Oleh : Ezani Hj Daudani Haji Daud
KITA kerap kali mendengar
suara-suara lantang yang singgah yang mengungkapkan kekecewaan tentang bahasa
Melayu yang kian keruh, tercemar malah dinodai dalam pelbagai perlakuannya.
Slogan Bahasa Jiwa Bangsa yang menjadi teras perjuangan Dewan Bahasa dan
Pustaka (DBP) yang baru-baru ini menyambut ulang tahun ke-56 seolah-olah tidak
diendahkan serta tidak diambil cakna oleh masyarakat.
Penodaan serta kedegilan mereka
yang menggunakannya seolah dirasakan bahawa ia bukan lagi satu kesalahan yang
serius. Bahasa ibunda sendiri akhirnya terpinggir dan menjadi asing di bumi
sendiri.
Ada yang mencebik bibir
seolah-olah ia tiada standard dan ketinggalan jika hanya bertutur dalam
bahasa Melayu terutama sekali dalam majlis-majlis mega dan penuh gah. Penularan
yang diibaratkan sebagai fenomena ini berlaku di mana-mana sahaja termasuk di
jabatan kerajaan, swasta, pusat pengajian tinggi, sekolah, media cetak, pusat
penyiaran dan pengiklanan. Ia boleh diibaratkan sebagai barah yang kian merebak
ke seluruh tubuh dalam menantikan saat meragut nyawa.
Keadaan ini bukan hanya baru
bermula malah telah lama menjadi kegusaran para pejuang bahasa yang seangkatan
dengan ASAS 50 lagi. Kebimbangan dan kegusaran ini pernah dilontarkan oleh
Sasterawan Negara Usman Awang melalui puisi Keranda 152 yang jelas merimaskan
para pejuang bahasa tentang hakikat sebenarnya iaitu orang Melayu sendiri yang
sudah semakin tidak menghormati bahasa Melayunya.
Bezanya bahangnya sudah semakin
panas dan kuat melanda tembok jatidiri anak bangsa hari ini apabila bahasa
Melayu yang pada suatu ketika dahulu dianggap berperanan sebagai bahasa tamadun
serta bahasa ilmu kini dipandang sepi dan terpinggir di bumi sendiri.
Sanggupkah kita melihat bahasa
Melayu kita menjadi pupus dan tidak dipertuturkan lagi oleh generasi akan
datang? Ini satu persoalan yang seharusnya menjadi pegangan orang Melayu
sendiri.
Penggunaan bahasa Inggeris yang
berleluasa, bahasa Melayu secara tidak langsung menjadi mangsa. Apa yang jelas,
bahasa rojak telah lama menular dalam masyarakat kita dengan pelbagai kaedah
penggunaannya. Ejaan serta struktur ayat dan perkataan yang tidak tepat amat
membimbangkan. Ada antaranya melalui papan-papan iklan, media cetak mahupun
elektronik dan ada kalanya para penyampai radio dan televisyen juga tidak
terkecuali dari menyumbangkan perkara ini.
Penggunaan sistem pesanan ringkas
(SMS) yang begitu popular pada hari ini memberikan lebih cabaran baru terhadap
pemuliharaan bahasa ibunda yang kita cintai ini. Segalanya menjadi ringkas
dengan menggunakan istilah-istilah dan ejaan yang kucar kacir malah seolah-olah
ini kod-kod tertentu yang hanya difahami penggunanya. Malang sekali, penularan
kebangkitan bahasa-bahasa 'rojak' ini menjadi semakin ketara dengan
perkembangan teknologi hari ini.
Namun ini bukan bererti tiada
usaha oleh pihak-pihak yang berwajib dalam menangani perkara seumpama ini,
malah telahpun diusahakan dengan penuh tanggungjawab. Namun amalan masyarakat
harian dengan persepsi mereka sendiri telah dengan sendiri melenyapkan usaha
yang sebegitu serius oleh para pejuang bahasa itu sendiri.
DBP yang diketuai oleh Ketua
Pengarahnya, Dr. Awang Sariyan disokong oleh pelbagai pihak khususnya
persatuan-persatuan bahasa dan persuratan dari seluruh negara sedikit sebanyak
telah mengimbangi situasi ini. Namun arus yang mereka tentangi agak keras dan
'degil' bila tiba pada saat melaksanakannya.
Pelbagai akta telah digubal untuk
menangani perkara ini namun tetap dipandang sepi. Baru-baru ini telah ada
penekanan oleh DBP serta badan-badan penulis seluruh negara dalam mengenakan
tindakan yang agak keras terhadap mereka yang tidak akur dalam perkara ini.
Pengauditan bahasa terhadap
jabatan-jabatan serta sektor swasta juga merupakan suatu berita gembira dalam
merealisasikan hasrat ini. Namun usaha akan hanya tinggal usaha sekiranya
penguatkuasaannya tidak dimartabatkan segera. Keberkesanan menjadi luntur
andainya tiada ketegasan ketika mengambil tindakan terhadap pelakunya.
Mungkin atas persepsi yang menganggap
bahasa kedua negara (bahasa Inggeris) perlu digunakan seiringan kerana ia
merupakan satu alat komunikasi masa ini
dalam bersaing untuk mendapatkan kemajuan daripada dunia luar. Atau mungkin ada
juga yang menganggap bahawa bahasa Inggeris melambangkan kemajuan serta lebih
bersifat antarabangsa pada zaman ini.
Alasan sebegitu sebenarnya remeh
malah kita perlulah menyoal diri sendiri antara mahu atau tidak untuk kita
melakukannya. Di Indonesia, Jepun, Rusia, Thailand contohnya serta beberapa
negara di dunia ini amat mendaulatkan bahasa ibunda mereka sendiri biarpun
menimbulkan masalah dalam berkomunikasi dengan dunia luar. Segalanya hasil
kerjasama serta keprihatinan anak bangsa mereka sendiri dalam mendaulatkan
bahasa ibudan mereka.
Justeru , sudah sampai saatnya
untuk kita semua sama-sama menggembleng tenaga, usaha dengan memasang hasrat
untuk memelihara serta mendaulatkan kembali bahasa kita. Kita punyai ramai
cendekiawan, Sasterawan Negara, penggiat sastera dan bahasa, ahli-ahli akademik
bahasa yang berwibawa serta pakar undang-undang yang tiada tolok bandingnya.
Kerahkan kudrat serta semangat untuk berjuang bersama demi mendaulatkan kembali
bahasa ibunda kerana amat malang sekali jika bahasa yang kita agung-agungkan
dibiarkan dinodai di hadapan halaman sendiri oleh anak bangsa sendiri.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan