber tenaga sebenarnya tidak dapat dipertikaikan, apatah lagi sumber bahan api seperti minyak, gas dan arang batu akan pupus apabila tiba waktunya.

Ketiga-tiga bahan api itu juga bukan senang untuk diganti atau tumbuh kembali selain kos mencari gali dan melombong memerlukan perbelanjaan tinggi.

Jadi persidangan dan pameran nuklear antarabangsa 2009 di ibu negara baru-baru ini mengenai kepentingan nuklear cukup relevan dan pakar dapat berbincang mengenai teknologi nuklear dan orang ramai diberi kefahaman kepentingan perkara itu.

Semua sedar teknologi dan teknik penggunaan nuklear dapat memberi manfaat dan sumbangan besar kepada pembangunan ekonomi dan kesejahteraan rakyat tetapi yang dikhuatiri ialah bahan buangan atau sisa daripada industri berkenaan.

Bagaimanapun, menerusi teknologi yang ada sekarang, bahan buangan disimpan untuk jangka masa tertentu dan apabila tidak berbahaya, ia dilupuskan.

Langkah lain yang sedang dibincangkan ialah pembelian secara pakej di mana bahan mentah nuklear dibeli dari negara penjual yang bersedia mengambil sisa buangan nuklear.

Ramai orang melihat teknologi nuklear untuk menghasilkan tenaga elektrik saja tetapi teknologi nuklear boleh dikembang dan diperluaskan meliputi pelbagai bidang penting seperti perubatan, pertanian, pembuatan, alam sekitar dan sebagainya.

Dalam bidang perubatan, teknologi nuklear sudah digunakan dengan meluas di hospital termasuk untuk melawan penyakit berbahaya seperti kanser, manakala dalam bidang pertanian kita berjaya menghasilkan anak pokok yang bermutu tinggi, enzim serta baja.

Begitu juga dalam bidang pembuatan, penggunaan teknologi nuklear membolehkan pengeluaran sarung tangan getah, resin dan sebagainya yang memberi sumbangan besar pada industri sarung tangan di Malaysia.

Teknologi nuklear turut memberi sumbangan besar untuk menjaga persekitaran seperti dalam bidang marin dan pencemaran udara selain mengesan kebocoran atau paip tersumbat dalam industri minyak dan gas.

Ketika ini, walaupun Malaysia hanya mempunyai sebuah reaktor penyelidikan di Bangi Selangor, sumbangan diberikan cukup membanggakan.

Pusat itu turut melatih pegawai tempatan dan luar negara yang terbabit dengan nuklear. Sebuah agensi yang dikenali Nuklear Malaysia di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi sudah lama ditubuhkan untuk memajukan teknologi nuklear di negara ini.

Seperti juga rakyat di negara serantau, pendedahan kepada nuklear di Malaysia agak perlahan menyebabkan orang ramai kurang pengetahuan mengenai perkara itu dan timbul kebimbangan yang berlebihan.

Kebocoran reaktor nuklear di Three Mile Islands, Amerika Syarikat pada 1979, Chernobyl, Ukraine (1986), Tokai Mura, Jepun (1999), United Kingdom (2000) dan di Sweden tiga tahun lalu masih menghantui sebilangan masyarakat.

Hakikatnya, malapetaka disebabkan kebocoran reaktor nuklear bukan berlaku setiap tahun. Disebabkan kejadian itu, banyak negara mengambil langkah keselamatan dan bersama-sama memastikan dapat menjana tenaga nuklear yang lebih murah, bersih dan selamat.

Sumber : http ://www.bharian.com.my/

Tiga tahap berpuasa. Di mana kedudukan puasa kita?

IBADAT puasa Ramadan adalah fardu ain bagi setiap Muslim dan Muslimah.

Kefarduan ini ditetapkan dalam al-Quran, sunnah dan kesepakatan ulama.

"Telah difardukan ke atas kamu berpuasa seperti mana telah difardukan ke atas orang yang terdahulu daripada kamu." (al-Baqarah:83)

Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya: "Didirikan Islam atas lima perkara - antaranya puasa Ramadan." (Riwayat Bukhari)

Berpuasa perlu dilakukan mengikut tatacara yang ditunjukkan oleh Nabi s.a.w dan diterangkan ulama supaya ibadat berkenaan membawa keredaan, keberkatan dan pahala berganda.

Tetapi hari ini kita menemui ada golongan yang berpuasa dengan gaya tersendiri seperti puasa di depan khalayak, berbuka bila berseorangan, manakala ada juga berpuasa perut, tetapi anggota lain tidak.

Imam Ghazali dalam kitabnya Ihya Ulumiddin menyebut, puasa ada tiga kedudukan iaitu puasa umum, puasa khusus dan puasa khusus al-khusus.

Puasa umum ialah menahan perut dan kemaluan daripada memenuhi kehendak syahwat.

Puasa khusus pula ialah menahan pendengaran, penglihatan, lidah, tangan, kaki dan seluruh anggota badan daripada melakukan dosa.

Sementara puasa khusus al-khusus ialah menahan hati daripada keinginan yang buruk dan daripada memikirkan sesuatu selain daripada Allah sepenuhnya.

Puasa akan terbatal pada tahap ini lantaran memikirkan perkara selain daripada Allah dan hari akhirat.

Demikian juga akan terbatal puasa dengan memikirkan dunia kecuali urusan dunia yang kepentingannya untuk agama kerana itu termasuk bekalan akhirat dan bukan urusan dunia.

Arbab al-Qulub (orang yang prihatin dengan hati mereka) berkata, sesiapa yang pada siang Ramadan tergerak keinginannya mencari apa yang akan dimakan ketika berbuka puasa, ditulis satu kesalahan kerana ia lahir daripada sikap kurang percaya pada pemberian Allah dan kurang yakin terhadap rezeki yang dijanjikan.

Tahap puasa seperti ini ialah tahap nabi, as-siddiqin dan al-muqarrabin.

Puasa seperti ini tidak mungkin dapat digambarkan dengan perkataan, tetapi boleh direalisasikan dengan amalan.

Menurut Imam al-Ghazali, bagi mencapai tahap puasa al-khusus iaitu puasa orang soleh, perlu menyempurnakan enam perkara iaitu:

  • Menundukkan pandangan dan menahan daripada melihat perkara tercela dan dibenci oleh syariat serta daripada segala perkara yang boleh mengganggu dan melalaikan hati daripada mengingati Allah.

  • Memelihara lidah daripada menuturkan perkataan yang tidak berfaedah seperti gurau senda, mengumpat dan dusta. Hendaklah lebih banyak berdiam diri, banyak berzikir dan membaca al-Quran.

  • Menahan daripada mendengar perkataan yang dibenci oleh syarak. Ini kerana setiap perkataan yang haram dituturkan, haram juga didengar.

    Justeru, Allah menyamakan pendengaran haram dengan memakan harta haram seperti firman-Nya bermaksud: "Mereka itu adalah orang yang suka mendengar berita bohong, banyak memakan yang haram." (al-Maidah:42)

  • Menahan anggota badan daripada melakukan dosa seperti menahan tangan dan kaki daripada perkara yang dilarang dan menahan perut daripada perkara syubhah ketika berbuka.

    Ini kerana tidak ada makna berpuasa sekiranya pada siang hari menahan daripada makanan halal, tetapi berbuka dengan makanan haram.

  • Tidak berlebihan ketika berbuka dengan makanan halal sehingga perut penuh dengan makanan terbabit. Ini kerana tidak ada bekas yang lebih dibenci oleh Allah daripada perut yang penuh dengan makanan halal.

    Bagaimana boleh seseorang itu mematahkan keinginan syahwatnya dan menewaskan musuhnya sedangkan apabila berbuka dia seolah-olah hendak mengembalikan semula makanan yang terlepas ketika berpuasa.

  • Hendaklah timbul di dalam hatinya perasaan takut dan pengharapan kepada Allah kerana dia tidak tahu sama ada puasanya diterima Allah dan termasuk di kalangan orang yang berjaya atau puasanya tidak diterima lalu dia termasuk di kalangan orang celaka.

  • Sumber : http://www.hmetro.com.my/

    Khamis, 27 Ogos 2009

    Portal Kementerian Pelajaran jadi sasaran penggodam

    Oleh SAIFUL AFFENDY SAPRAN
    saiful.sapran@kosmo.com.my


    LAMAN utama portal Kementerian Pelajaran yang berjaya diceroboh penggodam sewaktu ia diakses pada pukul 10 malam tadi sebelum disekat oleh penyelia web berkenaan.

    KUALA LUMPUR - Portal Kementerian Pelajaran telah diceroboh selama lebih 24 jam oleh penggodam yang hanya dikenali sebagai Isarock sejak kelmarin.

    Ia hanya disedari apabila wartawan Kosmo! cuba mengakses portal itu malam tadi dan mendapati laman utamanya telah digodam dipercayai individu dari negara jiran berdasarkan protokol internet (IP) yang ditinggalkan.

    Selain meletakkan gambar serta alamat blognya, penggodam tersebut sempat mengucapkan "Selamat menjalankan ibadah puasa bagi anda yang menjalankannya.''

    Wartawan Kosmo! menghubungi Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom yang terkejut dengan kejadian itu yang dianggapnya kes pertama dilaporkan setakat ini.

    Beliau kemudian dipercayai telah bertindak menghubungi pegawainya sebelum akses ke portal berkenaan serta-merta disekat untuk kerja-kerja penyelenggaraan.

    Sumber: http://www.kosmo.com.my/

    Apabila patriotisme kian luntur

    Oleh SITI SHAMSIAH MD SUPI

    UJAR Ibnu Khaldun secara fitrahnya setiap peradaban bangsa akan melalui tiga zaman atau peringkat; kemunduran, kemewahan dan kehancuran. Peringkat atau zaman kemunduran merupakan proses perjuangan mempertingkatkan keadaan hidup yang mundur, daif atau terjajah kepada keadaan yang merdeka, lebih aman, selesa, maju dan seimbang.

    Apabila peringkat yang seimbang telah dapat dicapai, maka warga bangsa akan meneruskan usaha untuk mencapai tahap yang lebih baik dan mewah. Peringkat yang stabil dan proses mencapai kehidupan lebih terkehadapan adalah era warga bangsa begitu menghargai keadaan sebelumnya dan sangat bersyukur pada apa yang mereka miliki di peringkat ini.

    Kesempitan dari sudut kemudahan asas atau yang bersifat daruriyyah, apatah lagi 'jauh panggang dari api' yang berbentuk hajiyat akan menerbitkan rasa syukur dan penghargaan apabila keadaan bertukar kepada kehidupan yang lebih selesa.

    Peringkat yang dilalui oleh peradaban satu-satu bangsa ada kaitannya dengan semangat patriotisme. Perasaan cinta yang kuat terhadap tanah air akan terserlah dan terzahir apabila keadaan negara memerlukan pertahanan, perlindungan serta kesejahteraan daripada ancaman dan tentangan dari luar atau secara mudahnya ia membawa maksud sebagai penentangan terhadap penjajahan.

    Dapat dilihat siapa musuh negara secara zahir dan hakiki atau pembelot dari kalangan warga bangsa sendiri seperti Sang Rajuna Tapa. Pada ketika ini patriotisme tertanam jauh ke dalam dasar hati, dibawa selama-lamanya sehingga jasad dikandung tanah.

    Pada zaman ini juga setiap warga bangsa merupakan patriot kerana tidak rela melihat walau seinci ibu pertiwi diredah, dijajah, dieksploitasi demi keuntungan penjajah. Apatah lagi daulat negara dicincang dan dinafi dengan penuh kehinaan tanpa sebarang harga.

    Setiap patriotik akan mewariskan sejarah kepada keturunannya dan generasi selepas mereka. Betapa bumi merdeka ini harus dipertahankan kedaulatannya. Tidak ada siapa yang akan menjaga untuk kita, melainkan diri sendiri.

    Kesinambungan kemerdekaan harus berlangsung sampai bila-bila. Namun, sejarah kemudiannya perlahan-lahan menjadi 'novel tradisi' kepada generasi yang lebih terkemudian. Tidak lagi menjadi kunci kepada jati diri warga bangsa.

    Kelunturan patriotisme dapat dilihat pada tingkah laku, pendirian dan cara bertindak generasi muda. Mereka yang berjuang dan berhempas-pulas menegakkan tiang seri jalur gemilang hanya mampu menggeleng dan menitiskan air mata apabila melihat belia pada hari ini tidak mempunyai sikap yang prihatin untuk terus mempertahankan kedaulatan negara.

    Ada juga kalangan yang keliru yang mengatakan hubb al-watan itu merupakan 'asabiyah, tetapi sebenarnya Baginda Rasulullah menegaskan bahawa 'asabiyah berlaku bila kita tetap mempertahankan ahli keluarga atau kaum kerabat biarpun dia telah melakukan kesalahan. Malah para hukama' mengatakan mencintai tanah air itu sebahagian daripada iman.

    Penyerlahan patriotisme oleh seorang warga bangsa sudah tentu tidak sama bentuknya sebagaimana ketika berlakunya penjajahan. Banyak orang telah cuba menterjemah dan menjelaskan bentuk-bentuk semangat perjuangan dalam suasana negara yang telah merdeka. Penjajahan pemikiran dan penjajahan ekonomi antara perjuangan yang masih belum selesai.

    Mengenai konsep patriotisme yang kini semakin abstrak dan subjektif sifatnya, berdasarkan kepada prinsip-prinsip Rukun Negara yang lima, pada hemat penulis; seseorang itu telah luntur atau hilang semangat patriotiknya apabila ia tidak menghormati undang-undang negara.

    Sekecil mana pun peruntukan yang telah digubal, adalah menjadi tanggungjawab setiap orang untuk mematuhinya. Undang-undang yang berdaulat hanya dapat digubal apabila sesebuah negara mencapai kemerdekaan.

    Lebih kurang satu dekad Perlembagaan Persekutuan melalui proses penggubalan sebelum ia benar-benar dapat berfungsi menjadi undang-undang tubuh. Daripadanya, maka dibentuk dan digubal undang-undang lain supaya Malaysia memiliki undang-undang yang sempurna dan dapat memelihara ketenteraman dan kesejahteraan awam.

    Tidak mematuhi undang-undang boleh diibarat seperti melanggar dinding pertahanan negara; juga seakan-akan satu usaha membuat kacau-bilau terhadap keadaan yang asalnya aman. Itulah sebabnya apabila berlaku pelanggaran undang-undang dan sabit kesalahan, seseorang pesalah perlu membayar harganya dengan menerima hukuman sebagaimana yang telah diperuntukkan.

    Namun jika hukuman itu diterima dengan penuh keinsafan, ia adalah petanda bahawa berlaku proses pendidikan daripada kesilapan yang telah dilakukan dan undang-undang berjaya mengajar dan membentuk kedegilan manusia kepada memiliki sikap yang lebih baik dan bernilai untuk negaranya.

    Bukanlah sikap yang patriotik juga bagi seseorang yang memiliki kemahiran tinggi tetapi cenderung untuk membuat pilihan yang lebih memberi keuntungan peribadi kepada dirinya sedangkan pada masa yang sama negara amat memerlukan kemahiran tinggi tersebut.

    Contoh yang boleh dikemukakan di sini adalah seperti kepakaran dalam bidang perubatan. Sasaran nisbah yang diletakkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia bagi setiap seorang doktor dengan jumlah penduduk adalah 1:600. Pada tahun 1957, nisbah seorang doktor dengan penduduk di Tanah Melayu adalah 1: 8,229.

    Nisbah ini mengalami perkembangan yang sangat memberangsangkan dengan pada tahun 2007 adalah 1:1,145, dan target yang mungkin dapat dicapai oleh Malaysia pada tahun 2013 adalah 1:1,600, yang sebenarnya masih sangat jauh dengan piawaian yang diletakkan oleh pertubuhan antarabangsa tersebut.

    Lebih malang lagi apabila terdapat dari kalangan rakyat negara ini yang sedar tentang keperluan negara tetapi tidak berasa apa-apa untuk tidak menghiraukannya.

    Seakan-akan suatu fitrah bagi setiap tamadun atau peradaban yang akan bertemu dengan zaman kejatuhan dan kemalapan selepas menikmati zaman kemewahan dan kesempurnaan.

    Namun kata Malek bin Nabi walaupun era tersebut tidak dapat dielak namun tidak seharusnya ia bermaksud kehancuran dan keruntuhan yang langsung tidak mampu memberi sedikit pun nafas. Walaupun secara relatifnya ia jatuh atau jauh sangat rendah kedudukannya berbanding dalam zaman kegemilangannya, tetapi ia seharusnya suatu keadaan yang masih mampu ditampan oleh kekuatan jati diri warga bangsa.

    Menurut beliau lagi faktor pemikiran yang kukuh dan pendidikan yang berteraskan kepada akidah yang ampuh mampu mengekang keruntuhan yang bersifat mutlak.

    PENULIS ialah Pegawai Penyelidik Pusat Syariah, Undang-undang dan Sains Politik, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

    Sumber : http ://www.utusan.com.my/

    LANTIKAN BARU MENTERI KABINET MALAYSIA

    Idris Jala dilantik Menteri di JPM

    KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, hari ini mengumumkan pelantikan Datuk Seri Idris Jala sebagai Menteri tanpa portfolio di Jabatan Perdana Menteri.

    Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin, berkenan dengan pelantikan itu," katanya.

    Idris yang kini Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan Malaysia Airlines, akan mengangkat sumpah sebagai Senator pada tarikh yang ditetapkan kelak.

    Sebagai CEO PEMANDU, organisasi yang akan mengawal pelaksanaan inisiatif Indeks Prestasi Utama (KPI), Idris akan membantu dan melapor kepada Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab terhadap perpaduan nasional dan pengurusan prestasi. Idris juga dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Unit Penyampaian dan Pengurusan Prestasi (PEMANDU).

    Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh pejabat Perdana Menteri di Putrajaya, Najib berkata beliau telah memaklumkan kepada Kabinet mengenai pelantikan itu pada Bengkel KPI Kabinet di Putrajaya pagi ini.

    Koh akan meneruskan tugas beliau dalam memformulasi dan melaksanakan keseluruhan dasar dan strategi mengenai pengurusan prestasi serta transformasi organisasi dengan tumpuan khusus terhadap Bidang Hasil Utama Nasional (N-KRA).

    Koh akan menjadi pengerusi lembaga PEMANDU yang termasuk Ketua Setiausaha Negara dan pegawai kanan lain. Idris sebaliknya akan menumpukan terhadap perkongsian kepakaran dan pengalaman di Shell dan Penerbangan Malaysia (MAS) serta memacu pelaksanaan pengurusan prestasi dalam Kerajaan Persekutuan.

    Idris, yang akan menjadi timbalan pengerusi lembaga PEMANDU, akan bertanggungjawab untuk sub khusus N-KRA dan KPI Nasional (N-KPI) dan menasihat di KRA peringkat menteri (M-KRAs) dan M-KPI.

    Beliau akan melapor kepada Koh mengenai isu-isu berkaitan KPI dan terus kepada Perdana Menteri mengenai tugas yang akan diberikan kepada beliau sebagai Menteri tanpa portfolio di JPM.

    Menurut kenyataan itu, lembaga pengarah Penerbangan Malaysia akan mengumumkan secara berasingan CEO dan Pengarah Urusan baru syarikat penerbangan itu.

    Idris dilantik sebagai Pengarah Urusan dan CEO Penerbangan Malaysia pada Disember 2005, selepas syarikat itu mengalami kerugian paling besar dalam sejarah korporatnya.

    Sebelum menyertai Penerbangan Malaysia, Idris berkhidmat selama 23 tahun dengan Shell. Antara 2002 dan 2005, Idris adalah Pengarah Urusan Shell MDS (Malaysia) dan Naib Presiden, Shell Malaysia Gas & Power (Malaysia).

    Antara 2000 dan 2002, Idris adalah Naib Presiden, Pemasaran Runcit, Shell International.

    Beliau juga Naib Presiden Perundingan Pembangunan Perniagaan di mana beliau mengetuai pasukan atasan perunding dalaman mengenai projek penambahbaikan perniagaan radikal, memperbaharui model perniagaan runcit global Shell bagi mencapai pertumbuhan menguntungkan.

    Antara 1998 dan 2000, Idris adalah Pengarah Urusan Shell Sri Lanka, di mana beliau membantu memulihkan perniagaan LPG Shell di Sri Lanka.

    Idris memegang ijazah dari Universiti Sains Malaysia dan sarjana dari Warwick University, United Kingdom.

    Sementara itu, semasa dihubungi Bernama susulan pelantikan beliau, Idris berkata: "Saya rasa terharu kerana diberi peluang ini dan akan melakukan yang terbaik untuk perubahan kepada negara." - Bernama