Oleh : MOHAMAD ABDULLAH
LAPORAN akhbar baru-baru ini
tentang beberapa berita yang mengaitkan kejadian jenayah yang melibatkan
keluarga terdekat agak mengganggu fikiran kita. Dalam satu kejadian di Kuching,
Sarawak seorang anak dilaporkan memukul ayahnya yang berusia 77 tahun hingga
mati.
Pada halaman yang sama, di Johor
Bahru, Johor seorang anak dikatakan menyamar sebagai ah long untuk mengugut
bapanya sebanyak RM3,000. Ini hanyalah sebahagian daripada kejadian yang
berlaku kebelakangan ini yang tidak harus dipandang kecil.
Sedikit masa lalu kita pernah
dikejutkan dengan berita ibu bapa yang menyaman anak yang mengabaikan mereka
setelah diagihkan harta dan mereka menang kes mahkamah tersebut. Anaknya
seorang pensyarah dilaporkan dijatuhi hukuman kerana kesalahan tersebut.
Menjelang Aidilfitri nanti akan
banyaklah lagi laporan kesedihan ibu bapa yang menanti kepulangan anaknya atau
mereka yang disisihkan lalu hidup dalam kesunyian dan kesepian sama ada
di rumah orang tua-tua atau pun bersendirian di rumah usang bertemankan air
mata dan kenangan melihat kepulangan anak cucu jiran tetangga dengan linangan
air mata yang barangkali amat payah difahami oleh sesetengah anak-anak muda
yang dibesarkan melalui generasi high technology dan makin kurang high
touch-nya, menggunakan istilah penulis Megatrends, John Naisbitt.
Kes-kes jenayah yang berlaku
begitu menakutkan, apatah melibatkan warga emas dan sanak saudara yang amat
rapat di luar jangkauan pemikiran. Ke manakah hilangnya belaian kasih sayang
yang ada sehingga kita gagal merasai perasaan mereka sebagai saudara, suami
isteri apatah lagi ibu bapa yang melahir dan membesarkan kita.
Ini belum lagi melihat kepada
nasib orang tua uzur yang kerap diabaikan oleh anak-anak semata-mata kerana
jurang pemisah yang besar untuk memahaminya. Seorang tua, bukan sekadar
memerlukan wang ringgit tetapi jauh daripada itu adalah kasih sayang dan perhatian.
Seorang anak muda pernah
bercerita kepada penulis bagaimana datuknya yang tua dan dianggap menyusahkan
keluarga dengan sikap cerewet dan memberontak tiba-tiba tersenyum apabila dia
memandi, membedak dan menyisir rambutnya. Selepas beberapa hari, datuknya
menghembuskan nafas terakhir sebagai kesudahan daripada episod bebanan anak-anak
yang tidak pernah cuba memahami perasaan kesunyian yang dilalui oleh bapa
mereka.
Seorang ibu atau bapa sering
melihat anak-anak dalam bayangan masa lalunya, mengharapkan anak itu tidak
pernah besar dan dapat dimanjakan seperti mana usia kecil dan remajanya kerana
apabila dewasa dan berkeluarga sendiri, ibu bapa akan mula terasing dan
kesunyian, walau pun dia terpaksa menerima hakikat itulah fitrah kehidupan yang
harus ditempuhi.
Sudah sampai masanya kita lebih
prihatin terhadap hal ini. Jangan hanya mengharapkan kerajaan dan pihak
berkuasa yang menyelesaikannya. Sebaliknya berusahalah untuk lebih mendekati
dan meningkatkan kasih sayang dalam keluarga.
Anggota keluarga juga perlu lebih
prihatin terhadap nasib dan keadaan mental dan fizikal mereka yang ada di
sekeliling. Jika terdapat petanda-petanda adanya kemungkinan seperti ini
berlaku, berusahalah mencegahnya dari awal.
Dalam menghadapi tekanan kerjaya,
masalah ekonomi dan apa jua yang terjadi, fikirlah dengan tenang dan lakukan
muhasabah dengan ikhlas untuk menyelesaikan masalah yang timbul. Kekerasan dan
jenayah bukan cara yang terbaik apatah lagi melibatkan orang kita sayang.
Setiap masalah tentu ada penyelesaiannya jika kita jujur dan benar-benar ingin
menyelesaikannya.
Jika perlu mereka yang berhadapan
dengan tekanan dan masalah peribadi boleh merujuk dirujuk kepada kaunselor yang
bertauliah, mereka yang lebih disegani atau pihak-pihak yang boleh membantu.
Perasaan malu dan bimbang dicemuh harus diatasi demi menyelamatkan nyawa dan
berlakunya keadaan yang tidak seharusnya.
Satu sistem sokongan yang kuat
dalam masyarakat perlu diwujudkan. Masyarakat dan jiran tetangga perlu
memainkan peranan dalam menangani isu ini dan meningkatkan sikap siap siaga
terhadap insiden tidak diingini ini. Tidak ada salahnya mempunyai sedikit
perasaan curiga apabila berlaku hal-hal atau tingkah laku yang di luar kebiasaan
dengan membuat laporan kepada pihak berkuasa.
Menjaga tepi kain orang
barangkali tidak wajar, namun dalam situasi tertentu yang bukan umpat keji, ia
perlu diamalkan demi membantu dari mengelakkan tragedi buruk berlaku. Namun
begitu, pada akhirnya, kasih sayang sejati yang ditanam dalam kalangan kaum keluarga
dan tentunya pegangan agama, akan menjadi benteng yang sangat berguna untuk
mengatasinya. Agama menyediakan garis panduan yang jelas dan sangat menekankan
kepada sikap berkasih sayang.
Tatkala umat Islam mengerjakan
ibadah untuk mendekatkan diri dengan Allah SWT sepanjang Ramadan dan syawal
yang akan datang, adalah wajar kita kembali kepada nilai-nilai kasih sayang
ini, membuat muhasabah dan melakukan penambahbaikan dengan mengukuhkan
persaudaraan dalam keluarga.
Sebesar mana pun masalah yang ada
dan sehebat mana pun perselisihan yang terjadi, kita perlu kembali kepada agama
dan saling memaafkan tanpa perlu terus menuding jari. Air dicincang tidak akan
putus. Hancur hati ibu bapa yang diabaikan apatah lagi melihat berlakunya
perselisihan sesama keluarga yang bakal meruntuhkan satu institusi utama dalam
agama.
Kenanglah masa kecil dalam
dakapan dan pelukan ibu dan ayah. Ingati kembali detik-detik manis dibelai dan
dihantar belajar di sekolah malah ke kolej dan universiti. Bayangkan
detik-detik manis suami isteri, derai tawa satu keluarga dan jernihnya air mata
ibu dan ayah yang menanti kepulangan kita, yang menunggu dakapan
putera-puterinya yang barangkali itulah terakhir kalinya.
Kejayaan hidup, kesibukan kerjaya
dan berhadapan dengan masalah tidak harus menjadikan kita cuai dan lalai
terhadap tanggungjawab kepada keluarga apatah lagi ibu bapa kita. Merekalah
syurga kita. Mereka mungkin tidak sehebat anak-anaknya, nilainya mungkin agak
berbeza, pemikirannya juga tidak sama, namun hakikatnya merekalah permulaan
kita dan keluargalah segalanya.
PENULIS ialah Timbalan Pendaftar Pejabat
Naib Canselor Universiti Sains Malaysia.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/