Selasa, 1 Januari 2013

TAHUN 2013 : TARIKH BARU, SKRIP LAMA


Oleh : IZHAM JAYA

SELAMAT tahun baru 2013. Semoga tahun ini kita menjadi warga matang yang benar-benar merdeka dengan identiti Malaysia yang sebenar. Tempoh setahun kehidupan pada tahun 2012 baru sahaja berlalu dan ceritanya patut menjadi panduan dalam mendepani cabaran 2013.

Pada  pengakhiran 2012 semalam, mungkin ramai yang merenung kembali segala azam dan sejauh mana pencapaian kita. Ada antara azam yang tidak tercapai akan dilaksanakan pula pada tahun 2013 atau mungkin patut dilupakan sahaja kerana tidak lagi relevan. Pendek kata, bermulanya tanggal 1 Januari 2013, segalanya menjadi satu matlamat jelas yang membantu pembinaan kerangka misi tahun 2013 yang lebih bermakna. Semoga segalanya tercapai!

Impian besar untuk menjadi masyarakat kelas pertama dan dihormati adalah agenda paling jelas setiap kali permulaan tahun baru. Pada tahun yang mendatang inilah kita mengimpikan setiap rakyat Malaysia menjadi orang pertama untuk segala perkara yang hebat. Mengimpikan supaya ada  antara kita yang diiktiraf dunia dan masyhur dalam bidang yang diceburi. Setidak-tidaknya, menerima hadiah nobel.

Bagi saya sendiri, impian supaya rakyat Malaysia dapat menggunakan jalan raya dengan bijak sudah memadai. Kita sebenarnya mampu membina segala kemudahan bertaraf dunia dalam masa yang singkat, tetapi kita tidak mampu membina pemikiran rakyat bagi mengisi kekosongan jiwa negara apatah lagi memastikan segala kemudahan berteknologi tinggi dicernakan rakyat untuk menjadi masyarakat maju.

Proses pembinaan pemikiran ini pastilah tidak terjadi dalam masa yang singkat. Kerangka pembinaan ini sepatutnya sudah lama diterap bagi memastikannya selari dengan pembangunan yang dilaksana. Inilah yang sepatutnya menjadi agenda penting pada setiap acara tahun baru. Bahkan dalam setiap acara keramaian di negara ini.

Permulaan tahun baru dewasa ini tampak semakin menyedihkan. Agenda pengisian jiwa bangsa seakan tidak menjadi perkara utama. Permulaan tahun yang gemilang tidaklah begitu hebat seolah-olah menampakkan tahun ini juga tiada pergerakan luar biasa dalam pembinaan jiwa bangsa.

Skrip acara ini sudah diulang tayang saban tahun, malah kelihatan seperti dirakam. Hanya diubah tarikhnya sahaja. Pesta nyanyian, tarian dan percikan bunga api sudah menjadi acara lazim yang hanya mengisi kekosongan jiwa rakyat dengan hiburan semata.

Menghabiskan jutaan ringgit bahkan subsidi elektrik dan subsidi petrol tetapi gagal dalam mencipta nilai jiwa bangsa samada patriotik, rohani, intelek atau budaya. Penyimpangan jauh ini merencatkan pembinaan jiwa bangsa dan memburukkan kerosakan sedia ada. Mungkin sekadar menambah nilai pada industri hiburan negara yang sememangnya sudah kurang nilainya.

Pesta hiburan

Kita mempunyai 12 bulan lagi pada 2013 untuk berusaha bersungguh-sungguh dan berkerja bermati-matian bagi mencapai matlamat. Adakah kita akan berusaha dengan lebih hebat lagi berbanding hebatnya kita berpesta menyambut tahun baru? Seperti tahun 2012, kita berpesta hampir sepanjang tahun dengan pelbagai acara nyanyian, tarian dan hiburan.

Tahun itu, pelbagai pihak sibuk menganjurkan pesta hiburan yang mesra dengan rakyat marhain. Malah, pesta tersebut turut dipanjangkan kepada golongan suburban dan luar bandar. Tidak cukup dengan itu, saban hari televisyen menayangkan pelbagai drama putus cinta, perpecahan keluarga, acara nyanyian dan gosip hiburan.

Selainnya lebih berkisar kepada politik semasa. Umum boleh melihat, tidak banyak program yang menjurus kepada pembentukan nilai bangsa Malaysia yang maju dan hebat. Jika adapun, acara berbentuk ilmiah dan patriotik dilihat gagal mengimbangi gemilangnya acara hiburan.

Penerimaan nilai-nilai intelek, inovasi, rohaniah dan patriotik di kalangan rakyat juga tidaklah sehebat penerimaan budaya hiburan seperti k-pop. Dalam masa yang sama, kita hanya melaungkan pelbagai cabaran dan hala tuju negara biarpun pengisiannya dikalangan masyarakat masih kosong.

Saya merasakan negara perlu memikirkan sesuatu yang lebih kritis dalam pembinaan generasi baru masyarakat Malaysia. Biarlah pembinaan nilai-nilai bangsa dan pengisian jiwa masyarakat dibuat secara berhemah dan tersusun.

Seperti mana hebatnya acara hiburan, gahnya percikan bunga api dan indahnya tarian, saya juga mengimpikan kelahiran generasi baru yang lengkap dengan nilai-nilai bangsa maju dan hebat. Kelahiran semula ini bukanlah sesuatu yang dianugerahkan tetapi terbina dari satu proses yang menciptakan.

Jiwa kosong

Justeru, kekosongan dan kekeliruan dalam jiwa masyarakat pada masa ini perlulah diisi segera dengan nilai-nilai positif dan gemilang. Permulaan kepada penghujung yang gemilang sewajarnya dimulakan dengan sesuatu yang gemilang juga.

Sambutan tahun baru bukanlah satu pesta yang wajar dirai sekiranya kita masih gagal pada tahun sebelumnya. Saya merasakan, kita perlu waras dalam hal ini. Mendengar nyanyian yang kadangkala kedengaran sumbang dan liriknya pula seolah dunia akan kiamat apabila putus cinta adalah sesuatu yang aneh dan tidak wajar sedang kita memikirkan cabaran besar yang menanti tahun 2013.

Menonton tarian dengan identiti yang dicedok dari negara luar juga mencerminkan betapa rendahnya nilai inovasi kita. Masih gagal untuk mencipta sesuatu yang masyhur dan menjadi ikutan masyarakat antarabangsa. Sudahlah gagal, kita pula yang mengikut orang lain dan menjadikan itu kegemaran kita.

Adalah menjengkelkan untuk melihat sekumpulan manusia hebat di atas pentas menarikan tarian Gangnam Style selepas selesai kiraan detik 2013. Pesta hiburan ini kemudian akan berterusan sepanjang malam di hotel-hotel bajet dan mewah, di pusat-pusat hiburan dan di jalan raya.

Nah, di manakah pembinaan nilainya? Soal cabaran yang menanti pada tahun 2013 dan matlamatnya pada tahun 2020 seakan dipinggirkan dan ditangguhkan. Himpunan massa sebegini sepatutnya menjadi medan terbaik kepada pihak penganjur dalam menerapkan nilai-nilai bangsa yang hebat dan gemilang.

Jutaan manusia sanggup berhujan dan bersesak-sesak semata-mata untuk kiraan detik 2013 tetapi segalanya menjadi sia-sia. Mereka balik dengan jiwa yang kosong seperti mana mereka datang dan esok masih lagi sama seperti 31 Disember 2012.

Masa akan sentiasa berdetik dan berlalu. Kita akan sentiasa kerugian jika masih terbuai dalam mimpi yang indah. Janganlah memikirkan daripada pandangan anda yang tahu berfikir, tetapi fikirlah untuk mereka yang tidak tahu berfikir.

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan