Rabu, 3 Ogos 2011

ISU BAHASA : Istilah mesra penutur

Oleh Nazmi Yaakub
nazmi@bharian.com.my


Pendekatan fonestema dalam bahasa Melayu-Indonesia perlu diutamakan

PENCIPTAAN istilah baharu dalam bahasa Melayu khususnya perkataan berbentuk teknikal hanya sesekali menjadi hangat atau dipolemikkan apabila ia dilontarkan oleh orang politik dan ‘bola tanggung’ itu disambut oleh media, tetapi berlegar kepada gejala penggunaan istilah asing dalam kalangan orang awam atau media, tanpa memberi jalan keluar kepada isu itu.

Isu yang sama sekali lagi timbul, tetapi kali ini bukan saja tanpa ‘riuh-rendah’, sebaliknya diberikan dalam bentuk saranan praktikal terhadap penciptaan istilah baharu dengan menggunakan sifat fonestema dalam bahasa.

Fonestema merujuk kepada hubungan dalam ilmu bahasa antara fonetik, iaitu penyebutan kata dan lambang yang menunjukkan sebutannya dengan unsur semantik atau kajian tentang makna perkataan dan penambahan makna sesuatu kata.

Ia berbentuk awalan atau akhiran yang bukan imbuhan pada sesuatu perkataan dasar yang mempunyai persamaan antara kumpulan perkataannya.

Fonestema awalan ialah ‘bu’ yang merujuk kepada bentuk hampir sama pada perkataan bulat, bukit, buncit, bunting dan bundar atau ‘ha’ yang ada kaitan dengan konsep bau seperti hamis, hapak, hanyir dan hangit.

Selain itu, fonem atau unit bunyi terkecil yang boleh membezakan makna kata dalam konteks akhiran pula terbahagi kepada dua, iaitu KVK dan VK dengan ‘v’ merujuk kepada vokal, manakala ‘k’ pula ialah konsonan.

Fonestema KVK contohnya ‘kas’ untuk ringkas, lekas, terengkas, tangkas, bingkas dan bongkas, manakala fonestema VK seperti ‘as’ untuk dugas, gabas, lekas dan pantas yang bermaksud gerakan yang cepat.

Saranan penciptaan istilah baharu berdasarkan fenostema itu dilontarkan Pensyarah Universiti La Rochelle, Perancis, Prof Madya Dr Laurent Metzger pada Syarahan Raja Ali Haji 2011 di DBP, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

“Saya menyarankan unsur fonestema ini lebih diambil kira dalam penciptaan perkataan dan istilah dalam bahasa Melayu dan bahasa Indonesia kerana ia bukan saja wujud dalam bidang kesusasteraan seperti sajak dan pantun, bahkan dalam bidang teknikal,” katanya ketika memperkatakan Peranan Fonestema dalam Bahasa Melayu.

Dr Metzger mencadangkan pencipta istilah untuk mencari fonestema yang sesuai bagi perkataan atau istilah dalam senarai fonestema yang sedia ada dalam bahasa Melayu dan Indonesia sebelum mengambilnya daripada bahasa Inggeris-Amerika.

“Sudah tentu lebih mudah mengambil saja perkataan Inggeris-Amerika daripada mencari fonestema yang sesuai untuk istilah sesuatu benda, proses atau kaedah baru yang memerlukan padanan dalam bahasa Melayu-Indonesia pada masa itu.

“Bagaimanapun, sebagai tanda penghormatan kepada nenek-moyang dalam bahasa Melayu-Indonesia, apakah kita boleh mencuba menggunakan semua unsur sedia ada dalam bahasa Melayu-Indonesia termasuk unsur fonestema dengan lebih tekun dan cekap,” katanya yang memperoleh ijazah Doktor Falsafah dalam bidang kesusasteraan Melayu dari Universiti Paris VII pada 1971.

Justeru, beliau turut menyarankan DBP untuk membuat senarai yang lebih lengkap daripada fonestema dalam bahasa Melayu-Indonesia supaya memberikan gambaran yang lebih menyeluruh terhadap kekayaan perbendaharaan bahasa dalam konteks fonestema.

“Apakah kamus fonestema dapat disusun untuk merakam dan menjelaskan jumlah lengkap fonestema itu supaya sifatnya dapat diketahui umum dan digunakan oleh semua pencinta bahasa ini.

“Jikalau bahasa Melayu begitu kaya dan indah, apakah kita harus melupakan sifat itu sedangkan bagi saya, bahasa Melayu-Indonesia boleh berkembang lagi,” katanya pernah berpengalaman sebagai Pensyarah Kanan di Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Nasional Singapura bermula 1989 hingga 1999.

Ini kerana, Dr Metzger mengakui, masalah sepunya kepada hampir semua bahasa termasuk bahasa Melayu dan Perancis ialah pengaruh bahasa Inggeris-Amerika.

“Bagaimanapun dengan menggunakan semua unsur, sumber dan kekayaan yang sudah ada dalam bahasa sendiri, maka bahasa Melayu-Indonesia boleh berkembang lagi sebagai salah satu bahasa penting di dunia,” katanya pada majlis yang dipengerusikan Presiden Persatuan Linguistik Malaysia (PLM), Prof Dr Nor Hashimah Jalaluddin.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/