Isnin, 25 Januari 2010

20 sekolah hebat

Oleh Johari Ibrahim

Kumpulan pertama Sekolah Berprestasi Tinggi diberi autonomi

PUTRAJAYA: Misi mengangkat sekolah negara ini ke taraf dunia bermula semalam dengan pemilihan kumpulan pertama 20 Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) yang menyaksikan pengetua dan guru besar diberi autonomi tambahan dalam pengurusan kurikulum, kewangan dan kakitangan.

Autonomi itu antara lain memberi kelonggaran memanjangkan waktu persekolahan, menamatkan tempoh persekolahan pelajar cemerlang setahun lebih awal, mengagihkan kewangan mengikut keperluan serta mengambil kakitangan berdasarkan pencapaian dan bukan kekananan.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata SBT dibimbing dan dipantau secara khusus menjamin berlaku lonjakan prestasi secara berterusan.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran, berkata penilaian SBT akan dibuat berdasarkan laporan tahunan petunjuk keberhasilan dan pemeriksaan sekolah mengikut Standard Kualiti Pendidikan Malaysia (SKPM) yang diubah suai.

Beliau bagaimanapun menjelaskan SBT bukan sekolah elit untuk sebilangan kecil pelajar, sebaliknya semua sekolah mempunyai peluang sama dan boleh bersaing ‘di padang sama rata’ bagi mendapat pengiktirafan itu.

“Tahun ini kita sasarkan 20 sekolah mengikut sub Bidang Keberhasilan Utama (NKRA) kementerian, manakala 30 pada tahun depan dan 50 lagi pada 2012,” katanya pada sidang media mengumumkan senarai kumpulan pertama SBT yang meliputi 14 sekolah menengah (SM) dan enam sekolah rendah.

SM yang terpilih termasuk empat sekolah harian, iaitu SM Kebangsaan (P) Sri Aman, Petaling Jaya; SMK Sultanah Asma, Alor Setar; SMK Aminuddin Baki, Kuala Lumpur dan SMK (P) St George, Pulau Pinang.

Muhyiddin berkata, 20 sekolah berkenaan dipilih daripada 10,000 sekolah di seluruh negara berdasarkan kriteria tertentu termasuk menunjukkan pencapaian cemerlang dalam akademik dan kokurikulum.

Mengenai nasib sekolah pedalaman, Muhyiddin berkata, mungkin mereka akan menghadapi cabaran kerana kemudahan yang belum setara dengan sekolah bandar, tetapi tetap boleh diiktiraf sebagai SBT jika memenuhi kriteria.

"Ini bukan usaha jangka pendek dan tak mungkin semua 10,000 sekolah naik ke tahap begitu, di mana dunia pun tidak begitu, tetapi tak kira bandar, luar bandar atau pedalaman, kalau prestasi bagus dia akan diiktiraf SBT manakala kemudahan di pedalaman kita akan terus perbaiki," katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, berkata kementerian belum ada mekanisme khusus mengenai langkah autonomi SBT yang membenarkan tempoh persekolahan ditamatkan setahun lebih awal bagi murid cemerlang.

"Panduan kasarnya ialah kerajaan berasakan pelajar cemerlang dibenarkan menamatkan persekolahan setahun lebih awal, tetapi ia akan bergantung kepada cadangan pengetua dan guru besar,” katanya.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

SBT transformasi sekolah jadi terbaik pelbagai bidang

TAHNIAH kepada 10 buah sekolah berasrama penuh, empat sekolah harian biasa dan enam sekolah kebangsaan yang dipilih sebagai Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT).

Dua puluh buah SBT ini menjadi perintis dalam usaha kerajaan melalui Kementerian Pelajaran untuk mengangkat kualiti sekolah-sekolah terbaik di Malaysia ke taraf dunia.

Pengumuman sekolah yang memenuhi kriteria SBT ini cukup istimewa. Berdasarkan kenyataan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, SBT berkenaan diberikan kuasa autonomi tambahan untuk mewujudkan inovasi pentadbiran sekolah dan meningkatkan keberhasilan murid.

Malah antara 'keistimewaan' lain ialah pelajar dibenar menamatkan persekolahan setahun lebih awal melalui kaedah lompat kelas.

Keistimewaan ini memang patut dicemburui kerana hanya 20 sekolah yang dipilih daripada 10,000 sekolah di negara ini yang menjalani penilaian pada tahun lalu.

Untuk dipilih sebagai SBT, sekolah-sekolah berkenaan telah membuktikan mereka yang terbaik daripada segi prestasi dan pencapaian akademik serta kurikulum sekolah, hasil usaha dan kerjasama kepimpinan sekolah, pelajar serta ibu bapa.

Sekarang, selepas terpilih sebagai SBT pada tahun ini maka Kementerian Pelajaran perlu berusaha dan memastikan mutu 20 sekolah ini tidak merudum atau merosot.

Dari sudut lain pula, kejayaan 20 sekolah yang terpilih itu diharap akan menjadi pendorong dan contoh kepada sekolah lain untuk meningkatkan prestasi hingga dapat berdiri sama tinggi dengan SBT itu. Ini kerana penilaian tidak lagi berasaskan akademik, sebaliknya berasaskan Standard Kualiti Pendidikan Malaysia yang merangkumi kejayaan sekolah dalam kokurikulum, kebitaraan dalam pasukan beruniform dan kemampuan dalam pelbagai aktiviti.

Oleh yang demikian, mulai tahun ini semua sekolah termasuk sekolah harian, sekolah di pedalaman, sekolah aliran Cina dan Tamil dan sekolah berasrama penuh perlu bersaing sesama mereka untuk mendapat gelaran SBT.

Pemilihan 20 sekolah dikategorikan sebagai SBT ini adalah selaras dengan janji Kerajaan Pusat kepada rakyat.

Perlu diingatkan bahawa SBT adalah satu daripada empat sasaran Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) bagi Kementerian Pelajaran iaitu menyediakan akses kepada pendidikan yang berkualiti.

Sebab itu Kementerian Pelajaran perlu memastikan apa yang dihasratkan oleh Perdana Menteri dapat dilaksanakan dan keberhasilannya dapat dipenuhi.

Kita hanya ada kurang sedekad lagi untuk mencapai sasaran negara maju menjelang tahun 2020. Semua orang percaya kemajuan dalam bidang pendidikan akan membantu negara mencapai Wawasan 2020 dan seterusnya.

Kita yakin pendidikan yang berkualiti akan menjamin masa depan rakyat. Maka melalui sistem SBT ini juga semua sekolah, guru, pelajar dan ibu bapa akan berusaha gigih menaikkan nama sekolah masing-masing.

Satu demi satu transformasi yang dilakukan oleh Kementerian Pelajaran adalah untuk menaik taraf semua kategori sekolah menjadi yang terbaik.

Acuan yang sedang kita tempuhi dan bina ini akan berjaya dengan syarat mendapat sokongan penuh semua guru, pelajar dan ibu bapa.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

20 Sekolah Berprestasi Tinggi 2010 yang diumumkan TPM

PUTRAJAYA 25 Jan. - Berikut senarai 20 buah Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT), yang diumumkan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini, dalam usaha mengangkat kualiti sekolah-sekolah terbaik ke taraf dunia.

1. Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) (P) Sri Aman, Petaling Jaya, Selangor.

2. Sekolah Tun Fatimah, Johor Bahru, Johor.

3. Sekolah Dato' Abdul Razak, Seremban, Negeri Sembilan.

4. Kolej Melayu Kuala Kangsar, Perak.

5. Sekolah Seri Puteri, Cyberjaya, Selangor.

6. SMK Aminuddin Baki, Kuala Lumpur.

7. Sekolah Menengah Sultan Abdul Halim, Jitra, Kedah.

8. Kolej Tunku Kurshiah, Seremban, Negeri Sembilan.

9. Kolej Islam Sultan Alam Shah, Klang.

10. SMK Sultanah Asma, Alor Setar, Kedah.

11. SMK (P) St. George, Pulau Pinang.

12. Sekolah Menengah Sains (SMS) Tuanku Syed Putra, Perlis.

13. Sekolah Sultan Alam Shah, Putrajaya.

14. SMS Muzaffar Syah, Melaka.

15. Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Bintang Utara, Kuala Lumpur.

16. SK Zainab (2), Kota Bharu, Kelantan.

17. SK Taman Tun Dr. Ismail 1, Kuala Lumpur.

18. SK Convent Kota, Taiping, Perak.

19. SK Bukit Damansara, Kuala Lumpur.

20. SK Bandar Baru Uda 2, Johor Bahru, Johor.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Nota Hujung :


Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) ditakrifkan sebagai sekolah yang mempunyai etos, watak, identiti yang tersendiri dan unik serta menyerlah dalam semua aspek pendidikan . Sekolah ini mempunyai tradisi budaya kerja yang sangat tinggi dan cemerlang dengan modal insan nasional yang berkembang secara holistik dan berterusan serta mampu berdaya saing di persada antarabangsa.


Sekolah-sekolah ini hendaklah memenuhi Prasyarat berikut :

  1. Pencapaian akademik yang menunjukkan trend menaik bermula dengan Take Off Value (TOV) sekurang-kurangnya 80% dalam peperiksaan awam (UPSR dan SPM);
  2. Pencapaian Standard Kualiti Pendidikan Malaysia (SKPM) atau instrumen yang setaraf dengannya sekurang-kurangnya 90% dalam semua dimensi;
  3. Menerima pelbagai anugerah di peringkat kebangsaan dan antarabangsa:
  4. Berjaya melahirkan personaliti-personaliti unggul (towering personalities) yang menerajui kepimpinan negara, negeri, organisasi dan komuniti;
  5. Menjadi penanda aras dan contoh bagi sekolah-sekolah lain dari dalam dan luar negara;
  6. Wujud permuafakatan yang jitu antara sekolah dengan masyarakat yang memberi impak kepada keberkesanan dan kecemerlangan pendidikan di sekolah;
  7. Mempunyai jaringan yang aktif dengan sekolah-sekolah sama ada di dalam negeri atau di peringkat antarabangsa menerusi pelbagai bentuk program; dan
  8. Membina jaringan dengan institusi pendidikan tinggi di dalam dan di luar negara.
Ciri-Ciri Sekolah Berprestasi Tinggi

Pemimpin Sekolah
  1. Boleh deliver, mempunyai akauntabiliti dan kredibiliti dalam pengurusan sekolah.
  2. Menyediakan Sasaran Kerja Tahunan (SKT) berpandukan garis panduan Pengurusan Berasaskan Sekolah yang disediakan oleh KPM bagi peningkatan sekolah, guru dan murid.
  3. Meningkatkan penglibatan sekolah ke peringkat antarabangsa.
  4. Membangunkan bakat kepimpinan guru dan murid.
  5. Sentiasa bersedia untuk dinilai oleh KPM dan pihak luar.
  6. Proaktif dalam melaksanakan perubahan dan pembaharuan.

Guru Sekolah
  1. Boleh deliver, mempunyai akauntabiliti dan kredibiliti dalam proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah.
  2. Menyediakan Sasaran Kerja Tahunan (SKT) berpandukan garis panduan Pengurusan Berasaskan Sekolah yang disediakan oleh KPM bagi peningkatan murid.
  3. Membantu meningkatkan penglibatan sekolah ke peringkat antarabangsa.
  4. Membangunkan bakat kepimpinan murid.
  5. Sentiasa bersedia untuk dinilai oleh KPM dan pihak luar.
  6. Proakif dalam melaksanakan perubahan dan pembaharuan dalam proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah.

Murid Sekolah
  1. Menyediakan sasaran tahunan bagi peningkatan diri sendiri.
  2. Bertanggungjawab untuk pembelajaran kendiri.
  3. Berupaya mengendali dan menguruskan diri dan aktiviti sekolah
  4. Bekerjasama dalam kumpulan dan dapat berkomunikasi dengan berkesan.
  5. Menggunakan kuasa autonomi yang diberi dengan berkesan.

Kategori Sekolah
  1. Sekolah Kerajaan
  2. Sekolah Bantuan Kerajaan

Jangka Masa Pelaksanaan

2010= 20 buah sekolah
2011= 30 buah sekolah
2012= 50 buah sekolah

Ciri – ciri Utama SBT
  • Kepemimpinan
  • Pengurusan
  • Pencapaian
  • Kejayaan
  • Perhubungan
  • Identiti Kendiri
  • Pembelajaran Terarah Kendiri
  • Sistern Bekerja Berprestasi Tinggi
  • Kesaksamaan
  • Timbal- Balas
  • Penurunan Kuasa

Pelan Strategik SBT

Fokus 1 : Kepemimpinan Berprestasi Tinggi
Fokus 2 : Mengamalkan Pengurusan Berasaskan Sekolah
Fokus 3 : Mewujudkan Akauntabiliti
Fokus 4 : Piawaian dan Penandaarasan
Fokus 5 : Malaysia Menjadi Pusat Kecemerlangan
Fokus 6 : Menerajui Perubahan dan Pembaharuan

lmpak Sekolah Berprestasl Tinggi

Pemimpin
  1. Pengiktirafan sebagai pemimpin yang berwibawa.
  2. Mempunyai kuasa autonomi untuk Pengurusan Berasaskan Sekolah.
  3. Menerima ganjaran dalam bentuk bonus.
  4. Berpeluang mendapat guru pakar dan guru cemerlang.
  5. Berpeluang memilih guru yang efektif.
  6. Berpeluang memilih murid yang sesuai.
Guru
  1. Pengiktirafan sebagai guru yang berkesan.
  2. Mempunyai kuasa autonomi untuk Pengurusan Berasaskan Sekolah.
  3. Ganjaran dalam bentuk bonus.
Murid
  1. Murid berkemahiran dalam pengurusan diri, bekerja dalam kumpulan,berkomunikasi secara efeKif dan berkebolehan bersaing di arena antarabangsa.
  2. Berpeluang untuk memasuki universiti yang terkemuka di dunia
  3. Murid dikecualikan daripada mengikuti beberapa subjek tertentu peringkat ijazah di institusi pengajian tinggi.
  4. Murid di tempatkan di kelas mengikut kebolehan/ kemampuan tanpa berdasarkan umur.
  5. Murid boleh mengambil peperiksaan awam mengikut kebolehan yang tidak berdasarkan umur.
  6. Murid memasuki IPTA tanpa berdasarkan umur.
  7. Murid mampu menjadi pesaing di peringkat dunia dalam mana-mana bidang yang mereka ceburi.
  8. Murid menerima P & P daripada guru-guru pakar dan cemerlang berasaskan data empirikal.
  9. Murid berpeluang untuk menyertai peperiksaan luar negara.
  10. Murid terdedah kepada teknologi terkini dalam pendidikan.

Kekangan
  1. Kewangan dalam membangunkan Sekolah Berprestasi Tinggi.
  2. Kekurangan sumber kakitangan untuk pergi ke sekolah-sekolah bagi tujuan pemantauan dan penilaian Sekolah Berprestasi Tinggi.
  3. Pekeliling dan Peraturan Pelajaran yang sedia ada menyekat pelajar menempatkan diri di peringkat tinggi dalam tempoh yang singkat kerana terdapatnya had umur.
  4. Wujudnya birokrasi dalam pentadbiran melambatkan sesuatu program dilaksanakan.
  5. Sikap, kurang kemahiran mengurus dan kepemimpinan pengetua / guru besar boleh menjadi penghalang kepada kejayaan program.

Cadangan
  1. Pelaksanaan konsep SBT akan melibatkan implikasi kewangan dan perjawatan. Oleh itu, adalah dicadangkan untuk mewujudkan satu sektor baru bagi memastikan SBT berupaya dilaksanakan dengan efisien.
  2. Memberi ganjaran yang setimpal kepada Pengetua, Guru besar dan guru-guru yang telah menunjukkan prestasi cemerlang selari dengan cadangan YAB Perdana Menteri ketika membentangkan NKRA berkenaan;
  3. Memerlukan pindaan dan semakan kepada peraturan pendidikan dan Surat – surat Pekeliling lkhtisas/ Surat Siaran yang berkaitan;
  4. Menyediakan maklumat kepada SBT mengenai peperiksaan luar negara (LPM/MPM)
  5. Biasiswa diberi kepada pelajar SBT yang berjaya memasuki lnstitut terkemuka di luar negara (Bahagian Tajaan)