Oleh : PROF. DATUK OMAR OSMAN
SEKARANG adalah musim konvokesyen
dalam kalangan hampir semua universiti awam di negara ini sehingga sebulan dua
akan datang. Universiti Sains Malaysia (USM) misalnya baru selesai melahirkan
kira-kira 6,000 orang siswazah dalam pelbagai bidang pada tahun ini.
Sehingga kini USM melahirkan
kira-kira 110,885 orang siswazah ijazah pertama dan kira-kira 20,000 orang
siswazah ijazah tinggi, satu jumlah besar yang mampu melakukan pelbagai
perubahan dalam masyarakat dan negara.
Lalu banyaklah harapan
disandarkan kepada siswazah yang dilahirkan hasil daripada perjuangan mereka
yang ingin melihat universiti di negara ini menghasilkan anak-anak muda yang
berilmu untuk faedah nusa dan bangsa.
Seperti titah Raja Perlis, Tuanku
Syed Sirajuddin Putra Jamalullail selaku Canselor USM dalam Sidang Pertama
Konvokesyen USM, - ''Buktikanlah bahawa para siswazah adalah insan yang
benar-benar berilmu dan berpengetahuan tinggi serta dapat berkongsikan ilmu
yang dimiliki bersama orang lain."
Tambah baginda, pastinya
seseorang yang berilmu dapat menggunakan kebijaksanaan dan hikmah dalam
memimpin dan para siswazah seharusnya pula dapat menjadi benih yang amat
berkualiti kepada negara, seperti kata orang, kalau sesuatu benih itu
berkualiti, dicampak ke laut menjadi mutiara, dilambung ke langit menjadi
kejora, ditabur di darat menjadi permata yang berharga.
Untuk menjadi permata yang
berharga, seseorang itu perlu memahami hakikat menjadi seorang yang berilmu.
Tugas, tanggungjawab dan amanah yang dipikul oleh orang berilmu adalah berat
yang memerlukan kesungguhan dan minat mendalam kepada apa yang diusahakan.
Sama juga dengan kerjaya lain,
komitmen inilah yang akan memastikan sesuatu bidang dan disiplin itu akan
dihormati dan dipandang tinggi jika setiap kita menjaganya dengan baik sebagai
maruah dan amanah yang tidak boleh dipermainkan.
Para siswazah kini memasuki
gerbang hidup yang berteraskan ilmu, bersaing sebagai orang berilmu, bercakap
sebagai orang yang lahir dari sebuah menara ilmu, bertindak dan berfikir dengan
fakta dan data sahih yang jelas dan tepat dan tentunya berpegang teguh dengan
nilai-nilai yang dipelajari di universiti sebagai orang yang berilmu.
Dalam budaya kita, tidak ramai
yang menjadikan ilmuan sebagai idola dan pengikut kepada pemikiran besar yang
ada. Sesetengah siswazah tidak pernah kenal pun dengan dekat mereka yang
mengajar dan mendidik di dewan kuliah, bilik tutorial, makmal dan kerja-kerja
akademik lain.
Tidak ramai yang sedar betapa
yang mereka kenali ialah sebenarnya pensyarah, pendidik, penulis kertas kerja
untuk dunia akademia dan memperkayakan ilmu di seluruh ceruk rantau,
penyelidik, penghubung dalam libat sama industri dan masyarakat dan pelbagai
lagi.
Nama mereka terukir dalam
perpustakaan-perpustakaan utama, jurnal-jurnal akademik terkemuka dan bekerja
bersama ahli-ahli akademik tersohor dunia. Mereka menyelia calon ijazah tinggi
dan sesetengahnya adalah pentadbir dan pengurus yang perlu membahagikan masa
dan memerah pemikiran dalam memastikan tadbir urus universiti berjalan
sempurna.
Hati budi, komitmen dan
kesungguhan mereka yang bersengkang mata untuk meletakkan nama universiti pada
kedudukan yang tinggi dan menara ilmu sentiasa dimuliakan untuk generasi hari
muka perlu difahami dan dirasai. Bebanan dan kesukaran yang mereka hadapi sebagai
ahli akademik yang sentiasa ingin melihat para siswazah menjadi seorang yang
berupaya meneruskan kelangsungan akademia dan ilmu untuk masa hadapan bangsa
dan negara perlu dihargai, seperti mana yang ditunjukkan melalui pelbagai
pengiktirafan kerajaan seperti Majlis Profesor Negara dan Anugerah Akademik
Negara.
Sebenarnya tidak ramai yang
memahami amanah yang berat yang dipikul oleh para akademia sekarang ini
termasuk untuk memastikan anak-anak muda memahami makna menjadi seorang yang
berilmu dan bertindak sebagai seorang yang berilmu.
Sama seperti seorang guru, para
pendidik di universiti turut terasa kesedihan dan tercalar dengan sikap
segelintir anak-anak muda, siswa-siswi mahu pun para siswazahnya yang bertindak
mengikut perasaan, marah-marah dengan pelbagai perkara, menuding jari sana dan
sini dan hanya menyalahkan segala-galanya kecuali diri sendiri dalam banyak
tindakan yang dapat kita lihat kebelakangan ini, yang jika tidak dibendung akan
menjadi masalah kepada masyarakat dan negara.
Tentunya siswazah yang ada
sebahagian besarnya tidak tergolong dalam mereka yang cepat dan mudah lupa
dengan apa yang diperolehi dan dinikmati selama ini. Para siswazah sebagai
orang berilmu wajar bersyukur dengan peluang yang diperolehi, ilmu yang
diterokai dan perlu diteruskan lagi, melalui kemudahan yang ada dan kebebasan
yang dinikmati.
Orang berilmu tahu bagaimana
untuk bersyukur dan bertindak. Orang berilmu sentiasa bijaksana dan berhemah
dalam tindakan, sentiasa kaya dengan kasih sayang dan tidak pernah lupa di mana
bumi dipijak. Dia tahu tentang makna akal budi, bijak menggunakan budi bahasa
dalam komunikasi dan perundingan, merendah diri tetapi berpada-pada bukan untuk
dibuli, dan dipandang rendah. Tunjukkan kebijaksanaan dan kearifan dalam usaha
memenangi sesuatu perjuangan.
Orang berilmu sentiasa menjadi
padi yang makin berisi makin tunduk ke bumi, tidak memandang rendah orang lain
apatah lagi para marhain malah menyanjungi mereka dan menggunakan ilmunya untuk
mengubah nasib dan kehidupan yang ada kerana dia tahu dan sedar dari mana
bermula. Orang berilmu sentiasa berfikir panjang dan menggunakan kekuatan akal
budi dan iman, bukan hanya perasaan dan kekuatan fizikal.
Ini agaknya seakan-akan retorik
dan ideal, namun jika ini pun tidak mampu dilakukan, maka ilmu pengetahuan yang
ada dan pengalaman bertahun-tahun di universiti selama ini tidak berupaya
mengubah siswazah sepanjang berada di kampus universiti. Fikirkanlah apakah
perubahan yang berlaku selama ini, transformasi diri yang seharusnya menjadikan
para siswazah sebagai generasi berilmu yang lebih matang dan bersedia memasuki
dunia yang luas terbentang.
Dalam menghadapi cabaran masa
hadapan, orang yang berilmu juga perlu kuatkan iman dan keyakinan kepada Tuhan.
Tidak kira siapa pun, apa jua pegangan agama dan kepercayaannya, tanpa
keyakinan yang kukuh kepada agama, maka seseorang akan hanya menjadi perahu
kecil yang terumbang ambing dipukul ombak dalam lautan dan pusaran ganas yang
akhirnya akan mudah tenggelam dan lemas.
Seseorang itu akan cepat putus
asa dan akan menjadi sebahagian daripada penambahan statistik mereka yang
menghadapi tekanan, penyakit kemurungan dan sebagainya yang akan mengheret
kepada pelbagai masalah lain.
Agama juga mengajar erti
keikhlasan seperti pesanan tangan kanan memberi, tangan kira tidak ketahui.
Ikhlas dalam tindakan dan ikhlas juga dalam melakukan perubahan, biar bermula
dengan kecil tetapi sentiasa istiqomah atau konsisten. Agama juga sentiasa
mengajar untuk mensyukuri tiap nikmat yang diperolehi, menjaga baik hubungan
dengan orang seperti aur dengan tebing dan menghargai mereka yang berjasa
kepada kita. Lihat wajah ibu bapa kita. Lihat titisan air mata gembira mereka
yang menyayangi dan berkongsilah suka duka bersama.
Kasih sayang perlu ditunjukkan
dan dikongsi dengan hati yang tulus ikhlas dan tindakan yang jelas. Kasih
sayang juga perlukan bukti dan pengorbanan. Peluklah ibu bapa saudara-saudari
dan tunjukkan kasih sayang sebenar dari hati nurani saudara-saudari. Seseorang
yang mencari kebahagiaan seorang diri tidak akan menemuinya, selagi tidak
dizahir dan dikongsikan dengan orang lain.
Kerana itu, dalam mengejar
teknologi dan kebendaan yang pantas berubah, kehendak dan keinginan yang tidak
pernah puas dan keghairahan mencapai kejayaan mengikut ukuran ekonomi, seseorang
siswazah yang berilmu harus juga seimbangkan dengan usaha yang dapat mengisi
jiwa dan rohani.
Seperti mana universiti yang
menyeimbangkan antara sains dan teknologi dengan sastera, kemanusiaan,
kemasyarakatan dan ilmu seni dan budaya, begitu jugalah dengan orang berilmu
harus bijak mengadunkan dengan baik kedua-duanya dalam memastikan keupayaannya
untuk memimpin dan membawa masyarakat dan negara untuk mempertahankan apa yang
ada dan meningkatkan kualiti pemikiran dan kehidupan dalam kerangka pembangunan
yang holistik pada masa hadapan
PENULIS ialah Naib Canselor Universiti
Sains Malaysia
Sumber : http : //www.utusan.com.my/