Rabu, 28 Disember 2011

ISU AGAMA : Ikhlas tingkat ketakwaan Muslim


Oleh Nik Salida Suhaila
salidasuhaila99@yahoo.com


Jujur laksana tanggungjawab, ibadat tugas utama manusia

BELUM terlewat kita ambangkan 2012 dengan penuh insaf dan syukur. Segala yang berlaku menjadi pengajaran. Untuk tahun baru, tentu azam dan perancangan dinobat lagi, tidak lain dan tidak bukan merealisasikan hasrat dan tekad baru, semoga ia menjanjikan kehidupan lebih baik daripada sebelumnya.

Sebagai makhluk menjunjung tugas khalifah, setiap manusia tidak terlepas daripada tanggungjawab kepada Yang Maha Mencipta, sesama manusia dan makhluk serta diri sendiri. Semuanya semata-mata ketaatan kepada Allah SWT.

Tujuan diciptakan manusia sebagai makhluk di muka bumi ini semata-mata untuk beribadah kepada Allah SWT. Apa juga tindak tanduk bukan ibadat ialah perbuatan sia-sia dan tidak mendapat ganjaran kebaikan di akhirat kelak, bahkan hanya menjadi amalan diri sendiri, sedangkan pekerjaan dilakukan dengan susah payah boleh menjadi ibadat dan meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT.

Itulah kelebihan orang bekerja. Selain mendapat upah dan meningkatkan kemahiran, kerja dilakukan dengan penuh keikhlasan dan terjaga dalam batas syariat dianggap ibadat yang mendekatkan diri kepada Allah serta memungkinkan terpilih bersama golongan beruntung di akhirat.

Beribadah bukan saja tertakluk kepada solat, puasa, menunaikan zakat dan haji tetapi meliputi semua perbuatan termasuk menuntut ilmu, mengajar, berjual beli, mentadbir, berpolitik hatta makan dan minum, asalkan ia dilakukan kerana takut kepada Allah. Kerja bukanlah semata-mata menuntut kita berada di pejabat. Ia bukan juga memerlukan kelulusan tinggi.

Ia tidak termasuk usaha mencuri, merompak atau membunuh kerana ia bukan usaha dilakukan untuk menjadikan sesuatu itu lebih baik daripada sebelumnya. Dalam bidang pendidikan contohnya, sudah tentu mereka yang menuntut ilmu berhasrat menjadi orang arif sekali gus membebaskannya daripada belenggu kejahilan dan nafsu jahat yang menjadikannya sombong kepada Allah.

Begitu juga orang yang mengajar, mereka sedaya upaya mendidik sesiapa saja yang memerlukan ilmu agar mereka keluar daripada kepompong kejahilan dan hawa nafsu, dan menambahkan umat yang patuh kepada perintah Allah, bersandarkan ilmu diperoleh. Mereka menjadikan kerjaya mengajar sebagai ibadat tidak akan mengajar untuk mendapat gaji bulanan dan bonus tahunan, atau dinaikkan pangkat dan berkira dengan titik peluh atau masa perlu dilaburkan melebihi sepatutnya. Ini kerana mereka pasti keikhlasan menabur bakti akan mengakrabkan diri kepada Allah dan menjadi nilai tambah dalam kewajipan sedia ada.

Paling utama ialah kerja dilakukan isteri atau ibu yang merangkumi komitmen dalam sfera awam dan domestik. Sebagai pekerja bertanggungjawab dalam bidang tertentu, isteri atau ibu akan bertugas seperti orang lain untuk memenuhi objektif, misi dan visi organisasi, manakala dalam masa sama mereka juga perlu memberikan komitmen tinggi kepada tugas domestik, untuk memenuhi keperluan setiap ahli keluarga. Bebanan kerja yang tinggi dan waktu bekerja tidak terbatas bukan boleh dilakukan semua orang.

Perlu kita ingat bertambah atau berkurangnya komitmen kita dalam bekerja tidak akan memberi kesan langsung kepada Dia yang menyuruh kita melakukan kerja sebagai ibadat.

Allah tidak mengharapkan walau satu sen pun daripada upah kita berkerja, sebaliknya semuanya adalah untuk kita sendiri, bahkan sekiranya kita menjadikan kerja sebagai ibadat, kita mendapat manfaat daripadanya pada hari pengadilan kelak.

Perkara ini jelas dinyatakan dalam firman Allah bermaksud: “Dan ingatlah Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk menyembah dan beribadah kepada-Ku, Aku tidak sekali-kali menghendaki sebarang rezeki pemberian daripada mereka dan Aku tidak menghendaki supaya mereka memberi makan kepada-Ku. Sesungguhnya Allah Dialah saja yang memberi rezeki kepada sekalian makhluk-Nya dan Dialah saja yang mempunyai kekuasaan yang tidak terhingga, lagi Yang Maha Kuat Kukuh Kekuasaan-Nya”. (Surah Az-Zaariyaat ayat 56-58)

Allah memandang rendah kepada orang yang tidak bekerja. Mereka sentiasa meminta-minta dan tidak mampu menunaikan tanggungjawab kepada diri, keluarga, agama, bangsa dan negara, bahkan menjadi beban kepada orang lain, sedangkan sesiapa yang berusaha mencukupkan keperluan keluarganya dan tidak berharap kepada bantuan orang lain termasuklah kedua ibu bapanya adalah jihad fisabilillah.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU KESIHATAN : Negara berisiko 'muflis' jika gagal tangani kos rawatan penyakit NCD


Oleh Ratinawati Rasidi
ratinawati@bharian.com.my


MASYARAKAT pernah beranggapan penyakit kadiovaskular, khususnya jantung dan strok, diabetes dan kanser ialah penyakit 'orang kaya' tetapi ternyata ia tidak seperti yang difikirkan.

Malah, golongan berpendapatan rendah dikatakan lebih terdedah kepada risiko kerana cara dan gaya pilihan hidup yang boleh mengundang penyakit terbabit.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggap penyakit tidak berjangkit atau Non-Communicable Diseases (NCD) ini sudah menjadi wabak iaitu satu penularan penyakit peringkat global yang perlu ditangani segera dengan berkesan.

NCD juga dikatakan penyebab kematian pramatang (usia di bawah 60 tahun) utama di dunia, terutama dalam kalangan penduduk negara membangun dan produktif dalam ekonomi.

Dianggarkan 25 peratus daripada sembilan juta kematian pramatang peringkat global itu sebenarnya boleh dicegah seandainya pesakit mengambil langkah pencegahan.

Penyakit yang tidak merebak daripada seorang individu kepada individu lain ini, berpunca daripada perkongsian tiga faktor risiko utama seperti gaya hidup yang tidak aktif, pemakanan yang tidak sihat dan budaya ketagihan rokok.

Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Bahagian Kawalan Penyakit, Kementerian Kesihatan, Dr Feisul Idzwan Mustapha, berkata penduduk kawasan luar bandar berdepan dengan risiko yang lebih tinggi berbanding bandar.

“Risiko sebenarnya lebih tinggi dalam kalangan golongan berpendapatan rendah kerana mereka lebih cenderung membelanjakan wang untuk pembelian makanan yang tidak sihat, tidak bersenam dan lebih buruk lagi kebanyakan mereka sukar meninggalkan tabiat merokok,” katanya, baru-baru ini.

Selain peringkat global, penyakit NCD menjadi penyebab utama kematian pramatang di Malaysia sejak 1990-an lagi.

Statistik kematian akibat penyakit NCD di hospital kerajaan sejak 2000 hingga 2008 meningkat daripada 10,053 kes kepada 17,175 kes membabitkan kematian di bawah usia 60 tahun.

Fakta Kesihatan 2010 Kementerian Kesihatan menggariskan 10 punca utama kemasukan ke hospital, dua jenis penyakit yang mempunyai kaitan dengan NCD adalah penyakit berkaitan sistem pernafasan (9.56 peratus) dan sistem peredaran darah (6.88 peratus).

Kedua-dua penyakit ini juga ialah antara dua punca teratas daripada 10 penyebab kematian di hospital kerajaan yang masing-masing mewakili 25.35 peratus dan 18.46 peratus daripada jumlah keseluruhan kematian yang dicatatkan.

Apa yang menjadi kebimbangan kementerian ialah kedudukan Malaysia yang tersenarai sebagai 10 negara yang mempunyai kewujudan penyakit diabetes tertinggi antara negara membangun di dunia. Kini dianggarkan kira-kira satu daripada lapan rakyat dewasa Malaysia menghidap diabetes dan hampir satu daripada tiga menghidap tekanan darah tinggi.

Jumlah ini secara keseluruhannya mewakili anggaran 700,000 pesakit diabetes yang mendapatkan rawatan di lebih 800 kemudahan kesihatan kerajaan.

Dr Fiesul Idzwan berkata, keadaan yang amat kritikal ini bukan saja menyumbang kepada peningkatan jumlah pesakit tetapi ia juga bakal menambah perbelanjaan kerajaan terutama dalam membekalkan ubat-ubatan untuk merawat pesakit.

Peruntukan yang besar juga bakal mendatangkan kesan kepada perbelanjaan kerajaan kerana tidak mustahil akan menjadikan negara berhadapan dengan risiko muflis jika keadaan ini tidak ditangani dengan bijak.

Kewujudan diabetes dan ‘hypercholesterolaemia’ meningkat melebihi jangkaan. Apa yang menjadi kebimbangan ialah jumlah individu yang masih belum mendapatkan pemeriksaan doktor. Ini membuktikan masih ramai rakyat Malaysia tidak menjalani pemeriksaan saringan kesihatan secara tetap dan berkala.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU KENEGARAAN : Perspektif Akademik Perkara 153, Perlembagaan Persekutuan


DATUK RUHANIE AHMAD

ARTIKEL ini disedut daripada penyelidikan akademik dengan hipotesis bahawa pelbagai peruntukan strategik dalam Perlembagaan Persekutuan boleh mencetuskan ancaman keselamatan masyarakat, keselamatan nasional dan kelangsungan negara jika ditafsirkan menerusi perspektif yang serong dan sempit.

Ini kerana Malaysia, sebuah negara bangsa pada era pramerdeka telah ditransformasikan menjadi negara majmuk pada era merdeka; sementara bangsa Melayu dan bumiputera sebagai penduduk asal, serta keturunan Cina, India dan lain-lainnya selaku golongan migran pada era pramerdeka telah digemblengkan menjadi warganegara dengan nasionaliti yang sama, menerusi kuasa Perlembagaan Persekutuan pada 15 Ogos 1957.

Hakikat ini menyebabkan Malaysia sentiasa terdedah kepada pelbagai elemen konflik (Buzan 1991:72), dicirikan oleh konflik etnik (Marger 2003:6), dan berkemungkinan dicengkam keadaan tidak selamat (Kaufman 2008:201).

Perkara 153 mengenai keistimewaan Melayu dan bumiputera dimaktubkan ke dalam Perlembagaan negara berdasarkan mandat utama Ratu Inggeris dan Raja-Raja Melayu kepada Suruhanjaya Reid - mewujudkan a common nationality for the whole of the Federation and the safeguarding of the special positions of the Malays and the legitimate interests of other communities.

Suruhanjaya Reid juga mendapati kedudukan istimewa Melayu memang sentiasa diiktiraf di dalam pelbagai perjanjian antara pihak British dengan Negeri-Negeri Melayu.

Hakikat ini juga termaktub di dalam The Federation Agreement 1948 di mana Pesuruhjaya Tinggi British dipertanggungjawabkan dengan pemeliharaan keistimewaan Melayu dan kepentingan sah lain-lain bangsa.

Huraian ini bermaksud pemaktuban Perkara 153 bukan diperjuangkan oleh Perikatan. Sebaliknya, kerana peruntukan yang sama termaktub di dalam Perlembagaan Negeri-Negeri Melayu dan The Federation Agreement 1948. Ini disahkan oleh Lennox-Boyd selaku Setiausaha bagi Tanah Jajahan British seperti berikut:

The special position of the Malays was recognised in the original treaties made by His Majesty in previous years, and Her Majesty Queen Victoria and others with the Malay States. It was reaffirmed when these treaties were revised. It was confirmed in The 1948 Agreement, and reference was expressly made to it in the terms of reference of the Reid Commission. So the Malay privilege clauses in the articles of the Constitution do not, in the main, introduce any precedent, but give recognition in the Constitution to the existing situation. The Reid Commission found very little opposition in any quarter in Malaya to the continuance of the present system for a time (ibid:12 Julai 1957).

R. H. Hickling (1979) pula menegaskan, pemaktuban Perkara 153 adalah berkait rapat dengan tahap kemiskinan bangsa Melayu di era penjajah. Huraian ini boleh difahami dengan lebih jelas menerusi pelbagai perangkaan mengenai tahap ekonomi di Tanah Melayu pada di era penjajahan.

The Deptartment of Statistics (1958-1960) menegaskan, etnik Cina pada ketika itu [pada tahun 1957] menguasai ekonomi negara secara kukuh sementara orang Melayu masih dalam kemiskinan.

Ling Liong Sik (1995:3) menyatakan, seawal tahun 1937, pelaburan etnik Cina di Malaysia adalah sebanyak AS$200 juta berbanding pelaburan asing lainnya sejumlah AS$454.5 juta.

Gomez & Jomo (1997:14-15) menegaskan, pada tahun 1950-an, syarikat-syarikat Eropah menguasai 65 peratus (%) hingga 75% perdagangan eksport dan 60% hingga 70% perdagangan import [di Tanah Melayu]; syarikat-syarikat etnik Cina menguasai 10% daripada agensi eskport; syarikat etnik India menguasai 2% daripada perdagangan berkenaan; orang Melayu langsung tidak memiliki sebarang ekuiti dalam mana-mana perdagangan.

Dalam konteks di atas Faaland, Parkinson & Rais Saniman (2000:16-17) menegaskan seperti berikut: Orang Melayu menganggap peruntukan [Perkara 153] sebagai sesuatu yang suci, manakala setengah-tengah orang bukan Melayu mempersoalkan sama ada peruntukan tersebut adalah berkaitan dan mengikat hinggakan pada hari ini.

Mengikut mana-mana tafsiran yang munasabah, makna peruntukan tersebut di dalam Perlembagaan adalah bahawa kesejahteraan ekonomi dan sosial orang Melayu yang lemah dari segi ekonomi hendaklah dilindungi dan digalakkan berbanding dengan orang bukan Melayu yang lebih maju.

Sebagai balasan kerana diberikan kelebihan begini, orang Melayu mengadakan konsesi yang berpadu mengikut kuasa politik dengan memberikan kewarganegaraan Persekutuan kepada orang bukan Melayu.

Sebagai tambahan, orang bukan Melayu dijaminkan bahawa mereka bebas menjalankan perniagaan tanpa diganggu, boleh mengekalkan dan mengembangkan budaya serta warisan mereka sendiri, dan boleh hidup secara berasingan. Dengan kata lain, Perlembagaan mengadakan peruntukan khas untuk orang Melayu, manakala warganegara bukan Melayu mempunyai haknya yang dijamin di bawah Perlembagaan (ibid).

Tan (1987:251) pula menegaskan, Perkara 153 sebenarnya mempunyai "careful balancing which has important bearing not only on social justice but even ethnic relations is also reflected in the provision for Malay reservations."

Beliau mengetengahkan dua contoh khusus - pertamanya mengenai Perkara 153(9) yang memaktubkan "tiada apa-apa jua dalam Perkara ini boleh memberi Parlimen kuasa untuk menyekat perniagaan atau pertukangan semata-mata bagi maksud perizaban bagi orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak."

Keduanya mengenai tanah simpanan Melayu. Tan memetik Perkara 89(2)(a) yang memaktubkan "jika mana-mana tanah di sesuatu negeri diisytiharkan sebagai tanah simpanan Melayu di bawah Fasal ini, suatu keluasan tanah yang sama dengan luas tanah itu di dalam negeri itu yang belum dibangunkan atau dicucuk tanam hendaklah diadakan bagi pemberian hak milik umum."

Huraian Faaland et al. (2000) dan Tan (1987) membuktikan Perlembagaan Persekutuan adalah adil kepada seluruh warganegara Malaysia. Lantas adalah meleset untuk mana-mana pihak mentafsirkan Perkara 153 sebagai peruntukan yang menindas rakyat bukan Melayu.

Demikianlah latar belakang pembentukan Perkara 153 yang telah dikaji oleh Suruhanjaya Reid, Perikatan dan Jawatankuasa Kerja Tripartite dianggotai oleh wakil-wakil Kerajaan Perikatan, Raja-Raja Melayu dan Kerajaan British.

Kesimpulannya, Perkara 153 adalah peruntukan yang dimaktubkan secara teliti dan profesional bagi mengiktiraf sejarah dan jati diri bangsa Melayu dan bumiputera di tanah air asal mereka yang dikenali sebagai Tanah Melayu.

Tafsiran sempit dan serong terhadap peruntukan ini boleh menyemarakkan sentimen perkauman dan berpotensi mencetuskan konflik etnik yang mengancam keselamatan masyarakat, keselamatan nasional dan kelangsungan Malaysia sebagai sebuah negara majmuk yang kini aman, damai, makmur dan sejahtera.

Penulis ialah bekas Ahli Parlimen Parit Sulong, Johor dan bekas pelajar pasca siswazah bidang strategi dan keselamatan di UKM.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/