Isnin, 9 Mei 2011

ISU ALAM SEKITAR : Ribut Aere punca panas luar biasa

PAPAN tanda yang memaparkan ramalan cuaca sepanjang minggu ini di Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR: Kepanasan luar biasa yang berlaku di kebanyakan bandar utama negara, khususnya di Pantai Barat Semenanjung ketika ini sehingga mencecah suhu di antara 35 hingga 36 darjah Celsius dijangka berakhir dalam tempoh terdekat.

Jurucakap Jabatan Meteorologi berkata, fenomena itu disebabkan Ribut Tropika Aere dikesan berlaku di utara Filipina yang meniup angin dari arah barat daya ke negara ini.

"Ia disebabkan kelembapan udara di rantau kita berkurangan dan keadaan ini membawa kepada kurangnya jumlah taburan hujan serta cuaca kering,” katanya di sini, semalam.

Malaysia pernah mencatat suhu 38.3 darjah Celsius di Alor Star, Kedah pada Februari 2005 dan tertinggi sehingga 40.1 darjah Celsius di Chuping, Perlis pada 9 April 1998. Monsun barat daya yang membawa cuaca kering lazimnya berterusan sehingga September.

Dalam pada itu, Pengarah Pusat Ramalan Cuaca Jabatan Meteorologi, Saw Bun Liong, dipetik BERNAMA berkata keadaan panas yang berterusan akan menyebabkan rumput dan tanah menjadi kering.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya mengelakkan pembakaran secara terbuka dan mengurangkan aktiviti luar yang mendedahkan diri mereka secara terus kepada matahari.

Sementara itu, pengamal perubatan, Dr K Venkateswara Rao, berkata berikutan keadaan suhu mencecah sehingga 36 darjah Celcius, orang ramai bukan saja harus mengurangkan aktiviti luar malah perlu mengamalkan corak pemakanan seimbang. “Individu perlu minum air secukupnya dan elak makan makanan pedas serta banyakkan pengambilan sayur,” katanya.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU BAHASA : Mengembalikan Bahasa Melayu

Usaha mengembalikan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi di negara kita seharusnya mendapat sokongan semua pihak. Bahasa Melayu tidak seharusnya dipolitikkan demi perpaduan dan menjadikan bahasa ilmu bagi semua pelajar di negara ini.

Bahasa Melayu telah berperanan menyatukan pelbagai kaum melalui bahasa pengantar, bahasa perantaraan dan bahasa komunikasi yang berkesan. Apa yang telah termaktub dalam Perlembagaan tidak harus diganggu gugat bagi keharmonian bangsa dan rakyat di negara ini.

Melalui pandangan pelbagai pihak untuk memartabatkan bahasa kebangsaan, mulai tahun ini kerajaan telah memutuskan untuk menggantikan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) pada tahun 2003 dengan Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuhkan Penguasaan bahasa Inggeris (MBMMBI).

Justeru, MBMMBI dikatakan berfungsi sebagai serampang dua mata kerana selain memartabatkan bahasa kebangsaan, kerajaan akan terus menekankan aspek penguasaan dan pengukuhan bahasa Inggeris yang menjadi bahasa antarabangsa.

Usaha dan langkah ini dikatakan memang dinanti-nantikan oleh banyak pihak demi masa depan anak bangsa yang akan menimba ilmu dalam bahasa sendiri. Melaluinya bahasa Melayu juga akan menuju ke arah bahasa ilmu dalam era globalisasi.

Selain itu, usaha ini dapat memperkukuhkan Bahasa Inggeris (BI) yang akan dilaksanakan dengan penuh kesedaran bahawa BI akan menjadi bahasa komunikasi yang perlu dikuasai generasi muda untuk persediaan kepada mereka bersaing di peringkat nasional dan global.

Di samping itu, usaha meletakkan BM di tempat yang betul dilaksanakan menerusi beberapa langkah di sekolah dan paling utama ialah melalui penggunaan bahasa itu dalam pengajaran dan pembelajaran (P&P) Sains dan Matematik.

Langkah seterusnya penambahan masa P&P Bahasa Malaysia pada Tahap Satu di SJK adalah sebanyak 30 minit (dari 270 minit ke 300 minit), manakala bagi Tahap Dua jumlah peruntukan masa bagi P&P Bahasa Malaysia ialah 270 minit.

Melalui pengukuhan ini juga, penambahbaikan dalam kurikulum sekolah (Kurikulum Standard Sekolah Rendah) meliputi kaedah pengukuhan dan penguasaan asas kemahiran berbahasa melalui pendekatan modular yang bersepadu seimbang dan holistik menerusi modul P&P.

Guru-guru BM yang mencukupi dan berkualiti dengan penggunaan meluas teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dalam P&P dalam mata pelajaran BM.

Bagi penguasaan BI tambahan masa bagi P&P Bahasa Inggeris juga dilakukan dan kualiti guru yang mengajar BI dengan mengambil 360 guru luar negara untuk melatih guru BI tempatan, di samping mengambil 600 guru BI yang bersara untuk mengajar semula di sekolah. Justeru, melalui perkembangan dan pelaksanaan dasar MBMMBI ini akan dapat meningkatkan P&P BM dan BI di sekolah rendah dan menengah di negara ini. Tumpuan yang diberikan melalui kaedah dan teknik P&P yang terkini dapat meningkatkan penguasaan kedua-dua bahasa ini.

Penulis pengamal media. PhD Persuratan Melayu, UKM

Sumber : http : //www.sinar.com.my/

ISU BAHASA : Kerajaan Sedia Hantar Dan Latih Guru Mengajar B. Melayu Di Luar Negara

COPENHAGEN: Kerajaan bersedia menimbangkan untuk menghantar dan melatih guru untuk mengajar Bahasa Melayu khusus untuk kanak-kanak warganegara Malaysia di luar negara, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menjawab soalan pada majlis makan malam dengan warga Malaysia di sini pada Ahad iaitu sama ada kerajaan akan membantu menganjurkan kelas Bahasa Melayu bagi kanak-kanak Malaysia di luar negara, Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran berkata perkara itu boleh diaturkan berikutan terdapat permintaan baginya.

"Sama ada kami boleh hantar guru ke sini atau anda hantar seseorang dari sini (ke Malaysia) supaya kami boleh latih untuk ajar (Bahasa Melayu), ini boleh diaturkan," katanya.

Muhyiddin berkata oleh kerana bahasa Melayu bukan bahasa yang sukar untuk dipelajari, mungkin rakyat Malaysia sendiri yang berada di luar negara boleh mengadakan kelas atau tuisyen untuk mengajar bahasa itu.

Buku dan sukatan pelajaran Bahasa Melayu boleh dihantar untuk membantu pengajaran, katanya.

Beliau berkata kajian akan dijalankan untuk mengenal pasti jumlah kanak-kanak rakyat Malaysia yang perlu belajar Bahasa Melayu dan kos terlibat.

Terdahulu ketika berucap pada majlis yang dihadiri kira-kira 100 rakyat Malaysia di Denmark, Muhyiddin meminta rakyat Malaysia memperkukuhkan penguasaan Bahasa Melayu yang merupakan bahasa kebangsaan walau di mana juga mereka berada.

Beliau memberikan contoh rakyat Denmark yang walaupun kebanyakan mereka boleh bertutur dalam Bahasa Inggeris tetapi begitu mengutamakan bahasa Denmark.

Muhyiddin turut menyampaikan perkembangan pelaksanaan dasar-dasar kerajaan di Malaysia seperti pelan tranformasi kerajaan, pelan tranformasi ekonomi dan inisiatif menarik rakyat Malaysia kembali berkhidmat di tanah air.

Timbalan Perdana Menteri juga memaklumkan kepada warga Malaysia di sini bahawa prestasi para menteri Kabinet adalah amat baik berdasarkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) mereka.

Beliau berkata KPI para menteri dinilai dan disahkan oleh pakar antarabangsa.

"Ia bukannya "laporan politik" oleh kerajaan; ia diperakui dan disahkan oleh pakar antarabangsa. Setakat ini kami (menteri Kabinet) telah menjalankan tugas kami dengan amat baik (berdasarkan KPI)," katanya.

Kepada soalan lain, Muhyiddin berkata garis panduan baru mengenai penjualan makanan sihat di sekolah sedang dimuktamadkan.

Namun beliau menegaskan bahawa masalah kegemukan di kalangan murid tidak terbatas di kantin sekolah sahaja kerana ia juga melibatkan pemakanan di luar masa sekolah.-BERNAMA