Rabu, 12 Disember 2012

ISU BAHASA : Perkara 161 mesti digubal kekal kekebalan bahasa Melayu


Oleh : Teo Keok Seong
 
Hasrat untuk mengadakan kajian semula perundangan terhadap Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 oleh sesetengah pihak adalah tindakan yang membelakangkan semangat musyawarah yang dipupuk dalam sistem demokrasi ketimuran yang kita amalkan.

Tindakan seteru ini yang menamakan Menteri Pelajaran dan Kementerian Pelajaran sebagai responden pertama dan kedua dalam afidavit yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu itu, memperlihatkan betapa kurangnya sifat kesusilaan pada sesetengah daripada kita untuk berunding walaupun diberi kesempatan berbuat demikian sehingga akhir tahun.

Antara perkara yang dituntut adalah perintah untuk membatalkan PPPM yang didakwa melanggar Perkara 161 Perlembagaan Persekutuan dan Perkara 2 Perjanjian 20 Perkara Penubuhan Persekutuan Malaysia oleh Sabah. Perkara 161 merujuk kepada kebebasan penggunaan bahasa Inggeris di Sabah dan Sarawak, sehingga tempoh sepuluh tahun selepas penubuhan Persekutuan Malaysia. Begitu juga halnya dengan Perkara 2 yang antaranya menuntut agar bahasa Inggeris dijadikan bahasa rasmi untuk semua bidang, dengan tiada had tempoh langsung.

Justeru, kajian semula perundangan itu bertujuan memohon perintah agar kedua-dua responden mematuhi keperluan seperti yang diperuntukkan Perlembagaan Persekutuan dalam menggubal PPPM. Jika tidak, ia akan cuba mendapat perisytiharan bahawa PPPM digubal dengan kuasa perundangan yang tidak adapun pada Menteri Pelajaran dan Kementerian Pelajaran.

Ketepi nasionalisme

Tindakan itu walaupun sah di sisi undang-undang negara, sebahagian daripadanya boleh ditafsirkan sebagai perbuatan yang membelakangkan nasionalisme linguistik bahasa Melayu. Ia memperlihat betapa tidak bangga dan tidak yakinnya sesetengah daripada kita kepada kemampuan bahasa Melayu, khususnya untuk memajukan rakyat.

Tindakan ini juga boleh ditafsirkan sebagai perbuatan memperkecilkan kedudukan bahasa Melayu, yakni bahasa pribumi yang juga bahasa negara ini, di sisi bahasa Inggeris, iaitu bahasa asing, di tanah watannya sendiri.

Dalam konteks ini, bahasa Melayu boleh dikatakan sebagai satu-satunya bahasa negara di dunia ini yang tidak disanjungi sepenuhnya oleh setiap lapisan dan sektor masyarakat, sama ada kelas sosial rendah atau tinggi dan penduduk asal atau bukan asal. Sikap begini boleh ditafsirkan sebagai tidak menghormati kedudukan agung bahasa Melayu di sisi undang-undang.

Sudah tiba masanya Perkara 161 disemak untuk dipinda. Keperluan perundangan tempoh sepuluh tahun itu sepatutnya sudah lama diperbetul. Kini selepas hampir 50 tahun penubuhan Persekutuan Malaysia, pelaksanaan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi bukan saja masih belum tercapai sepenuhnya tetapi sering dijadikan isu yang boleh menjadi sensitif dan mencetuskan pergaduhan kaum seperti Rusuhan Etnik 1969.

Pinda Akta Bahasa Kebangsaan

Sehubungan ini, Akta Bahasa Kebangsaan perlu dipinda lagi selepas beberapa kali diperbaiki sejak 1957 kerana kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa negara terus dipertikai. Ia perlu segera dilakukan untuk memberi penegasan sekali lagi mengenai taraf dan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa negara, lebih-lebih lagi sebagai bahasa rasmi negara yang tunggal.

Akta Hasutan yang pernah digunakan untuk menghalang perbincangan awam mengenai isu yang boleh menimbulkan kemarahan dalam kalangan masyarakat, perlu digunakan semula. Ia amat perlu kerana terdapat pihak yang cuba membangkitkan isu bahasa rasmi ini, khususnya secara penuh acuman, melalui pelbagai cara.

Sesungguhnya setelah sekian lama penubuhan Persekutuan Malaysia, bahasa Melayu yang juga bahasa negara, sudah pun difahami oleh warga negara Malaysia bukan saja dalam pengertian perundangannya. Tetapi lebih penting lagi dalam takwil emosi dan moralnya. Dalam hal ini, mereka perlu mempunyai perasaan bangga, sayang dan setia kepada bahasa Melayu, selain memperlihat kelakuan positif terhadapnya.

Sebagai bahasa negara, bahasa Melayu perlu digunakan oleh setiap warga negara dalam semua bidang dan kegiatan hidup. Ia sebetulnya bahasa setiap warga negara yang mempunyai kesetiaan kepada Malaysia.

Penulis ialah Profesor Linguistik di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU SOSIAL : Prasangka buruk merungkai kesatuan


Oleh : DR ASYRAF WAJDI DUSUKI

Salah satu punca kelemahan umat Islam hari ini sehingga terlerainya ikatan ukhuwah dan kesepaduan ummah amat terkait dengan fenomena prejudis dan berprasangka buruk sesama sendiri.

Berprasangka buruk atau dalam istilah al-Quran disebut ‘Dzan’ dilihat semakin menggejala dalam realiti masyarakat global, dalam dunia tanpa sempadan kini. Kemudahan dan kecanggihan teknologi seperti telefon bimbit, SMS, internet dan instrumen lainnya turut merangsang dan menyuburkan lagi budaya negatif ini.

Sebab itulah isu yang kecil cukup mudah untuk diperbesar-besarkan malah mampu direka dan disensasikan dengan hanya menekan beberapa butang tanpa perlu menunggu tempoh lama untuk disebarkan.

Dalam penulisan kali ini, penulis lebih cenderung membicarakan isu prejudis atau prasangka buruk ini dalam realiti budaya politik umat Islam kini. Ini kerana politik perebutan kuasa amat mudah menjerumus umat ke polemik persengketaan yang berpunca daripada sikap berprasangka bagaikan semakin sebati dalam diri.

Sesungguhnya sikap prejudis dan berprasangka sering kali dikaitkan dengan gejala ketaksuban dalam budaya politik kepartian yang semakin tercabut nilai-nilai dan prinsipnya.

Orang yang taksub kepada kelompoknya juga walaupun melihat perbuatan baik, tidak akan keluar daripada mulutnya kata-kata pujian kecuali yang melakukannya adalah daripada golongan atau orang yang bersefahaman dengannya.

Fenomena berpolitik yang tidak didasari dengan akhlak Islam seperti inilah menyebabkan kelompok ekstrem ini mudah terjerumus ke kancah mencari salah orang lain lantaran didasari sikap prejudis dan berburuk sangka. Malah jika ada perkataan atau perbuatan mengandungi dua kemungkinan iaitu baik atau buruk, mereka akan beratkan kemungkinan yang buruk daripada baik.

Ini pastilah amat bertentangan dengan prinsip al-Quran yang jelas menegaskan: Wahai orang-orang beriman, jauhilah kebanyakan daripada prasangka, sesungguhnya sebahagian daripada prasangka itu adalah dosa. (Al-Hujurat:12. Dalam sebuah hadis Nabi SAW turut ditegaskan: “Jauhilah prasangka kerana prasangka itu adalah perbicaraan paling dusta” (Riwayat Muttafaqun Alaihi).

Apa yang pasti prinsip al-Quran dan as-Sunnah sentiasa menganjurkan agar umat sentiasa bersangka baik terhadap hamba ALLAH. Apabila didapati padanya keaiban, hendaklah ditutupi supaya ALLAH menutupi keaibannya di dunia dan akhirat. Sebaliknya apabila didapati kebaikan, hendaklah dizahirkan dan disebar luaskan.

Namun apa yang berlaku kini sebaliknya. Kita jarang sekali mengambil sikap berbaik sangka apabila satu-satu berita keburukan orang lain diceritakan. Malah apa yang lebih menyedihkan, kita pula menokok tambah cerita tanpa memikirkan natijah bakal berlaku kepada mangsa fitnah tersebut.

Kita mungkin lupa bahawa Islam amat keras mencela golongan pencacai dan pengadu domba yang sentiasa berusaha menyalakan obor kebencian dan membakar api permusuhan hingga terlerai ikatan ukhuwah dalam kalangan umat. "Dan janganlah kamu ikuti setiap orang yang banyak bersumpah lagi hina, yang banyak mencela, yang ke sana  ke mari menghambur fitnah. (Al-Qalam : 10-11).

Dalam satu hadis diriwayatkan Ibnu Abbas: Pada satu hari Rasulullah SAW melewati sebuah kebun di antara kebun-kebun di Madinah. Tiba-tiba beliau mendengar dua orang yang sedang diseksa di dalam kuburnya, lalu Nabi SAW bersabda, “Kedua-duanya diseksa, padahal bukan kerana dosa yang besar. Yang pertama diseksa kerana tidak betul-betul bersih sesudah membuang air kencingnya dan seorang lagi kerana suka mengadu domba” (Hadits Riwayat Al Bukhari, lihat Fathul Baari, 1/317) .

Sebab itulah seorang mukmin sejati harus sentiasa berfikiran jernih dan menjauhi sikap berprasangka buruk agar sentiasa berlaku adil kepada kawan mahupun lawan.

Usaha bersepadu harus dilakukan untuk membendung gejala berprasangka daripada terus menyubur dalam masyarakat Islam kini. Umat harus dibimbing agar lebih berakhlak dalam memanfaatkan pelbagai kecanggihan teknologi supaya tidak mudah terjerumus dalam budaya berprasangka yang membinasakan. Umat harus dididik agar dalam kesibukan mereka berpolitik, jangan sampai memperjudikan kesatuan ummah hingga meletakkan masa depan negara diambang kemusnahan.

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

ISU PENDIDIKAN : Kaji semula dasar pelajaran


KUALA LUMPUR 11 Dis. - Dasar pelajaran berkaitan sekolah semua aliran di negara ini perlu dikaji semula agar komposisi murid pelbagai kaum di sekolah-sekolah terbabit lebih mencerminkan nisbah penduduk di negara ini.

Ahli Dewan Negara, Prof. Datuk Dr. Firdaus Abdullah berkata, kerajaan seharusnya mencari jalan untuk memastikan sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) dan sekolah jenis kebangsaan Tamil (SJKT) tidak bersifat eksklusif untuk kaum-kaum tertentu.

Menurut beliau, langkah itu juga memberi peluang kepada kanak-kanak daripada latar belakang kaum yang berbeza untuk berinteraksi dan memupuk semangat integrasi nasional dalam kalangan mereka.

“Kita amat gerun melihat semakin terpisahnya anak-anak kita di peringkat umur paling muda semasa mereka mengikuti pengajian di sekolah.

“Sekiranya keadaan ini berterusan, kita tidak tahu ke manakah halanya dan apakah masalah sosial yang bakal timbul pada masa hadapan," katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2013 dalam Sidang Dewan Negara hari ini.

Firdaus turut mencadangkan kepada kerajaan supaya menggubal dasar pendidikan vokasional yang bersifat menyeluruh agar pelajar menerima kemahiran yang lebih relevan dan berprestij.

Katanya, langkah yang lebih tegas hendaklah diambil dalam usaha mengangkat martabat bahasa Melayu sebagai bahasa perantaraan, bahasa ilmu dan bahasa budaya tinggi.

“Kita perlu memberikan sokongan sepenuhnya kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang saya ketahui berhadapan banyak rintangan dalaman dan luaran untuk menjayakan matlamat penubuhannya.

‘‘DBP boleh diberi kuasa bagi bertindak mengikut undang-undang untuk mengambil tindakan terhadap pihak yang enggan mematuhi peraturan-peraturan kecil yang terkandung dalam Dasar Bahasa Kebangsaan," ujarnya.

Menurut Firdaus, delegasi Malaysia ke persidangan antarabangsa di luar negara juga disarankan mencontohi amalan delegasi Indonesia yang memilih untuk berucap dalam bahasa kebangsaan mereka.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU SOSIAL : Bukti Malaysia komited memerangi rasuah


Oleh : Akhbar Satar
 
KPI, iltizam politik tingkat prestasi

Tahukah anda bahawa Indeks Persepsi Rasuah (CPI) diperkenalkan oleh seorang rakyat Jerman, Professor Dr Johann Graf Lambsdorff. CPI adalah kaji selidik yang menilai tahap penerimaan rasuah sektor awam dalam kalangan 176 negara.

Kini CPI adalah satu-satunya indikator mengukur tahap persepsi rasuah sesebuah negara. Ia mula diperkenalkan pada 1995 oleh Transparency International, sebuah badan NGO pencegahan rasuah dunia, yang diasaskan Dr Peter Eigen yang berpangkalan di Berlin, Jerman.

Kajian persepsi bagi mengukur tahap persepsi rasuah sesebuah negara secara realistik sukar kerana masalah mendapatkan data yang sahih daripada agensi pencegahan rasuah. Ia diburukkan lagi kerana hasil soal selidik yang diperoleh tidak menunjukkan kedudukan sebenar kerana sudah menjadi lumrah manusia tidak akan membuka pekung di dada bila ditanya pembabitan mereka di dalam rasuah.


CPI kumpul 13 kajian antarabangsa

Bagi penulis yang kebetulan adalah EXCO Transparency International-Malaysia, CPI hanya mengkhususkan kepada isu persepsi tahap rasuah sesebuah negara di mana kedudukannya disenaraikan mengikut skor yang diperoleh dan bukannya berdasarkan realiti tahap rasuah di negara terbabit.

CPI dikeluarkan berdasarkan pengumpulan 13 kajian antarabangsa oleh pelbagai pihak, terutama berdasarkan soal selidik yang dijalankan ke atas ahli perniagaan luar negara yang berurusan dengan sektor awam. Sehubungan itu, CPI Malaysia pula diukur berdasarkan lapan kajian ini saja.

Oleh sebab metodologi kajian dijalankan TI tidak berdasarkan kepada ‘primary data’, hasilnya kerap dipertikaikan. Tahun ini, TI cuba memperbaiki metodologi dengan menggunakan skor 1-100 dan bukan lagi 1-10 seperti tahun sebelum ini. Kaedah ini lebih tepat dan perbandingan dengan keputusan sebelum ini boleh dibuat.

Untuk memudahkan kita mengetahui perbandingan kedudukan skor, TI Malaysia mengambil inisiatif menggunakan metodologi baru dengan memasukkan data 2011.

Justeru, kedudukan Malaysia dalam CPI meningkat daripada tangga ke-60 tahun lalu kepada tangga ke-54 tahun ini. Malaysia mencapai mata 49 daripada 100 pada kaji selidik yang menilai tahap penerimaan rasuah dalam kalangan 176 negara.

Maka pandangan yang mengatakan Malaysia berada di bawah ‘markah lulus’ adalah tidak benar kerana purata markah yang diperoleh Malaysia adalah 49 iaitu jauh lebih tinggi berbanding 37 iaitu markah purata bagi keseluruhan 176 negara.

Selalunya kedudukan kita menurun, kedudukan dicapai kali ini dipengaruhi pelbagai pembaharuan dan tindakan yang dibuat kerajaan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan ada iltizam politik. Apa yang lebih membanggakan ialah Malaysia satu-satunya negara yang berani menggunakan CPI sebagai Indeks Prestasi Utama (KPI) bagi memerangi rasuah.

Malaysia berkongsi kedudukan sama dengan Turki, Republik Czech dan Latvia.

Qatar ranking terbaik

Dalam kalangan negara ASEAN, Singapura menduduki tempat pertama dengan memperoleh 87 mata diikuti Brunei Darussalam di tempat kedua dengan 55 mata. CPI Thailand ialah 37 mata dan Indonesia pula 32 mata.

Dalam kalangan negara Islam, ranking terbaik ialah Qatar dan Emiriah Arab Bersatu yang mana CPI adalah 66 mata dan ranking ke-27. Negara yang menduduki ranking tercorot ialah Somalia, iaitu sebuah negara Islam, dengan kedudukan ke-174 dan CPI 8 mata. Ia berkongsi mata dengan Afghanistan dan Korea Utara.

Tiga tempat teratas ialah Denmark dan Finland yang memperoleh 90 mata diikuti Sweden (88), Singapura (87), Switzerland (86), dan Norway (85).

Selepas membuat beberapa analisis, penulis mendapati negara yang mempunyai ranking tertinggi di dunia mempunyai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang tinggi seperti Denmark (AS$59,684), Finland (AS$49,391), Sweden (AS$56,927) dan Singapura (AS$46,241).

Kebanyakan kita keliru apabila menilai tahap persepsi rasuah di negara ini. Kita perlu ingat bahawa yang paling mustahak ialah skor dan bukan ranking disebabkan setiap tahun jumlah negara yang terbabit berubah. Sebagai contoh, pada 2010 skor Malaysia ialah 4.4 daripada 10 dengan kedudukan ke-56 daripada 178 negara. Tahun lalu, purata skor negara ialah 4.3 daripada 10 dan kedudukan kita ialah 60 daripada 182 negara dan tahun ini purata skor negara ialah 49 daripada 100 sedangkan kedudukan negara 54 daripada 174.

Penulis ialah Pengarah Institut Jenayah & Kriminologi Universiti HELP

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU BAHASA : Bahasa dan ucapan menjelang PRU13


Oleh : DR AMINUDIN MANSOR

Bahasa, percakapan yang baik melambangkan ketinggian budi pekerti seseorang itu. Jika seseorang itu bertutur, berbicara dan berucap dengan bahasa yang baik dia akan mendapat pahala dan balasan yang baik daripada ALLAH. Bahasa dan ucapan daripada lidah dan mulut mestilah dijaga semasa berkempen menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Ada yang mengatakan, jikalau kempen pilihan raya mengikut adab tidak seronok. Penceramah dan pendengar juga kebanyakannya gemar mendengar ceramah yang ada unsur fitnah, caci-maki, kutukan dan sebagainya. Bahasa dan ucapan dalam PRU13 sepatutnya menjurus kepada kesejahteraan rakyat, dan apa yang akan dilakukan jika sesebuah parti menang dalam PRU13.

Banyak isu yang boleh dibangkitkan semasa berceramah seperti isu bahasa, pendidikan, pembangunan bandar dan desa, kemudahan kepada rakyat, kejayaan akan datang dan juga perpaduan dalam kalangan rakyat. Isu-isu ini boleh dijelaskan kepada rakyat sebagai penjelasan kepada manifesto sesebuah parti politik.

Sebagai manusia, ALLAH memberi akal untuk menuturkan perkara-perkara yang baik kepada umum. Mengeji, mengumpat, memfitnah dan mencarut adalah sangat dilarang oleh ALLAH. Berpolitik tidak salah, yang salahnya gaya dan cara berpolitik dengan bahasa tidak baik.

Manusia dianugerahkan oleh ALLAH dengan lidah dan mulut untuk berkata-kata yang baik sahaja. Penggunaan bahasa yang baik dan bersopan santun, berhemah akan menyedapkan hati dan telinga orang yang mendengarnya terutama para pengundi yang akan mengundi dalam PRU13.

Dalam hal ini, Rasulullah SAW bersabda: “Barangsiapa beriman kepada ALLAH dan hari akhirat hendaklah berbicara baik-baik atau lebih baik diam” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Dalam masa berkempen menjelang PRU13 yang kemungkinan besar akan diadakan tahun depan, rata-rata kebanyakan pengundi, pendengar ceramah, pemerhati politik, pengundi atas pagar dan pengundi muda mengharapkan kata-kata yang baik dengan harapan dan janji yang muluk-muluk yang pastinya ditepati oleh para pemimpin parti.

Seseorang pemimpin parti yang berhemah, berhati budi dan berakal tidak akan mengeluarkan kata-kata yang boleh menyakiti orang lain. Sikap ini melambangkan budi luhur seseorang itu dalam kehidupannya. Hal ini, juga membayangkan betapa tingginya didikan adab dan budi. Kawal emosi semasa berceramah di hadapan pengundi yang berakal budi. Kata-kata menyerang dan juga menyeranah sepatutnya tidak berlaku.

Selain itu, isu peribadi sepatutnya tidak ditimbulkan dalam ceramah politik. Manakala adab dan akhlak seseorang pemimpin patut diutamakan dan menjadi fokus kepada kepimpinan parti dan negara. Rakyat khususnya pengundi tentunya mempunyai persepsi terhadap seseorang pemimpin, atau wakil rakyat mereka. Jika rakyat dan pengundi tersalah pilih,  bebanannya akan ditanggung oleh mereka. Di sinilah peranan kita semua sebagai khalifah. Apabila kita ingin menjaga peradaban, kita perlu tetap beradab.

Oleh sebab itu, orang yang beradab tidak pernah berbicara soalnya sendiri dan tidak memfitnah dan mengutuk orang lain dalam kempen untuk meraih undi. Di samping itu, dia juga akan menjaga akhlak dan adabnya agar tidak menjadi buah mulut dan senjata kepada parti lawan. Seni bahasa yang baik akan memancarkan budi dan adab yang baik.

Dikatakan adab dan kata-kata yang baik adalah seni untuk membuatkan orang berasa selesa mendengarnya pada setiap kali ceramah politik. Sesiapa yang menyebabkan paling banyak orang berasa tidak selesa mendengar ceramahnya dialah bakal pemimpin yang akan ditolak oleh rakyat.

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/