KITA selalu mendengar orang bercakap mengenai warga emas, gelaran bersopan untuk seseorang atau kumpulan manusia yang dianggap tua. Berapakah umur seseorang yang boleh digelar warga emas? Biasanya, ikut standard dunia, golongan ini berusia dalam lingkungan 65 tahun dan ke atas.
Tetapi, di Malaysia ada sesetengah orang yang baru pencen sudah pun diletakkan dalam senarai warga emas. Jika mereka yang berusia 55 atau 58 tahun sudah dianggap warga emas di Malaysia, ia memendekkan usia aktif dan produktif seseorang. Ia adalah tanggapan yang merugikan.
Hari ini ramai mereka dalam lingkungan 65 sehingga 70 atau lebih, masih bekerja. Ada yang masih mengajar di universiti, di bidang kehakiman, penjawat jawatan penting di sektor swasta dan jawatan lain yang bersesuaian dengan pengalaman masing-masing. Setidak-tidaknya mereka dalam kumpulan ini juga masih ramai yang bekerja sebagai pengawal keselamatan, pemandu teksi, bersawah dan bertani.
Di Malaysia, ramai mahu mengiktiraf diri mereka sebagai warga emas kerana diberi sedikit keistimewaan, khasnya bekas kakitangan kerajaan. Ini termasuk kemudahan hospital dan tambang istimewa bagi perkhidmatan pengangkutan dan sebagainya. Apa juga alasannya, dengan mengkategorikan mereka yang berusia 55 ke atas sebagai warga emas, ia sebenarnya meletakkan golongan ini sebagai kumpulan tidak aktif dan produktif.
Keadaan ini berlaku meskipun golongan ini masih boleh menyumbang jasa kepada bangsa dan negara. Sekiranya umur 55 sudah dianggap warga emas, mereka yang berusia 50 tentulah mula gusar kerana dalam tempoh lima tahun saja lagi mereka akan mendapat gelaran itu.
Di Amerika Syarikat, satu kajian menunjukkan 78 peratus daripada mereka yang berusia 65 tahun dan ke atas tidak menganggap diri mereka sebagai tua. Mereka menganggap diri mereka sebagai dewasa.
Kajian sebuah pusat penyelidikan mengenai trend sosial dan demografi yang mengumpul data menerusi teknik temubual telefon dengan 2,969 sampel orang dewasa itu menunjukkan dua pertiga daripada mereka berumur 65 tahun atau lebih itu, menyatakan mereka berasa lebih muda daripada umur kronologi sebenar mereka.
Separuh daripadanya menyatakan mereka berasa sepuluh tahun lebih muda daripada usia sebenar. Malah, kajian juga menunjukkan seorang daripada lima orang yang dikaji pula menyatakan mereka berasa 20 tahun lebih muda daripada usia sebenar. Bagi golongan ini, mereka sentiasa kelihatan ceria, bergaul dengan mereka yang jauh lebih muda dan kegiatan sosial mengikut trend.
Pelbagai alasan diberikan mengapa mereka berasa lebih muda, antaranya tidak tinggal atau menetap di tempat yang sama sepanjang hayat. Ini bermaksud, mereka pernah berpindah dan menetap di tempat lain, sekurang-kurangnya sekali sepanjang hayat. Alasan lain yang menyebabkan mereka tidak berasa tua ialah kesan daripada peraturan hidup, hubungan mesra keluarga, bersenam secara fizikal dan sebagainya.
Di Malaysia keadaan agak berbeza kerana warga emas dianggap sudah boleh berehat dan tidak perlu lagi melakukan sesuatu yang dianggap tugas berat. Anak-anak juga tidak mahu ibu bapa mereka bersusah payah dan mahu mereka hanya duduk di rumah. Jika golongan ini menganggap diri mereka masih muda, mereka dianggap mengada-ngada, perasan dan pelbagai konotasi negatif lain.
Bagi orang Islam, selepas pencen tempat yang paling sesuai untuk mereka ialah di surau atau masjid. Secara psikologinya golongan ini perlu menghabiskan sisa hidup dengan beribadat. Walaupun berada di masjid dan surau boleh menenangkan fikiran, ia juga menjadi punca seseorang berasakan mereka benar-benar sudah tua walaupun sebenarnya mereka masih kuat dan bertenaga.
Sebenarnya perwatakan dan persekitaran pergaulan seseorang itu memberi kesan psikologi kepada seseorang berasakan mereka sudah tua. Rambut beruban selalu dikaitkan dengan usia sedangkan mereka dalam lingkungan 40-an juga sudah ramai yang beruban.
Ada juga di kalangan rakyat Malaysia yang menganggap mereka sudah tua pada usia yang masih aktif dan tidak lagi mahu melakukan perkara yang produktif, malah mereka juga sudah tidak mahu bergaul, berjalan, melancong dan sebagainya. Bagi yang kurang sihat, mereka cepat putus asa dan menganggap segala-galanya sudah berakhir dan menunggu masa. Oleh itu, sebahagian masa digunakan untuk bermain dengan cucu.
Kajian di Amerika Syarikat itu juga mendapati, 72 peratus daripada mereka berusia 65 tahun ke atas menyatakan mereka mempunyai kesihatan yang hebat. Ia dicerminkan menerusi sikap 77 peratus daripada kumpulan umur berkenaan yang mengakui sering melakukan senaman fizikal.
Di Malaysia, rakyatnya tidak ada disiplin mengenai tabiat makan. Bagi mereka, selagi boleh makan dan masih berselera, mereka akan makan sepuas-puasnya. Mereka takut, jika sakit dan tidak berselera, mereka akan rugi. Sama ada golongan muda atau berusia, mereka tidak menolak makanan. Makanan juga mempengaruhi kesihatan dan mempunyai kesannya kepada usia.
Sumber : http : //www.bharian.com.my/