Khamis, 28 Januari 2010

Tunku Ismail dimasyhur sebagai Tunku Mahkota Johor

TUNKU Ismail Idris membaca ikrar taat setia sebagai Tunku Mahkota Johor di hadapan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ismail dan Permaisuri Johor, Sultanah Zarith Sofiah Sultan Idris Shah pada istiadat pemasyhuran di Istana Besar di Johor Bahru, semalam.

JOHOR BAHARU: Raja Muda Johor, Tunku Ismail Idris Ibni Sultan Ibrahim dimasyhurkan sebagai Tunku Mahkota Johor di Istana Besar di sini, jam 3.20 petang tadi.

Pemasyhuran berdasarkan Undang-Undang Tuboh Negeri Johor 1895, diisytiharkan oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar.

"Setelah diisytiharkan sebagai Sultan, saya berhak dan bertanggungjawab mengikut Undang-Undang Tuboh Negeri Johor memilih dan melantik seorang waris bergelar Tunku Mahkota Johor.

"Bahawasanya, bagi menjalankan tugas di bawah perenggan 1, fasal 7, bahagian pertama Undang-Undang Tuboh Negeri Johor 1895, saya Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan dan Yang Dipertuan bagi negeri dan jajahan takluk Johor mengikut nasihat Jumaah Diraja dengan ini memilih dan melantik anakanda Duli Yang Maha Mulia Tunku Ismail menjadi waris takhta kerajaan Johor dan digelar Tunku Mahkota Johor," isytihar baginda.

Sejurus perisytiharan itu, Tunku Ismail menjunjung kasih ke atas ayahanda baginda atas limpah perkenaan dilantik sebagai waris takhta Johor.

Tunku Ismail turut melafaz taat setia untuk melaksanakan amanah dan tanggungjawab dengan jujur dan ikhlas selain mendoakan kesejahteraan ayahanda baginda, Sultan Ibrahim dan bonda baginda, Raja Zarith Sofiah almarhum Sultan Idris serta rakyat Johor.

Istiadat pemasyhuran itu turut disaksikan kerabat diraja yang lain dan Penasihat Majlis Agama Islam Johor, Datuk Nooh Gadot membacakan doa sejurus istiadat pemasyhuran selesai.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri Puan Sri Norainee Abdul Rahman; Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman dan isteri Datin Prof Dr Jamilah Ariffin; barisan Exco dan Anggota Dewan Undangan Negeri Johor serta pegawai-pegawai kerajaan.

Tunku Ismail, 26, dilantik sebagai Tunku Mahkota Johor menggantikan Sultan Ibrahim yang dimasyhur sebagai Sultan Johor, Sabtu lalu.

Pemasyhuran bagi mewarisi takhta Johor itu berikutan kemangkatan nenda baginda Sultan Iskandar, Jumaat lalu.

Diputerakan pada 30 Jun 1984 di Johor Baharu, Tunku Ismail merupakan putera sulung daripada enam adik-beradik kepada Sultan Ibrahim dan Raja Zarith Sofiah.

Tunku Ismail dilantik sebagai Raja Muda Johor ketika ulang tahun keputeraan nenda baginda Almarhum Sultan Iskandar pada 8 April 2006.

Tunku Ismail memulakan persekolahan di Sekolah Sri Utama Johor Baharu dan Sekolah Rendah Kebangsaan St Joseph, Johor Baharu sebelum meneruskan pengajian di Australian International School, Singapura dan Hale School, Perth, Australia, mulai tahun 1999 hingga 2002.

Untuk tujuan pendidikan dan disiplin yang tinggi setaraf dengan bakal raja, Tunku Ismail dihantar menjalani latihan ketenteraan dan pelajaran sebagai pegawai kadet di akademi tentera terulung, Indian Military Academy (IMA)), Dehradun, India, mulai Julai 2003.

Tunku Ismail dikurniakan pangkat Leftenan selepas tamat latihan pada 11 Disember 2004 dan diserapkan ke dalam Angkatan Tentera India yang bertugas sebagai pegawai dalam Rejimen 61 Cavalry, Jaipur, India.

Aktif dalam menunggang kuda dan sukan polo sejak kecil, Tunku Ismail juga dianugerahkan "Best in Riding" antara kadet-kadet IMA tahun 2003-2004 selain dipilih pemain polo Rejimen 61 Cavalry yang membawa kejayaan kepada rejimen itu memenangi beberapa piala kejohanan polo.

Tunku Ismail menempa sejarah apabila menjadi rakyat asing yang pertama mengetuai pasukan tentera India pada perbarisan hari kebangsaan negara itu, pada 26 Januari 2007.

Dengan berpangkat kapten, Tunku Ismail mengetuai rejimen berkuda memberi tabik hormat kepada Presiden India Dr APJ Abdul Kalam ketika itu semasa sambutan hari kebangsaan ke-58, yang turut dihadiri tetamu khas termasuk Presiden Rusia, Vladimir Putin.

Tunku Ismail dikurniakan Darjah Mahkota Johor yang Amat Mulia Pangkat Ketiga Setia Mahkota Johor (SMJ) pada 16 September 2004 dan dikurniakan Pangkat Pertama Darjah Mahkota Johor yang Amat Mulia, Seri Paduka Mahkota Johor(SPMJ) sempena ulang tahun keputeraan Almarhum Sultan Iskandar pada 2005.

Seterusnya, Tunku Ismail dianugerahkan Darjah Kerabat Yang Amat Dihormati Pangkat Kedua (DK II) pada ulang tahun keputeraan Almarhum Sultan Iskandar, pada 2006 dan dianugerahkan Darjah Kerabat Yang Amat Dihormati Pangkat Pertama (DK I) pada ulang tahun keputeraan Almarhum Sultan Iskandar, tahun lalu.

Sumber : http : //www.bernama.com.my/

Mitos skim cepat kaya semakin merebak

Oleh Imlan Adabi
imlanadabi@bharian.com.my

Ramai yang impikan kekayaan sekelip mata terjerat dengan pelbagai skim pelaburan

TANGGAL 17 Julai 1991 amat merimaskan sebahagian besar pelabur skim cepat kaya. Tauke mereka - Osman Hamzah atau lebih dikenali Pak Man Telo - dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Taiping atas tuduhan menerima deposit daripada orang ramai secara tidak sah.

Ramai yang gempar dan hampir tidak percaya bagaimana seorang lelaki Melayu yang tidak tinggi persekolahannya berjaya mencipta skim pelaburan yang didakwa menguntungkan. Ramai juga hairan ramainya bangsa Melayu terpelajar boleh menerima skim yang diperkenalkan seorang lelaki kampung seperti Pak Man Telo.

Selama beberapa tahun beroperasi, Pak Man Telo sudah mencipta mitos dan legenda tersendiri. Dia kononnya mahu mengantarabangsakan skimnya ke peringkat serantau dan di kalangan pelaburnya, ada yang mempercayai tauke skim cepat kaya itu sudah mendapat lesen daripada kerajaan untuk meluaskan operasi ke negara jiran.

Ada juga yang mendakwa Pak Man Telo mendapat kerjasama Bank Negara kerana kecerdikan skim diperkenalkannya. Justeru, tidak menghairankan apabila ada kenalan yang menjual Proton Saga semata-mata untuk menambah pelaburan!

Bagaimanapun mahkamah yang bertindak di atas fakta undang-undang akhirnya menghukum tauke skim pelaburan haram itu penjara setahun dan denda RM500,000 kerana menerima wang deposit RM99.09 juta daripada orang ramai.

Pada masa sama juga skim pelaburan ‘labu peram’ terus berleluasa dengan menggunakan modus operandi hampir sama. Sejumlah wang akan didepositkan atau dilaburkan kepada penganjur dengan janji akan dipulangkan kembali dengan faedah lebih tinggi daripada apa ditawarkan institusi kewangan berlesen.

Ada dua skim cepat kaya utama yang kerap memerangkap pelabur, iaitu skim piramid dan skim Charles Ponzi (1882-1949) - seorang pendatang Itali yang menguasai pelaburan skim cepat kaya di Amerika Syarikat. Sifat semula jadi sistem ponzi adalah tidak kekal dan cuma menunggu masa untuk si penipu melarikan wang mangsanya.

Pada permulaan skim, penganjur menggunakan deposit daripada pelabur baru untuk membayar pulangan atau wang pokok pendeposit sebelumnya. Pada amnya, penganjur tidak melaburkan deposit yang diterima ke dalam pelaburan atau perusahaan yang mendatangkan keuntungan lebih tinggi. Mereka tidak dapat terus menanggung pembayaran pulangan tinggi kepada pelabur sedia ada. Jika tiada deposit baru diterima atau skim ini dibatalkan, ia akan gagal dan pendeposit kehilangan wang mereka.

Lazimnya ketamakan keuntungan segera menyebabkan seseorang gelap mata dan sanggup mengeluarkan wang ribuan ringgit semata-mata untuk ‘bersedekah’ kepada penipu yang mengambil kesempatan.

Kini pula pelbagai bentuk pelaburan bersedia memerangkap orang ramai. Pelbagai nama digunakan. Skim perusahaan cacing, lintah, kambing gurun, ikan keli, gores dan menang, umrah percuma, pelaburan menerusi internet, skim cara Islam dan pelbagai lagi. Semuanya mempunyai matlamat sama. Lebih malang lagi yang menjadi mangsa adalah Melayu. Yang menganjurkan penipuan pun Melayu juga. Kenapa?

Terkini, polis Cawangan Jenayah Komersial memburu seorang lelaki bagi membantu siasatan kes pecah amanah melarikan RM30 juta wang pelaburan 30,000 pelabur ternakan cacing. Semuanya membawa maksud sama; Melayu terus tipu Melayu untuk mencipta kekayaan segera!

Sumber : http : //www.bharian.com.my/