Rabu, 29 Julai 2009

ISU SELESEMA BABI (VIRUS H1 N1)

Cegah wabak H1N1 guna kaedah Islam

PENULARAN virus Influenza A H1N1 atau selesema babi semakin membimbangkan dan sehingga kini belum ada tanda-tanda reda atau menguncup. Selepas wabak Sindrom Serangan Akut Teruk (SARS), kini dunia dikejutkan oleh virus yang mudah berjangkit hanya melalui udara.

Virus yang mulanya dikesan di Mexico pada Mac lalu kini menular hampir ke seluruh dunia di mana sebanyak 159 negara terlibat.

Malaysia tidak berkecuali daripada kes ini, walaupun langkah pencegahan telah diambil namun, virus ini tetap merebak.

Sehingga kelmarin, sebanyak 1,219 kes dilaporkan di mana sebanyak 574 merupakan kes import manakala selebihnya jangkitan tempatan dan sebanyak tiga kes kematian dilaporkan akibat virus ini.

Institusi pengajian tinggi, kem PLKN dan banyak sekolah serta beberapa universiti juga telah diarahkan tutup untuk langkah pencegahan.

Jika kita lihat peratusan kes semakin meningkat setiap hari dan virus tersebut seolah-olah bergerak seiring dengan kepantasan kehidupan manusia.

Adalah dicadangkan, selain mengamalkan langkah-langkah pencegahan yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Kementerian Kesihatan Malaysia seperti mengamalkan etika ketika batuk, menjaga kebersihan diri, amalkan membasuh tangan, penggunaan topeng muka dan sebagainya, elok sekiranya kita mengamalkan langkah pencegahan mengikut kaedah Islam.

Umum mengetahui bahawa berdoa merupakan senjata bagi Muslim. Oleh itu umat Islam digalakkan berdoa meminta pertolongan dan perlindungan daripada Allah SWT.

Imam-imam masjid di seluruh negara digalakkan agar membaca doa Qunut Nazilah sewaktu solat berjemaah lima waktu terutamanya ketika solat Jumaat dan berdoa ketika berkhutbah bagi mencegah penularan wabak ini.

Selain itu, umat Islam juga disaran mengguna dan meminum air bacaan Surah Yasin dan doa sebagai satu langkah pencegahan. Sementara bukan Islam pula, langkah pencegahan boleh dilakukan mengikut kepercayaan masing masing.

Bagi umat Islam, setiap apa yang berlaku merupakan ketentuan dan kehendak Ilahi dan hanya kepada-Nya tempat kita bergantung dan berserah. Jangan sesekali berpaling daripada memohon perlindungan-Nya.

PENULIS ialah Yang Dipertua Persatuan Mahasiswa Kedah (Permadah), Universiti Malaya

Sumber : http://www.utusan.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan