Rabu, 29 Julai 2009

ISU SELESEMA BABI (VIRUS H1 N1)

Cegah wabak H1N1 guna kaedah Islam

PENULARAN virus Influenza A H1N1 atau selesema babi semakin membimbangkan dan sehingga kini belum ada tanda-tanda reda atau menguncup. Selepas wabak Sindrom Serangan Akut Teruk (SARS), kini dunia dikejutkan oleh virus yang mudah berjangkit hanya melalui udara.

Virus yang mulanya dikesan di Mexico pada Mac lalu kini menular hampir ke seluruh dunia di mana sebanyak 159 negara terlibat.

Malaysia tidak berkecuali daripada kes ini, walaupun langkah pencegahan telah diambil namun, virus ini tetap merebak.

Sehingga kelmarin, sebanyak 1,219 kes dilaporkan di mana sebanyak 574 merupakan kes import manakala selebihnya jangkitan tempatan dan sebanyak tiga kes kematian dilaporkan akibat virus ini.

Institusi pengajian tinggi, kem PLKN dan banyak sekolah serta beberapa universiti juga telah diarahkan tutup untuk langkah pencegahan.

Jika kita lihat peratusan kes semakin meningkat setiap hari dan virus tersebut seolah-olah bergerak seiring dengan kepantasan kehidupan manusia.

Adalah dicadangkan, selain mengamalkan langkah-langkah pencegahan yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Kementerian Kesihatan Malaysia seperti mengamalkan etika ketika batuk, menjaga kebersihan diri, amalkan membasuh tangan, penggunaan topeng muka dan sebagainya, elok sekiranya kita mengamalkan langkah pencegahan mengikut kaedah Islam.

Umum mengetahui bahawa berdoa merupakan senjata bagi Muslim. Oleh itu umat Islam digalakkan berdoa meminta pertolongan dan perlindungan daripada Allah SWT.

Imam-imam masjid di seluruh negara digalakkan agar membaca doa Qunut Nazilah sewaktu solat berjemaah lima waktu terutamanya ketika solat Jumaat dan berdoa ketika berkhutbah bagi mencegah penularan wabak ini.

Selain itu, umat Islam juga disaran mengguna dan meminum air bacaan Surah Yasin dan doa sebagai satu langkah pencegahan. Sementara bukan Islam pula, langkah pencegahan boleh dilakukan mengikut kepercayaan masing masing.

Bagi umat Islam, setiap apa yang berlaku merupakan ketentuan dan kehendak Ilahi dan hanya kepada-Nya tempat kita bergantung dan berserah. Jangan sesekali berpaling daripada memohon perlindungan-Nya.

PENULIS ialah Yang Dipertua Persatuan Mahasiswa Kedah (Permadah), Universiti Malaya

Sumber : http://www.utusan.com.my/

Peperiksaan diteruskan walaupun H1N1 membimbangkan

KUALA LUMPUR: Semua peperiksaan kebangsaan iaitu Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) tidak akan ditangguhkan walaupun penularan wabak Influenza A(H1N1) semakin membimbangkan.

Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, berkata peperiksaan itu terutamanya UPSR pada September ini akan tetap diteruskan dan mungkin dilakukan di hospital jika perlu.

"Peperiksaan ini berpusat, maka kita tidak boleh tukar tarikh sewenang-wenangnya. Antara pilihan yang kita ada ialah melakukan peperiksaan di hospital untuk calon yang sedang dirawat atau melakukannya di sekolah masing-masing tanpa kehadiran pelajar lain yang bukan calon peperiksaan," katanya di sini, hari ini.
Alimuddin berkata, pihaknya akan mengadakan satu perbincangan dengan Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara mengenai kaedah terbaik menjalankan kesemua peperiksaan itu dalam masa terdekat.

Sebanyak 10 sekolah rendah dan menengah di seluruh negara sudah ditutup kurang daripada seminggu akibat penularan penyakit itu.

Setakat ini, terdapat empat kematian akibat wabak itu.

Alimuddin juga berkata, alat seperti topeng mulut dan hidung serta cecair nyahkuman akan diedar ke semua sekolah tidak lama lagi bagi mencegah penularan virus itu.

UPSR akan diadakan dari 8 hingga 10 September, PMR dari 7 hingga 9 Oktober dan SPM dari 19 November hingga 16 Disember. - Bernama

Kalau Seperti Selalu

Kalau seperti selalu kejut pagiku dengan ciuman mulus,
kalau seperti selalu seluar, kemeja kerja sudah tergantung bergosok,
kalau seperti selalu tali leherku disemat kemas di puncak leherku,
kalau seperti selalu kasut hitamku sudah berkilat di depan pintu,
kalau seperti selalu lelah dari kantor, senyum menyambutku pulang,
kalau seperti selalu makan minumku tersedia diserkup tudung saji,
kalau seperti selalu pakaianku berbasuh sidai berlipat tangannya,
kalau seperti selalu kemas rapi rumah syurgaku,
kalau seperti selalu terurus hidupku segala-gala.

Tika dia tiada
hidupku bagai mati
sunyi dan sepi.

Wahai isteri
kaukekasih sejati
temani aku di dunia
di syurga.

Rudy Bluehikari
Mingguan Wanita 14 Mac 2005

Sumber : http://www.bluehikari.com/

NAFAS BARU PENERBIT BUKU MELAYU


Kira-kira pada awal tahun 1980-an, tidak kedengaran ada penerbit buku Melayu yang dikira berwibawa. Malah sehingga pertengahan 1980-an, penerbit-penerbit buku Melayu dianggap penerbit ikan bilis yang dipandang sebelah mata oleh penerbit-penerbit buku yang besar. Daifnya penerbit buku milik Melayu pada waktu tersebut sehingga mereka tidak kenal sesama mereka.

Pada ketika itu juga, sebuah penerbit, Karya Bistari muncul lalu memecahkan monopoli penerbitan buku ulang kaji sekolah. Bermula daripada buku untuk pelajar, Karya Bistari melalui Kumpulan Karangkraf Sdn Bhd telah memasuki pasaran majalah. Dengan hanya dua majalah, Karangkraf hari ini merupakan kumpulan penerbit majalah yang terbesar di Malaysia. Karangkraf umpama 'pasar raya' penerbitan yang menerbitkan pelbagai buku dan majalah dan memberikan pelbagai khidmat percetakan.

Penulis ingin menyingkap sejarah Karangkraf kerana dua hal. Pertamanya, penulis merasakan bahawa orang Melayu boleh banyak belajar daripada Datuk Hussamuddin Yaacub, bagaimana anak Muda yang baru keluar dari universiti, mampu membangunkan sebuah konglomerat Melayu dalam bidang penerbitan dan percetakan.

Keduanya, tanpa lupa kepada sumbangan dalam penerbitan majalah, sumbangan yang turut amat besar adalah penerokaan penerbitan buku-buku Melayu oleh Karangkraf melalui anak syarikatnya Alaf21. Pada waktu buku-buku Melayu agak lesu, Alaf21 telah menerbitkan pelbagai buku Melayu khususnya dalam penerbitan novel.

Alaf21 menjadikan novel Melayu pilihan nombor satu pembaca, sehingga novel-novel Alaf21 mampu terjual sehingga 50,000 naskhah malah ada kalanya lebih daripada itu. Kemampuan Alaf21 dalam penerbitan novel ini memberikan impak positif terhadap pasaran novel. Penulis novel Melayu telah mula merasa royalti yang besar malah dilaporkan ada yang menerima sehingga RM100,000 setahun. Ini telah mendorong lebih banyak penulis baru berkarya lalu Alaf21 berjaya mengetengahkan ramai bakat baru. Kesan yang lebih positif adalah terhadap pasaran buku secara umum.

Berjayanya Alaf21 telah membina semangat kepada lebih banyak penerbit malah penulis untuk menjadi menerbitkan novel. Kini sudah bertambah ramai penulis novel, bertambah banyak penerbit novel dan bertambah berkembang perusahaan buku Melayu.

Jika Karangkraf sinonim dengan Hussamuddin, seorang lagi tokoh buku yang wajar diberikan penghargaan adalah Ainon Muhammad dan PTS Publications. Hari ini apabila bercakap mengenai buku, tidak sah jika tidak bercakap pasal PTS. Bermula sebagai pegawai penyelidik di DBP dan seterusnya penceramah motivasi dan penulis, Ainon telah berjaya membangunkan sebuah penerbit buku Melayu yang amat disegani di Malaysia.

Pantasnya PTS menerbitkan buku sehingga dapat memintas DBP dalam menerbitkan buku Melayu. Kini dalam masa sebulan kumpulan PTS menerbitkan tidak kurang 50 judul baharu dan ulang cetak dalam pelbagai kategori buku.

Kemampuan PTS menerbitkan pelbagai buku bukan sekadar telah membina kerjaya kepada kumpulan pekerja penerbitan, malah telah turut juga melahirkan ramai penulis buku dalam banyak genre buku yang tidak terfikir oleh pembaca sebelumnya. Kemampuan ini juga telah menyebabkan ruang pameran buku-buku Melayu di rangkaian kedai buku semakin terisi. Keupayaan membuka pasaran ini turut menjadikan orang Melayu semakin mengunjungi kedai buku dan semakin membaca buku.

Satu lagi hal yang menarik ialah apabila PTS telah membuka lalu lintas buku antara Malaysia dan Indonesia. Pada waktu penerbit lain mendapati sukar untuk menembusi pasaran Indonesia, tidak kurang daripada 50 judul buku PTS telah diterbitkan di Indonesia melalui kerjasama dengan penerbit di Indonesia. Kini PTS adalah satu nama besar di kalangan penerbit buku di Indonesia.

Hari ini perusahaan buku di Malaysia semakin segar, tetapi bukan semata-mata kerana dukungan pemerintah. Antara sebab yang merancakkan perusahaan buku Melayu adalah kerana orang Melayu semakin mula membaca. Antara sebab perusahaan buku Melayu ini turut rancak adalah kerana sumbangan dua tokoh yang berani mengubah wajah perusahaan buku itu sendiri iaitu Hussamuddin dan Ainon.

Sumber : http://www.sinarharian.com.my/