Selasa, 1 Januari 2013

ISU SOSIAL : Doa tahun baru masihi 2013


Oleh : DR ISMAIL IBRAHIM

Tahun baru, manusia baru, generasi baru. Harap tahun baru 2013 kali ini dapat menjadi titik permulaan untuk mencipta manusia baru Malaysia iaitu rakyat yang sihat walafiat, zahir dan batin.

Kita harus mengaku bahawa rakyat kita pada hari ini banyak yang sakit, bukan hanya sakit badan seperti penyakit yang dihidapi akibat dari obesiti, penyakit kencing manis, darah tinggi, buah pinggang, jantung dan lebih kronik lagi kenser, tetapi banyak juga yang mengalami sakit jiwa, mental dan emosi yang keterlaluan dan parah.

Penyakit mental dan jiwa yang serius biasanya boleh membawa kepada ketidakstabilan pemikiran dan emosi seseorang itu, bukan sekadar hal itu sahaja, tetapi seringkali juga membawa kepada penyakit kerohanian, emosi, perasaan, tingkah laku, tutur kata, dan tindakan manusia itu keseluruhannya.

Dalam al-Quran ALLAH menyifatkan bahawa orang-orang musyrikin, iaitu orang-orang yang terang-terang menolak kebenaran dan ajaran ketuhanan yang Esa sebagai orang-orang yang "berpenyakit di dalam hatinya."

Semakin lama mereka berkelakuan begitu, menentang para Rasul dan Nabi, terutamanya Nabi terakhir, Muhammad S.A.W, maka ALLAH menambah penyakit mereka itu, lalu mereka bertindak di luar perikemanusiaan, menyakiti orang lain, malah terdapat di antara mereka yang bertindak menyakiti dan membunuh para Nabi dan Rasul yang mereka menentangnya.

Hari ini kita melihat orang membunuh orang lain sesama mereka dengan sewenang-sewenangnya, termasuk membunuh anak, ibu bapa, nenek moyang, kaum kerabat, kawan dan sesiapa saja, yang tidak pernah kita menyaksikannya dalam masyarakat kita pada zaman lampau.

Orang merompak, mencuri, meragut dan melakukan serba macam kelakuan untuk mendapatkan harta benda kepunyaan orang lain secara mudah, malah lebih besar lagi hal ini berlaku dalam kalangan manusia yang berpengaruh dan mempunyai kedudukan tinggi iaitu rasuah, menyalah guna kuasa, menggunakan kedudukan dan sebagainya untuk menjadi penyangak yang terlalu bersifat materialistik, gila benda dan wang tetapi dalam cara yang amat bijak dan halus sekali.

Kerana penyakit jiwa ini juga orang menjadi liar, tidak bersopan, rosak akhlak, mengamalkan gejala maki hamun, dendam kesumat, biadab dan tidak berakhlak sesama sendiri, dan sesama saudara seagama dan senegara, rasa rasis dan taksub politik yang melampau, tidak ihsan dan tidak merasa malu kepada manusia, apatah lagi kepada Allah.

Orang yang berpenyakit jiwa akan bertindak di luar kawalan akal dan ajaran agama yang sihat, secara membuta tuli akan menurut emosi dan perasaan, melanggar undang-undang termasuk undang-undang lalu lintas, membawa kereta seperti orang yang tidak siuman, tergopoh gapah dan memandu laju tanpa berfikiran, mengakibatkan kemalangan, memakan korban yang banyak di atas jalan raya, mati dan luka parah.

Hal yang digambarkan di atas hanya merupakan sebahagian contoh yang kecil tentang akibat yang dialami oleh anggota masyarakat dalam kelompok masyarakat yang sakit jiwa dan mental, sakit rohani dan emosi, sakit otak dan fikiran, yang tidak memilih orang pandai atau jahil, kaya atau miskin, beragama atau tidak, semuanya terdedah kepada penyakit zaman moden, alaf ke tiga, dunia abad ke-21 ini iaitu penyakit jiwa dan mental yang diilhamkan oleh syaitan serta hawa nafsu, penyakita abad 20 ketika dunia menjadi gelanggang persaingan hidupyang terpisah dari nilai-nilai suci, budaya sihat dan ajaran agama.

Hampir seluruh dunia pada hari ini mengalami penyakit mental dan penyakit jiwa ini, sehingga dunia dipenuhi oleh keganasan, kekejaman, penindasan berdasarkan negara dan anutan agama serta rupa bangsa, berdasarkan barat melawan timur, negara maju menindas negara miskin, dasar globalisasi yang menyeleweng dan sebagainya.

Malah dalam dunia Islam sendiri kekerasan dan keganasan yang membawa kepada pembunuhan sesama sendiri sering juga berlaku kerana perebutan kuasa politik, perbezaan suku kaum, kelainan mazhab dalam agama sendiri, dan peselisihan pandangan lain, yang sepatutnya dapat diselesaikan secara beradab dan bertamadun, tetapi orang lebih suka menyelesaikan konflik mereka secara  keganasan dan pertumpahan darah, bukan melalui meja perundingan dan dialog ilmu.

Hal ini mulai berjangkit menjadi wabak dalam masyarakat Islam kita sendiri iaitu perkembangan yang berlaku akhir-akhir ini kerana perebutan kuasa politik  melampau yang mengakibatkan kerosakan moral dan adab, memecahbelahkan masyarakat islam, melemahkan kesatuan ummah, yang sekali gus memberikan peluang kepada orang lain yang mahu melihat perpecahan orang Islam.

Oleh itu, kalau kita boleh berdoa, dan berharap, malah bertindak dan berusaha, maka tahun 2013 ini mintalah menjadi tahun permulaan untuk kesihatan jiwa dan mental manusia, termasuk manusia warga negara kita ini, agar penyakit mental, penyakit jiwa, penyakit rohani dan emosi yang telah banyak menjalar di dalam masyarakat kita ini akan berkurangan supaya kita akan dapat menikmati rasa aman, sejahtera dan bahagia di dalam masyarakat kita ini...

Permulaan membangunkan masyarakat yang sihat daripada penyakit jiwa dan rohani ini bukanlah sebenarnya untuk kita generasi ini, tetapi untuk kebahagiaan anak cucu, generasi dan ummah kita yang akan datang, kerana merekalah yang akan mewarisi negara dan dunia ini seluruhnya.

Selamat menyambut tahun baru 2013, selamat menempa umat baru, rakyat Malaysia yang sihat sejahtera, aman bahagia... Inilah saja harapan dan doa yang dapat kita lakukan buat hari pertama tahun baru masihi 2013 ini.

* Datuk Dr Ismail Ibrahim, bekas Ketua Pengarah Ikim

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

TAHUN 2013 : TARIKH BARU, SKRIP LAMA


Oleh : IZHAM JAYA

SELAMAT tahun baru 2013. Semoga tahun ini kita menjadi warga matang yang benar-benar merdeka dengan identiti Malaysia yang sebenar. Tempoh setahun kehidupan pada tahun 2012 baru sahaja berlalu dan ceritanya patut menjadi panduan dalam mendepani cabaran 2013.

Pada  pengakhiran 2012 semalam, mungkin ramai yang merenung kembali segala azam dan sejauh mana pencapaian kita. Ada antara azam yang tidak tercapai akan dilaksanakan pula pada tahun 2013 atau mungkin patut dilupakan sahaja kerana tidak lagi relevan. Pendek kata, bermulanya tanggal 1 Januari 2013, segalanya menjadi satu matlamat jelas yang membantu pembinaan kerangka misi tahun 2013 yang lebih bermakna. Semoga segalanya tercapai!

Impian besar untuk menjadi masyarakat kelas pertama dan dihormati adalah agenda paling jelas setiap kali permulaan tahun baru. Pada tahun yang mendatang inilah kita mengimpikan setiap rakyat Malaysia menjadi orang pertama untuk segala perkara yang hebat. Mengimpikan supaya ada  antara kita yang diiktiraf dunia dan masyhur dalam bidang yang diceburi. Setidak-tidaknya, menerima hadiah nobel.

Bagi saya sendiri, impian supaya rakyat Malaysia dapat menggunakan jalan raya dengan bijak sudah memadai. Kita sebenarnya mampu membina segala kemudahan bertaraf dunia dalam masa yang singkat, tetapi kita tidak mampu membina pemikiran rakyat bagi mengisi kekosongan jiwa negara apatah lagi memastikan segala kemudahan berteknologi tinggi dicernakan rakyat untuk menjadi masyarakat maju.

Proses pembinaan pemikiran ini pastilah tidak terjadi dalam masa yang singkat. Kerangka pembinaan ini sepatutnya sudah lama diterap bagi memastikannya selari dengan pembangunan yang dilaksana. Inilah yang sepatutnya menjadi agenda penting pada setiap acara tahun baru. Bahkan dalam setiap acara keramaian di negara ini.

Permulaan tahun baru dewasa ini tampak semakin menyedihkan. Agenda pengisian jiwa bangsa seakan tidak menjadi perkara utama. Permulaan tahun yang gemilang tidaklah begitu hebat seolah-olah menampakkan tahun ini juga tiada pergerakan luar biasa dalam pembinaan jiwa bangsa.

Skrip acara ini sudah diulang tayang saban tahun, malah kelihatan seperti dirakam. Hanya diubah tarikhnya sahaja. Pesta nyanyian, tarian dan percikan bunga api sudah menjadi acara lazim yang hanya mengisi kekosongan jiwa rakyat dengan hiburan semata.

Menghabiskan jutaan ringgit bahkan subsidi elektrik dan subsidi petrol tetapi gagal dalam mencipta nilai jiwa bangsa samada patriotik, rohani, intelek atau budaya. Penyimpangan jauh ini merencatkan pembinaan jiwa bangsa dan memburukkan kerosakan sedia ada. Mungkin sekadar menambah nilai pada industri hiburan negara yang sememangnya sudah kurang nilainya.

Pesta hiburan

Kita mempunyai 12 bulan lagi pada 2013 untuk berusaha bersungguh-sungguh dan berkerja bermati-matian bagi mencapai matlamat. Adakah kita akan berusaha dengan lebih hebat lagi berbanding hebatnya kita berpesta menyambut tahun baru? Seperti tahun 2012, kita berpesta hampir sepanjang tahun dengan pelbagai acara nyanyian, tarian dan hiburan.

Tahun itu, pelbagai pihak sibuk menganjurkan pesta hiburan yang mesra dengan rakyat marhain. Malah, pesta tersebut turut dipanjangkan kepada golongan suburban dan luar bandar. Tidak cukup dengan itu, saban hari televisyen menayangkan pelbagai drama putus cinta, perpecahan keluarga, acara nyanyian dan gosip hiburan.

Selainnya lebih berkisar kepada politik semasa. Umum boleh melihat, tidak banyak program yang menjurus kepada pembentukan nilai bangsa Malaysia yang maju dan hebat. Jika adapun, acara berbentuk ilmiah dan patriotik dilihat gagal mengimbangi gemilangnya acara hiburan.

Penerimaan nilai-nilai intelek, inovasi, rohaniah dan patriotik di kalangan rakyat juga tidaklah sehebat penerimaan budaya hiburan seperti k-pop. Dalam masa yang sama, kita hanya melaungkan pelbagai cabaran dan hala tuju negara biarpun pengisiannya dikalangan masyarakat masih kosong.

Saya merasakan negara perlu memikirkan sesuatu yang lebih kritis dalam pembinaan generasi baru masyarakat Malaysia. Biarlah pembinaan nilai-nilai bangsa dan pengisian jiwa masyarakat dibuat secara berhemah dan tersusun.

Seperti mana hebatnya acara hiburan, gahnya percikan bunga api dan indahnya tarian, saya juga mengimpikan kelahiran generasi baru yang lengkap dengan nilai-nilai bangsa maju dan hebat. Kelahiran semula ini bukanlah sesuatu yang dianugerahkan tetapi terbina dari satu proses yang menciptakan.

Jiwa kosong

Justeru, kekosongan dan kekeliruan dalam jiwa masyarakat pada masa ini perlulah diisi segera dengan nilai-nilai positif dan gemilang. Permulaan kepada penghujung yang gemilang sewajarnya dimulakan dengan sesuatu yang gemilang juga.

Sambutan tahun baru bukanlah satu pesta yang wajar dirai sekiranya kita masih gagal pada tahun sebelumnya. Saya merasakan, kita perlu waras dalam hal ini. Mendengar nyanyian yang kadangkala kedengaran sumbang dan liriknya pula seolah dunia akan kiamat apabila putus cinta adalah sesuatu yang aneh dan tidak wajar sedang kita memikirkan cabaran besar yang menanti tahun 2013.

Menonton tarian dengan identiti yang dicedok dari negara luar juga mencerminkan betapa rendahnya nilai inovasi kita. Masih gagal untuk mencipta sesuatu yang masyhur dan menjadi ikutan masyarakat antarabangsa. Sudahlah gagal, kita pula yang mengikut orang lain dan menjadikan itu kegemaran kita.

Adalah menjengkelkan untuk melihat sekumpulan manusia hebat di atas pentas menarikan tarian Gangnam Style selepas selesai kiraan detik 2013. Pesta hiburan ini kemudian akan berterusan sepanjang malam di hotel-hotel bajet dan mewah, di pusat-pusat hiburan dan di jalan raya.

Nah, di manakah pembinaan nilainya? Soal cabaran yang menanti pada tahun 2013 dan matlamatnya pada tahun 2020 seakan dipinggirkan dan ditangguhkan. Himpunan massa sebegini sepatutnya menjadi medan terbaik kepada pihak penganjur dalam menerapkan nilai-nilai bangsa yang hebat dan gemilang.

Jutaan manusia sanggup berhujan dan bersesak-sesak semata-mata untuk kiraan detik 2013 tetapi segalanya menjadi sia-sia. Mereka balik dengan jiwa yang kosong seperti mana mereka datang dan esok masih lagi sama seperti 31 Disember 2012.

Masa akan sentiasa berdetik dan berlalu. Kita akan sentiasa kerugian jika masih terbuai dalam mimpi yang indah. Janganlah memikirkan daripada pandangan anda yang tahu berfikir, tetapi fikirlah untuk mereka yang tidak tahu berfikir.

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/