KUALA LUMPUR : Jemaah Menteri bersetuju supaya 16 dan 17 Ogos
ditetapkan sebagai cuti berganti persekolahan sempena sambutan Hari Raya
Aidilfitri yang dijangka jatuh pada 19 Ogos.
Perkara itu dipersetujui pada mesyuarat Kabinet Rabu lepas,
kata Kementerian Pelajaran dalam satu kenyataan hari ini.
"Dengan ini, semua pihak mempunyai tempoh masa
mencukupi bagi merancang perjalanan pulang dan seterusnya dapat mengurangkan
kesesakan jalan raya," katanya.
Sehubungan itu, Kementerian Pelajaran membenarkan sekolah
untuk memohon cuti berganti melalui pendaftar masing-masing untuk kelulusan.
Bagi tujuan penyelarasan, kementerian itu mencadangkan
supaya cuti berganti persekolahan 16 Ogos diganti pada Sabtu, 8 September manakala
cuti berganti 17 Ogos diganti pada Sabtu, 22 September.
"Pihak sekolah hendaklah melaksanakan pengajaran dan
pembelajaran sepenuhnya pada hari Sabtu berkenaan sebagai hari ganti
persekolahan mengikut jadual waktu hari yang terlibat dengan hari cuti berganti
tersebut," kata kenyataan itu. - BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan