Isnin, 9 Julai 2012

ISU PERKHIDMATAN AWAM : Penjawat Awam Perlu Lebih Kreatif Dan Inovatif



PUTRAJAYA : Penjawat awam perlu menampilkan pelaksanaan tugas yang lebih kreatif dan inovatif bagi menyahut cabaran untuk memenuhi jangkaan rakyat yang semakin bertambah kompleks, pelbagai dan sentiasa berubah.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata perkhidmatan awam merupakan tonggak kepada usaha memastikan dasar negara dilaksanakan, demi mencapai matlamat kerajaan untuk menjadi negara maju berpendapatan tinggi pada tahun 2020.

Beliau berkata persekitaran hari ini jauh lebih berbeza berbanding satu ketika dahulu, yang menuntut kerjasama dan komitmen padu serta jitu daripada segenap lapisan pentadbiran.

"Kita berdepan dengan rakyat Malaysia yang mempunyai jangkaan dan harapan yang tidak macam dahulu dan perubahan ini disebabkan kejayaan kita menyediakan peluang pendidikan yang semakin tinggi, akses kepada pendidikan yang cukup luas. Pendedahan maklumat kini mungkin sudah terlalu banyak," katanya semasa berucap pada majlis Dialog Perdana Perkhidmatan Awam di sini, Isnin.

Najib berkata sebagai pendukung sebuah pentadbiran, penjawat tidak ada pilihan selain daripada memacu kemampuan untuk menghasilkan sistem penyampaian yang lebih berkesan, pantas dan efektif.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata Malaysia boleh berbangga kerana semasa persekitaran ekonomi negara Eurozone dan United Kingdom berada dalam keadaan tidak menentu, keadaannya tidak begitu ketara di Malaysia ketika ini.

"Mana tidaknya, mana-mana kami pergi, saya dan Timbalan Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) pergi, semua minta tambahan peruntukan," katanya dan menambah sektor pembinaan pula terus menyerlah tanpa menunjukkan tanda-tanda pertumbuhannya terjejas.

"Tapi kita juga perlu realistik, misalnya kita perlu pelaburan luar negara, kalau dunia menjurus ke arah krisis ekonomi, sudah tentu saluran bagi pelaburan baru akan berkurangan," katanya.

Najib berkata walaupun sudah menempa banyak kejayaan, namun perjalanan Malaysia masih jauh dan beliau percaya masih ada ruang untuk penjawat awam terus melakukan penambahbaikan, dan menurutnya perubahan itu perlu merupakan satu 'lonjakan berganda'.

Katanya sebab itu, beliau sering menggesa dan mencabar semua, termasuk dirinya sendiri, untuk memikirkan idea yang lebih kreatif dan inovatif yang boleh ditampilkan untuk membawa penambahbaikan sebenar, dan tidak boleh menjalankan tugas seperti kebiasaannya.

Najib berkata harapan dan jangkaan rakyat kini berubah dan pelbagai, apabila masyarakat di seluruh negara rata-rata berubah mengikut arus urbanisasi, yang membawa lebih banyak cabaran kepada sistem penyampaian, di samping menuntut penyesuaian dalam pelaksanaan tugas dan tanggungjawab penjawat awam.

Menurutnya jika suatu ketika dahulu apa yang dipentingkan adalah keperluan asas seperti jalan raya, bekalan air dan eletrik, kini tuntutannya lebih pelbagai seperti usaha cegah jenayah, kebebasan dan layanan perkhidmatan.

Beliau berkata sebagai kerajaan, pentadbirannya tidak boleh menawarkan sesuatu yang retorik, tetapi perlu memberi bantuan yang jelas dan nyata yang sampai terus kepada rakyat seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M), Klinik 1Malaysia dan banyak lagi.

Perdana Menteri berkata kerajaan juga tidak boleh berbelanja sewenang-wenangnya kerana perlu bersandarkan kepada perbelanjaan yang berhemah.

"Kalau nak tambah perbelanjaan sekalipun, kita kena 'wujudkan kekayaan' kena cari sumber baru," katanya.

Lebih 500 penjawat awam dari seluruh negara hadir pada majlis dialog anjuran Razak School of Government, Jabatan Perkhidmatan Awam dan Jabatan Perdana Menteri itu, yang diagendakan khusus sebagai platform utama untuk memastikan perkhidmatan awam Malaysia menjadi teras, tunjang dan tonggak hadapan dalam proses anjakan transformasi yang pesat ketika ini.

Majlis turut dihadiri Muhyiddin dan Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ali Hamsa. - BERNAMA

ISU PENGAJIAN TINGGI : Universiti terbaik


    
Oleh Ruhaiza Rusmin
ruhaizarusmin@hmetro.com.my

ANTARA hala tuju utama dunia pendidikan moden ialah pengiktirafan pengantarabangsaan yang dianggap berprestij bagi sesebuah institusi.

Berjaya meletakkan nama di persada antarabangsa ibarat satu kemenangan mutlak institusi dalam merencanakan agenda dirancang di peringkat global.

Bagaimanapun, cabaran memperoleh pengiktirafan itu bukan mudah atau hanya bermodalkan ‘air liur’, sebaliknya perlu melalui kesukaran dan kerja keras.

Persoalannya, mengapakah perjuangan demi mencapai tahap pengantarabangsaan itu satu ‘penyeksaan’ sedangkan penghormatan bakal diterima cukup gah?

Presiden Management and Science University (MSU), Profesor Datuk Wira Dr Mohd Shukri Ab Yajid berkata, pengantarabangsaan bukan sekadar memastikan sesebuah institusi mampu mencapai standard ditetapkan, malah perlu memastikan nilai budaya serta penerapan ilmu berada dalam garisan diterima masyarakat.

Menurutnya, skop pengantarabangsaan yang luas perlu dihayati dengan tepat dan teliti kerana sasaran memenuhi piawaian ditetapkan tinggi, penuh liku serta memerlukan pengorbanan.

“Hakikatnya, ramai melihat pengantarabangsaan institusi sebagai satu keutamaan masa kini yang mesti ada, perlu dilakukan serta perlu dicapai.

“Diakui, semua mahu mencapai tahap itu dan tidak salah berusaha untuknya. Ia satu persaingan dan pencapaian sihat bagi memajukan lagi industri pendidikan.

“Namun jangan lupa, pengantarabangsaan juga satu tanda komitmen dan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan dengan penuh dedikasi. Bukan calang-calang usaha diperlukan untuk mencapai status itu kerana banyak aspek perlu diperkukuh, diperbaiki dan mungkin dikorbankan untuk berada pada tahap antarabangsa,” katanya.

Tidak salah juga, katanya, jika ingin membina harapan menjadi yang terbaik kerana proses globalisasi masa kini mahukan rentasan ilmu tanpa sempadan.

“Jika tidak, kita akan ketinggalan jauh dengan ilmu, pemikiran, teknologi serta kemajuan yang tidak berkembang,” katanya.

Isu pengantarabangsaan kini menjadi antara mandat utama dunia pendidikan tinggi negara, namun keterujaan mencapainya kadangkala menimbulkan konflik sampingan institusi juga masyarakat.

Apatah lagi jika kedudukan institusi yang dulunya pernah tersenarai, namun akhirnya tersingkir bukan saja boleh menyebabkan reputasi tercalar, malah menimbulkan pertikaian mengenai tahap kewibawaan juga imej yang disandang.

Namun, beliau berpendapat, masyarakat tidak perlu bersikap terlalu obses dan mengambil berat mengenai senarai kedudukan jatuh bangun universiti kerana dikhuatiri boleh menggugat proses menuntut ilmu yang lebih utama.

Malah, kritikan berlebihan dikhuatiri boleh menjatuhkan nama baik serta reputasi institusi yang selama ini besar sumbangannya kepada masyarakat tempatan.

“Senarai kedudukan penting bagi memberi gambaran reputasi sesebuah institusi, namun biarlah rasional. Kritikan mahupun sikap mendesak keterlaluan boleh mencetuskan konflik lain pula.

“Kepentingan utama ialah kita mahu memberi kepercayaan terhadap institusi pendidikan tinggi di negara ini untuk terus komited dan fokus melaksanakan transformasi pendidikan.

“Pengantarabangsaan hanya sekadar taraf, namun ia tidak boleh menggugat nilai dan fungsi utama iaitu menjana pembangunan ilmu di kalangan masyarakat,” katanya.

Malangnya segelintir pihak menganggap kedudukan dalam senarai penarafan utama dunia sebagai keutamaan yang perlu dikejar dan diperoleh.

“Saya akui setiap pengiktirafan bertaraf antarabangsa boleh menaikkan imej institusi namun pada masa sama, kita perlu rasional. Jangan keterlaluan membandingkan nilai keupayaan institusi kita dengan negara luar.

“Sama ada tersenarai atau tidak, keutamaan yang perlu ditekankan ialah jangan lupa tanggungjawab hakiki institusi sebagai pusat pengembangan ilmu.

“Kita mahu mendidik dan mengembangkan ilmu, bukan mengejar tahap kedudukan semata-mata. Itu sudah lari daripada konsep sebenar dunia pendidikan,” katanya tidak menafikan pengantarabangsaan juga satu kredit kepaa institusi dalam membina nama di persada dunia pendidikan global.

“Siapa yang tidak mahu pengiktirafan? Ia satu cara paling berkesan memperkukuhkan nama di persada dunia industri pendidikan moden.

“Bagaimanapun, ia bukan sekadar mahu menempa nama semata-mata, malah memerlukan satu perjalanan panjang bagi memastikan proses penggemblengan ilmu tidak terhenti.

“Selain memastikan aset utama iaitu pelajar masih tetap selari di landasan betul kerana mereka inilah aset paling berharga yang perlu dijaga sebaiknya,” katanya.

Bagi MSU pula, beliau menggariskan empat cara menjana proses pengantarabangsaan institusi iaitu melalui program ditawarkan, pelajar antarabangsa, fakulti serta tenaga pengajar serta kerjasama dengan institusi luar negara.

“Pengantarabangsaan MSU merangkumi semua aspek yang digabungkan secara menyeluruh dengan satu tujuan iaitu meneroka konsep pendidikan terkini seiring globalisasi.

“Kepentingan MSU ialah pendidikan yang mampu melahirkan aset serta keupayaan pelajar dalam semua bidang. Justeru, apa yang dilaksanakan mestilah mempunyai kualiti yang mampu memperoleh pengiktirafan,” katanya.

Beliau berkata, apa yang dilakukan itu menjadi kayu pengukur serta timbang tara MSU dalam melaksanakan misi pengantarabangsaan dengan setiap aspek dilaksanakan juga menuju ke arah pengukuhan jenama.

“Sejak 30 tahun penubuhan yang hanya bermula sebagai sebuah kolej, kami sentiasa menetapkan matlamat untuk menjadi yang terbaik di kalangan terbaik.

“Bagaimanapun, ia bukan mudah kerana perlu merentasi pelbagai halangan. Namun, pengiktirafan sama ada tempatan mahupun antarabangsa menjadi bukti komitmen kami memberi pendidikan terbaik kepada semua lapisan masyarakat,” katanya.

Lebih membanggakan, apabila MSU diiktiraf Tier 5 kategori cemerlang dalam Sistem Penarafan Institusi Pengajian Tinggi (SETARA) 2009.

Mengulas sikap masyarakat yang hanya memandang pengiktirafan daripada badan luar semata-mata, beliau berharap ia mampu diubah kerana sebarang pengiktirafan sama ada antarabangsa atau tempatan, semuanya menjana kepada satu matlamat iaitu menjadikan proses pengembangan ilmu berada pada tahap terbaik.

“Masyarakat ada pandangan masing masing, namun biarlah positif agar institusi dapat melaksanakan tanggungjawabnya dengan lebih fokus.

“Apa jua pengiktirafan sama ada besar atau kecil, dalam atau luar negara dan sebagainya hanyalah menjadi langkah pertama untuk institusi bergerak lebih maju.

“Anggaplah pengiktirafan itu sebagai satu dorongan semangat selain memperbaiki kekurangan. Yang penting bagaimana institusi mahu terus merealisasikan budaya ilmu sebagai tanggungjawab utama,” katanya.

Sumber : http : //www.hmetro.com.my/

Belasungkawa : Negara kehilangan tokoh budaya tersohor



KUALA LUMPUR - Malaysia kehilangan seorang tokoh budaya tersohor, Azah Aziz, 83, atau nama penuhnya Sharifah Azah Mohamed Alsagoff, yang cukup dikenali sebagai seorang yang amat cintakan khazanah alam Melayu.

Isteri kepada Profesor Diraja Ungku Aziz itu menghembuskan nafas terakhirnya pada kira-kira 10 pagi tadi akibat serangan angin ahmar.

Dilahirkan pada 21 Ogos 1928 di Singapura dan dibesarkan di Johor Baharu, Azah yang turut dikenali sebagai Mak Ungku mendapat pendidikan awal di Sekolah Menengah Convent, Johor Bahru.

Menurut buku biografinya berjudul "Azah Aziz: Kartika di Langit Seni" yang diterbitkan pada 2002, Azah melalui zaman remajanya ketika perang Jepun dan pengajian beliau terganggu semasa perang.

Selepas perang tamat, beliau berhasrat untuk menyambung pelajaran tetapi dilamar oleh Ungku Aziz dengan kata-kata: "Berkahwin dengan saya sama seperti menuntut pelajaran tinggi di sebuah universiti.”

Azah, ibu kepada Gabenor Bank Negara Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz, dikenali sebagai seorang yang cukup arif tentang dunia pakaian Melayu daripada jenis kainnya hinggalah kepada semua potongan pakaian tradisional.

Beliau yang sentiasa tampil manis berbaju kurung difahamkan mempunyai koleksi lebih 100 pakaian warisan lama seperti baju kurung, baju Melayu dan kebaya.

Azah juga amat menghargai keindahan pantun Melayu dengan merakamkan ketinggian tahap intelek orang Melayu di sebalik pilihan kata-kata yang halus dan penuh berseni.

Selain itu, Azah ialah antara wartawan wanita Melayu pertama dan pernah berkhidmat di Berita Harian, Singapura pada 1957 sebelum ke Utusan Melayu dan majalah Wanita.

Azah, yang juga anak saudara pengasas Umno Datuk Onn Jaafar, ialah pengasas Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Pena).

Beliau juga mengasas Persatuan Wartawan Wanita Malaysia (Pertama) dan menjadi Ketua Satu yang pertama dari 1971 hingga 1978.

Ketika di Berita Harian, Azah mengendalikan ruangan wanita dan menulis tentang perlunya kaum ibu menyediakan makanan yang berzat untuk keluarga.

Menurut biografi itu, beliau memegang kuat pesanan ibunya iaitu: “Kalau kau hendak menolong orang Melayu, tulislah banyak-banyak tentang zat makanan.”

Beliau juga pernah menulis lebih 10 buku berkaitan pantun, seloka, hal wanita, pakaian tradisional serta kraf tangan.

Pada 2008, Azah dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Kesenian dan Doktor Pendidikan oleh Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) kerana ketokohannya dalam bidang kebudayaan dan kewartawanan.

Beliau juga pernah dinobatkan sebagai Tokoh Wanita Johor, Wanita Cemerlang Avon Tan Sri Fatimah, dan Anugerah Jarum Berlian.

Jawatan terakhir yang disandangnya ialah Pengerusi Prestige Communications Sdn Bhd dan penasihat utama kebudayaan dan tradisional Melayu.  – Bernama

ISU SOSIAL : Mengurus kemahiran hidup elak berhutang


Pandangan IKIM

LAPORAN Indeks Kualiti Hidup Malaysia (IKHM) baru-baru ini menunjukkan tahap kualiti hidup rakyat Malaysia pada 2011 adalah meningkat berbanding tahun sebelumnya.

Ini memberi gambaran bahawa terdapat peningkatan kemajuan kualiti hidup rakyat Malaysia yang merangkumi aspek fizikal, sosial dan ekonomi terutama dalam kemajuan diri, gaya hidup yang sihat, akses dalam memperoleh pengetahuan dan menikmati taraf hidup yang berkualiti dan lebih selesa.

Adalah penting menikmati taraf hidup yang berkualiti dan selesa demi mencapai sebuah negara maju menjelang 2020. Walau bagaimanapun, anjakan kepada negara maju dan berpendapatan tinggi ini perlu juga membawa kepada anjakan masyarakatnya yang mempunyai kemahiran hidup yang tinggi. Kemahiran hidup yang dimaksudkan adalah berkaitan soal mengurus kewangan.

Golongan muda ialah individu yang dikatakan kurang mementingkan pengurusan kewangan dan suka terpengaruh dengan gaya hidup di luar kawalan atau kemampuan kewangan mereka. Malah gaya hidup mereka yang tidak dapat membezakan antara kehendak dan keperluan serta keinginan hidup mewah menyebabkan pinjaman yang dibuat ini terus meningkat.Apabila keadaan ini berlaku, mereka akan terjebak dengan masalah hutang yang akhirnya menyebabkan mereka gagal melunaskan pinjaman.

Ada juga golongan muda yang berhutang untuk tujuan peribadi. Sebagai contoh berhutang untuk menyertai skim cepat kaya. Mereka sanggup meminjam wang dari institusi kewangan hanya untuk mencuba mengubah ‘nasib’ melalui skim tersebut. Ada yang sanggup berhutang sehingga mencecah berpuluh-puluh ribu ringgit. Mereka tidak sedar bahawa jika jumlah hutang yang dibuat melebihi RM30,000 misalnya, dan mereka tidak dapat melunaskannya mengikut ketetapan bank, kemungkinan mereka akan dikenakan tindakan undang-undang dan berakhir dengan kebankrapan.

Kesan secara langsung mereka yang dibelenggu pinjaman dan hutang piutang ini boleh menjejaskan produktiviti di tempat kerja dan kadang-kala menyebabkan terjadinya pertengkaran dan mencetuskan pergaduhan dalam keluarga. Begitu juga dengan dengan alam pekerjaan misalnya, rekod peribadi mereka akan terjejas dan peluang untuk kenaikan pangkat, kekal dalam jawatan atau mendapat pekerjaan baru adalah sukar. Apabila keadaan ini berlaku adakah kualiti hidup dapat dicapai?

Memang tidak dinafikan dalam kehidupan hari ini ramai orang yang seronok berhutang terutama orang muda. Sebabnya jika hendak membuat pinjaman kini adalah sangat mudah. Usaha tidak banyak tapi pinjaman yang diperoleh memang banyak. Hanya menunggu beberapa hari sahaja kelulusan pinjaman. Itulah sebabnya ramai masyarakat kita terutama golongan muda ini suka berhutang tetapi tidak pula bijak dalam mengurus atau melunaskan hutang mereka. Malah tidak ramai yang membuat penilaian sama ada hutang yang mereka ambil itu jenis hutang yang perlu atau sebaliknya.

Hutang yang tidak bersandarkan aset ini selalunya dikenakan kadar faedah yang tinggi oleh institusi kewangan kerana dianggap sebagai jenis hutang berisiko tinggi. Manakala tempoh bayarannya pula bergantung kepada jumlah wang yang dibayar.

Jika bayaran yang dibuat adalah jumlah yang minimum, individu itu akan mengambil masa lama untuk menjelaskan hutang kad kreditnya. Oleh itu, amat penting untuk seseorang untuk mengetahui tentang jenis-jenis hutang dan sebab mereka berhutang kerana mereka akan menjadi lebih fokus apabila menangani bebanan hutang kelak.

Berbeza dengan individu yang bijak mengurus kemahiran hidup dalam soal kewangan ini. Mereka hanya berhutang untuk membeli atau membina rumah kediaman, membeli kenderaan sebagai pengangkutan yang menjadi satu tuntutan pada zaman sekarang untuk berulang-alik ke tempat kerja. Hutang ini tergolong dalam jenis hutang yang bersandarkan aset.

Tempoh pembayaran yang panjang dan kadar faedah agak berpatutan bergantung keadaan ekonomi tempatan dan dunia. Hutang untuk membeli aset sebegini adalah satu lumrah kerana harga aset ini juga adalah tinggi dan jarang sekali dapat membeli secara tunai.

Justeru, hutang perlu diuruskan dengan cara yang teratur dan dilakukan dengan perancangan yang betul. Misalnya, apabila tibanya musim gaji, perkara pertama yang perlu dilakukan adalah membayar hutang dan bil-bil bulanan seperti hutang kereta, rumah, bil air, bil api, hutang pinjaman pendidikan dan sebagainya.

Selepas membayar hutang, perbelanjaan barang keperluan perlu dibuat dengan sebaiknya bagi mengelakkan berlakunya pembaziran. Berbelanjalah dengan sebaiknya. Membeli sesuatu mengikut kemampuan dan tidak berbelanja melebihi kemampuan diri.

Dalam suasana masyarakat yang suka berhutang ini apa yang boleh difikirkan dan disyorkan dalam menangani isu ini, perlu dimasukkan satu subjek khas berhubung ilmu kemahiran kewangan peribadi kepada pelajar bermula di peringkat sekolah menengah atau di pusat-pusat pengajian tinggi. Pendedahan subjek pendidikan kewangan peribadi misalnya dapat membentuk individu lebih bertanggungjawab dalam mengurus soal kewangan mereka.

Apabila individu itu bijak dan pandai mengurus kemahiran hidup terutama dalam persoalan kewangan ini maka secara tidak langsung akan meningkatkan kualiti hidup yang lebih selesa untuk mencapai sebuah negara maju menjelang 2020.

PENULIS ialah Pegawai Penyelidik, Pusat Kajian Ekonomi dan Kemasyarakatan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)


Sumber : http : //www.utusan.com.my/