Cadangan supaya jemaah menteri diberi kursus untuk berhadapan
dengan media adalah baik. Sesetengah menteri tidak memiliki kemahiran
berkomunikasi yang baik semasa berhadapan dengan media. Mereka juga didapati
tidak menguasai asas proses komunikasi untuk menyampaikan maklumat dengan
jayanya.
Secara umumnya, komunikasi membabitkan penyampaian maklumat
yang kemudian boleh membawa kepada penyebarannya.
Oleh itu, adalah penting untuk seseorang itu mempunyai
pengetahuan baik tentang proses penyampaian dan penyebaran ini.
Ini untuk memastikan sesuatu maklumat itu difahami dengan
baik untuk disebarkan kelak.
Komunikasi berkesan, yakni kebolehan menyampaikan maklumat
dengan baik, lebih-lebih lagi secara lisan, adalah antara syarat penting dalam
perkembangan kerjaya banyak pihak. Ia memberi tumpuan kepada pelbagai unsur
komunikasi yang berjaya, termasuklah kebolehan bercakap dengan pihak yang
mempunyai sikap permusuhan.
Kebolehan begini sudah tentu amat bernilai kepada seseorang
menteri dalam memberi tindak balas kepada pelbagai isu negara sewaktu
berhadapan dengan media dalam komunikasi kelompok kecil. Ia juga penting
apabila menghadapi khalayak dalam komunikasi awam.
Selain ini, bahasa ikut memainkan peranan penting dalam
komunikasi. Melalui penggunaan bahasa yang jelas dan tepat, seseorang itu dapat
menyatakan pendapat dan pemikirannya bukan saja dengan mudah, tetapi baik pula.
Perkataan dan susunannya dalam pelbagai gaya, tentu boleh
menghasilkan pelbagai kesan.
Sebagai contoh, dalam kebanyakan keadaan, penggunaan
perkataan dan ayat konkrit yang lebih langsung sifatnya dan tepat pula
mesejnya, didapati lebih berkesan daripada penggunaan gaya abstrak.
Penggunaan perkataan dan ayat abstrak boleh membawa kepada
pelbagai pengertian dan salah faham.
Aspek bahasa
Perkataan adalah aspek bahasa yang penting dalam komunikasi.
Melalui pemilihannya yang tepat, seseorang itu bukan saja mampu menghuraikan
isu rumit. Dia juga dapat berkomunikasi dengan kumpulan sasar lebih lancar yang
dapat memahami maklumat yang disampaikan itu dengan jelas.
Untuk menyampai dan menyebarluaskan dasar kerajaan, seorang
menteri itu perlu antaranya menggunakan corak bujukan semasa berkomunikasi,
baik dengan media mahupun khalayak.
Corak berbahasa ini mempunyai dampak penting ke atas rakyat,
untuk membuat keputusan positif terhadap maklumat yang disampaikan.
Bahasa bujukan
Tujuan bahasa bujukan adalah untuk membangkitkan kepercayaan
dan mewujudkan keyakinan pada pihak yang disasarkan. Dengan ini, pihak yang
disasar dapat dipengaruhi untuk menukar sikap mereka daripada yang negatif
kepada yang sebaliknya.
Sebagai contoh, ini boleh berlaku apabila rakyat mula
menerima gagasan untuk berkongsi kenderaan semasa berulang-alik ke tempat
bertugas, setelah diusulkan oleh kerajaan.
Untuk diterima rakyat, usul kerajaan ini perlu dilakukan
berlandaskan logik. Ini bermakna ia menggunakan pertimbangan rasional yang
boleh mengambil bentuk paparan dalil.
Untuk ini, pelbagai bukti daripada beberapa sumber digunakan untuk
memperlihat kearifan tindakan berkongsi kenderaan itu.
Selain dalil digunakan, kredibiliti pihak bercakap adalah
syarat lain yang penting dalam komunikasi, khususnya corak bujukan.
Sehubungan ini, beberapa aspek, antaranya kecekapan, amanah
dan orientasi pada pihak bercakap penting.
Seorang menteri berkebolehan, boleh dipercayai dan
berprinsip, sewaktu menyampaikan maklumat mengenai cukai barangan dan
perkhidmatan (GST), didapati lebih berjaya memujuk rakyat menerima gagasan
baharu ini. Beliau dilihat seorang yang berwibawa.
Kewibawaan ini yang ikut diperlihat melalui pengetahuan
beliau yang luas, setelah memahaminya dengan baik daripada taklimat yang
diberikan dan pembacaan sendiri, sudah tentu dapat meyakinkan rakyat segala apa
yang disampaikan mengenai GST itu adalah rasional, dan perlu disokong.
Dalam pada itu, bahasa bujukan itu yang digunakan oleh
menteri itu hendaklah juga kuat dan mantap daripada beberapa segi lain.
Antaranya penghujahan, pembuktian dan penyangkalan.
Secara umumnya, penghujahan adalah usaha mengetengahkan
saranan GST dan pewajarannya.
Pembuktian pula merujuk kepada usaha mengemukakan maklumat
mengenai GST. Manakala penyangkalan adalah usaha membantah hujah dikemukakan
pihak yang menentang GST.
Sebenarnya bahasa bujukan ini tidak wujud begitu saja. Ia
perlu dirancang untuk disampaikan dengan hemat kepada rakyat.
Sumber : http : //www.bharian.com.my/