Jumaat, 10 Ogos 2012

ISU SOSIAL : Kembalikan kasih sayang keluarga


Oleh : MOHAMAD ABDULLAH

LAPORAN akhbar baru-baru ini tentang beberapa berita yang mengaitkan kejadian jenayah yang melibatkan keluarga terdekat agak mengganggu fikiran kita. Dalam satu kejadian di Kuching, Sarawak seorang anak dilaporkan memukul ayahnya yang berusia 77 tahun hingga mati.

Pada halaman yang sama, di Johor Bahru, Johor seorang anak dikatakan menyamar sebagai ah long untuk mengugut bapanya sebanyak RM3,000. Ini hanyalah sebahagian daripada kejadian yang berlaku kebelakangan ini yang tidak harus dipandang kecil.

Sedikit masa lalu kita pernah dikejutkan dengan berita ibu bapa yang menyaman anak yang mengabaikan mereka setelah diagihkan harta dan mereka menang kes mahkamah tersebut. Anaknya seorang pensyarah dilaporkan dijatuhi hukuman kerana kesalahan tersebut.

Menjelang Aidilfitri nanti akan banyaklah lagi laporan kesedihan ibu bapa yang menanti kepulangan anaknya atau mereka  yang disisihkan lalu hidup dalam kesunyian dan kesepian sama ada di rumah orang tua-tua atau pun bersendirian di rumah usang bertemankan air mata dan kenangan melihat kepulangan anak cucu jiran tetangga dengan linangan air mata yang barangkali amat payah difahami oleh sesetengah anak-anak muda yang dibesarkan melalui generasi high technology dan makin kurang high touch-nya, menggunakan istilah penulis Megatrends, John Naisbitt.

Kes-kes jenayah yang berlaku begitu menakutkan, apatah melibatkan warga emas dan sanak saudara yang amat rapat di luar jangkauan pemikiran. Ke manakah hilangnya belaian kasih sayang yang ada sehingga kita gagal merasai perasaan mereka sebagai saudara, suami isteri apatah lagi ibu bapa yang melahir dan membesarkan kita.

Ini belum lagi melihat kepada nasib orang tua uzur yang kerap diabaikan oleh anak-anak semata-mata kerana jurang pemisah yang besar untuk memahaminya. Seorang tua, bukan sekadar memerlukan wang ringgit tetapi jauh daripada  itu adalah kasih sayang dan perhatian.

Seorang anak muda pernah bercerita kepada penulis bagaimana datuknya yang tua dan dianggap menyusahkan keluarga dengan sikap cerewet dan memberontak tiba-tiba tersenyum apabila dia memandi, membedak dan menyisir rambutnya. Selepas beberapa hari, datuknya menghembuskan nafas terakhir sebagai kesudahan daripada episod bebanan anak-anak yang tidak pernah cuba memahami perasaan kesunyian yang dilalui oleh bapa mereka.

Seorang ibu atau bapa sering melihat anak-anak dalam bayangan masa lalunya, mengharapkan anak itu tidak pernah besar dan dapat dimanjakan seperti mana usia kecil dan remajanya kerana apabila dewasa dan berkeluarga sendiri, ibu bapa akan mula terasing dan kesunyian, walau pun dia terpaksa menerima hakikat itulah fitrah kehidupan yang harus ditempuhi.

Sudah sampai masanya kita lebih prihatin terhadap hal ini. Jangan hanya mengharapkan kerajaan dan pihak berkuasa yang menyelesaikannya. Sebaliknya berusahalah untuk lebih mendekati dan meningkatkan kasih sayang dalam keluarga.

Anggota keluarga juga perlu lebih prihatin terhadap nasib dan keadaan mental dan fizikal mereka yang ada di sekeliling. Jika terdapat petanda-petanda adanya kemungkinan seperti ini berlaku, berusahalah mencegahnya dari awal.

Dalam menghadapi tekanan kerjaya, masalah ekonomi dan apa jua yang terjadi, fikirlah dengan tenang dan lakukan muhasabah dengan ikhlas untuk menyelesaikan masalah yang timbul. Kekerasan dan jenayah bukan cara yang terbaik apatah lagi melibatkan orang kita sayang. Setiap masalah tentu ada penyelesaiannya jika kita jujur dan benar-benar ingin menyelesaikannya.

Jika perlu mereka yang berhadapan dengan tekanan dan masalah peribadi boleh merujuk dirujuk kepada kaunselor yang bertauliah, mereka yang lebih disegani atau pihak-pihak yang boleh membantu. Perasaan malu dan bimbang dicemuh harus diatasi demi menyelamatkan nyawa dan berlakunya keadaan yang tidak seharusnya.

Satu sistem sokongan yang kuat dalam masyarakat perlu diwujudkan. Masyarakat dan jiran tetangga perlu memainkan peranan dalam menangani isu ini dan meningkatkan sikap siap siaga terhadap insiden tidak diingini ini. Tidak ada salahnya mempunyai sedikit perasaan curiga apabila berlaku hal-hal atau tingkah laku yang di luar kebiasaan dengan membuat laporan kepada pihak berkuasa.

Menjaga tepi kain orang barangkali tidak wajar, namun dalam situasi tertentu yang bukan umpat keji, ia perlu diamalkan demi membantu dari mengelakkan tragedi buruk berlaku. Namun begitu, pada akhirnya, kasih sayang sejati yang ditanam dalam kalangan kaum keluarga dan tentunya pegangan agama, akan menjadi benteng yang sangat berguna untuk mengatasinya. Agama menyediakan garis panduan yang jelas dan sangat menekankan kepada sikap berkasih sayang.

Tatkala umat Islam mengerjakan ibadah untuk mendekatkan diri dengan Allah SWT sepanjang Ramadan dan syawal yang akan datang, adalah wajar kita kembali kepada nilai-nilai kasih sayang ini, membuat muhasabah dan melakukan penambahbaikan dengan mengukuhkan persaudaraan dalam keluarga.

Sebesar mana pun masalah yang ada dan sehebat mana pun perselisihan yang terjadi, kita perlu kembali kepada agama dan saling memaafkan tanpa perlu terus menuding jari. Air dicincang tidak akan putus. Hancur hati ibu bapa yang diabaikan apatah lagi melihat berlakunya perselisihan sesama keluarga yang bakal meruntuhkan satu institusi utama dalam agama.

Kenanglah masa kecil dalam dakapan dan pelukan ibu dan ayah. Ingati kembali detik-detik manis dibelai dan dihantar belajar di sekolah malah ke kolej dan universiti. Bayangkan detik-detik manis suami isteri, derai tawa satu keluarga dan jernihnya air mata ibu dan ayah yang menanti kepulangan kita, yang menunggu dakapan putera-puterinya yang barangkali itulah terakhir kalinya.

Kejayaan hidup, kesibukan kerjaya dan berhadapan dengan masalah tidak harus menjadikan kita cuai dan lalai terhadap tanggungjawab kepada keluarga apatah lagi ibu bapa kita. Merekalah syurga kita. Mereka mungkin tidak sehebat anak-anaknya, nilainya mungkin agak berbeza, pemikirannya juga tidak sama, namun hakikatnya merekalah permulaan kita dan keluargalah segalanya.

PENULIS ialah Timbalan Pendaftar Pejabat Naib Canselor Universiti Sains Malaysia.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

1 ulasan:

  1. ye, sgt tersentuh hati bila membaca sesuatu yg melibatkan hal ibubapa. kenapa mesti nak sisihkan mereka sedangkan masa kecil dulu merekalah tempat kita bergantung.. saya sampai sekarang walaupun dah bekerja masih xmahu berpisah dgn mak abah.rasa selamat bila mereka ada disisi
    ~baby follow sini ye

    BalasPadam