Khamis, 28 Julai 2011

ISU ANTARABANGSA : PBB Perlu Tubuh Badan Alam Sekitar Dunia

Oleh Soraya Jamal

KUALA LUMPUR, 29 Julai (Bernama) -- Sebuah pertubuhan Alam Sekitar Sedunia patut diwujudkan di bawah Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) memandangkan aspek pengurusan aspek alam sekitar pada masa kini gagal mencapai apa yang diharapkan.

Sejak adanya Program Alam Sekitar Bangsa-Bangsa Bersatu (UNEP) pada tahun 1972, cabarannya telah membesar daripada sistem yang ada, kata Penasihat Sains kepada Perdana Menteri Prof Emeritus Datuk Dr Zakri Abdul Hamid.

Katanya kerangka pentadbiran alam sekitar yang ada sekarang tidak lagi sesuai dengan kepentingan antarabangsa kerana ia gagal menangani isu alam sekitar yang muncul sejak beberapa dekad yang lampau.

"Kini isu alam sekitar antarabangsa dikawal oleh segelintir institusi di bawah PBB. Terdapat lebih daripada 40 agensi PBB yang terlibat dengan isu alam sekitar," kata Dr Zakri.

Kata beliau hanya pengubahsuaian besar dan ketara dalam sistem pentadbiran boleh menjayakan reformasi yang perlu bagi negara di dunia menikmati alam sekitar yang lestari.

SISTEM RUMIT

Dalam tahun-tahun kebelakangan ini, komuniti antarabangsa menggunapakai banyak perjanjian multilateral mengenai alam sekitar dengan menggunakan sekretariat dan pentadbiran masing-masing.

Pada bengkel dua hari di sini baru-baru ini, Dr Zakri berkata dalam lima tahun kebelakangan ini hanya sebahagian kecil daripada persetujuan yang dicapai telah mengeluarkan 5,000 rumusan yang sepatutnya diikuti oleh negara-negara yang terlibat.

Bengkel itu diadakan atas usaha Asean, UNEP, Pejabat Penasihat Sains kepada Perdana Menteri serta Universiti Sains Malaysia (USM). Ia adalah sebahagian daripada persiapan bagi Persidangan PBB mengenai Pembangunan Lestari di Rio De Janeiro (Rio+20) tahun depan.

"Sistem itu telah menjadi begitu rumit serta hampir mustahil bagi negara-negara membangun melibatkan diri dengan cara yang bermakna," kata beliau.

Negara yang mampu melibatkan diri dengan sistem ini adalah negara yang kaya manakala negara yang miskin mula menjauhkan diri.

"Senario ini memerlukan perubahan. Negara membangun perlu memikirkan keperluan mereka terhadap alam sekitar dan meninggalkan stigma tentang agenda alam sekitar hanya untuk negara yang kaya," terang Dr Zakri.

PERTUBUHAN GLOBAL

Sejarah menunjukkan kebanyakan pertubuhan global masa kini diwujudkan serta diarahkan oleh dunia maju manakala negara membangun hanya sekadar berupaya melihat proses ini berlaku.

Tetapi isu alam sekitar merupakan 'nadi' pembangunan serta mata pencarian bagi kita semua. Lebih-lebih lagi dengan perkembangan ekonomi yang berasaskan pasaran khusus dalam teknologi hijau, barangan dan perkhidmatan hijau - satu peluang pasaran yang mula disedari oleh Malaysia dan negara Asia yang lain.

"Kita memerlukan WEO yang boleh menjana idea baru, berkongsi pengalaman serta membantu negara-negara membuat transisi kepada ekonomi hijau. Kita perlu membantu negara termiskin menjadi rakan kongsi dalam ekonomi hijau dan tidak menjadikan laluan perkembangan selari, satu bagi yang 'ada' dan satu lagi bagi yang 'tiada'," kata Dr Zakri.

BADAN DEMOKRATIK

Pendekatan ketika ini perlu diubah terutama dalam mencorak semula pentadbiran alam sekitar yang baru.

Ia perlu mempunyai fokus pembangunan dalam menyahut keperluan negara-negara yang sedang membangun, kata Dr Zakri.

Maknanya WEO perlu ada keutamaan tertentu dan ketara.

"Ia hendaklah merupakan sebuah badan yang demokratik dengan keahlian universal di mana setiap negara mempunyai satu undi dan tidak seperti undi yang berat sebelah contohnya dalam agensi bantuan kewangan di mana negara yang menyumbang bantuan kewangan mempunyai lebih undi dibandingkan dengan negara yang menerima bantuan.

Negara sedang membangun memerlukan sokongan pelaksanaan terutama dari segi bantuan teknikal selain kapasiti bangunan dan sokongan teknologi.

Oleh itu WEO perlu mempunyai bahagian pelaksanaan bagi memenuhi keperluan negara membangun. Pada masa sekarang sokongan implementasi gagal kerana ketirisan sistem PBB disebabkan tiada agensi yang bertanggungjawab dalam skop alam sekitar dan ini akhirnya akan merugikan negara membangun.

Ini disebabkan kerana dalam banyak perjanjian multilateral terdapat janji yang diberi tetapi hanya sedikit mekanisme dan tiada institusi yang nyata bagi membantu negara-negara melaksanakan komitmen mereka.

TIDAK SEPERTI WTO

Bagaimanapun syor menubuhkan WEO sebagai penggerak utama usaha global mengenai alam sekitar mungkin menjadi isu sensitif bagi beberapa negara, kata Dr Zakri.

"Perkataan 'dunia' dan 'organisasi', boleh mendatangkan bantahan daripada perwakilan negara membangun kerana mereka akan menganggap ia sama seperti Pertubuhan Perdagangan Sedunia (WTO)," kata beliau.

Realitinya adalah memang ada keperluan yang serius terhadap penubuhan WEO yang pada hakikatnya tidak menyamai WTO. Kebanyakan agensi khusus PBB sebenarnya tidak mempunyai peranan seperti WTO, kata beliau.

Kata Dr Zakri organisasi seperti WHO, FAO dan Unesco adalah pertubuhan yang mempunyai fungsi konsultatif dan fasilitatif selain membantu negara-negara terhadap komitmen global mereka.

Pertubuhan-pertubuhan ini bukanlah bercorak kawalan seperti WTO yang menetapkan piawai dan mengurangkan halangan bagi perdagangan. Negara rantau Asean serta negara membangun perlu melibatkan diri dalam perbincangan dan merumuskan syor yang merangkumi keperluan mereka kepada Rio+20.

"Jika tidak, kita akan mempunyai satu lagi badan global yang diwujudkan bukan untuk keperluan kita atau lebih buruk, meminggirkan negara yang membangun," kata Dr Zakri.

-- BERNAMA