Jumaat, 23 Mac 2012

ISU PENDIDIKAN : Masalah Disleksia


Oleh : Mazira Mohamad Ghazali

Disleksia berasal daripada perkataan Yunani iaitu “DYN” bermaksud susah dan “LEXIA” bermaksud tulisan. Disleksia merupakan satu masalah pembelajaran iaitu kesukaran mengenal huruf, membaca, menulis, mendengar dan bercakap. Masalah ini biasanya dialami oleh kanak-kanak dan boleh berlanjutan sehinggalah kanak-kanak itu dewasa.

Istilah ‘buta huruf’ juga boleh digunakan untuk kategori ini. Sebenarnya masalah ini bukanlah satu penyakit atau kecatatan dan ia tidak memerlukan ubat untuk mengubatinya, sebaliknya dengan program pendidikan yang sesuai masalah ini dapat dikurangkan. Masalah disleksia adalah berbeza dengan afasia yang merupakan sejenis penyakit yang disebabkan oleh kerosakan saraf otak yang akan melumpuhkan kebolehan seseorang untuk berkomunikasi.

Disleksia dipercayai berpunca daripada cara otak itu memproses, di mana cara penghidap disleksia dengan otak orang normal bekerja adalah berbeza. Ini berkemungkinan disebabkan oleh kecatatan otak semasa kandungan ataupun ianya disebabkan oleh kemalangan. Selain itu, kemungkinan besar penghidap disleksia berpunca daripada faktor keturunan. Menurut kajian perubatan yang dijalankan di barat mendapati kanak-kanak penghidap disleksia mempunyai latar belakang keluarga yang mempunyai gangguan yang sama. Berkemungkinan besar puncanya boleh diwarisi tetapi yang membezakannya adalah darjah keterukannya.

Kajian yang dijalankan telah membuktikan disleksia disebabkan oleh kromosom 1, 15 dan 16 yang boleh diperturunkan secara turun-temurun. Pada kebiasaannya kanak-kanak lelaki lambat matang berbanding kanak-kanak perempuan. Kelewatan kematangan pada kanak-kanak merupakan salah satu kemungkinan punca disleksia.

Disleksia juga melibatkan orang dari pelbagai latar belakang tanpa mengira umur, jantina atau bangsa. Kanak-kanak yang mengalami disleksia bukanlah tergolong dalam golongan yang bodoh dan daripada kajian-kajian yang dijalankan mendapati mereka mempunyai tahap kecerdasan intelektual yang normal serta tidak mempunyai masalah pendengaran dan penglihatan.

Disleksia boleh dikategorikan kepada tiga bahagian iaitu :

1. Disleksia visual (penglihatan)

Kesukaran utama yang dihadapi adalah untuk mengingat dan mengenal abjad serta konfugirasi perkataan. Simbol-simbol perkataan yang dicetak juga sukar untuk diterjemahkan. Kemungkinan untuk melihat abjad-abjad tertentu atau sebahagian perkataan adalah secara terbalik.

2. Disleksia auditori (pendengaran)

Kesukaran untuk mengingat bunyi abjad, menganalisis bunyi mengikut suku kata perkataan dan menyusun atau menggabungkan suku kata bagi menyembunyikan perkataan. Bunyi percakapan yang dituturkan secara halus juga tidak dapat dibezakan. Masalah dalam membezakan bunyi vokal dengan konsonan juga turut dihadapi oleh disleksia auditori.

3. Disleksia visual-auditori

Kesukaran membaca yang amat teruk disebabkan oleh kelemahan untuk memproses tulisan secara visual dan audio.

Penghidap disleksia juga mengalami kesukaran untuk memindahkan maklumat ke atas kertas dan mengalami kesukaran untuk memegang pensel serta tidak dapat menulis mengikut garisan yang disediakan. Kanak-kanak ini juga, cenderung menulis perkataan yang pelik-pelik. Terdapat juga di kalangan mereka yang mengalami kesukaran untuk bertutur di mana mereka kelihatan seperti tidak mendengar atau mempedulikan. Hal ini berlaku disebabkan kelambatan dalam proses maklumat yang diperolehi. Mereka juga tidak menjalankan atau menyusun sesuatu mengikut abjad. Kanak-kanak ini juga menghadapi kesukaran dalam pembelajaran yang berkaitan dengan matematik mental.

Terdapat kekeliruan terhadap tanda dan simbol serta suka menterbalikkan nombor yang sama. Mereka juga berpakaian tidak kemas tetapi tidak kotor, pandai membutangkan baju, kidal dan pandai mengikat tali kasut sendiri. Mereka turut kelihatan berminat dalam pelajaran tetapi dianggap pemalas dan kelihatan bodoh. Skop penglihatan mereka yang terhad di mana kekeliruan berlaku di antara depan, belakang, kiri, kanan, atas, bawah serta pengamatan yang lemah.

Antara beberapa ciri penghidap disleksia adalah seperti berikut :

1. Penghidap gangguan ini dapat dikesan pada peringkat awal persekolahan kanak-kanak.

2. Kebiasaannya penghidap akan menghadapi masalah pembacaan yang lambat dan mempunyai tulisan tangan yang buruk.

3. Penghidap suka mengurang atau menambah sendiri pada sesuatu perkataan.

4. Sering mengalami kekeliruan dengan sesuatu perkataan pada huruf-huruf tertentu seperti “p” dianggap “q” dan huruf “b” dianggap “d”.

5. Kerap berlaku di kalangan kaum lelaki berbanding perempuan.

6. Kekerapan penghidap disleksia selalu terjadi di kalangan pasangan kembar, kanak-kanak yang dilahirkan tidak cukup bulan, kanak-kanak yang lahir daripada ibu yang sudah berumur dan kanak-kanak yang pernah mengalami kecederaan pada kepala.

7. Masalah disleksia boleh berlanjutan sehingga kanak-kanak meningkat dewasa.

8. Perhatian dan tumpuan senang terganggu dan gagal untuk menghabiskan sesuatu kerja sehingga selesai.

9. Cenderung menjadi seseorang yang impulsif atau sering mengikut perasaan sendiri tanpa memikirkan orang lain.

Disleksia hanya boleh dikesan apabila beberapa ujian dilakukan ke atas pesakit dengan pengendalian ahli psikologi atau guru khas disleksia. Penyakit ini boleh dirawat tetapi tidak boleh diubati. Penghidap disleksia biasanya akan diberi rawatan secara terapi untuk meningkatkan kemahiran linguistik, berfikir dan sosial.

Sumber : http://www.majalahsains.com/

ISU PENDIDIKAN : 45,000 kanak-kanak hidap Disleksia


Oleh Mohd Fahmi Mohd Yusof

JOHOR BAHRU: Kira-kira 50 peratus daripada lebih 90,000 kanak-kanak negara ini yang menghidapi masalah pembelajaran sejak usia lima hingga enam tahun berpunca daripada masalah Disleksia.

Perangkaan diterima Persatuan Disleksia Malaysia daripada Kementerian Pelajaran mendapati nisbah menunjukkan lima daripada 100 orang kanak-kanak berpotensi mengalami keadaan itu dan ia amat membimbangkan.

Presiden Persatuan Disleksia Malaysia, Sariah Amirin, berkata pihaknya kini dalam usaha merancang bersama kementerian bagi mewujudkan satu program khusus untuk kanak-kanak yang menghidap Disleksia supaya ditempatkan dalam kelas khas dan diajar guru khas.

Katanya, kebanyakan sekolah tidak dapat mengesan penghidap Disleksia selagi kanak-kanak itu belum menjalani pemeriksaan, justeru mereka cenderung meletakkan mereka dalam kelas pendidikan khas dengan alasan mengalami kesukaran dalam pembelajaran.

“Program dalam pendidikan khas kurang sesuai untuk penghidap Disleksia, sebaliknya mereka memerlukan program dan kaedah pembelajaran khusus bagi mengatasi masalah ini,” katanya ketika merasmikan Pusat Persatuan Dyslexia Malaysia kesembilan di Taman Melodies, dekat sini, semalam.

Difahamkan, ada sesetengah sekolah memberi kad Orang Kurang Upaya (OKU) kepada pelajar Disleksia, sedangkan mereka bukan mengalami penyakit yang kronik, tetapi hanya keadaan mereka yang sukar mengenal huruf, membaca, menulis, mendengar dan bertutur.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU SOSIAL : 329,936 PATI Diputihkan Di Bawah Program 6P


PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) berjaya memutihkan 329,936 pendatang asing tanpa izin (PATI) untuk bekerja dengan 59,990 majikan di bawah proses pemutihan Pekerja dan Pendatang Asing Tanpa Izin (6P), sehingga kini.

Ketua Setiausaha KDN, Tan Sri Mahmood Adam berkata, PATI yang diputihkan telahbekerja dengan majikan daripada pelbagai sektor seperti perkilangan, perkhidmatan, pembinaan, perladangan dan pertanian.

Beliau berkata, proses pemutihan program 6P yang bermula pada 10 Oktober tahun lalu akan berakhir pada 10 April ini.

"Seramai 115,721 PATI telah diampunkan dan memilih untuk pulang ke negara masing-masing dengan Indonesia seramai 73,598 orang; India (9,034); Nepal (7,254); Myanmar (6,342); Kemboja (4,337); Bangladesh (4,289); Vietnam (2,498);Pakistan (2,450); Filipina (1,945); Sri Lanka (1,481); China (1,168); dan lain-lain negara (1,325)," katanya dalam kenyataan di sini, Jumaat.

Daripada jumlah tersebut, seramai 85,818 PATI memilih jalan udara, 29,405 memilih jalan laut dan selebihnya menggunakan jalan darat.

Mahmood berkata, pusat setempat program 6P yang dibuka di Cameron Highlands pada 5 Mac lepas atas permintaan pengusaha-pengusaha kebun sayur berakhir Jumaat.

"Selepas tiga minggu beroperasi, pusat setempat Cameron Highlands telah memproses sebanyak 1,793 PATI yang melibatkan 301 majikan manakala sebanyak sembilan permohonan pengambilan pekerja asing baru/gantian telah diterima yang melibatkan seramai 140 orang pekerja asing," katanya.

Katanya, 214 syarikat telah mengemukakan permohonan pengambilan pekerja asing baru/penggantian yang melibatkan seramai 9,238 orang pekerja asing, di bawah Program Sehari Bersama Pengusaha Perabot Muar, Johor pada 10 Mac lalu.

"Syarikat-syarikat tersebut akan mula ditemu duga mulai hari ini sehingga 29Mac 2012. Program sehari tersebut telah dijayakan bersama oleh KDN, Jabatan Tenaga Kerja, MITI dan Persatuan Perabot Muar (MFA)," katanya.

Mahmood berkata, KDN melalui Jawatankuasa Rayuan Permohonan Pekerja Asing Peringkat Kementerian Dalam Negeri (JARPAK) mula mempertimbangkan permohonan pengambilan pekerja asing baru dan penggantian daripada sektor-sektor yang kritikal terutamanya yang terbabit dalam Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA).

"Jawatankuasa tersebut turut dianggotai Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia, Kementerian Sumber Manusia dan agensi-agensi kawal selia yang lain," katanya. - BERNAMA

ISU PENDIDIKAN : Dialog pendidikan bawa perubahan holistik


DATUK DR. AZIZ JAMALUDIN MHD TAHIR

BARU-baru ini, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan satu siri dialog pendidikan akan diadakan di seluruh negara bagi membolehkan Kementerian Pelajaran mengumpul pelbagai pandangan dan cadangan daripada setiap lapisan masyarakat untuk menjadikan sistem pendidikan pada masa depan lebih dinamik dan menepati keperluan semasa.

Ini sebenarnya satu langkah terbaik dalam sebuah masyarakat demokrasi yang semakin berkembang dan turut bertanggungjawab dalam mencorakkan sistem pendidikan, kerana merekalah yang sebenarnya berhak menilai sejauh manakah kesannya.

Pada masa ini, masyarakat khuatir bahawa sistem pendidikan hanya berjaya melahirkan lebih ramai cerdik pandai tetapi tidak dapat mengekang masalah sosial. Masyarakat sudah menuding jari bahawa sistem pendidikan yang terlalu mementingkan kecemerlangan akademik melahirkan lebih ramai pelajar pintar tetapi kurang cerdas emosi, sosial dan nilai-nilai keagamaan. Ramai yang melakukan jenayah kolar putih berpendidikan tinggi manakala sebahagian kecil yang gagal dalam peperiksaan awam turut menyumbang kepada gejala sosial.

Kecerdikan seseorang itu dalam bidang pendidikan tidak banyak membangkitkan semangat sayangkan orang lain, dan kerana itulah pendidikan dilihat sebagai sesuatu yang gagal dalam membentuk diri seseorang sehingga menjadi manusia berguna. Konsep pendidikan yang dibentuk pada asalnya adalah untuk memberikan pengetahuan dan dengan pengetahuan itu seseorang mampu membentuk peribadi unggul serta menyumbangkan kepada masyarakat di sekelilingnya.

Dalam hubungan itu, seseorang yang berilmu bukan dilihat sebagai yang mempunyai kedudukan material yang banyak, bahkan dalam sesetengah keadaan ia amat daif sehingga terpaksa melakukan pelbagai bidang pekerjaan untuk menyara kehidupan. Tetapi mereka ini berjiwa kental dan sanggup mengembara untuk menambahkan ilmu pengetahuan tanpa memikirkan pangkat yang mampu diraih.

Imam Al-Ghazali ( 1058-1111M) merupakan seorang yang amat mencintai ilmu dan memahami bahawa tujuan pendidikan adalah 'membuka ufuk baru dalam pemikiran' kerana melihat bahawa ilmu kalam lebih banyak menimbulkan mudarat berbanding manfaat. Beliau yang berasal dari keluarga miskin di sebuah kampung di pinggir kota kecil bernama Tus, berhampiran bandar Meshad, dalam wilayah Khurasan membahagikan ilmu kepada dua, iaitu ilmu zahir dan ilmu batin.

Ilmu zahir meliputi ibadah dan muamalah manakala ilmu batin pula ialah ilmu yang boleh digunakan untuk membersihkan hati dari sifat tercela. Kemuncaknya ialah hati dihiasi dengan sifat terpuji. Berasaskan kepada pembahagian tersebutlah Al-Ghazali mengkritik keras mengenai ilmu kalam yang sedang berkembang pada zamannya. Pada dasarnya, ahli ilmu kalam ialah tokoh agama yang mencorakkan ajarannya dengan acuan akal dan cuba mengukuhkan akidah agama berdasarkan akal atau rasional.

Corak pendidikan berdasarkan ilmu kalam itu semakin berkembang sehingga melahirkan persoalan rasionalisme melampau dalam pelbagai bidang sehingga Al-Ghazali melihatnya sebagai suatu kekalutan falsafah yang berpotensi membawa manusia kepada kesesatan.

Golongan ini sentiasa bersandarkan kepada ilmiah dengan berbingkaikan kaedah penyelidikan berdasarkan akal sehingga membawa kepada lahirnya kumpulan yang tidak lagi mempercayai tuhan. Bagi golongan ini, Tuhan tiada kaitan dengan penentuan kehidupan, kerana itulah tuhan tidak wujud dalam diri manusia. Kumpulan ini sebenarnya semakin membesar dan masih wujud hingga kini.

Malaysia turut menerima kesan daripada perkembangan itu apabila ada segelintir mereka yang berpendidikan tinggi begitu taksub dengan idea kebebasan dan liberalisme. Fahaman berkenaan diserap ke dalam pelbagai bentuk kehidupan sehingga ada seseorang pernah mendakwa "apa salahnya dengan mereka yang atheis'' - atas alasan mereka yang beragama turut melakukan jenayah seperti menipu, salah guna kuasa, rasuah dan adakalanya sanggup membunuh.

Atas kesedaran itulah juga mungkin mendorong rombakan semula sistem pendidikan Malaysia secara lebih holistik, bukan sekadar memadankan keperluan semasa bahkan membolehkan setiap mereka yang melaluinya mampu membezakan corak kehidupan yang lebih baik dan boleh membina manusia yang baik.

Dalam sistem pendidikan sekarang, meskipun tertera Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang cuba menghubungjalinkan keseimbangan jasmani, emosi, rohani dan intelektual, disebabkan sistemnya lebih terarah kepada pencapaian keputusan peperiksaan yang cemerlang, maka nilai emosi dan rohani semakin terpinggir.

Penulis ialah Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim)

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

RANKING SBP & MRSM SPM 2011


Ranking SBP SPM 2011

1.KOLEJ TUNKU KURSHIAH (0.9230)
2.SEKOLAH TUN FATIMAH (0.9390)
3.SEKOLAH SERI PUTERI (0.9842)
4.SEKOLAH SULTAN ALAM SHAH (1.1183)
5.SM SAINS TUANKU MUNAWIR (1.1800)
6.SBP INTEGRASI GOMBAK (1.226)
7.SM SAINS REMBAU (1.3006)
8.KOLEJ ISLAM SULTAN ALAM SHAH (1.3553)
9.SEKOLAH TUANKU ABDUL RAHMAN (1.3725)
10.SEKOLAH DATO` ABDUL RAZAK (1.3793)
11.SM SAINS ALAM SHAH (1.4400)
12.SM AGAMA PERSEKUTUAN LABU (1.4508)
13.KOLEJ MELAYU KUALA KANGSAR (1.4579)
14.SM SAINS SULTAN MAHMUD (1.4724)
15.SM SAINS MUZAFFAR SYAH (1.5109)
16.SBP INTEGRASI RAWANG (1.5281)
17.SM SAINS TENGKU MUHAMMAD FARIS PETRA (1.5287)
18.SM SAINS JOHOR (1.5491)
19.SM SAINS KUALA SELANGOR (1.5690)
20.SM SAINS MUAR (1.5800)
21.SM SAINS SELANGOR (1.5927)
22.SM SAINS BAGAN DATOH (1.6082)
23.SM SULTAN ABDUL HALIM (1.6345)
24.SBP INTEGRASI JEMPOL (1.6416)
25.SM SAINS SERI PUTERI (1.6491)
26.SM SAINS MACHANG (1.6903)
27.SBP INTEGRASI BATU RAKIT (1.7148)
28.SM SAINS HULU SELANGOR (1.7336)
29.SM SAINS KUCHING (1.7590)
30.SBP INTEGRASI SELANDAR (1.7763)
31.SBP INTEGRASI SABAK BERNAM (1.7893)
32.SM SAINS KUBANG PASU (1.7920)
33.SBP INTEGRASI KUBANG PASU (1.7997)
34.SM SAINS TUANKU JA`AFAR (1.8128)
35.SM SAINS LAHAD DATU (1.8227)
36.SM AGAMA PERSEKUTUAN KAJANG (1.8264)
37.SM SAINS KUALA TERENGGANU (1.8529)
38.SM SAINS MIRI (1.8874)
39.SM SAINS SULTAN ISKANDAR (1.9024)
40.SM SAINS KOTA TINGGI (1.9150)
41.SM SAINS TENGKU ABDULLAH (1.9327)
42.SBP INTEGRASI TEMERLOH (1.9355)
43.SM SAINS PASIR PUTEH (2.0000)
44.SBP INTEGRASI TUN ABDUL RAZAK (2.0353)
45.SM SAINS LABUAN (2.0397)
46.SBP INTEGRASI KUANTAN (2.0950)
47.SEKOLAH SAINS SULTAN HAJI AHMAD SHAH (2.0980)
48.SM SAINS SABAH (2.1370)
49.SBP INTEGRASI GOPENG (2.1467)
50.SM SAINS SULTAN MOHAMMAD JIWA (2.1803)
51.SM SAINS TUANKU SYED PUTRA (2.1994)
52.SM SAINS RAJA TUN AZLAN SHAH (2.2249)
53.SM SAINS POKOK SENA (2.2297)
54.SM SAINS SULTAN HAJI AHMAD SHAH (2.3900)
55.SM SAINS TELUK INTAN (2.4285)
56.SM SAINS TUN SYED SHEH SHAHABUDIN (2.4899)


Ranking MRSM SPM 2011:

1.TUN GHAFAR BABA – 1.00
2.TAIPING – 1.06
3.PENGKALAN CHEPA – 1.13
4.KUANTAN – 1.19
5.LANGKAWI – 1.21
6.PONTIAN – 1.29
7.BALIK PULAU – 1.63
8.TRANSKRIAN – 1.70
9.PASIR SALAK – 1.73
10.KUALA KUBU BARU – 1.77
11.TAWAU – 1.78
12.PENDANG – 1.80
13.PDRM KULIM – 1.83
14.SERTING – 1.85
15.GEMENCHEH – 1.88
16.MUADZAM – 1.90
17.BATU PAHAT – 1.92
18.LENGGONG – 1.92
19.PENGKALAN HULU – 1.92
20.KUALA TERENGGANU – 1.94
21.MERBOK – 1.95
22.FELDA – 1.97
23.KOTA KINABALU – 2.00
24.KUBANG PASU – 2.00
25.BESERI – 2.02
26.KUCHING – 2.03
27.ALOR GAJAH – 2.04
28.KEPALA BATAS – 2.06
29.JELI – 2.07
30.TUN GHAZALI SHAFIE – 2.10
31.K.BERANG – 2.20
32.KUALA KRAI – 2.23
33.TERENDAK – 2.28
34.BETONG – 2.29
35.MUAR – 2.31
36.MUKAH – 2.31
37.MERSING – 2.32
38.BESUT – 2.40
39.KOTA PUTRA – 2.42

Sumber : http://beliamuda.com/

ISU PEMBANTU RUMAH ASING : ‘Kalau tidak mampu sudahlah’


RUZY ADILA IDRIS

Apabila kerajaan Indonesia mengumumkan bahawa pembantu rumah dari republik itu hanya akan menjalankan satu tugas dengan gaji minimum RM700 sebulan, ia mencetuskan kontroversi. Kerajaan Malaysia pula menegaskan, apa yang diumumkan oleh Indonesia minggu lalu itu bercanggah dengan memorandum persefahaman yang dimeterai tahun lalu. Dalam temu bual dengan Sinar Harian Online di pejabarnya kelmarin, Menteri Penasihat Kedutaan Indonesia, Suryana Sastradiredja mengupas isu ini kepada wartawan RUZY ADILA IDRIS.

Meskipun MoU sudah dimeterai dan pertemuan susulan Pasukan Petugas Bersama, nampaknya masih wujud kekeliruan kadar tuntutan gaji pembantu rumah dari Indonesia?

SURYANA: Saya turut ditanya soalan sama oleh media lain mengenai perkara itu. Nampaknya berlaku kekurangan kolaborasi dan penyampaian maklumat daripada pegawai Malaysia kepada kerajaan dan juga kepada Perdana Menteri kerana ahli Pasukan Petugas Bersama bercakap kepada media selepas saya membuat kenyataan.

Dalam kandungan perjanjian nampaknya menekankan satu pembantu rumah satu tugas. Boleh jelaskan?

SURYANA: Sebetulnya begitu. Pada awalnya, kadar gaji ditetapkan antara RM600 hingga RM800 (sebulan) untuk satu pengkhususan kerja, tetapi daripada angka itu kita dapat RM700 dan pembantu rumah Indonesia perlu melalui latihan 200 jam. Latihan merangkumi empat jenis iaitu pembantu rumah, pengasuh, penjaga orang tua dan memasak di mana majikan Malaysia hanya boleh pilih satu bidang tugas. Masalahnya, saya tidak pasti di mana kekurangan maklumat dan mungkin Pasukan Petugas Bersama (di pihak) Malaysia tidak memaklumkan kepada menteri atau Perdana Menteri.

Oleh sebab itu, saya redakan berita itu. Okeylah, anda boleh minta pembantu rumah kerja lebih, boleh minta pembantu rumah buat dua atau tiga kerja lain, tetapi harus sepakat dulu. Jika majikan perlukan pembantu rumah membuat tugas tambahan, mereka perlu membuat perjanjian dan bersetuju bayaran tambahan yang dipersetujui bersama (oleh majikan dan pembantu rumah). Misalnya, jika pembantu rumah diambil untuk membuat kerja rumah dan majikan perlu bantuannya untuk menjaga anak, ini kerja tambahan, jadi bagilah dia bayaran tambahan. Jika majikan cakap pembantu rumah buat anak cedera, perjanjian menyatakan pembantu rumah hanya membuat kerja rumah dan majikan perlu bertanggungjawab sendiri, kalau terjadi apa-apa, majikan tidak boleh saman.

Jika begitu, berapa bayaran tambahan?

SURYANA: Bergantung perjanjian antara majikan dan pembantu rumah. Patut satu bidang satu gaji, jadi buatlah perjanjian dengan pembantu rumah berapa tambahannya.

Apakah perbezaan perjanjian dahulu dan sekarang?

SURYANA: Mungkin orang Malaysia tidak faham makna hak asasi manusia. Sebetulnya saya jamin itu. Definisi pembantu rumah ialah pekerja rumah. Perjanjiannya pun itu domestic helper, yang tugasnya memang di rumah untuk membersihkan rumah, menyapu, bersihkan kaca dan sebagainya. Sementara urusan anak atau orang tua itu ialah nyawa. Boleh anda bayangkan seorang pembantu rumah perlu menjaga anak, perlu menjadi jururawat. Itu melibatkan nyawa. Kalau sudah kerja melibatkan nyawa itu bukan kerja pembantu rumah. Bagaimana kalau salah? Salah beri suntikan atau ubat untuk orang tua, nanti majikan akan salahkan pembantu. Padahal dalam Konvensyen ILO jelas menyatakan tugas pembantu rumah hanya kerja membantu. Itu harus difahami. Masalahnya selama ini, orang Malaysia selalu berfikir ke belakang, selalu melihat ke belakang di mana pembantu itu sebagai superwoman, supermaid yang perlu kerja sampai cuci kereta, mandikan dan beri anjing makan. Itu bukan kerjanya.

Orang Malaysia selalu berpendapat mereka bayar murah, tapi beri kerja banyak kepada pembantu rumah. Kadang-kadang pembantu rumah dibawa ke rumah saudara-mara untuk buat kerja atau di sebelah siang disuruh masak di restoran manakala di sebelah malamnya disuruh tunggu kedai. Ini berlaku kerana tiada justifikasi mengenai tugas patut dijalankan sedangkan mereka sepatutnya bekerja di rumah.

Gaji RM700 sebulan dilihat terlalu tinggi? (Tetapi hakikatnya) bukan semua orang ada orang tua di rumah mereka.

SURYANA: Kita faham pembantu rumah itu apa. Dalam kontrak ada disenaraikan tugas dan tanggungjawab majikan, tenaga kerja. Ini kontrak perlu ditandatangani majikan, pembantu rumah dan agensi. Hanya boleh bekerja untuk majikan dan dilarang mencari pekerjaan lain atau disuruh kerja di tempat lain. Harus patuhi arahan daripada majikan dalam mengerjakan pekerjaan rumah sehari-hari meliputi - memasak, mengemas rumah, membasuh pakaian dan menggosok pakaian. Ini perjanjian kerja untuk ditandatangani. Ini sangat jelas. Sekarang, saya juga punya dua pembantu rumah dan seorang pemandu. Di sini saya ada dua pembantu rumah dan dua pemandu. Tetapi saya tak pernah minta pembantu rumah cuci kereta, saya tak pernah minta mereka berkebun sebab itu bukan tugas dia. Satu pembantu rumah untuk menguruskan rumah tangga manakala seorang lagi untuk menguruskan anak-anak. Kenapa? Sebab saya mampu bayar. Sementara itu, saudara saya, tiada pembantu rumah, tiada kereta, dia kata saya bukan awak, saya tidak kaya, saya tidak ada wang, saya tidak ada kereta, jadi saya tidak boleh bayar. Jadi kenapa saya harus paksa. Kalau saya tak mampu bayar, sudahlah.

Sama juga di Malaysia, kalau tidak mampu sudahlah, kenapa harus ribut? Saya sedih... kan saya sudah cakap, menteri pun kata nak cari alternatif cari sumber dari negara lain, carilah, jangan bising-bising. Contohnya, kalau kita mahu membeli barang di Pavilion tapi harganya (kadar) Chow Kit, mustahil. Kalau sebagai perbandingan maaf cakap, kalau mereka ada kemahiran 200 jam, saya berani sumpah mereka tidak datang ke sini. Mereka pilih Hong Kong, Korea, gaji lebih tinggi.

Apa jaminan kerajaan Indonesia majikan Malaysia berbaloi membayar RM700?

SURYANA: Inikan ada dalam perjanjian, pekerja diberi latihan 200 jam mampu bekerja dan boleh dikategorikan pekerja gred A atau B. Kita juga harus dapat jaminan daripada kerajaan Malaysia supaya mereka dibayar sesuai. Kita kirim orang ada kemahiran dan ada sijil. Kita minta jaminan mereka diberi tugas sesuai bidang kemahiran mereka. Di Indonesia, ada lapan agensi pekerjaan menguruskan kemasukan pekerja manakala di Malaysia ada lima agensi. Agensi ini bekerjasama, mereka beri latihan dan agensi Malaysia uruskan penempatan.

Kita juga minta agensi dan kerajaan Malaysia beri biodata majikan seperti yang kerajaan Indonesia kirimkan biodata calon pembantu rumah kepada calon majikan di Malaysia. Biodata itu merangkumi latar belakang majikan, gaji majikan sekurang-kurangnya RM5,000 untuk satu isi rumah (dulu hanya RM3,000) dan termasuk status kesihatan majikan. Kita tidak mahu majikan yang mempunyai sakit mental menggaji pekerja kita. Sebenarnya begini, matlamat kita bekerja dengan Malaysia untuk membina hubungan baik. Kita saling membantu. Kerajaan Malaysia harus memastikan mereka tidak layak, jangan ambil pembantu rumah dan kerajaan Indonesia pula tidak bekalkan pekerja yang tidak mempunyai kemahiran yang akan menimbulkan masalah.

Apakah perbezaan kandungan perjanjian dahulu dan sekarang?

SURYANA: Dahulu, kadar gaji tidak ditetapkan, tetapi sekarang gaji ditetapkan RM700 . Tetapi RM600 boleh ditetapkan bagi negeri seperti Terengganu, Kelantan, Sabah di mana kos hidup lebih rendah. Selain itu, pasport boleh dipegang pembantu rumah, hak satu hari kelepasan am yang tidak ditetapkan harinya dan majikan perlu buka akaun bank untuk bayar gaji. Jika berlaku kes tidak bayar gaji, ada bukti.

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/