Jumaat, 28 Jun 2013

ISU ALAM SEKITAR : Teroris ekologi dari perspektif Islam


Oleh : DR MASHITAH IBRAHIM

KESAN jerebu yang menyelelubungi negara kita dan kualiti udara yang buruk sejak lebih seminggu lalu sangat besar. Ratusan sekolah terpaksa ditutup.

Terdapat peningkatan nyata dalam kes kemalangan kenderaan dan sakit dalam kalangan kanak-kanak, warga tua, orang uzur dan ibu-ibu mengandung. Produktiviti negara menurun kerana kegiatan ekonomi dan sosial terganggu.

Sektor perladangan, perusahaan dan pelancongan termasuk perhotelan, pengangkutan dan syarikat penerbangan terjejas teruk, mengalami kerugian dianggarkan berbilion ringgit. Kejayaan kempen Tahun Melawat Malaysia 2014 boleh terancam.

Ada pihak yang melabelkan ‘serangan jerebu’ ini sebagai terorisme ekologi. Ia berpunca daripada pembakaran hutan secara terbuka dan berleluasa oleh peladang individu dan syarikat di Sumatera.

Walaupun banyak rundingan diadakan dan pelbagai usaha dilakukan secara unilateral, bilateral dan multilateral, pengeksportan jerebu dari Indonesia ke negara-negara jiran berlaku setiap tahun sejak 1990.

Dari perspektif Islam, pemusnah alam sekitar tergolong mereka yang mungkar dan zalim. Sifat teroris ekologi adalah tidak bertanggungjawab, rakus, tamak, cuai dan tidak memikirkan kebajikan orang lain.

Menteri Alam Sekitar Indonesia telah menamakan beberapa syarikat pemilik ladang kelapa sawit, termasuk dari Malaysia, antara yang terbabit. Syarikat-syarikat ini dikatakan bertanggungjawab terhadap 80 peratus masalah jerebu, manakala 20 peratus akibat pembakaran terbuka oleh peladang individu.

Ramai di Malaysia tidak faham kenapa tindakan tidak diambil penguasa Indonesia terhadap mereka ini. Kerana tidak menangani perjanjian Asean berhubung pencemaran jerebu, Indonesia dilihat melindungi cara pembakaran begini.

Ada pihak cadangkan agar kempen diadakan untuk mengadakan sekatan antarabangsa terhadap produk kelapa sawit Indonesia bagi mendorong kerajaannya bertindak ke atas syarikat terbabit. Mereka mahu melihat hukuman berat dikenakan.

Mungkin ini salah satu sebab kenapa Indonesia dilihat antara negara yang gagal mengelola sumber daya alamnya secara bijaksana. Berbeza dengan Malaysia, menerima pujian Bank Dunia sebagai contoh negara yang berjaya menggunakan sumber daya alam sehingga mampu melaburkannya dalam sektor perekonomian lain seperti industri, pembangunan prasarana dan pendidikan.

Menurut laporan bertajuk Malaysia Economic Monitor: Harnessing Natural Resources yang baru dikeluarkan, kejayaan Malaysia ini memberi manfaat besar kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Dari perspektif agama Islam, penjagaan sumber alam sekitar sangat diutamakan. Sebagai pemimpin di dunia, manusia disyaratkan begitu kerana alam sekitar adalah anugerah ILAHI.

ALLAH SWT mencipta alam ini seimbang untuk kemakmuran dan kesejahteraan manusia: bumi untuk tempat tinggal, gunung-ganang sebagai pemasak bumi, manakala sumber makanan dan perubatan pula daripada laut, sungai dan hutan. Ini semua dikongsi dengan makhluk ALLAH yang lain, termasuk tumbuh-tumbuhan dan haiwan. 

Ingat firman ALLAH SWT pada ayat 24-32: Surah ‘Abasa bermaksud: “Maka hendaklah manusia itu memperhatikan makanannya. Sesungguhnya Kami benar-benar mencurahkan air dari langit.

Kemudian Kami belah bumi dengan sebaiknya. Lalu Kami tumbuhkan biji-bijian di bumi itu. Anggur dan sayuran. Zaitun dan pohon kurma. Kebun-kebun (yang lebat) dan buah-buahan serta rumput-rumputan untuk kesenanganmu dan binatang-binatang ternakmu.”

Banyak hadis Rasulullah SAW yang menekankan peri pentingnya pengurusan alam sekitar serta ihtimam (keprihatinan) Baginda terhadap pelestariannya. Justeru, yang Islam tekankan ialah penjagaan, pencegahan, pengawalan dan pemuliharaan alam daripada dicemari atau pupus, selain menitik beratkan nilai ihsan, kasih sayang, timbang rasa dan kebersihan dalam hal kaitan manusia dengan alam.

Dr Yusuf al-Qaradhawi, dalam bukunya Riayatul-Baiat fi Syariatul-Islam (Islam Agama Mesra Alam Sekitar) menyebut bahawa Islam menjaga alam sekitar dan seluruh isinya dengan cara memberi penekanan kepada tuntutan moral, peraturan dan undang-undang.

Syariat Islam melarang pemusnahan melibatkan kekerasan atau penghapusan makhluk lain seperti haiwan.

Menurutnya, pemusnah alam sekitar akan menerima hukuman yang berat, justeru segala kegiatan  mensabotaj dan memusnah alam sekitar atau elemen-elemen di dalam mesti dihentikan segera.

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

ISU PENDIDIKAN : Sumbangan Ibu Bapa Kepada Keberkesanan Sekolah


Anjakan kesembilan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 menetapkan bahawa penglibatan ibu bapa, komuniti dan sektor swasta dalam pendidikan perlu diperluas  untuk menjayakan pembangunan pendidikan di Malaysia. Sememangnya tidak dapat dinafikan bahawa peranan ibu bapa, komuniti dan sektor swasta dalam pendidikan adalah amat besar. Hal ini kerana pendidikan atau lebih khusus lagi pembelajaran tidak berlaku dalam lingkungan sekolah sahaja apatah lagi di dalam sekolah dan bilik darjah.

Pendidikan dan pembelajaran dalam abad ke-21 ini berlaku di mana-mana sahaja, pada bila-bila masa, dengan apa cara sekalipun melalui apa-apa sahaja perantaraan atau media dan alat bantu yang berbagai-bagai. Justeru, sistem sekolah yang selalunya dikaitkan dengan kepimpinan dan pengurusan sekolah, kurikulum, pedagogi, jadual waktu dan pentaksiran yang formal dan one-off sifatnya telah berubah kepada sistem pembelajaran (learning system) yang lebih luas cakupan maknanya.

Sistem pembelajaran dalam pendidikan abad ke-21 menuntut penglibatan pelbagai pihak di luar lingkungan sekolah tanpa mengetepikan atau mengurangkan peranan sekolah dan guru. Penglibatan ibu bapa, komuniti dan sektor swasta menjadi pelengkap, penguat dan pencepat (accelerator) kepada kemajuan pendidikan sesebuah negara.

Kajian menunjukkan ibu bapa yang mengambil berat tentang pembelajaran anak di sekolah dan di rumah adalah ibu bapa kepada anak-anak yang berjaya dalam pendidikan berbanding ibu bapa yang mengambil berat akan pembelajaran anak di rumah sahaja apatah lagi yang tidak mengambil berat langsung pembelajaran anak di rumah atau di sekolah. Kajian ini mendapati ibu bapa yang sering kali datang ke sekolah untuk tujuan yang berkaitan dengan kemajuan pelajaran anak adalah ibu bapa yang anaknya berjaya.

Hal ini demikian kerana kejayaan anak-anak dalam pembelajaran memadai dengan motivasi. Jika hanya dengan motivasi, terutama intrinsiks (dalaman), pun anak-anak boleh berjaya apatah lagi jika ditambah dengan sokongan moral, spiritual, fizikal dan kewangan orang lain terutama ibu bapa.

Terdapat banyak perbezaan antara pembelajaran di sekolah dan di rumah. Antaranya, di sekolah pembelajaran terkongkong oleh jadual waktu, subjek dipelajari, masa, perkara yang hendak dipelajari dan media pembelajaran. Di rumah pembelajaran boleh berlaku hampir tiada batasan atau kongkongan seperti dinyatakan. Namun hal tersebut bergantung kepada apa dan bagaimana sumbangan ibu bapa yang boleh menjamin atau menyokong perkara tersebut berlaku.

Tidak dinafikan bahawa selama ini telah banyak sumbangan ibu bapa, komuniti dan sektor swasta terhadap keberkesanan sekolah. Melalui Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) banyak sumbangan telah diberikan. Namun, banyak lagi yang boleh diteroka tanpa banyak mengubah peruntukan dalam perlembagaan PIBG dan Akta Pendidikan 1996. Sedikit sahaja penyesuaian struktur PIBG perlu dibuat iaitu penubuhan Biro ICT untuk pengutipan data tentang penglibatan ibu bapa kepada keberkesanan sekolah dan Biro Kumpulan Sokongan Ibu Bapa (KSIB) atau Parent Support Group dalam PIBG.

Di kebanyakan negara maju KSIB menjadi wadah yang sangat berkesan membantu sekolah berubah kepada sekolah pada masa hadapan (the school of future) yang telah wujud pada hari ini. Antara ciri-ciri sekolah sedemikian ialah tumpuan atau pusat perhatian semua aktiviti adalah pembelajaran murid manakala tumpuan kepimpinan sekolah adalah kepimpinan instruksional. Sekolah ini memanfaatkan sepenuhnya ICT dalam pembelajaran dan pengurusan sekolah. Sekolah pada masa hadapan atau sekolah abad ke-21 juga memberi penekanan kepada kemenjadian atau outcome murid.

Oleh sebab itulah PPPM 2013-2025 direka bentuk sedemikian rupa untuk memastikan aspirasi murid dan aspirasi sistem tercapai melalui sebelas anjakan yang mana satu daripadanya iaitu yang kesembilan adalah mengenai penglibatan ibu bapa, komuniti dan sektor swasta dalam pembelajaran anak-anak. Dalam tulisan ini saya hanya menyentuh tentang penglibatan ibu bapa. Penglibatan komuniti dan sektor swasta yang tidak kurang penting dan banyaknya akan disentuh dalam tulisan yang lain.

Sumber : http : //drjamiladimin.wordpress.com/

ISU PERKHIDMATAN AWAM : 45 peratus penjawat awam tak mampu beli rumah


KUALA LUMPUR - Kira-kira 45 peratus atau 650,000 daripada 1.5 juta penjawat awam masih tidak mampu memiliki rumah kerana faktor harga, kata Presiden Kesatuan Pekerja-pekerja dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Datuk Omar Osman hari ini.
  
Katanya kajian yang dijalankan kesatuan itu baru-baru ini menunjukkan harga rumah yang semakin meningkat menjadi kekangan utama kepada impian tersebut.
  
Menurutnya rata-rata penjawat awam terbabit adalah daripada kumpulan sokongan dan bergaji rendah, manakala bagi golongan berusia 40 tahun ke atas, bergred tinggi selain telah berkhidmat lebih 20 tahun telah memiliki rumah.
  
"Golongan 45 peratus ini terpaksa terus menyewa atau tinggal di kuarters dan terpaksa mengutamakan kos sara hidup," katanya kepada Bernama.

Beliau turut meluahkan kebimbangan akan implikasi masalah itu jika tidak ditangani segera.
  
"Antaranya ialah jika mereka membeli rumah pada usia lanjut, ini bermakna mereka akan mengambil masa lebih panjang untuk membayar balik pinjaman.
  
"Kesannya mereka akan menggunakan semua simpanan dan duit pencen yang sepatutnya digunakan untuk hari tua untuk membayar balik pinjaman itu. Kehidupan mereka selepas bersara akan terus dibelenggu hutang," katanya.
  
Malah katanya, mereka juga tidak mampu memohon skim Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) kerana harga rumah PR1MA yang mencecah RM250,000 adalah di luar kemampuan penjawat awam.
  
Justeru katanya, Cuepacs menggesa kerajaan mengkaji isu itu dan mencadangkan supaya Jabatan Perumahan Negara menyediakan rumah kos sederhana untuk penjawat awam.
  
"Seboleh-bolehnya biarlah ia berharga RM250,000 ke bawah. Saya harap kerajaan dapat kaji isu ini secara serius," katanya. - Bernama

Khamis, 27 Jun 2013

ISU ALAM SEKITAR : Kualiti Udara Makin Pulih, Hanya Nilai Catat Paras Tidak Sihat


KUALA LUMPUR : Kualiti udara di seluruh negara semakin pulih apabila hanya Nilai di Negeri Sembilan masih mencatatkan paras Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat setakat pukul 3 petang Khamis.

Menurut laman web Jabatan Alam Sekitar (JAS), Nilai merekodkan bacaan 127 berbanding 135 pada pukul 12 tengah hari.

Sementara 29 kawasan lain mencatatkan paras IPU sederhana berbanding 30 kawasan pada pukul 12 tengah hari Khamis.

Kawasan itu antaranya ialah Bukit Rambai (100), Bandaraya Melaka (81) di Melaka, Kota Tinggi(75), Larkin Lama (70), Muar (71), Pasir Gudang (81) di Johor, Port Dickson (76), Seremban (77) di Negeri Sembilan, Tanjung Malim (61)di Perak, Kuala Selangor (52), Pelabuhan Klang (66), Petaling Jaya (79), Shah Alam (70), Banting (97) di Selangor dan Putrajaya (79).

Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategorikan baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 ke 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas sebagai bahaya. - BERNAMA

ISU SOSIAL : Formula menangani jenayah dengan lebih berkesan


Oleh :  TAN SRI LEE LAM THYE

JENAYAH dan kegiatan berkaitannya telah menjadi satu isu yang membelenggu semua rakyat Malaysia.

Kejadian jenayah yang membabitkan keganasan dan trauma mesti dilihat daripada sudut yang lebih serius bukan sahaja daripada pihak kerajaan, pihak penguat kuasa dan kehakiman malah oleh keseluruhan masyarakat.

Tidak ada sehari pun berlalu tanpa kejadian jenayah dan dalam ketidaktentuan ekonomi, peningkatan kes dadah serta kemasukan pendatang tanpa izin, jenayah akan terus meningkat di sebalik usaha gigih Polis Diraja Malaysia (PDRM) memerangi jenayah.

Berlakunya kejadian jenayah adalah sebagai peringatan bahawa masyarakat tidak boleh mengabaikan keselamatan mereka.

Setiap kali berlakunya jenayah kejam maka ia akan menimbulkan kemarahan masyarakat dan menjadikan orang ramai menempelak serta menuding jari kepada beberapa pihak.

Persoalannya, adakah kita telah melakukan secukupnya sebagai kerajaan, komuniti dan institusi keluarga untuk menangani isu serta punca berlakunya jenayah?

Memerangi jenayah adalah perlu, mencari punca adalah penting, dan pencegahan jenayah adalah satu perkara yang lebih penting. Penubuhan Jabatan Pencegahan Jenayah oleh PDRM diharapkan boleh merungkai segala punca jenayah dan berusaha menanganinya secara berkesan.

Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) berpendapat bahawa masalah penagihan dadah adalah punca utama kepada kes jenayah seperti ragut.

Selagi tiada kejayaan menangani isu penyalahgunaan dadah, masalah jenayah berkaitan dadah akan terus berlaku.

Satu lagi punca jenayah adalah berkaitan keruntuhan nilai moral yang serius yang membelenggu golongan remaja akibat keruntuhan keupayaan kekeluargaan dan panduan untuk membolehkan anak-anak kita melakar perjalanan yang betul.

Pembangunan ekonomi dan teknologi yang pesat tidak seimbang dengan pembangunan nilai moral dan pembangunan insan. Kita bukan hendak menafikan kepentingan ICT dalam era teknologi maklumat tetapi kita perlu sedar pada masa sama kita perlu menegaskan intipati pembangunan moral dan nilai sangat penting demi mencapai pembangunan negara seimbang.

Pembangunan ekonomi dan teknologi hendaklah dicapai tanpa mengorbankan nilai moral dan pembangunan insan yang juga sangat diperlukan di samping kita menangani pelbagai permasaalahan sosial yang menghantui masyarakat.

Mendapat bahan lucah dengan mudah, saya percaya adalah penyebab utama kepada peningkatan jenayah seksual. Bahan lucah melalui VCD cetak rompak dijual dengan harga murah dan senang untuk diperolehi bukanlah menjadi masalahnya sahaja. Ketagihan seks siber, teman seks, laman web lucah dan sebagainya merosakkan minda remaja dan mengakibatkan kemunculan gejala sosial.

Terdapat juga masalah pil ekstasi dan pelbagai pil perangsang yang boleh didapati di pusat-pusat hiburan yang tidak terkawal.

Kita perlu menangani jenayah dari pelbagai sudut dan pendekatan :

1. Dari sudut pendidikan kita memerlukan program secara berterusan untuk mendidik remaja dan belia kita untuk menjauhi diri daripada gejala sosial dan jenayah.

2. Ibu bapa tidak boleh mengabaikan tanggungjawab membesarkan anak-anak mereka. Ibu bapa perlu sentiasa memikirkan tentang keselamatan anak-anak mereka semasa mereka berada di luar rumah mahupun di sekolah. Ibu bapa perlu mengambil berat tentang masalah semasa anak-anak membesar dan perlu memainkan peranan membantu membimbing anak-anak mereka supaya menjadi insan yang baik dan berguna.

3. Kerajaan harus dengan segala upaya menguatkuasakan undang-undang secara efektif demi kepentingan ketenteraman awam dan pencegahan jenayah. Undang-undang hendaklah dikuatkuasakan secara adil dan tanpa pilih kasih.

4. Sekolah pula hendaklah mengetatkan disiplin terhadap murid melalui kerjasama guru, ibu bapa dan pihak berkuasa.

5. Peranan badan kehakiman juga harus menjatuhkan hukuman setimpal dengan kesalahan yang dilakukan penjenayah. Mengawasi keselamatan negara melibatkan lebih daripada sekadar anggota yang bersenjata dan kereta peronda. Apa yang kita perlukan adalah kemampuan berkomunikasi, kaunseling dan psikologi untuk anggota polis, perubatan forensik, teknologi komunikasi, ilmu sains sosial dan integriti.

6. Kesedaran akan keselamatan peribadi dan keselamatan sosial tidak hanya terbatas pada aspek fizikal, tetapi juga keprihatinan alam siber, kerana kita hidup di dunia di mana maklumat dan teknologi komunikasi yang sentiasa berubah pada kelajuan yang sangat pantas. Ia adalah punca penyebab yang serius yang perlu diambil kira akibat peningkatan jenayah siber, di mana kita boleh menjadi mangsa kecurian identiti dan penipuan serta pelbagai hal lain.

Penulis ialah Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF)

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Rabu, 26 Jun 2013

ISU SOSIAL : Menghindar jerebu di hati dan minda


Oleh : NORDEN MOHAMED

JEREBU melanda lagi. Bagi yang alah dengan asap, mereka akan mudah diserang batuk, selesema dan lelah. Apabila jerebu datang, pandangan jadi terbatas. Debu yang hangat akan membuat suasana jadi membahang dan hati turut panas. Semalam, hujan mula turun di beberapa kawasan.

Ramai yang terpegun menyaksikan air gugur seolah-olah sudah berbulan-bulan tidak nampak langit menangis.

Hati masing-masing mengucapkan syukur ke hadrat Ilahi. Mudah-mudahan IPU akan turut turun apabila kualiti udara makin baik setelah asap ditelan hujan. Walaupun hujan turun tidak lebat, asalkan indeks pencemaran udara tidak naik lagi, itu pun sudah cukup baik.

Jerebu. Siapa yang suka suasana yang menyesakkan dada dan menyakitkan mata itu? Pembekal topeng, walaupun suka topeng-topengnya laku, mereka juga tidak sukakan jerebu. Namun, mengapa ada orang yang membakar hutan hingga mengakibatkan jerebu walaupun mereka juga tidak suka kepada keadaan cuaca sebegitu?

Atas kepentingan mahu jimatkan kos operasi pertanian bila membuka atau membersihkan hutan, cara yang cepat adalah dengan membakar. Mereka sanggup mengundang malapetaka yang mereka sendiri tidak mahu, asalkan mereka dapat jimatkan duit. Duit, soal jangka pendek. Jerebu pula, kesan jangka panjang.

Ertinya mereka berfikiran singkat. Walaupun mereka dapat jimatkan kos operasi, kos perubatan mereka pula sebaliknya meningkat bila para pekerja mereka sakit kerana berada di kawasan titik panas! Jelas sekali, hati dan minda mereka yang tidak bertanggungjawab itu turut kabut asap!

Mereka hanya nampak duit yang kononnya untuk kebahagiaan, sedangkan mereka akhirnya terpaksa menggunakan duit untuk membeli kesihatan akibat tidak berfikiran jauh.

Untuk sekian kalinya, matlamat tidak menghalalkan cara kerana jika apa juga cara dihalalkan, risikonya seringkali tidak berbaloi. Apatah lagi apabila akibatnya terkena kepada berjuta-juta manusia lain.

Dalam kehidupan seharian kita sendiri, berapa ramaikah antara kita yang pada zahirnya baik, tetapi tanpa disedari sebenarnya sedang diselaputi jerebu fikiran dan hati? Jika jerebu udara dapat dilihat dan dielak, apakah kita boleh menangkis jerebu yang menyerang minda dan jiwa?

Jerebu fikiran datang dalam bentuk audio dan visual. Ia mengganggu fikiran untuk melihat dan mendengar dengan jelas. Seperti jerebu di udara, jerebu di fikiran adalah apa jua berita, cerita dan maklumat yang dikaburi oleh zarah-zarah kepalsuan dan kepesongan hingga kita tidak dapat mentafsir menggunakan akal yang sejernih hablur.

Ertinya, jerebu fikiran itu mengaburi apa yang dipandang dan didengar hingga ia merencat minda untuk menelah dan mentafsir. Akibatnya, kita  hanya menengok, tetapi tidak berdaya memerhati dan merenungi.

Kita hanya mendengar, tetapi tidak mampu lagi mengamati. Sesuatu yang sampai ke minda yang berjerebu itu hanya dibaca secara lahiriah atau selapis. Tidak lagi batiniah dengan makna.

Jerebu hati pula tiba apabila kita membiarkan ia bertindak sesukanya. Orang kata, membiarkan diri mengikut perasaan apabila sampainya bisikan prasangka.

Akibatnya, prasangka yang menjerebu di hati itu menjadikan ia tidak lagi dapat menerima kebaikan dan kemurnian. Sebaliknya yang buruk dan kotor itulah yang dibiarkan hingga menjadi noda yang menghitamkan hati.

Jerebu di hati dan minda akan merosak dan memusnahkan diri. Fikiran dan perasaan akan menjadi tumpul. Berapa ramai di antara kita yang mengetahui kesusahan orang lain, tetapi tidak berasa sedih.

Melihat orang miskin, tanpa berasa simpati. Berdepan dengan kemungkaran tetapi buat-buat tidak tahu kerana tidak mahu terlibat.

Jerebu di udara akan merosakkan fizikal, jerebu di hati akan merosakkan spiritual dan jerebu di minda akan merosakkan mental.

Soalnya, bagaimanakah kita menghindarinya? Seperti jerebu di udara yang dielak dengan menggunakan topeng sebagai perisai, jerebu di fikiran boleh dilawan dengan ilmu.

Hanya pengetahuan yang dapat menangkis segala kepalsuan. Dan, jerebu di hati pula boleh dikesampingkan dengan perisai keikhlasan.

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

ISU ALAM SEKITAR : Kesan Jerebu Terhadap Ekonomi


Oleh :  DR. MOHD. NAHAR MOHD. ARSHAD

KEADAAN jerebu semasa telah memaksa kerajaan mengisytiharkan darurat bagi kawasan Muar dan Ledang.  Beberapa buah negeri juga menutup sekolah-sekolah bagi mengelakkan masalah kesihatan yang serius, terutama buat kanak-kanak.

Masalah jerebu sejak sedekad kebelakangan ini sudah menjadi masalah tahunan. Pembakaran di Indonesia bagi pembersihan ladang menjadi punca utama kedatangan jerebu secara bermusim ini.

Meskipun di peringkat kerajaan Malaysia, Singapura dan Indonesia sudah wujud usaha serantau bagi mengatasi masalah jerebu, namun setakat ini tidak ada hasil yang ketara. Langkah-langkah yang diambil adalah reaktif dan tidak membawa kepada penyelesaian menyeluruh.

Sikap pihak tidak bertanggungjawab yang hanya mementingkan keuntungan sendiri dengan membakar ladang untuk membersihkannya menunjukkan betapa kepentingan sosial tidak diambil peduli oleh mereka. Ya, kosnya murah buat syarikat ladang, namun kos kepada umum adalah mahal.

Kesan jerebu boleh dilihat dalam jangka masa panjang dan pendek. Gangguan kepada aktiviti ekonomi dan sosial harian boleh membawa kesan kepada segala perancangan yang telah sedia dibuat.

Jika keadaan berjerebu ini berakhir kurang dari seminggu dan tidak melangkau jauh ke banyak kawasan, impak ekonominya mungkin minimum, tidak mencecah bilion ringgit.

Sekiranya keadaan jerebu kali ini bertambah serius, berpanjangan serta melangkau kebanyakan kawasan, kesan ke atas ekonomi boleh menjejaskan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi tahun semasa. Kerugian boleh mencecah hingga berbilion ringgit ekoran daripada banyak kegiatan sosial dan ekonomi yang tergendala.

Banyak lagi kesan negatif jerebu yang mungkin kita terlepas pandang dalam menilai kesannya. Misalnya, kita tidak pasti apakah kesan ke atas kesihatan akibat terdedah dengan sinaran matahari yang terbias dek jerebu. Kos juga sukar dikira bagi impak pertanian yang musnah dek kurangnya pancaran matahari akibat bumi diselubungi jerebu. Sehinggalah saintis mengenal pasti perkara-perkara ini, barulah kita dapat membuat anggaran kos jerebu kepada ekonomi dan kesejahteraan hidup manusia.

Antara industri yang akan terjejas teruk oleh jerebu adalah sektor pelancongan. Hotel, restoran dan taman-taman tema di kawasan berjerebu akan menerima tempias negatif jerebu berikutan kurangnya aktiviti luaran oleh orang ramai.

Lebih dikhuatiri jika masalah jerebu ini konsisten trendnya dan agensi-agensi pelancongan asing tidak mengesyorkan pelanggan mereka untuk datang ke rantau ini dalam bulan-bulan jerebu.

Di sinilah impak jangka panjang jerebu akan mula kita rasai. Pelancong asing tidak lagi mahu datang ke sini dan pelancong tempatan memilih destinasi luar negara sebagai pilihan.

Keadaan jerebu yang serius juga boleh membawa kesan negatif kepada sektor perindustrian. Dengan keadaan berjerebu, pihak berkuasa akan memerintahkan kilang-kilang, kuari dan semua aktiviti yang melibatkan pelepasan pencemaran ke udara dikurangkan atau terus diberhentikan.

Di kawasan darurat jerebu misalnya, semua aktiviti ini mesti diberhentikan. Semua ini merenjatkan aktiviti ekonomi di mana banyak kilang dan syarikat akan terpaksa menanggung kos tinggi tanpa pulangan yang diharapkan.

Jerebu juga membawa kepada masalah kesihatan yang serius dan kosnya sukar dikira. Bil-bil untuk mendapatkan rawatan dek masalah jerebu pastinya meningkat pada masa ini.

Sekurang-kurangnya pun kita terpaksa membeli topeng muka. Semua ini merupakan kos dek jerebu. Meskipun industri kesihatan akan menyaksikan lonjakan hasil, pulangan ini kecil dan hanya untuk firma atau individu minoriti berbanding kesan dan kos negatif besar yang terpaksa ditanggung masyarakat.

Para pekerja pasti ramai yang terpaksa mengambil cuti sakit atau pihak majikan sendiri mengambil langkah menutup syarikat dalam keadaan jerebu pada paras bahaya.

Di sini, kos lepas atau kos akibat dari kegiatan ekonomi yang tidak dijalankan akan menambahkan lagi kesan negatif jerebu kepada ekonomi.

Jerebu merupakan masalah oleh tangan-tangan manusia. Masalah ini menjadi ketara sekarang kerana wujudnya estet-estet perladangan berskala besar. Natijahnya, pembakaran ladang untuk tujuan pembersihan juga mencapai ke skala industri yang mencemarkan.

Jika pihak syarikat tidak ambil peduli dengan kesan kegiatan mereka, pihak berkuasa mesti mengambil langkah serius untuk menangani masalah ini ke akar umbi.

Pemberian lesen, permit serta cukai pencemaran boleh dilaksanakan sebagai langkah kawalan. Semua ketidakpatuhan kepada undang-undang wajar dikenakan tindakan keras agar masalah tidak berulang.

Udara bersih merupakan hak semua yang wajar dipelihara. Rakyat marah dengan pencemaran ini dan rakyat menuntut kebajikan mereka dipelihara!

PENULIS ialah Pensyarah Kanan Pusat Ekonomi IslamUniversiti Islam Antarabangsa Malaysia

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU ALAM SEKITAR : 40 Kali Lebih Murah Punca Kaedah Pembakaran Dipilih Berbanding Penggunaan Mesin


Oleh :  RASHVINJEET S.BEDI

PETALING JAYA : Kaedah penarahan dan pembakaran untuk pembersihan tanah adalah 40 kali lebih murah daripada menggunakan mesin, sekali gus menjadikan sukar bagi Indonesia untuk menghentikan pembakaran terbuka.

"Faktor asas adalah kos," kata Dr Helena Varkkey dari Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategik, Universiti Malaya.

Dr Varkkey, yang mempunyai kepakaran dalam politik alam sekitar berkata berdasarkan kajian yang dilakukan oleh pihak lain, kos bagi kaedah menarah dan membakar untuk setiap hektar adalah kira-kira AS5 (RM16.00).

Menggunakan mesin akan menelan kos kira-kira USD200 (RM640.00).

Beliau menegaskan petani kecil bukanlah punca utama kebakaran sebaliknya 60 hingga 80 peratus penyebab adalah dari ladang-ladang komersial.

"Masalahnya ialah kebanyakan ladang-ladang  komersial juga memilih untuk menggunakan api, atas sebab yang sama yang berkaitan dengan kos.

"Syarikat-syarikat ini mampu mengelakkan risiko ditangkap dan dihukum kerana pembakaran terbuka," kata Dr Varkkey yang telah menghasilkan penulisan tentang jerebu dan kelapa sawit.

Beliau menjelaskan, syarikat-syarikat ini akan menyewa subkontraktor untuk membersihkan tanah dan jika mereka ditangkap kerana melakukan pembakaran, mereka mendakwa telah mengarahkan kontraktor kecil supaya tidak menggunakan kaedah pembakaran.

Syarikat-syarikat ini katanya, sering memupuk hubungan yang erat dengan pegawai-pegawai kerajaan tempatan dan pusat.

Satu lagi keadaan yang membawa kepada kebakaran dan menyebabkan jerebu yang menjejaskan Malaysia dan Singapura baru-baru ini adalah peningkatan penggunaan tanah gambut untuk menanam pokok kelapa sawit.

Dr Varkkey berkata terdapat peraturan-peraturan yang melarang penggunaan tanah gambut untuk tujuan komersial.

"Apabila dikeringkan untuk digunakan, tanah gambut mengering dengan cepat dan menjadi sangat mudah terbakar.

"Walaupun syarikat ini bukan sengaja membakar untuk pembersihan tanah, saliran tanah gambut adalah sangat mudah terdedah kepada kebakaran.

"Syarikat-syarikat ini telah meletakkan konsesi mereka pada risiko kebakaran dengan membuka kawasan-kawasan ini," katanya.

Beliau menambah walaupun pemilik ladang getah, kilang pulpa dan kertas juga menggunakan api untuk membersihkan tanah, kesannya tidak begitu teruk seperti pembakaran tanah gambut.

"Apabila gambut terbakar, ia mengeluarkan karbon, asap hitam yang menyebabkan jerebu yang sangat buruk dan api yang sangat sukar untuk dipadamkan.

"Kebakaran pada lain-lain jenis tanah tidak menghasilkan asap seperti itu, dan biasanya lebih mudah dipadam," katanya.

Sumber : http : //mstar.com.my/

Selasa, 25 Jun 2013

Syura Juara MasterChef Selebriti Malaysia Musim Ke-2


PENYANYI, Syura sah juara MasterChef Selebriti Malaysia Musim ke-2.

Syura menewaskan Celina Khor apabila menu bertemakan 'Sajian Sehangat Bintang' ciptaannya berjaya memikat hati juri.

Syura dan Celina bersaing untuk mencipta menu untuk sembilan orang VVIP kelas pertama dalam sebuah penerbangan MAS.

Dalam cabaran tersebut, masing-masing dikehendaki membuat sejenis pembuka selera, sajian utama dan pencuci mulut.

Kemenangan itu diakui tidak dijangka Syura kerana dirinya bukan peserta pilihan dan tidak yakin dengan gelaran juara itu.


Syura menyumbang RM 60,500 kepada Badan Kebajikan Kanser Payudara Persekutuan.

Sementara Celina menyumbang RM 10,000 kepada Persatuan Kebajikan Haiwan-haiwan Kurang Dijaga Selangor (Fury Friends Farm).

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

ISU ALAM SEKITAR : Semangat ASEAN selesai masalah jerebu


Oleh : ABDUL RAZAK IDRIS

HATI mana tidak menjadi panas apabila diarah membawa anak pulang dari Taman Asuhan Kanak-kanak (Taska) yang merupakan pusat tertutup disebabkan masalah jerebu. Hajat hati hendak marah sahaja pihak yang bertanggungjawab ke atas taska tersebut, namun itu semua bukan kehendak mereka.

Soalnya sampai bila kegiatan pembakaran terbuka di negara jiran memberi implikasi kepada kehidupan seharian masyarakat negara ini. Bukan mudah untuk mengatur kembali jadual antara suami dan isteri apabila masalah sebegini terjadi.

Negara Indonesia, Malaysia dan Singapura sebagai anggota ASEAN yang paling terkesan dengan masalah ini perlu menyelesaikan masalah ini dengan semangat serantau dan ibarat cubit paha kiri paha kanan terasa. Terang sekali semuanya berpunca dari kegiatan pembakaran terbuka hutan secara besar-besaran hutan di Indonesia.

Kebakaran hutan di Wilayah Riau, Sumatera Tengah merupakan kes terbaru melibatkan jerebu teruk sehingga Indeks Pencemaran Udara (IPU) di beberapa negeri mencapai bacaan 507 di Muar, Johor dan Bukit Rambai, Melaka mencatat bacaan 443.

Beberapa tahun lalu kes yang sama berlaku hingga menyebabkan sekolah ditutup. Keadaan ini merugikan pelajar-pelajar yang terpaksa bercuti akibat masalah yang dilihat seakan sudah menjadi bahana bermusim.

Kaedah pembenihan awan untuk mencipta hujan hanya suatu mekanisme untuk mengurangkan jerebu dan memadam kebakaran. Namun ia suatu tindakan jangka pendek semata-mata, kerana apabila kebakaran terpadam, jerebu akan kembali bertebaran di udara sehingga merentasi sempadan negara asal.

Dalam keadaan yang membawa pengisytiharan darurat di Muar, Johor akibat jerebu, sesuatu perlu dilakukan di antara kerajaan dan kerajaan. Semua pihak perlu mencari penyelesaian mengatasi masalah jerebu dengan berkongsi pendekatan bagaimana sesebuah kerajaan mengatasi masalah jerebu akibat kebakaran.

Menuding jari dengan mengatakan ia berpunca dari syarikat dari negara lain yang membuat kebakaran hanya tindakan pelarian (escapism) yang menonjolkan sifat lepas tangan.

Pokoknya jerebu menyebabkan pesakit asthma menjadi lebih kronik, dan mungkin akan menyebabkan katil di hospital penuh dengan pesakit sedemikian.

Sepatutnya undang-undang alam sekitar di negara Indonesia diperkasakan sebagaimana yang dilakukan di Malaysia. Jabatan Alam Sekitar (JAS) baru-baru ini mengisytiharkan seluruh negeri Selangor, Melaka dan Johor sebagai kawasan larangan pembakaran terbuka berkuat kuasa serta-merta.

Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar, Datuk Halimah Hassan berkata, larangan mengikut Seksyen 29AA(2) Akta Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan) 2001 itu, berkuat kuasa sehingga ke satu tarikh yang akan diberitahu kelak.

Bagaimanapun, katanya, larangan berkenaan tidak melibatkan pembakaran mayat, pembakaran bagi tujuan keagamaan, barbeku dan pembakaran gas mudah terbakar. Pihak yang disabit kesalahan melakukan pembakaran terbuka boleh dikenakan denda sehingga RM500,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Mungkin tindakan sebegini boleh dikenakan oleh Kerajaan Republik Indonesia terhadap kaki bakar hutan secara terbuka tidak kira ia syarikat dari Malaysia atau dari negara mana sekalipun.

Jika boleh sistem pembersihan hutan secara sistematik yang diterima pakai oleh anggota ASEAN perlu dijadikan rujukan.

Kita tidak mahu apabila jerebu semakin tebal menyebabkan kapal terbang dan kapal di laut bertembung di udara dan di laut hingga ratusan nyawa terkorban baru ada pihak diplomat mula menuding jari dan saling bertukar komen negatif yang menyebabkan hubungan antara negara menjadi dingin di sebalik kebakaran hutan yang menggila.

Justeru, selesaikan masalah jerebu dengan semangat ASEAN yang sejati kerana tiada gunanya mempunyai wadah tetapi tidak berfungsi dengan sewajarnya.

Jangan dibiar masalah yang boleh menyebabkan kerosakan, kerugian dan kematian ini dibiar berlarutan. Sikap salah-menyalahkan, bertukar pandangan yang bersifat tidak membina perlu dielakkan oleh negara-negara terlibat.

Mungkin hari ini, Indonesia dilanda kebakaran hutan di wilayahnya dan esok lusa mungkin kita mengalami masalah sama.

Bersikap empati dengan masalah yang melanda negara lain. Yang penting peliharalah semangat ASEAN. Jangan marahkan nyamuk kelambu dibakar, cari jalan untuk menghapuskan nyamuk. Itulah caranya.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU ALAM SEKITAR : Penutup muka 50 sen sekeping?


"SEKEPING penutup muka yang dibuat daripada kertas mahu dijual dengan harga 50 sen sekeping?

"Sangat mahal dan sungguh tidak munasabah betul," itulah kata-kata seorang bapa bila anaknya yang berada di sekolah rendah memberitahu beliau tentang penutup muka yang dijual 50 sen sekeping di sebuah kedai.
  
Menurut bapa itu lagi, biasanya penutup muka jenis kertas itu dijual antara RM7.00 dan RM9.00 untuk satu kotak yang mengandungi 100 keping penutup muka, bergantung kepada kualiti.
  
Menurut satu tinjauan di pekan Rawang dekat sini, farmasi-farmasi runcit melaporkan peningkatan jualan penutup muka surgikal dalam kalangan orang ramai.
  
Bagaimanapun mungkin ada pihak yang mahu mengaut keuntungan daripada masalah jerebu yang melanda sekarang ini.
  
"Kami hampir kehabisan stok. Beberapa hari kebelakangan ini, ramai pelanggan yang bertanyakan pasal penutup muka.
  
"Sebelum masalah jerebu bermula, sukar bagi kami nak jual mahupun sekotak penutup muka tetapi kini kami dapat jual enam hingga lapan kotak sehari," jelas tuan punya sebuah farmasi di Bandar Country Homes, Rawang yang ingin dikenali sebagai Lee.

PENUTUP MUKA
 
Menurut pakar-pakar penjagaan alam sekitar, perkara terbaik perlu dilakukan ketika jerebu melanda adalah dengan berada dalam rumah.
  
"Tetapi bagi mereka yang perlu berada di luar rumah seperti kanak-kanak sekolah, pekerja ofis dan buruh pembangunan serta mereka yang memandu dan menggunakan motorsikal, memakai penutup muka adalah perkara yang digalakkan.
  
"Sekurang-kurangnya penutup muka menghalang debu dan habuk asap daripada memasuki sistem pernafasan mereka yang memakainya," kata Lee.
  
Kementerian Kesihatan baru-baru ini menasihati warga Malaysia terutama warga tua, anak kecil dan mereka yang mempunyai penyakit atau masalah pernafasan seperti lelah (asma) agar mengelak daripada terlalu lama berada di luar rumah.
  
Peniaga alat pendingin hawa juga melaporkan peningkatan dalam jualan alat yang mempunyai pembersih udara kebelakangan ini.

"Pelanggan mahukan penghawa dingin yang mempunyai komponen pembersih udara atau 'ioniser' kerana ia membantu membersihkan udara yang tidak sihat," jelas seorang daripada pembekal itu.
  
Sementara itu, pengamal perubatan Dr Shuhaimi Jamil menjelaskan bahawa lebih ramai pesakit yang mahu rawatan bagi batuk, masalah pernafasan dan sakit mata dijangka mengunjungi kliniknya dalam minggu-minggu yang akan datang.
  
"Daripada pengalaman saya yang lepas bila jerebu melanda, lebih ramai pesakit yang mahukan ubat bagi melegakan batuk, sakit mata dan masalah pernafasan," jelas beliau.
     
APA ITU JEREBU?
 
Menurut pensyarah, yang juga warga penjagaan alam sekitar, Amin Iskandar, jerebu muncul disebabkan zarah halus di udara.
  
"Dalam konsentrasi tinggi, zarah-zarah ini akan bertaburan serta menyerap cahaya matahari menyebabkan jarak penglihatan menjadi kurang hingga berlakunya seolah-olah alam sekeliling menjadi redup.
  
"Jerebu bukannya hanya berlaku di kawasan bandar, malah boleh wujud di kawasan pedalaman," katanya.
  
Zarah-zarah itu datang dari pelbagai sumber termasuk yang wujud secara semulajadi dan yang 'antropogenik' (muncul kerana proses tindakbalas).
  
"Kebanyakan daripada zarah-zarah ini terbit hasil daripada kegiatan yang dilakukan manusia seperti pembakaran terbuka bagi tujuan penanaman, pembukaan tanah hutan, penggunaan kenderaan serta pembakaran bahanapi dalam industri," kata Amin.

PEMBENTUKAN JEREBU
 
"Pada satu-satu masa dalam setahun terutama semasa musim Monsun Baratdaya, pergerakan udara secara menegak akan berkurangan.
  
"Pengurangan berat udara ini tidak merangsang pembentukan awan secara aktif lalu menyebabkan cuaca menjadi kering.
  
"Terdapat juga beberapa faktor yang memanjangkan musim panas dan terdapatnya banyak pencemar udara merupakan suasana sesuai bagi pembentukan jerebu," jelas beliau.
  
Menurut beliau lagi, zarah-zarah yang muncul di atmosfera akan terperangkap dalam udara yang tidak bergerak menyebabkan kumpulan partikel ini menjadi mendap dan membentuk jerebu.

BAGAIMANA HILANGKAN JEREBU?
 
Zarah-zarah dalam udara boleh dihilangkan melalui beberapa proses.
  
Tarikan graviti akan membuat zarah-zarah yang lebih berat jatuh ke bumi manakala zarah yang lebih ringan boleh dihilangkan melalui 'rainout' atau kondensasi wap air lalu membentuk titisan air sehingga membentuk awan.
  
Zarah-zarah ini juga boleh dihilangkan melalui proses penyatuan dengan titisan hujan semasa berlakunya hujan dan dinamakan 'washout'.
  
Satu cara lagi adalah melaui mekanisme 'turbulence' di mana zarah jerebu ditiup kuat ke lapisan lebih tinggi dalam atmosfera.
  
"Kejadian hujan lebat serta ribut petir adalah lebih berkesan manakala hujan yang sekejap dan tidak lebat adalah kurang cekap dalam menghilangkan jerebu," terang beliau lagi.  - Bernama

Isnin, 24 Jun 2013

ISU PENDIDIKAN : Sekolah wajib ditutup jika IPU melebihi 300



KUALA LUMPUR: Sekolah yang terletak dalam kawasan yang mencatatkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 250 boleh ditutup dengan memaklumkannya terlebih dahulu kepada Kementerian Pendidikan.

Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Abd Ghafar Mahmud dalam satu kenyataan hari ini berkata keputusan itu dibuat demi menjamin dan menjaga kesihatan murid semasa fenomena jerebu.

Katanya satu Mesyuarat Khas Jawatankuasa Menangani Keadaan Jerebu yang diadakan di Majlis Keselamatan Negara di Putrajaya hari ini meminta kementerian mengambil tindakan berdasarkan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan.

Menurutnya berdasarkan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan, sekolah wajib ditutup sekiranya bacaan IPU melebihi 300.

Bagaimanapun, sekiranya keadaan jerebu di kawasan tersebut memberi kesan yang teruk kepada murid-murid atau bacaan IPU dalam lingkungan 250 hingga 300, Jabatan Pelajaran boleh merujuk Kementerian Pendidikan untuk pertimbangan arahan penutupan sekolah.

Berdasarkan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan juga semua sekolah yang telah ditutup dan terletak di kawasan bacaan IPU kurang daripada 250 perlu dibuka semula.

"Sehubungan dengan keputusan mesyuarat tersebut, serta demi menjamin dan menjaga kesihatan murid semasa fenomena ini, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah bersetuju agar sekolah-sekolah yang terlibat boleh ditutup sekiranya bacaan IPU mencecah bacaan melebihi 250 dan perlu memaklumkan terlebih dahulu kepada KPM," kata Abd Ghafar. - BERNAMA

ISU ALAM SEKITAR : JEREBU (Punca dan Langkah Mengatasi)


Jerebu ialah keadaan  partikel  terampai di atmosfera seperti gas-gas, debu, habuk, dan zarah di dalam keadaan udara kering. Pada amnya fenomena jerebu juga berpunca daripada pencemaran udara.

Punca-punca berlakunya jerebu

Di Malaysia tahap kualiti udara ditunjukkan oleh Indeks Pencemaran Udara (IPU). Tahap kualiti udara yang teruk ialah IPU 101-400. Masalah jerebu berpunca daripada kegiatan manusia iaitu:

Pertama melalui pambakaran hutan secara besar-besaran tanpa menimbangkan kesan terhadap alam sekitar seperti yang dilakukan di Kalimantan dan Sumatera, Indonesia akhir-akhir ini telah menyebabkan masalah jerebu di negara kita.

Kedua, pengeluaran asap yang tidak terkawal dari kawasan perindustrian seperti kawasan perindustrian yang menggunkan minyak dan arang batu sebagai bahan api. Selain itu bahan-bahan pencemar juga dilepaskan daripada proses-proses yang terdapat di dalam industri seperti industri petrokimia dan industri kuari. Contoh kawasan perindustrian ialah Seguntor di Sandakan dan Lembah Klang. Industri yang berasaskan kayu juga mengundang masalah  jerebu. Bahan-bahan buangan sisa industri ini seperti habuk-habuk kayu, kulit-kulit kayu dan serpihan-serpihan kayu biasanya dilupuskan secara dibakar. Pembakaran akan menyebabkan karbon monoksida, sulfur dioksida, nitrogen oksida, hidrokarbon di samping debu, dan habuk terampai dibebaskan ke udara yang kesemuanya boleh manambahburukkan lagi masalah pencemaran udara dan jerebu. Selain itu, asap hasil daripada pertambahan bilangan kenderaan di jalan raya juga menyebabkan pertambahan asap-asap di kawasan sekitarnya.

Ketiga, masalah jerebu juga berpunca daripada faktor semulajadi iaitu fenomena El-Nino. Akibat dilanda El-Nino, suhu perairan di Lautan Pasifik meningkat secara tinggi berikutan pergerakan angin timuran yang perlahan di tengah dan barat perairan tersebut. Pada masa yang sama, Asia Tenggara akan mengalami musim kemarau yang kering memudahkan kebakaran  hutan seperti  yang berlaku di Sumatera dan Kalimantan. Akibatnya, asap terlepas ke ruang udara dan terperangkap di ruang angkasa sehingga menghasilkan keadaan yang berjerebu.

Jerebu juga terjadi akibat letupan gunung berapi. Contohnya letupan gunung berapi Krakatoa dalam tahun 1883 dan Gunung Agung di Bali 1963, yang telah banyak mengeluarkan habuk dan gas-gas ke dalam udara

Kesan-kesan jerebu

Terdapat banyak kesan negatif akibat jerebu. Antaranya ialah, ia boleh menjejaskan kesihatan manusia serta binatang dan boleh membantutkan tumbesaran tumbuhan. Kesan kesihatan manusia yang paling ketara adalah  terhadap sistem pernafasan dan boleh menyebabkan penyakit asma, sakit kerongkong, neumonia dan penyakit-penyakit yang berkaitan dengan jantung. Bagi haiwan pula,, kesihatan terganggu sekiranya haiwan tersebut memakan tumbuh-tumbuhan yang diselaputi oleh zarah-zarah beracun. Ternakan seperti lembu, kerbau dan kambing  yang memakan tumbuhan ini akan menjadi mangsa keracunan makanan.

Selain itu, kesan jerebu juga boleh mengurangkan jarak penglihatan. Keadaan ini berlaku disebabkan oleh komponen-komponen yang ada di dalam jerebu berupaya menyerap dan menyerakkan cahaya matahari. Pengurangan jarak penglihatan membawa masalah besar kepada aktiviti ekonomi dan harian penduduk. Ia akan mengganggu aktiviti perkhidmatan udara dan laut serta ketidaklancaran perjalanan darat.

Risiko kemalangan boleh berlaku seperti kapal terbang dan papal laut atau kenderaan di jalan raya menjadi semakin besar. Di dalam kes jerebu 1997, negeri Sarawak merupakan negeri yang paling teruk dengan IPU mencecah angka 800. Sarawak diisytiharkan darurat Jerebu selama hampir seminggu. Akibatnya, sebahagian besar aktiviti ekonomi di bandar Kuching lumpuh dan semua sekolah terpaksa ditutup. (Kes terbaharu, IPU terburuk dicatatkan di Muar Johor iaitu mencecah angka 750)

Selain daripada itu, jerebu juga memberi kesan kepada sektor pertanian kerana menghalang kemasukan cahaya matahri yang cukup bagi membolehkan tumbuhan menjalankan proses fotosíntesis. Kesannya tumbesaran tumbuhan pendebungaan, dan penghasilan buah berkurangan.

Selimut jerebu ini biasanya hilang selepas hujan turun. Namun begitu, hujan yang turun selepas fenomena jerebu berlaku akan memberikan kesan sampingan yang berpunca daripada hujan asid. Hujan ini seterusnya akan merosakkan tanaman dan tumbuhan, meningkatkan nilai keasidan tanah dan air sekali gus mengganggu keseimbangan dalam ekosistem seperti ekosistem akuatik, ekosistem hutan dan ekosistem muara.

Langkah-langkah mengatasi masalah jerebu

Antara langkah yang boleh diambil ialah tindakan segera untuk menghentikan pembakaran hutan secara terbuka dan secara besar-besaran diperlukan. Tindakan secara kolektif dengan penggunaan alat pemadam api yang canggih dan saintifik boleh membantu mengurangkan masalah jerebu. Di samping itu juga undang-undang ketat perlu dikenakan terhadap pihak atau syarikat tertentu yang sengaja membakar hutan untuk tujuan pertanian.

Kedua, bahan pencemaran udara haruslah dikurangkan untuk mengelakkan masalah jerebu di negara kita. Kesesakan lalu lintas menambahkan karbón dioksida, karbón monoksida dan sebagainya yang menambahkan keadaan berjerebu. Oleh yang demikian, bilangan kenderaan yang menggunakan jalan raya, khususnya di kawasan-kawasan yang terlibat seperti Kuala Lumpur haruslah disekat atau dikurangkan.

Ketiga, jerebu boleh dihilangkan dengan usaha pembenihan awan bagi menurunkan hujan. Hujan adalah pembersih udara semula jadi yang terbaik. Pihak Jabatan Alam Sekitar telah bekerjasama dengan Puncak Niaga Sdn. Bhd telah melakukan beberapa siri pembenihan awan khususnya di sekitar Lembah Klang dan negeri Selangor.

Keempat, masalah jerebu juga boleh dikurangkan dengan menggunakan Indeks Pencemaran Udara (IPU) untuk mengenal pasti kawasan yang bermasalah dan mengambil tindakan susulan untuk mengatasi masalah jerebu. Pembacaan indeks haruslah dilakukan dari semasa ke semasa agar usaha mengehadkan kilang-kilang daripada pengeluaran asap atau gas yang berlebihan dapat dilakukan.

Masalah jerebu juga boleh diselesaikan melalui persepakatan bersama antara negara jiran dan pada peringkat global untuk menangani masalah alam sekitar . Kerjasama boleh dilakukan dari segi perlindungan alam sekitar secara kolektif dan kajian-kajian saintifik digiatkan untuk menangani masalah ini.

ISU PENDIDIKAN : Semua sekolah di Kuantan dibuka esok


KUANTAN - Semua sekolah di Kuantan yang ditutup hari ini akibat jerebu akan dibuka semula seperti biasa mulai esok, kata Pemangku Pengarah Pelajaran Pahang Rosdi Ismail.
  
Beliau berkata kesemua 120 sekolah menengah dan rendah di daerah itu bagaimanapun diarah supaya tidak melakukan aktiviti luar dan kokurikulum.
  
"Semua pelajar dan guru-guru terlibat akan ke sekolah seperti biasa mulai esok," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.
  
Katanya, Kementerian Pendidikan juga telah mengeluarkan garis panduan kepada semua sekolah sebelum ini dalam menghadapi masalah jerebu.
  
Semalam, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob mengarahkan semua sekolah di daerah ini dan kawasan yang terjejas teruk akibat jerebu ditutup hari ini.
  
Adnan berkata keputusan itu dibuat selepas mengambil kira faktor kesihatan para pelajar ekoran Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Kuantan yang mencecah paras tidak sihat.
  
Mengikut laman web Jabatan Alam Sekitar setakat 12 tengah hari ini, IPU dua kawasan di Kuantan iaitu Balok Baru dan Indera Mahkota masih mencatatkan bacaan IPU tidak sihat, masing-masing 198 dan 171.  - Bernama

Ahad, 23 Jun 2013

ISU PENDIDIKAN : Sekolah di Kuantan Ditutup Isnin Ekoran Jerebu


Kuantan - Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob mengarahkan semua sekolah di daerah ini dan kawasan yang terjejas teruk akibat jerebu ditutup bermula esok (Isnin).

Beliau berkata keputusan itu dibuat selepas mengambil kira faktor kesihatan para pelajar ekoran IPU di Kuantan yang mencecah paras tidak sihat hari ini.

"Kalau kita tengok keadaan (jerebu) hari ini, memang teruk...jarak penglihatan pun makin kurang, nak bernafas pun sudah tidak selesa. Bayangkan kalau anak-anak kita ke sekolah esok, ini boleh membahayakan kesihatan mereka," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri majlis perasmian Pusat Konvensyen Antarabangsa Sultan Ahmad Shah, The Zenith Hotel dan Menara Zenith Putra Square, di sini hari ini oleh Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah.

Menurut laman web JAS setakat 11 pagi ini IPU dua kawasan di Kuantan dilaporkan mencatat bacaan tidak sihat iaitu Balok Baru 149 dan Indera Mahkota.

Sementara itu, Pemangku Pengarah Pelajaran Pahang Rosdi Ismail berkata arahan penutupan itu membabitkan 120 sekolah menengah dan rendah di daerah ini.

"Sebelum ini pun kita sudah keluarkan arahan kepada semua sekolah supaya tidak melakukan sebarang aktiviti kokurikulum," katanya.

Beliau berkata Kementerian Pendidikan juga mengingatkan semua guru besar dan pengetua mengikuti garis panduan dikeluarkan sebelum ini, bagi menangani sebarang masalah jika jerebu melanda negara. - Bernama

DATUK ABDUL HAMID MD SHAH TOKOH GURU PAHANG 2013

Datuk Abdul Hamid Md Shah dianugerahkan Tokoh Hari Guru Negeri Pahang sempena Sambutan Hari Guru Peringkat Negeri Pahang di Dewan Konvensyen Sultan Ahmad Shah, Pekan, Sabtu. Anugerah tersebut telah disampaikan oleh Menteri Besar Pahang, YAB Datuk Seri Diraja Haji Adnan Yaakub.

Sabtu, 22 Jun 2013

ISU PENDIDIKAN : Banyak Manfaat Penggabungan Kementerian Pelajaran & Kementerian Pengajian Tinggi

Datuk Seri  Idris  Jusoh
KUALA TERENGGANU : Banyak manfaat diperoleh hasil daripada penggabungan Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) kepada Kementerian Pendidikan, kata Menteri Pendidikan Kedua Datuk Seri Idris Jusoh.

Beliau berkata antara manfaat itu adalah mampu mewujudkan sinergi kepada Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2013-2025) dan juga daripada segi kepakaran yang terdapat pada kedua-dua kementerian sebelum ini.

"Dengan penggabungan ini kos akan berkurangan dan program-program juga tidak ada duplikasi...ia akan memberi manfaat kepada rakyat dan kerajaan," katanya kepada pemberita selepas melancarkan program perdana "Let's Talk And Let's Go Global" anjuran Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dengan kerjasama Jabatan Pendidikan dan Jabatan Penyiaran di sini Sabtu.

Idris berkata program anjuran UMT itu merupakan satu contoh bahawa program kerjasama antara pihak institusi pengajian tinggi dan pihak sekolah sama ada peringkat menengah mahupun rendah dapat dilaksanakan dengan baik.

Mengenai usaha untuk memperkasa Bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar, beliau berkata pihak kementerian akan terus melatih guru Bahasa Inggeris agar lebih mahir dalam penguasaan bahasa global itu. Katanya bukan sahaja mereka perlu mahir dalam bahasa Inggeris malah juga perlu mempunyai pengetahuan luas tentang perkara semasa yang berlaku di peringkat antarabangsa.

"Bukan hanya Bahasa Inggeris sahaja, dalam bidang sains, matematik perlu ditingkatkan, perlu ditingkatkan kemahiran berkomunikasi, perlu ditingkatkan penggunaan teknologi dan banyak lagi perkara," katanya.

Seramai 260 pelajar Tingkatan 4 dari 13 sekolah sekitar Kuala Terengganu menyertai program "Let's Talk and Let's Go Global" dengan diberikan pendedahan berkomunikasi dalam bahasa Inggeris selama enam bulan menggunakan pelbagai medium seperti radio, filem, portal pendidikan, media sosial, foto, akhbar dan video. - BERNAMA

Jumaat, 21 Jun 2013

ISU ALAM SEKITAR : Indonesia Perlu Beri Kerjasama Tangani Jerebu

Pembakaran ladang di Sumatera yang mencetuskan jerebu

Jerebu di Singapura
Jerebu kembali lagi. Kali ini pencemaran udara akibat pembakaran ladang dan hutan di Sumatera, Indonesia yang dibawa angin monsun lebih buruk berbanding sebelum ini. Ratusan sekolah di Johor terpaksa ditutup serta-merta apabila jerebu mencapai tahap berbahaya. Di negeri lain di Semenanjung, bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) juga semakin meningkat dengan banyak kawasan dilitupi jerebu. Bilangan pesakit berkaitan pernafasan dilaporkan semakin meningkat. Singapura juga teruk terjejas dengan IPU mencecah tahap berbahaya, iaitu 400.

Malah, kerajaan republik itu sudah memberi amaran kepada rakyatnya bahawa keadaan itu dijangka berterusan untuk beberapa minggu. Perang mulut antara Singapura dan Jakarta juga sudah meletus apabila saling menghentam pendirian masing-masing berhubung masalah jerebu itu. Singapura mahukan Indonesia bertindak lebih tegas, termasuk mendedahkan syarikat yang bertanggungjawab melakukan pembakaran itu dan mengambil tindakan undang-undang. Jakarta pula menyifatkan Singapura bersikap seperti budak kecil kerana menggembar-gemburkan masalah jerebu itu.

Hakikatnya, jerebu sudah menjadi masalah tahunan di rantau ini sejak 1982. Pada 1998, keadaan jerebu begitu buruk sehingga menjejaskan Malaysia, Singapura, Brunei dan Thailand. Malaysia dan beberapa negara lain terpaksa menghantar anggota bomba untuk membantu Indonesia memadamkan kebakaran di wilayahnya. Apabila masalah sama berulang, Malaysia dan negara berkenaan memeterai Perjanjian Mengenai Pencemaran Jerebu Merentasi Sempadan bagi menanganinya. Malangnya, Indonesia sehingga kini belum menandatanganinya, sekali gus menyukarkan usaha serantau untuk menangani masalah pembakaran terbuka dan jerebu secara berkesan. Seperti kenyataan Pejabat Perdana Menteri semalam, negara ASEAN perlu saling membantu dalam semangat kerjasama untuk menangani masalah jerebu dan isu kualiti udara ketika ini.

Malaysia sendiri akan menghantar Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri G Palanivel untuk membincangkan penyelesaian. Hanya tindakan tegas Indonesia mengawal perbuatan pembakaran terbuka oleh syarikat perladangan di negara itu dapat mencegah jerebu daripada berulang. Identiti syarikat terbabit juga perlu didedahkan supaya negara lain, termasuk Malaysia boleh mengambil tindakan jika antaranya adalah milik rakyat masing-masing. Tanpa kerjasama Indonesia, sudah tentu negara ASEAN lain tidak dapat membantu. Gunalah semangat setia kawan ASEAN untuk menyelesaikan masalah serantau ini.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU PENGAJIAN TINGGI : Politeknik bertaraf dunia penuhi ETP


Oleh : Mohd Ayop Abd Razid
 
Pengukuhan kedudukan politeknik selaku pengimbang ekosistem dalam sistem pendidikan nasional membuktikan komitmen kerajaan untuk memartabat dan meningkatkan prestasi bidang latihan teknikal dan vokasional (TVET) masa kini. Ia adalah inisiatif transformasi bidang pendidikan negara supaya institusi politeknik menjadi institusi alternatif, khusus bagi lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Usaha ini selari dengan keperluan negara untuk melahirkan lebih ramai modal insan berkemahiran tinggi dalam bidang teknikal dan vokasional bagi mencapai hasrat negara maju berpendapatan tinggi menjelang 2020. Menjelang 2015, kerajaan berharap tenaga kerja berkemahiran tinggi meningkat kepada 37 peratus daripada 23 peratus ketika ini Justeru, satu langkah praktikal ialah mengarusperdanakan TEVT. Hasrat ini diterjemahkan melalui Pelan Transformasi Politeknik yang dilancarkan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 25 Februari 2010.

Bangun modal insan negara

Kerajaan mahu menjadikan politeknik sebagai institusi pendidikan teknikal bertaraf global, sekali gus dapat membangunkan modal insan negara bagi memenuhi agenda program transformasi ekonomi (ETP) dan Model Baru Ekonomi (MBE) yang memberi penekanan kepada aspek inovasi dan kreativiti. Konsep transformasi politeknik lebih menjurus kepada pewujudan institusi pilihan, penghasilan siswazah menepati kehendak pasaran dan pembinaan persepsi positif dalam kalangan masyarakat terhadap pendidikan politeknik.

Aspek dicakupinya pula membabitkan pemerkasaan dasar, penambahbaikan reka bentuk proses, penyampaian dan penilaian program, pembangunan kurikulum yang mantap, jaminan kualiti program, pembangunan tenaga pengajar kompeten, pelajar berkualiti, sumber dan kemudahan lengkap dan usaha inovasi berterusan.

Usaha mentransformasi politeknik dibuat secara terancang. Ia bermula dengan fasa satu menjurus kepada menjadikan institusi politeknik sebagai alternatif serta menambah program ditawarkan. Objektif strategik transformasi politeknik dalam fasa ini ialah melonjak politeknik sebagai institusi peneraju TEVT; mengukuhkan kerelevanan dan responsif program; menerajui bidang tujahan dan teknologi tertentu dan membina reputasi dan jenama baru.

Melalui fasa ini, penawaran program pengajian dikaji semula mengikut kekuatan politeknik masing-masing selaras MBE dan ETP negara. Walaupun transformasi politeknik bertujuan melonjakkan politeknik sebagai institusi peneraju bidang TEVT pada peringkat diploma, program ijazah sarjana muda bakal ditawarkan pada tahun ini di beberapa politeknik.

Program peringkat ijazah sebahagian daripada strategi memperkasa lulusan diploma politeknik dan ia akan dilaksanakan dengan kerjasama universiti tempatan. Mungkin satu hari nanti politeknik boleh dinaikkan taraf sebagai universiti politeknik.

Transformasi politeknik fasa kedua (2013-2015) pula menekankan tiga fokus iaitu memperkenalkan 49 program pengajian baru, mengukuhkan kedudukan dan prestasi politeknik dalam jaringan TVET peringkat serantau dan antarabangsa serta transformasi kepemimpinan. Ini penting sebagai penggerak kepada peningkatan prestasi dan kecemerlangan politeknik bukan saja dalam negara tetapi juga pada peringkat serantau dan antarabangsa. Selain itu, penyediaan tenaga kerja kompeten, berdedikasi serta komited dengan tugas menjadi elemen penting ke arah hasrat murni itu. Fasa selanjutnya membabitkan pemerkasaan (2016-2020) dan fasa kece-merlangan (melangkaui 2020).

Antara langkah penting mengangkat martabat politeknik bertaraf dunia ialah usaha dilakukan Jabatan Pendidikan Politeknik (JPP) untuk mendapatkan akreditasi program dengan Dublin Accord serta Suruhanjaya Akreditasi dan Pengesahan Asia Pasifik. Usaha itu akan meningkatkan kebolehpasaran graduan politeknik hingga ke peringkat global.

Graduan berkemahiran tinggi

Selain itu, pembangunan Piawaian Kurikulum Politeknik (CSP) oleh JPP mampu melahirkan graduan berkemahiran tinggi serta boleh menjadi rujukan serantau. Langkah memeterai memorandum persefahaman antara politeknik dengan beberapa Universiti dan kolej seperti dengan UCSI University, Kolej Sunway Kuching dan EC Council Academy dapat menjayakan perkongsian kepakaran dan kerjasama dalam penyelidikan.

Kesimpulannya, transformasi politeknik menjadikan ia menyumbang aktif kepada pembangunan negara. Transformasi politeknik akan menjadikan institusi pendidikan bersifat responsif terhadap keperluan industri dan selari kehendak pembangunan ekonomi negara. Ia juga diharap menjadi peneraju bidang pendidikan dan latihan teknik dan vokasional pada peringkat diploma dengan menghasilkan siswazah berkualiti berdaya usahawan, berkebolehpasaran tinggi dan berdaya saing.

Sumber : http : //www.bharian.com/