Oleh : DR. JESSICA ONG HAI
LIAW
TEKANAN atau stress yang sering
kita dengar secara umumnya merupakan tekanan terhadap kehidupan yang mencabar
dan pelbagai masalah yang perlu dihadapi setiap hari.
Masalah silih berganti dan
cabaran datang tanpa henti. Setiap perkara perlu diselesaikan segera
menyebabkan jiwa dan perasaan terganggu.
Kadang kala tekanan muncul
apabila perlu ditentukan yang mana perlu diletakkan sebagai prioriti apabila
semua tugasan datang serentak. Kerja di pejabat, keluarga di rumah dengan kos
sara hidup yang tinggi semuanya perlu dihadapi dengan tenang dan mental yang
sihat.
Tekanan perasaan boleh dihindari
jika kita berupaya meningkatkan kemampuan dan keyakinan diri untuk mengatasinya.
Puncanya perlu dicari dan cara mengatasi perlu penawarnya. Masing-masing
mempunyai cara yang tersendiri untuk menghilangkan stress.
Walaupun kita tidak mungkin dapat
menyelesaikan keseluruhan stress, namun dengan rehat seketika di antara waktu kerja
boleh melegakan ketegangan emosi, kekusutan fikiran dan ketegangan fizikal.
Memendam rasa merupakan salah
satu puncanya atau dikatakan makan hati berulam jantung sama ada tersurat dan
tersirat yang melibatkan akal, pemikiran atau proses intelektual. Jika tekanan
perasaan dijuruskan kepada perasaan dan fikiran yang negatif, ia berkemungkinan
akan mengakibatkan mental menjadi tidak siuman, sakit otak atau gila.
Seseorang akan mengalami masalah
apabila jiwanya senipis bawang, dan apabila jiwanya sekeras besi tetapi
mentalnya tetap lemah dan jika tidak dikawal dengan betul maka pelbagai perkara
akan terjadi.
Masyarakat yang mempunyai mental
yang terganggu boleh merencatkan pembangunan jati diri dan negara. Jiwa kosong,
hati menjadi kering tanpa pegangan agama yang kuat dan kurangnya kasih sayang
adalah sebahagian daripada puncanya.
Dalam sebahagian kes jenayah
sosial pula, adakala penjenayah dibebaskan jika dikatakan mempunyai rekod
masalah kesihatan mental. Adilkah keputusan itu? Lantaran masalah mental dan
perbuatan dilakukan tanpa sedar maka mereka tidak boleh dihukum.
Jenayah-jenayah sosial semuanya
dilakukan oleh mereka yang imannya lemah, mengikut hawa nafsu tanpa memikirkan
akibatnya. Adakah penjenayah itu mempunyai masalah mental atau iman mereka
terlalu rapuh sehingga terlibat dalam gejala negatif seperti pengambilan dadah,
arak, pil khayal yang dikatakan dapat menyelesaikan segala kebuntuan. Akhirnya
ia menjadi punca mereka melakukan jenayah sosial.
Hari ini, masyarakat Malaysia
dikatakan menghadapi masalah sakit mental yang serius dengan 12 peratus rakyat
negara ini atau 3.5 juta orang menghidap penyakit mental. Tinjauan Kesihatan
Morbiditi dan Kesihatan 2011 menunjukkan 12 peratus rakyat Malaysia berusia
antara 18 dan 60 tahun berhadapan pelbagai jenis penyakit mental.
Tinjauan juga menunjukkan wanita
dua kali ganda lebih ramai mengalami sakit mental berbanding lelaki. Adakah
wanita lebih stress dengan memikul pelbagai tanggungjawab dan beban?
Statistik Kajian Kesihatan dan
Morbiditi Kebangsaan menunjukkan peningkatan masalah kesihatan mental golongan
remaja daripada 13 peratus pada 1996 kepada 20 peratus pada 2011 kerana
pengaruh Internet dan teknologi komunikasi dan kesibukan ibu bapa.
Berdasarkan statistik Kajian
Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2006, masalah kesihatan mental dalam
kalangan orang dewasa pula ialah 11.2 peratus berbanding 10.6 peratus pada
1996. Bilangan pesakit mental di negara ini dijangka terus meningkat dalam masa
10 tahun akan datang.
Semua rakyat menyambut baik
cadangan Kementerian Kesihatan mengadakan ujian kesihatan mental terhadap
pelajar sekolah menengah tahun ini sebagai kaedah menangani tekanan perasaan
atau isu disiplin. Projek mengesan kesihatan mental pelajar sekolah menunjukkan
tahap keresahan, kemurungan dan stress mereka berada pada tahap yang disifatkan
sebagai 'tinggi'.
Daripada 6,540 murid yang
disaring dalam projek perintis dikenali 'Program Minda Sihat Menangani Stress
Dalam Kalangan Murid Sekolah' itu, 17.1 peratus daripadanya mengalami
tanda-tanda keresahan yang teruk, 5.2 peratus mengalami tanda kemurungan teruk
dan 4.8 peratus mengalami stress teruk.
Pada November lalu, kita
dikejutkan dengan berita seorang bapa yang dipercayai sedang khayal akibat
mengambil dadah menyembelih bayinya yang berusia 11 bulan di Felda Panching
Selatan. Suspek didapati positif dadah metamphetamine dan amphetamine selepas
ujian air kencing. Pengaruh dadah menyebabkan kesihatan mental terganggu dan
mendorong melakukan perbuatan tanpa disedari. Apabila sedar semuanya telah
terlambat.
Jika kita imbas kepada satu lagi
kejadian, seorang pemuda bertindak menyimbah sebaldi cuka getah melalui tingkap
terbuka kerana berang cintanya dihalang. Sikap yang terlalu mengikut perasaan
kepada keluarga teman wanitanya boleh kita kaitkan dengan masalah jiwa yang
rapuh atau kesihatan mental? Tergamak melakukan perbuatan yang sekejam ini
menceroboh dan turut mencederakan seorang bayi yang berusia enam bulan sehingga
maut manakala kakak dan ibu bayi parah.
Selain itu, berita seorang guru
yang menggigit lengan muridnya hingga cedera hanya kerana tidak dapat menyebut
perkataan "boy's" dengan betul menyebabkan murid berkenaan Farhan
mengalami tekanan perasaan dan trauma. Kajian menunjukkan golongan guru ialah
kumpulan keempat tertinggi dalam menghadapi tekanan dengan 45.8 peratus dan
golongan tertinggi ialah kumpulan polis dengan 53.7 peratus.
Dalam menangani kes mental ini,
institusi agama seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Pertubuhan
Kebajikan Islam Malaysia (Perkim), Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dan
lain-lain juga dilihat perlu mengambil peranan selain badan-badan sosial lain.
Tanggungjawab merawat pesakit
mental ini tidak seharusnya diserahkan sahaja bulat-bulat kepada Kementerian
Kesihatan. Institusi agama boleh memainkan peranan yang berkesan dalam membantu
Kementerian Kesihatan dan agensi berkaitan demi menangani masalah yang serius
ini. Carilah penerang hati bukan pil penenang dengan kuatkan jiwa dengan cahaya
keimanan. Salam 1Hati.
Penulis ialah Timbalan
Pengarah Bahagian Kepimpinan, Korporat dan Perhubungan Antarabangsa dan
Pensyarah Kanan di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/