Oleh : ROHAMI SHAFIE
SETELAH hampir 58 tahun Malaysia
mencapai kemerdekaan, sistem pendidikan negara telah mengalami banyak
perubahan. Terbaharu, kerajaan mengumumkan Pelan Pembangunan Pendidikan
Malaysia, Pengajian Tinggi atau lebih dikenali sebagai PPPM (PT) 2015-2025.
Pelan ini merupakan kesinambungan PPPM 2013-2025. Dengan inisiatif ini,
lengkaplah perancangan kerajaan untuk mentransformasikan sistem pendidikan
negara.
Sebelum ini, melalui PPPM, sistem
pendidikan prasekolah sehingga ke tingkatan lima menekankan Kemahiran Berfikir
Aras Tinggi (KBAT). KBAT dilaksanakan bagi menepati piawaian antarabangsa.
Tidak cukup dengan itu, KBAT mampu melahirkan modal insan yang berfikir di luar
kotak, kreatif, kritis dan inovatif. Dengan ini, modal insan Malaysia bukan
sahaja berdaya saing di pasaran kerja domestik tetapi juga di peringkat
antarabangsa.
Dalam suasana masyarakat dunia
yang semakin kompleks dengan idea-idea terkini, mahu tidak mahu masyarakat
Malaysia juga perlu mengetahui situasi semasa dan kesannya pada masa depan.
Tunjangnya ialah daya pemikiran tidak boleh kaku dan lesu apabila berhadapan
dengan sesuatu isu semasa. Pelbagai persoalan yang sukar perlu ditangani dan
dijawab secara terbaik agar akhirnya sebarang keputusan mendatangkan kebaikan
kepada keseluruhan rakyat Malaysia.
Bagi melestarikan modal insan
yang secara konsisten dilatih supaya cemerlang dalam semua aspek kehidupan,
PPPM (PT) dibentuk agar menekankan aspek etika, kerohanian dan moral. Sekali
lagi negara memerlukan ramai modal insan yang bukan setakat terbaik, seimbang,
berdaya saing dari sudut intelektual dan emosi tetapi juga cemerlang sahsiah.
Masyarakat Malaysia yang masih
kuat berpegang pada adab ketimuran sejak sekian lama perlu belajar bahawa
betapa rosaknya sistem masyarakat negara-negara maju yang meminggirkan aspek
kerohanian dan keagamaan. Itu bezanya mereka dengan kita. Meskipun diasak
dengan pelbagai idea Barat yang majoritinya bersifat fahaman dan idea yang
terlalu berkiblatkan sistem duniawi yang individualistik dan materialistik.
Maka, berkecamuklah masyarakat mereka sampaikan segala penyelewengan besar yang
berlaku berpunca daripada tangan-tangan mereka.
Misalnya, sudah acapkali dunia
dilanda krisis ekonomi ekoran tangan-tangan mereka yang meminggirkan etika,
kerohanian dan moral. Dalam satu sudut, masyarakat kita terlalu dibuai dengan
dakyah kononnya mereka itu mengamalkan prinsip etika yang hebat. Namun, kita
terlupa bahawa etika yang diamalkan oleh mereka telah melahirkan insan-insan
yang telah merosakkan sistem ekonomi dunia sebagaimana contoh paling tepat
berlaku pada tahun 2008 dan pelbagai krisis penyelewengan korporat yang dilakukan
oleh mereka. Episod-episod krisis ekonomi dan penyelewengan korporat akan
sentiasa diulang-ulang pada masa akan datang selari dengan kosongnya roh
kerohanian masyarakat mereka yang terus menerus mencabar amalan agama sebenar
yang datangnya dari Yang Maha Esa.
Dalam hal ini, para pelapis
kepimpinan negara tidak boleh menjadikan Barat sebagai ikutan yang terus
menerus mencabar adat dan adab ketimuran. Walhal, asakan demi asakan pemikiran
dan tingkah laku mereka yang meminggirkan agama untuk mempengaruhi generasi
muda amat tidak sesuai dalam masyarakat Malaysia.
Apalah gunanya kita dapat
melahirkan masyarakat yang terlalu hebat dalam pelbagai bidang tetapi akhlaknya
diikat dengan amalan yang cukup rendah budi pekertinya seperti biadab dan sombong.
Sewajarnya, lebih tinggi ilmu seseorang maka lebih merendah diri kerana
mengetahui bahawa ilmu yang diperoleh datangnya dari Allah SWT. Jika ilmu yang
ada melahirkan masyarakat yang riak, sombong, hasad dengki, mementingkan diri
dan hanya berasakan dirinya sahaja yang betul, maka tunggulah keruntuhan
masyarakat yang amat dahsyat sama sekali.
Jadi, sistem pendidikan negara
yang menggabungkan PPPM dan PPPM (PT) merupakan intipati proses pembelajaran
sepanjang hayat yang menghasilkan rakyat Malaysia berakhlak tinggi. Malah,
melalui kedua-duanya, generasi muda mempunyai keupayaan berdikari sebagai
penjana pekerjaan.
Modal insan pada masa akan datang
tidak boleh lagi bertindak sebagai pencari kerja kerana ia akan membuatkan
masyarakat kita berada di takuk yang sama. Dengan iltizam untuk menjayakan
Model Baharu Ekonomi (MBE), setiap daripada modal insan yang bakal memasuki
pasaran kerja perlu menjana peluang-peluang pekerjaan sendiri melalui kemahiran
keusahawanan yang tinggi kerana ia mampu melipat gandakan pendapatan untuk
mereka.
Sebab itulah dari awal lagi
generasi muda dilatih agar mempunyai KBAT supaya mereka ini sentiasa
mempunyai kekuatan menyelesaikan masalah dalam menghadapi dunia ekonomi baharu
pada masa akan datang. Aspek keusahawanan sebagai penjana pekerjaan telah
membuktikan banyak kejayaan dalam kalangan negara-negara yang berpendapatan
tinggi. Lebih banyak lagi peluang pekerjaan yang dijana oleh mereka, lebih
tinggilah prospek ekonomi negara kita berada pada nilai rantaian tinggi
bertunjangkan pekerjaan berpendapatan tinggi yang bersifat dinamik.
Dengan kemahiran-kemahiran tinggi
dan terkini berpaksikan pengetahuan yang luas akan membantu memacu serta
melonjakkan ekonomi Malaysia. Pendidikan negara terbuka untuk sesiapa sahaja
yang mahu meluaskan ilmu pengetahuan mereka. Bahkan mereka yang berusia juga
boleh meningkatkan ilmu pengetahuan melalui sistem pembelajaran secara separuh
masa sehingga ke peringkat ijazah kedoktoran. Dengan kata lain, sistem
pendidikan negara tidak sesekali mendiskriminasikan mana-mana pihak.
Tidak cukup dengan itu, sistem
pendidikan negara juga menekankan aspek teknikal dan vokasional kepada mereka
yang kurang meminati bidang akademik di universiti-universiti awam dan swasta.
Ilmu bukanlah hanya hak eksklusif untuk mereka yang berada di menara gading
semata-mata. Bahkan, ilmu itu berada di mana-mana sahaja menanti kita
mencarinya melalui sistem pendidikan yang digubal bersesuaian dengan budaya,
agama dan sosial masyarakat Malaysia. Yang pasti, setiap daripada kita bertanggungjawab
merealisasikan pendidikan sebagai teras kepada masyarakat maju yang bukan
setakat berjaya di dunia semata-mata tetapi juga memenuhi kebijaksanaan menuju
kecemerlangan di akhirat yang hakiki sifatnya.
PENULIS ialah Pensyarah Kanan
Perakaunan dan Kewangan
Pusat
Pengajian Perakaunan (SOA) Kolej
Perniagaan (COB)
Universiti Utara Malaysia.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/ ( 18 April 2015)