KUALA LUMPUR - Kecacatan
yang ada pada diri pelajar Orang Kurang Upaya (OKU) tidak sesekali menjadi
penghalang buat insan istimewa ini untuk mencipta kejayaan sekali gus
memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah
(PMR) 2012 yang diumumkan hari ini.
Malah, atas kegigihan, ketabahan
dan semangat jitu dalam mengharungi kepayahan memperoleh ilmu akhirnya pelajar
OKU ini membuktikan kemampuan diri untuk 'berdiri sama tinggi dan duduk sama
rendah' dengan pelajar lain.
Teh Yong Shing, 17, seorang
pelajar yang cacat penglihatan dari Sekolah Menengah Pendidikan Khas Setapak
merupakan calon tunggal dari 23 calon di sekolah itu yang memperoleh keputusan
cemerlang dengan mendapat gred A dalam semua mata pelajaran.
Teh anak seorang pemandu lori,
ketika dihubungi Bernama jelas terkejut dengan keputusan yang diperolehnya itu
dan bersyukur serta berterima kasih kepada keluarga, guru dan rakan sekolah
yang banyak membantu.
"Pagi tadi, cikgu ada
telefon dan saya agak terkejut. Tapi saya tidak boleh ke Kuala Lumpur untuk
mengambil keputusan itu kerana ayah saya bekerja bawa lori dan tiada siapa
boleh hantar saya," katanya yang tinggal di Seremban dan bercita-cita
menjadi pensyarah.
Jelas anak bongsu daripada enam
beradik itu, beliau tetap menguatkan semangat untuk membuktikan yang kejayaan
boleh hadir dengan usaha yang bersungguh-sungguh tanpa menghiraukan kekurangan
dirinya.
Di GEORGE TOWN, Chew Sui Teng,
15, yang juga pelajar cacat penglihatan dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK)
Perempuan St. George berjaya memperoleh 6A 1B dalam peperiksaan PMR kali ini.
"Saya berasa sangat gembira
dan keputusan yang diterima hari ini melebihi sasaran saya. Saya tidak
menjangkakan keputusan sebegini dan saya bersyukur," katanya ketika
ditemui semasa mengambil keputusan peperiksaan di sekolahnya.
Katanya sebagai seorang pelajar
OKU, beliau perlu berusaha dua kali ganda berbanding pelajar normal dengan
melakukan banyak latih tubi dan ulang kaji.
Dua lagi calon Berkeperluan Khas (CBK)
di Pulau Pinang iaitu Neoh Xin Ee dari Sekolah St George dan Khor Wei Quan yang
rabun, masing-masing berjaya memperoleh keputusan 7A dan 7A 1B.
Di KUALA TERENGGANU, Alia Syuhada
Aziz, seorang pelajar yang cacat pendengaran sejak lahir dari Sekolah Menengah
Kebangsaan Tengku Mizan berjaya mencapai keputusan 8A dan merupakan antara 14
daripada 189 pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang di sekolahnya.
"Semasa di dalam kelas ada
perkara-perkara yang saya kurang jelas disebabkan saya mengalami masalah
pendengaran (pekak), jadi saya banyak bertanya guru dan
bergantung kepada buku,"
kata anak seorang pekerja kilang batu-bata itu.
"Saya juga banyak solat
tengah malam terutama menjelang peperiksaaan ini, kerana saya sedar
kecemerlangan dalam pelajaran sahajalah yang boleh mengubah hidup saya dan
keluarga," katanya yang mula memakai alat pendengaran sejak di Tahun Enam.
Di BESUT, seorang pelajar cacat
fizikal Nurfarah Hanim Mohamad dari SMK Tengku Mahmud berjaya memperolehi
keputusan 7A 1B.
Nurfarah yang cacat kedua belah
kaki kerana mengalami penyakit 'Osteogenesis Imperfect' atau kereputan tulang
memperoleh 7A dalam Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains, Sejarah ,
Geografi dan Pendidikan Islam dan B dalam mata pelajaran Kemahiran Hidup
(Perdagangan dan Keusahawanan).
Bapanya, Azman Mohamad, 43, yang
bekerja di Unit Farmasi Hospital Daerah Besut memberitahu sejak memasuki Tahun
1 di Sekolah Kebangsaan Tengku Mahmud 11, anaknya itu terpaksa didukung untuk
bergerak termasuk untuk ke sekolah.
"Walaupun cacat fizikal,
anak saya memang gigih terutamanya ketika belajar dan sanggup hadir kelas
tambahan pada petang atau malam," katanya.
Sementara itu di IPOH, seorang
pelajar, Oui Yuen Shie, 15, yang terpaksa menggunakan kanta khas ketika membaca
berjaya memperoleh gred A bagi semua mata pelajaran.
Pelajar Sekolah Menengah Raja
Perempuan Ipoh itu perlu mengunakan kanta khas yang terpaksa dipegang untuk
membaca berikutan masalah sistem saraf yang dihadapinya.
"Saya banyak merujuk kepada
guru-guru di sekolah, saya mula mengulang kaji pelajaran pada pukul 6 petang
dan mendapat sokongan daripada keluarga dan rakan-rakan sekelas yang lain untuk
lulus dengan cemerlang," katanya yang mula menggunakan kanta khas sejak
berusia sembilan tahun.
Di KUALA NERANG, sepasang pelajar
kembar Ainul Yaqin Lokman dan Ainul Asyraf berusia 15 tahun yang menghidap
talasemia tidak menjadikan penyakit itu sebagai penghalang untuk mereka
memperoleh keputusan cemerlang 9A.
Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan
Datuk Syed Ahmad itu berkata penyakit talasemia itu sering membuatkan dia dan
kembarnya letih dan mengantuk ketika di kelas.
"Kami sama-sama tinggal di
asrama dan akan belajar bersama. Kami akan berlumba-lumba dalam pelajaran untuk
membuktikan kami adalah terbaik. Walaupun semasa percubaan PMR dulu, Ainul
Asyraf memperoleh 5A manakala saya mendapat 6A, tetapi hari ini, kami dah
buktikan bahawa kami sama-sama hebat," katanya ketika ditemui pemberita.
Seorang lagi pelajar sekolah itu,
Mohd Ariff Abdul Halim, 15, berjaya memperoleh 8A meskipun menghadapi masalah
tempurung lutut yang retak setelah terjatuh dari pokok kelapa. - Bernama