Rabu, 20 Januari 2010

Program pembangunan profesional tingkat martabat, baiki kualiti guru

Oleh Norsayyidatina Che Rozubi
rencanabh@bharian.com.my

PENGUMUMAN Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa kerajaan sedar wujud keperluan mendesak untuk meningkatkan kualiti guru dengan pesat menerusi program pembangunan profesional yang berterusan adalah berita gembira dan ditunggu-tunggu oleh seluruh warga pendidik di Malaysia. Kenyataan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran itu meniupkan semangat baru untuk warga pendidik memajukan diri mereka.

Antara strategi dirangka untuk memartabatkan profesion perguruan ialah meningkatkan kualiti guru dengan menaikkan taraf semua maktab perguruan kepada institut pendidikan guru yang menawarkan program pada peringkat ijazah. Di samping itu, kementerian akan memperketat syarat pemilihan guru pelatih, menambah baik persekitaran pengajaran, menaikkan imej, menanam harga diri dan semangat tinggi di kalangan guru serta memberi sokongan berterusan kepada profesion perguruan.

Strategi ini juga bertujuan memberi galakan kepada individu yang berkebolehan dan berbakat menyertai profesion perguruan dan melihat bidang ini mempunyai prospek kerjaya menarik. Segala strategi ini dijangka mampu memberi motivasi dan galakan kepada guru untuk lebih bekerja keras dalam menjalankan amanah mendidik anak bangsa yang menjadi pewaris masa depan negara.

Selain itu, Kementerian Pelajaran akan menyediakan banyak peluang peningkatan kerjaya, termasuk peluang kenaikan pangkat kepada guru dan pengetua cemerlang sebagai insentif untuk terus meningkatkan pencapaian, sekali gus membolehkan pengajaran dan pembelajaran lebih baik. Ini seharusnya dilihat sebagai usaha dan perkembangan positif dalam memartabatkan profesion perguruan kerana program pembangunan profesional yang berterusan mensasarkan kepada matlamat mempertingkatkan kompetensi, ilmu pengetahuan serta kebolehan guru.

Profesion perguruan sentiasa dilabelkan sebagai satu kerjaya mudah, tidak mencabar, masa bertugas yang pendek, banyak cuti dan sebagainya. Kenapa kita sering mendengar persatuan perguruan meminta pelbagai tuntutan daripada kerajaan, mengapa kita sering membaca luahan guru yang tidak berpuas hati dengan beban tugas yang pelbagai. Jawapannya cukup mudah kerana guru adalah satu profesion yang dipertanggungjawabkan dengan beban tugas pelbagai. Pengalaman dan pemerhatian mendapati guru bukan saja memainkan peranan untuk mengajar dan mendidik, malah lebih daripada itu.

Guru memainkan peranan yang pelbagai selain penekanan bidang akademik pelajar, guru juga perlu memastikan kokurikulum pelajar juga seiring dengan pencapaian akademik. Itu tidak lagi termasuk tugas pengurusan dan pentadbiran contohnya mesyuarat tidak kira masa termasuk pada hari minggu, mengiringi pelajar untuk projek sekolah ke peringkat daerah, negeri, kebangsaan dan antarabangsa.

Individu yang terbabit dalam bidang perguruan antara warga Malaysia yang berkebolehan, cemerlang akademik, berkelulusan tinggi, berbakat dan berjaya dalam pelbagai aspek. Namun, mengapa individu yang cemerlang dan menjadi aset berguna ini memilih profesion perguruan berbanding profesion lain yang lebih hebat seperti perubatan, kejuruteraan, perakaunan, perundangan dan sebagainya. Individu ini berjiwa besar dan mencintai anak bangsa dan melihat bidang perguruan sebagai wadah untuk mereka mendidik anak bangsa dengan ilmu dan pengetahuan yang dimiliki.

Walaupun ganjaran dan pendapatan diperoleh tidak memadai dengan tanggungjawab dipikul dan ilmu dimiliki, golongan guru tetap menjalankan amanah diberikan sebaik mungkin. Kenapa tidak kerajaan khususnya Kementerian Pelajaran yang menjadi payung kepada seluruh guru di Malaysia mempertimbangkan sedikit ganjaran atau insentif khas kepada guru untuk menghargai pengorbanan mereka selama ini mendidik dan meluangkan masa tanpa berkira mendidik anak kita sehingga berjaya menjadi manusia berguna.

Guru tidak pernah mengharapkan sebarang ganjaran apabila melihat kejayaan anak kita, cukuplah sekadar sumbangan guru dihargai dan diingati. Namun, masyarakat sering tidak meletakkan guru pada tempat sepatutnya dengan segala penat lelah yang mereka sumbangkan.

Sekiranya profesion perguruan tidak dimartabatkan pada tempat sepatutnya pada hari ini, kesannya pada masa akan datang bidang perguruan tidak lagi dipandang tinggi dan kurang penyertaan golongan profesional kerana ganjaran tidak setimpal dengan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan, kemahiran dan ilmu dimiliki mereka.

Ganjaran bukanlah isu utama kepada guru, namun tanggungjawab mereka juga bertambah seiring dengan kemajuan negara dalam membentuk modal insan berkualiti. Oleh itu, kerajaan mungkin boleh mempertimbangkan cadangan untuk memastikan profesion guru di Malaysia mencapai standard kualiti yang diingini, menjadi prospek kerjaya yang menarik, memberi motivasi kepada guru untuk terus menjalankan amanah dan memartabatkan profesion guru di mata masyarakat Malaysia.

Penulis ialah pelajar sarjana Bimbingan dan Kaunseling, Fakulti Pendidikan UKM

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Segerabak Membaca pecah tradisi

AINON (kiri) dan Izwan (dua dari kiri) di samping sebahagian daripada 100 peserta yang berhubung melalui Facebook bagi menjayakan program Baca@LRT.

Oleh Rashiqah Ilmi Abd Rahim
rashiqah@bharian.com.my

Baca@LRT cetus pembaharuan dan hubungkan peminat dan pembaca tegar

KEMPEN Baca@LRT: Segerabak Membaca di Terminal Putra, Kuala Lumpur, Sabtu lalu, menyaksikan penyertaan lebih 100 peminat buku dan pembaca tegar, sekali gus mencapai sasaran penganjur yang mensasarkan kehadiran 70 peserta selain membuktikan kepentingan internet dalam menghubungkan pelbagai kumpulan sosial pada satu masa.

Ketua Operasinya, Izwan Wahab, berkata penyertaan orang ramai khususnya golongan muda yang membabitkan pelajar universiti, membuktikan semangat memupuk budaya membaca dan celik minda di kalangan masyarakat masih membara, apatah lagi melalui kempen yang dilaksanakan secara santai dan menepati cita rasa orang muda.

“Justeru, kami akan menjadikan program ini sebagai acara bulanan demi memastikan matlamat utama untuk menyemai sikap membaca di tempat awam khususnya di kalangan pengguna tren akan terus kekal. Seperti biasa program ini hanya mengambil masa yang singkat, tetapi pengisiannya sampai kepada masyarakat,” katanya kepada Sastera.

Beliau mendapati kempen yang bermula tepat jam 10 pagi di Terminal Putra Transit Aliran Ringan (LRT) Gombak dan mengambil masa 45 minit sebelum berkumpul di Terminal Putra LRT Kelana Jaya menyaksikan orang ramai yang tidak mengetahui mengenai kempen itu berasa kurang selesa apabila memasuki LRT tanpa bahan bacaan di tangan.

“Jika sebelum ini tabiat membaca buku dalam tren dianggap janggal, saya pasti senario ini pasti berubah. Buktinya, saya diberitahu ada pelajar sekolah yang memohon maaf kerana tidak membawa buku dan rasa bersalah apabila semua orang membaca, manakala ada yang terus menerus memandang SMS seolah-olah membaca sehingga tiba ke destinasi dituju.

“Kita ingin melihat minat membaca di kalangan rakyat subur sehingga menjadikannya sebagai tabiat ketika menaiki LRT, bas dan kereta api seperti yang berlaku di negara maju sejak lama dulu. Pada masa sama, perpustakaan awam perlu diperkasakan agar dapat menarik minat ramai terutama pelajar,” ujarnya.

Pengerusi Kumpulan PTS, Ainon Mohd yang juga penasihat kempen, menganggap kejayaan kempen berkenaan sebagai manifestasi ekonomi baru iaitu kebijaksanaan tiga anak muda menjayakan kempen dengan hanya menggunakan Facebook.

“Kempen ini tidak sekadar menyemai semangat membaca di kalangan masyarakat, malahan mendekatkan pembaca pelbagai latar belakang secara tidak langsung. Kebanyakan yang terbabit dalam kempen ini tidak segan dan kekok ketika berkumpul, bahkan mereka teruja melihat rakan baru yang selama ini bersifat virtual di Facebook,” katanya.

Ainon yakin pembacaan akan membawa masyarakat selangkah ke hadapan, menghubungkan kumpulan sosial, mewujudkan semangat setiakawan dan celik minda, selain meningkatkan kemahiran dalam menghadapi saingan pada peringkat global.

Penulis e-buku, Harlym Yeo, pula menganggap langkah mengadakan kempen Baca@LRT sebagai satu cara untuk menarik generasi muda menjadikan pembacaan sebagai tabiat harian sama ada di rumah atau di tempat awam, bukan sekadar mengisi masa lapang.

“Pendidik dan pustakawan gelisah kerana perpustakaan semakin kurang dijejaki pelajar dan generasi muda. Ini bukan bermakna mereka tidak mencari bahan atau membuat rujukan, tetapi kerana tiada tarikan baru. Mereka lebih cenderung melayari pustaka maya menerusi internet,” katanya.

Harlym melihat program sulung itu berjaya hasil penggunaan Facebook sebagai bahantara utama dalam mendokong gerakan terbabit berbanding sesetengah kempen membaca yang dilaksanakan secara formal dan sukar mendekati generasi muda yang sentiasa inginkan pembaharuan.

Eksekutif Komunikasi Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM), Norhasydah Ayub, berkata fungsi Facebook sebagai wahana sosial yang menjalinkan peminat buku sesuai dengan perkembangan semasa yang menuntut perubahan dalam pelaksanaan kempen membaca.

“Menariknya, program santai ini sehingga bukan saja tidak membataskan genre bahan bacaan yang hendak dibaca, malahan memberi peluang kepada orang ramai dan penerbit buku berkongsi pengalaman dan memperkenalkan bahan bacaan ilmiah kepada mereka,” katanya

Sumber : http: //www.bharian.com.my/

1,473 calon berjaya sertai KPLI sesi 2010

Oleh Syuhada Choo Abdullah
choo@bharian.com.my

60,000 permohonan diterima kementerian

KUALA LUMPUR: Hanya 1,473 calon daripada kira-kira 60,000 permohonan graduan di seluruh negara, terpilih untuk memasuki Kursus Perguruan Lepas Ijazah (KPLI) Ambilan Januari 2010.

Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Sektor Pembangunan Profesionalisme Keguruan), Datuk Asariah Mior Shaharuddin, berkata semua calon ditawarkan mengikuti 17 bidang pengajian di 27 Institut Pendidikan Guru (IPG).

Beliau berkata, jumlah kemasukan menurun tetapi mengikut unjuran keperluan sekolah di bawah Kementerian Pelajaran.

Selain itu katanya, syarat pengambilan turut diperketat dengan menetapkan calon mesti memiliki kelulusan ijazah pengajian yang sesuai dengan kursus.

"Berbanding dulu kementerian tidak menekankan bidang pengkhususan, tetapi sekarang calon yang hendak mengajar Matematik mesti memiliki ijazah dalam bidang itu.

"KPLI menekankan aspek pedagogi, justeru kita berharap calon sudah mendapat ilmu dalam bidang mata pelajaran yang mereka dikehendaki mengajar ketika mengikuti pengajian ijazah sarjana muda.

"Selain itu, kementerian juga membuat penambahbaikan dengan mengambil kira tempat asal calon yang memohon. Sebagai contoh jika kementerian ada keperluan guru untuk Sabah dan Sarawak, kita akan beri keutamaan kepada calon tempatan," katanya.

Katanya selepas mewakili Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom merasmikan Minggu Pengurusan Pelajar Baru KPLI Ambilan Januari 2010 di IPG Kampus Ilmu Khas di sini, semalam.

Katanya, kementerian sedang berusaha meningkatkan jumlah pengambilan calon lelaki bagi menyertai profesion keguruan.

Ketika mengulas dakwaan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) bahawa ada segelintir guru besar menyalahgunakan kuasa untuk memindahkan guru yang 'tidak sebulu' Asariah berkata, beliau belum mendapat sebarang laporan rasmi tetapi guru terbabit boleh merujuk kepada Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) masing-masing.

Sumber : http://www.bharian.com.my/