KUALA LUMPUR : Suhu di dalam kenderaan yang dibiarkan di bawah panas terik boleh meningkat kepada lebih 50 darjah Celcius dalam masa 20 minit dan menyebabkan kepanasan melampau kepada yang terperangkap di dalamnya.
Bayangkan pula keadaan
kanak-kanak yang suhu badannya boleh meningkat tiga kali ganda lebih pantas
berbanding orang dewasa jika mereka yang terperangkap di di dalam kenderaan
itu, kata seorang doktor pakar pada Ahad.
Menurut Dr Ahmad Mahyuddin
Mohamed dari Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh, peningkatan suhu secara
drastik dalam masa singkat itu menyebabkan suhu dalaman badan bayi atau
kanak-kanak meningkat sehingga 41 darjah Celcius berbanding suhu normal pada 37
darjah.
"Kepanasan ini akan
menyebabkan proses perpeluhan berlaku yang seterusnya berlaku kekurangan air di
dalam badan, sawan, kekeliruan, kerosakan otak dan organ di dalam badan dan
seterusnya kematian.
"Ini dikenali sebagai 'heat
stroke' (strok haba), kematian juga boleh disebabkan oleh lemas (suffocation)
akibat kekurangan udara kerana tingkap ditutup rapat," katanya menerusi
blog miliknya drmahyuddin.blogspot.com.
Beliau menjelaskan keadaan
tingkap yang dibuka sedikit atau membiarkan penghawa dingin berfungsi juga
bukan jaminan perkara itu tidak akan berlaku.
Mengulas lanjut perkara itu
kepada Bernama, Dr Ahmad Mahyuddin berkata, kanak-kanak lebih cepat menerima
kesan berbanding orang dewasa kerana saiz tubuh yang kecil.
"Jumlah cecair di dalam
badan manusia berkadar dengan berat badan kita. Berat badan kanak-kanak jauh
lebih sedikit, jadi suhu lebih cepat naik kerana jumlah air yang sedikit. Air
diperlukan untuk 'regulate' suhu badan manusia,"katanya.
Sehubungan itu ibu bapa atau
penjaga jangan sekali-kali meninggalkan anak keseorangan di dalam kenderaan
walau untuk seminit, nasihatnya menerusi entri bertajuk 'Heat Stroke: Kematian
kanak-kanak di dalam kereta yang ditinggalkan'.
Jadikan memeriksa kereta sebagai
perkara rutin sebagaimana kita memeriksa keadaan rumah ketika hendak keluar,
katanya yang turut menyarankan ibu bapa memastikan kunci kereta diletak di
tempat yang sukar dicapai oleh anak kecil bagi mengelakkan kanak-kanak itu
masuk ke dalam kereta tanpa disedari.
Menurut pakar ortopedik dan
traumalogi itu lagi strok haba berlaku di seluruh dunia, malah di Amerika
Syarikat berlaku 33 kematian tahun lepas, manakala tahun ini mencatatkan 22 kes
setakat ini.
Khamis lepas, seorang kanak-kanak
perempuan berumur tiga tahun maut setelah ditinggalkan tanpa sengaja lebih lima
jam di dalam kereta yang diparkir ibunya di tempat letak kereta sebuah sekolah
di Subang Jaya di sini.
Nawal Iris Samsudin yang tertidur
di kerusi belakang kereta, ditemui ibunya Nor Zatusy Hazwa Abdul Rahim, 32,
dalam keadaan kebiruan sebelum dibawa ke klinik berhampiran dan disahkan meninggal
dunia.
Pada Sabtu di Kota Kinabalu,
seorang kanak-kanak berusia enam tahun yang sedang tidur ditinggalkan ibunya di
dalam kenderaan yang dikunci dari dalam serta enjinnya hidup sebelum keluar
membeli-belah.
Kanak-kanak itu diselamatkan
orang ramai yang mengejutkannya dengan menggoyangkan kereta itu beberapa kali
sebelum budak perempuan tersebut terjaga setengah jam kemudian dan membuka
pintu kereta. - BERNAMA