Ahad, 26 Ogos 2012

ISU PENDIDIKAN : Cip cegah ponteng

Shahril menunjukan alat pengesan SchoolTrac bagi atasi kes ponteng. 

Oleh :  Mohd Zaky Zainuddin

SchoolTrac kesan pergerakan pelajar

Sekolah dan ibu bapa kini tidak perlu bimbang pelajar ponteng sekolah jika menggunakan produk Schooltrac yang akan mengirim maklumat pergerakan murid dan anak mereka menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) atau e-mel. Menerusi sistem itu, murid akan dibekalkan dengan kad pelajar SchoolTrac menggunakan frekuensi radio yang mampu mengesan pergerakan keluar masuk murid melalui pagar sekolah ketika waktu persekolahan.

Sistem dalam talian

Kad Schooltrac mengandungi cip dan disambungkan serta dipantau terus ke pusat data sekolah untuk memaklumkan guru dan penjaga mengenai status kehadiran pelajar menerusi emel atau SMS.

Produk itu diperkenalkan di negara ini oleh sebuah syarikat teknologi maklumat (IT) tempatan, ABRA Corp Sdn Bhd yang menggunakan sistem dalam talian. Ia dapat memantau status kehadiran pelajar,selain merekodkan kehadiran pelajar di sekolah.

Pengarah Projek ABRA Corp, Mohd Shahril Mahmud, berkata ibu bapa akan menerima SMS atau e-mel daripada pusat data setiap kali pelajar memasuki atau keluar dari sekolah pada masa sebenar dalam tempoh satu atau dua saat.

Katanya, ibu bapa hanya perlu membayar yuran bulanan RM10 bagi mendapatkan perkhidmatan itu di sekolah yang melanggan aplikasi berkenaan.

Setakat ini, 20 sekolah sekitar Lembah Klang bekerjasama dengan ABRA Corp untuk menggunakan peranti SchoolTrac.

“SchoolTrac juga alat yang boleh mengurangkan penggunaan kertas kerana semua maklumat kehadiran dicatatkan secara automatik dalam komputer menerusi pancaran sistem produk berkenaan.

“Ia menggunakan teknologi Korea tetapi penyelidikan dan pembangunan (R&D) dilaksanakan di Malaysia oleh ABRA Corp sendiri,” katanya.

Mohd Shahril berkata, pada masa ini pihaknya sedang berunding dengan Kementerian Pelajaran untuk menggunakan SchoolTrac di semua sekolah di seluruh negara.

“Kami mengharapkan SchoolTrac akan terus berkembang menerusi kerjasama dengan kementerian,” katanya.

ABRA Corp menetapkan sasaran langganan di sebanyak 200 sekolah di Lembah Klang dalam tempoh setahun.

INFO Schooltrac :

Peranti pengesan pelajar
Berbentuk kad pelajar
Atasi masalah ponteng sekolah
Yuran bulanan RM10 untuk ibu bapa
Pemasangan percuma untuk sekolah.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Apabila diri diuji


Apabila diuji
baru diri mengerti
banyak lagi yang keji
bersarang di hati

Apabila diuji
baru diri mengerti
tiadanya kehebatan hakiki
Kesemuanya pinjaman Ilahi

Apabila diuji
baru diri mengerti
ilmu yang dimiliki
tiadalah melangit tinggi

Apabila diuji
barulah diri mengerti
tiada kekuatan sakti
untuk menjadi penguasa bumi

Apabila diuji
barulah diri mengerti
harta benda tidak bererti
jika hidup tidak berkongsi

Apabila diuji
barulah diri mengerti
tiada untungnya umpat keji
kerana hilang teman sejati

Apabila diuji
barulah diri mengerti
usia di dunia yang dimiliki
akan berakhir tidak abadi

KEMBARA BAHASA
26 Ogos 2012/9 Syawal 1433

ISU KENEGARAAN : Sambutan ulang tahun Merdeka dalam kenangan



Oleh : Hazlinda Hamzah

KUALA LUMPUR - Semasa  berusia 13 tahun, saya begitu teruja apabila diberi peluang untuk mewakili sekolah  dalam perbarisan sambutan ulang tahun Hari Merdeka pada tahun berkenaan.
      
Itu lebih kurang 35 tahun yang lepas dan pelajar-pelajar perempuan Convent Bukit Nanas yang mengambil bahagian bangun awal untuk mengambil tempat masing-masing di jalan-jalan menuju ke Dataran Merdeka.
      
Pelajar perempuan ini memakai kemeja-T dan seluar sukan, lengkap dengan stokin dan kasut putih, dan juga tidak dilupakan kep yang diberikan kepada mereka lebih awal bagi acara penting ini.
      
Mereka dingatkan berkali-kali untuk mengikat rambut dengan kemas supaya kelihatan segak dalam pakaian perarakan masing-masing, sejak memulakan latihan di padang sekolah bagi tempoh hampir dua bulan.
      
Pelajar-pelajar itu dengan penuh bangga menjalani latihan harian, sehinggakan di bawah panas terik matahari dan tidak akan melupakan sumbangan mereka dalam meraikan ulang tahun kemerdekaan Malaysia.
      
Pada 31 Ogos ini, Malaysia akan meraikan ulang tahun ke 55 kemerdekaan.

INGATAN TIDAK PUDAR
     
Seperti penulis, terdapat ramai yang mahu berkongsi kenangan indah sambutan Merdeka mereka.
      
Maznah Abu Bakar dari Temerloh mula meraikan sambutan Hari Kebangsaan sejak menjejakkan kaki di sekolah berasrama penuh semasa zaman sekolah menengahnya.
      
Masih segar dalam mindanya detik-detik membanggakan itu. “Saya membantu memasang bendera Malaysia di sekitar kawasan sekolah. Pada masa itu kami hanya mempunyai beberapa sahaja bendera untuk dipasang berbanding pada hari ini.
      
“Semasa saya berada di sekolah rendah di kampung saya, saya langsung tidak tahu akan sambutan itu,” kata Maznah.
       
Di sebaliknya, di zaman muda beliau neneknya Tok mengingatkannya akan kepayahan hidup yang diharungi penduduk kampung sebelum Malaysia merdeka.
      
“Saya seronok dengar kisah Tok khasnya bagaimana mereka hidup dengan makan ubi kayu, makanan ruji kebanyakan masa ketika itu.
       
Nenek menjelaskan untuk menyajikan hidangan berlainan ubi kayu disediakan dalam cara lain selain daripada direbus.
      
"Beliau memberitahu kami bagaimana beliau akan panggang atau goreng ubi kayu untuk menyampaikan kelainan dalam hidangan,” tambah Maznah.
      
Dilahirkan beberapa dekad selepas negara mencapai kemerdekaan, Maznah menjalani kehidupan yang agak mudah dan selamat berbanding generasi pra-Merdeka yang terpaksa mengharungi hidup yang sukar.
      
Bagaimanapun, kerani agensi berita ini menunjukkan bahawa inilah sebab mengapa warga emas lebih patriotik dan sangat menghargai kemerdekaan Malaysia.
      
“Mereka pastinya mahu melihat kemerdekaan yang dinikmati Malaysia berterusan bagi generasi-generasi akan datang,” kata Maznah.

MENYAMBUT SECARA BERKUMPULAN

“Saya tidak akan lupakan bagaimana kami meraikan ulang tahun kemerdekaan pada 1980-an sehingga awal pagi, dekat Dataran Merdeka di Kuala Lumpur.
       
“Saya dan rakan-rakan akan menunggu jam di Bangunan Sultan Abdul Samad untuk menunjukkan pukul 12 tengah malam.
      
"Kami akan menyanyikan lagu-lagu patriotik sepanjang malam, termasuk dalam  perjalanan pulang, sama ada dengan berjalan kaki atau menggunakan pengangkutan awam. Tiada LRT pada masa itu,” kata Rohana Mustaffa, seorang pemberita muda ketika itu.
      
“Jalan-jalan ketika itu selamat dan rakan-rakan akan bermalam di rumah sewa saya tidak jauh daripada pusat bandar,” tambah beliau dengan sahabat dan rakan  setugasnya Nurul Afida Kamaludin mengangguk bersetuju.
      
Nurul yang juga seorang pemberita muda ketika itu berkata sambutan Merdeka pada 1980-an adalah yang terbaik dan sangat dihargai apabila dikenang semula.
      
Bagaimanapun, memandangkan sekarang ini keluarga dan kerjaya  masing-masing menjadi keutamaan mereka tidak meraikan ulang tahun kemerdekaan seperti yang mereka lakukan di zaman muda mereka.
       
Bukan seperti Rohana dan Nurul, ada antara anak gadis yang mengadakan janji temu (date) semasa sambutan ulang tahun Merdeka.
      
“Haa haa, adalah mudah untuk ingat janji temu pertama saya memandangkan ia bersempena dengan ulang tahun kemerdekaan,” kata Syahila Ahmad dengan ketawa berdekit-dekit semasa menceritakan ‘date’ yang sukar dilupakan itu.
     
SAMBUTAN KELUARGA
     
Bagi Syeliza Basri pula, yang berasal dari Sarawak, sambutan Merdeka lazimnya sambutan keluarga.
      
“Kami akan duduk di hadapan kaca televisyen sejak awal pagi untuk menyaksikan siaran langsung perarakan Merdeka dengan ibu bapa mengisahkan pengalaman zaman muda mereka kepada kami.
      
“Kami juga mendengar kisah-kisah generasi sebelum mereka, satu sesi pembelajaran sejarah yang menarik. Sekarang ini, saya melakukannya dengan dua orang anak saya. Kami menikmati setiap detik dan menghargai tanah tumpah darah kami dan kemerdekaan yang dikecapi,” kata Syeliza yang juga dikenali dengan panggilan mesra Syellz, kepada Bernama baru-baru ini.
      
Ayah Syellz masih mengibarkan bendera Malaysia dengan bangganya di luar rumah setiap kali datangnya bulan Merdeka.
      
Dan ayah Syellz percaya yang kefahaman kanak-kanak terhadap kemerdekaan dapat dipertingkatkan lagi dengan mengambil bahagian dalam sambutan kemerdekaan khasnya semasa zaman sekolah mereka.
      
“Saya membawa bendera semasa sambutan Hari Kebangsaan 1991 yang diadakan di Padang Merdeka di Kuching. Ia membolehkan saya memahami dengan lebih baik akan kemerdekaan negara sendiri. Sejak itu saya lebih patriotik,” kata Syellz dan menambahkata rakyat Malaysia harus memperbaharui tradisi menyertai sambutan Merdeka sebagai peserta dan penonton.  “Semangat kemerdekaan mesti diteruskan,” tambahnya.

LAGU PATRIOTIK
     
Mengibarkan bendera di kawasan sekolah dan bangunan merupakan sebahagian daripada tradisi sambutan sejak beberapa dekad yang lepas.
      
Bagaimanapun, kebanyakan orang melihat sambutan ini lebih daripada mengibarkan bendera.
      
“Saya meraikan dengan menyanyikan lagu-lagu patriotik semasa bulan Merdeka” kata Zha He Lang, seorang remaja berusia 18 tahun, yang melalui pendidikan sekolah rendah di sebuah sekolah Cina di Lembah Klang.
      
Menurut Zha, lagu-lagu seperti ‘31 Ogos,’ ‘Jalur Gemilang’ dan ‘Bahasa Jiwa Bangsa,’ berada dalam senarai lagu mesti semasa sambutan bulan kemerdekaan.
      
Ini merupakan senario sama bagi pesara Siti Hawa Ismail, yang melalui pendidikan sekolah rendah di Perlis pada 1960-an.
      
“Kami menyanyikan lagu-lagu patriotik dan mengibarkan bendera kecil pada tangan semasa sambutan peringkat negeri di sebuah padang di Arau. Sebagai kanak-kanak, kami mengikuti rombongan sekolah untuk meraikan hari istimewa itu dan mendengar dengan penuh sabar ucapan orang-orang kenamaan,” kata Siti Hawa yang mengakui beliau telah banyak lupa akan pengalaman sambutan itu. 

KANAK-KANAK PRASEKOLAH

Bagi kanak-kanak alaf baru, mereka hanya mula mengenali sambutan kemerdekaan apabila guru-guru menggalakkan mereka untuk melukis dan mewarna identiti negara yang sangat berharga; ‘Jalur Gemilang’ dalam meraikan sambutan Merdeka di sekolah-sekolah.
      
Bagi Raeidah Abdul Rahman, kini 13, dipilih untuk mengambil bahagian dalam perbarisan hari kebangsaan semasa beliau masih di peringkat pra-sekolah di Putrajaya yang memberikan beliau pengalaman bernilai akan merdeka.
      
“Anda perlu berada situ untuk memahami betapa penting untuk menjadi sebahagian daripada sebuah negara muda dan merdeka seperti negara kita.

"Saya melihat begitu ramai orang, daripada semua kaum, semua peringkat masyarakat di perbarisan kemerdekaan. Saya bangga untuk menjadi peserta muda bersama-sama dengan rakan lain; Kami baru berusia enam tahun ketika itu. Kami menaiki bas khas pada awal pagi dan sampai di Putrajaya pada pukul 5.30 pagi.
      
"Saya tidak akan lupa akan hari istimewa itu, sebenarnya saya bangga untuk menjadi sebahagian daripada sambutan hari kebangsaan pada usia sangat muda,” kata Raeidah dalam nada yang lembut tetapi meyakinkan.
      
Dan guru prasekolahnya pada masa itu, Rofidah Zakaria bersetuju dengan  pandangan bekas anak muridnya itu.
      
“Saya berharap sambutan hari merdeka akan diteruskan di seluruh negara dalam skala besar setiap tahun. Saya membawa anak-anak saya untuk menyaksikan sambutan itu setiap tahun sehinggakan saya menginap di hotel berdekatan supaya tidak melepaskan perbarisan dan aturcara lain,” tambah Rofidah. 
       
Merdeka membawa kenangan bermakna dan indah bagi rakyat Malaysia, bukan sahaja bagi mereka yang telah mengharungi zaman pra-Merdeka tetapi juga yang dilahirkan pasca-Merdeka. Jadi, apa pula kenangan manis anda bersempena sambutan ulangtahun kemerdekaan?  - Bernama

ISU BAHASA : Gembleng tenaga demi bahasa


Oleh : Ezani Hj Daudani Haji Daud

KITA kerap kali mendengar suara-suara lantang yang singgah yang mengungkapkan kekecewaan tentang bahasa Melayu yang kian keruh, tercemar malah dinodai dalam pelbagai perlakuannya. Slogan Bahasa Jiwa Bangsa yang menjadi teras perjuangan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang baru-baru ini menyambut ulang tahun ke-56 seolah-olah tidak diendahkan serta tidak diambil cakna oleh masyarakat.

Penodaan serta kedegilan mereka yang menggunakannya seolah dirasakan bahawa ia bukan lagi satu kesalahan yang serius. Bahasa ibunda sendiri akhirnya terpinggir dan menjadi asing di bumi sendiri.

Ada yang mencebik bibir seolah-olah ia tiada standard dan ketinggalan jika hanya bertutur dalam bahasa Melayu terutama sekali dalam majlis-majlis mega dan penuh gah. Penularan yang diibaratkan sebagai fenomena ini berlaku di mana-mana sahaja termasuk di jabatan kerajaan, swasta, pusat pengajian tinggi, sekolah, media cetak, pusat penyiaran dan pengiklanan. Ia boleh diibaratkan sebagai barah yang kian merebak ke seluruh tubuh dalam menantikan saat meragut nyawa.

Keadaan ini bukan hanya baru bermula malah telah lama menjadi kegusaran para pejuang bahasa yang seangkatan dengan ASAS 50 lagi. Kebimbangan dan kegusaran ini pernah dilontarkan oleh Sasterawan Negara Usman Awang melalui puisi Keranda 152 yang jelas merimaskan para pejuang bahasa tentang hakikat sebenarnya iaitu orang Melayu sendiri yang sudah semakin tidak menghormati bahasa Melayunya.

Bezanya bahangnya sudah semakin panas dan kuat melanda tembok jatidiri anak bangsa hari ini apabila bahasa Melayu yang pada suatu ketika dahulu dianggap berperanan sebagai bahasa tamadun serta bahasa ilmu kini dipandang sepi dan terpinggir di bumi sendiri.

Sanggupkah kita melihat bahasa Melayu kita menjadi pupus dan tidak dipertuturkan lagi oleh generasi akan datang? Ini satu persoalan yang seharusnya menjadi pegangan orang Melayu sendiri.

Penggunaan bahasa Inggeris yang berleluasa, bahasa Melayu secara tidak langsung menjadi mangsa. Apa yang jelas, bahasa rojak telah lama menular dalam masyarakat kita dengan pelbagai kaedah penggunaannya. Ejaan serta struktur ayat dan perkataan yang tidak tepat amat membimbangkan. Ada antaranya melalui papan-papan iklan, media cetak mahupun elektronik dan ada kalanya para penyampai radio dan televisyen juga tidak terkecuali dari menyumbangkan perkara ini.

Penggunaan sistem pesanan ringkas (SMS) yang begitu popular pada hari ini memberikan lebih cabaran baru terhadap pemuliharaan bahasa ibunda yang kita cintai ini. Segalanya menjadi ringkas dengan menggunakan istilah-istilah dan ejaan yang kucar kacir malah seolah-olah ini kod-kod tertentu yang hanya difahami penggunanya. Malang sekali, penularan kebangkitan bahasa-bahasa 'rojak' ini menjadi semakin ketara dengan perkembangan teknologi hari ini.

Namun ini bukan bererti tiada usaha oleh pihak-pihak yang berwajib dalam menangani perkara seumpama ini, malah telahpun diusahakan dengan penuh tanggungjawab. Namun amalan masyarakat harian dengan persepsi mereka sendiri telah dengan sendiri melenyapkan usaha yang sebegitu serius oleh para pejuang bahasa itu sendiri.

DBP yang diketuai oleh Ketua Pengarahnya, Dr. Awang Sariyan disokong oleh pelbagai pihak khususnya persatuan-persatuan bahasa dan persuratan dari seluruh negara sedikit sebanyak telah mengimbangi situasi ini. Namun arus yang mereka tentangi agak keras dan 'degil' bila tiba pada saat melaksanakannya.

Pelbagai akta telah digubal untuk menangani perkara ini namun tetap dipandang sepi. Baru-baru ini telah ada penekanan oleh DBP serta badan-badan penulis seluruh negara dalam mengenakan tindakan yang agak keras terhadap mereka yang tidak akur dalam perkara ini.

Pengauditan bahasa terhadap jabatan-jabatan serta sektor swasta juga merupakan suatu berita gembira dalam merealisasikan hasrat ini. Namun usaha akan hanya tinggal usaha sekiranya penguatkuasaannya tidak dimartabatkan segera. Keberkesanan menjadi luntur andainya tiada ketegasan ketika mengambil tindakan terhadap pelakunya.

Mungkin atas persepsi yang menganggap bahasa kedua negara (bahasa Inggeris) perlu digunakan seiringan kerana ia merupakan satu alat komunikasi  masa ini dalam bersaing untuk mendapatkan kemajuan daripada dunia luar. Atau mungkin ada juga yang menganggap bahawa bahasa Inggeris melambangkan kemajuan serta lebih bersifat antarabangsa pada zaman ini.

Alasan sebegitu sebenarnya remeh malah kita perlulah menyoal diri sendiri antara mahu atau tidak untuk kita melakukannya. Di Indonesia, Jepun, Rusia, Thailand contohnya serta beberapa negara di dunia ini amat mendaulatkan bahasa ibunda mereka sendiri biarpun menimbulkan masalah dalam berkomunikasi dengan dunia luar. Segalanya hasil kerjasama serta keprihatinan anak bangsa mereka sendiri dalam mendaulatkan bahasa ibudan mereka.

Justeru , sudah sampai saatnya untuk kita semua sama-sama menggembleng tenaga, usaha dengan memasang hasrat untuk memelihara serta mendaulatkan kembali bahasa kita. Kita punyai ramai cendekiawan, Sasterawan Negara, penggiat sastera dan bahasa, ahli-ahli akademik bahasa yang berwibawa serta pakar undang-undang yang tiada tolok bandingnya. Kerahkan kudrat serta semangat untuk berjuang bersama demi mendaulatkan kembali bahasa ibunda kerana amat malang sekali jika bahasa yang kita agung-agungkan dibiarkan dinodai di hadapan halaman sendiri oleh anak bangsa sendiri.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU KENEGARAAN : Merdekakan Pemikiran


MUKADIMAH :

TARIKH 31 Ogos datang lagi. Tahun ini adalah kali ke 55 rakyat negara ini meraikan tarikh keramat yang membawa makna kepada sebuah negara yang merdeka. Tetapi timbul persoalan, sejauh manakah makna kemerdekaan ini dihayati dan dipraktis dalam kehidupan? Ada pihak menganggap semakin panjang usia kemerdekaan akan semakin nipis perasaan kebangsaan yang dulunya berkobar-kobar untuk mencapai kemerdekaan.

Dalam wawancara dengan wartawan Mingguan Malaysia, KHAIRUNNISA SULAIMAN, tokoh sastera dan ahli akademik, PROFESOR MADYA DR. LIM SWEE TIN berkata, nipisnya perasaan kebangsaan ini akan melahirkan generasi yang rapuh kecintaan kepada negara.

Beliau melihat peri pentingnya perasaan kebangsaan ini dijadikan kerangka untuk berkerjasama membangunkan negara ini.

MINGGUAN: Apakah signifikannya ulang tahun kemerdekaan dalam konteks negara ini?

DR. LIM SWEE TIN: Bagi saya sambutan ulang tahun kemerdekaan adalah satu masa yang terbaik bagi kita menanam apa yang saya namakan pemikiran nasionalisme. Mungkin orang jarang menggunakan istilah pemikiran nasionalisme. Salah satu sebabnya mungkin kefahaman terhadap perasaan kebangsaan itu agak longgar.

Nipisnya perasaan kebangsaan ini akan akan melahirkan generasi yang rapuh kecintaan kepada negara. Inilah hakikat yang kita terpaksa terima apabila situasi kebelakangan ini menggambarkan bahawa perasaan kebangsaan kita tidak cukup kuat. Perasaan kebangsaan seharusnya sangat kuat yang dicerminkan dalam segala konteks dan keadaan.

MINGGUAN: Sejauh manakah pentingnya perasaan kebangsaan dalam konteks hari kebangsaan negara ini?

DR. LIM SWEE TIN: Kuatnya perasaan kebangsaan ini akan menjadi kerangka sebenarnya, buka lagi acuan. Ia adalah kerangka dalam hubungan kita bekerja untuk negara. Ia meliputi soal kemajuan, pembangunan, termasuklah kesejahteraan bersama yang kita perjuangkan sejak terlepas dari belenggu penjajahan Inggeris 55 tahun yang lampau. Sekiranya kita telah berada pada tahap ini pada hemat saya, kita sudah boleh dikatakan mempunyai jati diri yang kukuh. Pada tahap inilah kita menjadi rakyat yang bermakna bagi sesebuah negara.

MINGGUAN: Di manakah duduknya bahasa dan kesusasteraan dalam konteks sebuah negara yang merdeka?

DR. LIM SWEE TIN: Pada hemat, seandainya kita tidak memuliakan satu bahasa penyatuan kita yang tunggal iaitu bahasa Melayu, tidak adalah erti merdeka. Saya sentiasa menekankan peri pentingnya secara berterus-terusan diingatkan, disebarkan dan diperkasakan semangat menyayangi bahasa yang tunggal ini tanpa kira kaum, bangsa atau etnik. Inilah satu-satunya wahana kita untuk saling memahami, saling menyalurkan aspirasi hidup dan saling mengembangkan minda ke arah mencapai satu bentuk pemikiran yang sama dari segi menyatakan hasrat, keyakinan dan kepercayaan yang terunggul untuk masyarakat, bangsa dan negara. Semua ini melalui jambatan bahasa Melayu.

Setiap rakyat harus tahu dan menyedari bahawa sejak awal kemerdekaan bahasa inilah yang sudah diasaskan sebagai bahasa penyatuan. Kita tidak mampu untuk berpecah belah atau perasaan syak wasangka atau curiga mencurigai. Sebab itulah saya melihat keinginan kita yang kuat untuk memperkasakan penguasaan bahasa ini dalam setiap diri rakyat diikhtiarkan melalui pelbagai upaya.

MINGGUAN: Tetapi yang kelihatan masa ini bahasa Melayu tertolak ke belakang dalam persaingan bahasa Inggeris yang dianggap bertaraf global?

DR. LIM SWEE TIN: Saya tidak menafikan sama sekali bahawa ada di sana sini kekangan dan halangan sehingga kita tidak boleh mencapainya 100 peratus kejayaannya. Malah secara peribadi saya kerap kali melahirkan rasa dukacita. Ini kerana selepas 55 tahun merdeka dengan pelbagai usaha yang dilakukan untuk melahirkan rasa memiliki yang terhadap bahasa kebangsaan tetapi masih tercalar di sana sini.

Padahal setiap warganegara yang telah mencapai usia separuh abad di Malaysia memperoleh pendidikan melalui satu sistem pendidikan yang menggunakan bahasa pengantar yang sama. Pada tahun 1976 apabila Bahasa Melayu dijadikan bahasa pengantar bermula di sekolah menengah untuk seluruh sistem pendidikan kita sehingga ke peringkat universiti. Pada tahun 1983 pula seluruh pengajian menggunakan bahasa Melayu.


MINGGUAN: Kenapa kita masih gagal menjadikan bahasa Melayu itu bahasa perpaduan?

DR. LIM SWEE TIN: Saya juga sering tertanya-tanya apakah lagi yang tidak kena apabila bahasa kebangsaan ini diragui peranan dan penggunaannya dalam segala bidang kehidupan. Saya menyeru pada ulang tahun kemerdekaan ini marilah kita sama-sama memikirkan peri bertuahnya kita memiliki satu bahasa yang begitu besar, relevan dalam segala bidang baik sains dan teknologi, bahkan disenaraikan antara empat bahasa terpenting di dunia dari segi bilangan penggunanya. Terimalah dan akuilah bahawa bahasa ini bahasa kita bersama, gunalah dengan penuh kasih demi menjaga kemurniannya dan meletak tinggi kedudukannya.


MINGGUAN: Apa komen saudara terhadap usaha yang giat dilakukan sebelum dan ketika ini?

DR. LIM SWEE TIN: Saya berasa yakin bahawa usaha-usaha ke arah itu sudah dilakukan tetapi kita memerlukan satu langkah lain yang lebih efektif supaya dapat meninggalkan kesan yang lebih mendalam. Ini yang kita kurang atau dengan bahasa yang jelas mungkin kita gagal sempurnakan. Kesusasteraan boleh membentuk pemikiran, mengubah sikap dan membangunkan minda selaras dengan hasrat kerajaan untuk melahirkan modal insan yang cemerlang. Kita tentulah akan dukacita kalau teks-teks sastera kita hanya dibaca oleh anak-anak kita semata-mata atas dasar lulus periksa. Tetapi mereka tidak mampu mengambil intipati pemikiran dan semangat yang diterapkan oleh sasterawan sementelah kita menerima mereka sebagai antara pemikir bangsa.


MINGGUAN: Sejauh manakah kefahaman terhadap budaya boleh dijadikan jambatan menghubungkan kaum dan etnik di negara pelbagai kaum seperti Malaysia?

DR. LIM SWEE TIN: Kita memerlukan masyarakat yang saling memahami budaya khasnya antara bangsa, kaum dan etnik di Malaysia untuk kita muncul sebagai satu bangsa yang benar-benar kukuh dan bersatu padu. Sekarang kadang-kadang kita terganggu oleh suara-suara sumbang yang pada sesetengah orang disifatkan kecil dan terpinggir akibat daripada ketidakfahaman terhadap budaya amalan kita. Perkara seperti ini tidak sewajarnya terjadi seandainya kita sama-sama memuliakan budaya yang sama-sama kita junjungi. Kefahaman yang mendalam ini secara berterusan sejajar pula dengan Rukun Negara dan aspirasi bangsa kita.

Saya percaya bahawa paduan budaya sastera dan bahasa akan membawa kita ke satu ikatan yang kukuh. Usahlah merasakan bahawa budaya kita sudah lapuk dan usang, ketinggalan dan tidak relevan dengan zaman yang serba diwarnai dengan pengaruh peradaban luar yang setengahnya amat membimbangkan.


MINGGUAN: Kalau dibandingkan dengan negara lain, apakah yang dapat saudara gambarkan tentang Malaysia?

DR. LIM SWEE TIN: Kita bertuah berada di bumi Malaysia. Ini perlu kita tanamkan kepada anak-anak kita di segenap lapisan. Dari segi alamnya, kita dianugerahkan Tuhan selamat dan bebas daripada sebarang bencana seperti di setengah-setengah negara lain. Kita dianugerahkan negara yang makmur dengan segala hasil mahsul yang cukup. Pertanian dan sumber laut kita adalah nikmat manakala sumber bumi kita seperti petroleum menyumbang kepada kemewahan dan kesenangan hidup kita.

Kita tidak menghadapi sebarang ancaman luar sementara ancaman di peringkat dalaman juga sudah sekian lama kerajaan dan pimpinan kita berupaya lumpuhkan. Kita tahu komunis sudah lama lenyap melalui kebijaksanaan kerajaan dan kegigihan anggota keselamatan. Ia tidak lagi mengganggu lena tidur kita seperti satu ketika. Setiap rakyat mempunyai ruang yang mencukupi untuk menjalani kehidupan yang mereka sukai asal tidak membawa kemudaratan. Suasana politik yang tidak mengganggu kita walaupun sesekali muncul juga isu-isu yang kecil-kecil sehingga memperlihatkan seolah-olah adanya percanggahan.

Tetapi perbezaan pandangan dan pendapat itu berjaya ditangani secara bijaksana. Maka saya percaya kita perlu terus memainkan peranan masing-masing dalam kapasiti yang ada sebaik-baiknya sambil melihat kegemilangan negara terus memercu untuk zaman yang mendatang.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/