Isnin, 13 Julai 2009

HARI TIDAK BERBELANJA -16 JULAI 2009

GABUNGAN Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) mengadakan Hari Tidak Berbelanja pada 16 Julai 2009. Aktiviti ini yang merupakan kali kedua dianjurkan oleh FOMCA. Kali pertama diadakan pada tahun 2008.

Hari Tidak Berbelanja sebenarnya telah menjadi acara di peringkat antarabangsa. Ia mula diadakan pada bulan September 1992 di Vancouver, Kanada. Kemudiannya acara ini ditetapkan pada 28 November di Amerika Utara dan 29 November bagi peringkat antarabangsa, iaitu selepas sambutan `Thankgiving’.

Di Malaysia pula, FOMCA telah memilih 16 Julai sebagai tarikh bagi Hari Tidak Berbelanja.

Hari Tidak Berbelanja ini merupakan sebahagian daripada program Kempen Konsumer Kebangsaan (Kempen 3K) yang dijalankan oleh FOMCA, dengan kerjasama Majlis Kebangsaan Pertubuhan Wanita (NCWO), Majlis Belia Malaysia dan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS). Pada 12 Jun lalu, PETRONAS telah turut serta dalam Kempen 3K ini.

Hari Tidak Berbelanja ini diadakan bertujuan untuk memberikan kesedaran kepada para pengguna agar memikirkan tabiat berbelanja mereka. Pada hari tersebut, para pengguna digalakkan agar tidak membuat sebarang pembelian yang tidak perlu.

Selain itu, melalui Hari Tidak Berbelanja ini, pengguna disaran agar dapat meningkatkan kesedaran tentang isu penggunaan yang berlebih-lebihan dalam perbelanjaan. Matlamatnya bukan untuk menyelesaikan masalah penggunaan yang berlebih-lebihan ini dalam tempoh satu hari sahaja, tetapi untuk mendidik pengguna membuat pembelian yang lebih berhemat sepanjang 364 hari yang lainnya dalam tahun tersebut.

Hari Tidak Berbelanja tidak bertujuan untuk memboikot atau berkonfrontasi terhadap mana-mana pihak, tetapi lebih menjurus kepada usaha mendidik para pengguna agar menjadi lebih bijak dalam perbelanjaan harian mereka. Ia berhasrat untuk menyebarkan mesej yang jelas kepada para pengguna bahawa mereka masih dalam menjalani kehidupan dengan sejahtera walaupun tidak perlu berbelanja.

Adalah diharapkan agar Hari Tidak Berbelanja mampu mendidik para pengguna supaya meminimumkan perbelanjaan supaya mereka lebih menghargai nilai wang yang dibelanjakan setiap hari. Para pengguna akan menilai sama ada wang mereka dibelanjakan dengan sewajarnya atau tidak.

Soalan Lazim Hari Tidak Berbelanja

Apakah maksud Hari Tidak Berbelanja?

Hari Tidak Berbelanja merupakan hari bagi pengguna mencabar diri mereka sendiri untuk tidak membeli-belah dalam tempoh sehari, tetapi masih dapat menikmati kehidupan. Sesiapa sahaja boleh mengambil bahagian dengan syarat mereka tidak mengeluarkan wang pada hari itu!

Apakah tujuannya?

Sebagai pengguna, kita seharusnya mempersoalkan barang-barang yang kita beli dan syarikat yang mengeluarkannya. Tujuannya untuk membolehkan masyarakat memikirkan tentang apakah jenis barang dan bagaimana barang tersebut boleh memberi kesan kepada alam sekitar.

Adakah membeli-belah merupakan sesuatu yang tidak baik?

Membeli-belah tidak memberikan kemudaratan, namun ia bergantung kepada jenis barang-barang yang kita beli. Kita perlu memastikan tentang ‘keperluan’ dan ‘kehendak’ sebelum berbelanja. Kita perlu mengetahui alasan ‘MENGAPA’ kita membeli sesuatu agar dapat meningkatkan corak perbelanjaan pengguna dan dalam masa yang sama mengurangkan pembaziran.

Siapa yang harus terlibat?

Anda boleh melakukannya – ini merupakan hari anda – anda perlu terlibat bersama-sama. Sebarkan mesej ini kepada rakan-rakan anda dan elakkan daripada membeli-belah pada 16 Julai 2009.

Apa yang boleh saya lakukan? Apabila anda tidak melakukan sesuatu, sebenarnya anda telah melakukan sesuatu! Tindakan anda untuk bersetuju mengurangkan berbelanja adalah suatu permulaan. Hari Tidak Berbelanja merupakan hari untuk kita melawan perasaan ingin membeli barang. Ia merupakan hari bagi kita mencabar diri kita.

Apa yang akan saya capai?

Memang amat mencabar untuk menahan diri selama 24 jam dengan tidak membelanjakan wang. Anda akan merasa bebas daripada membeli-belah dan sedar betapa banyaknya masa lapang yang telah anda gunakan untuk membeli-belah. Dalam masa 24 jam tersebut anda akan dapat menikmati kehidupan anda. Ini merupakan satu pencapaian yang besar!

Adakah itu bermakna saya perlu berhenti membeli-belah sama sekali?

Tidak sukar untuk berhenti daripada membeli-belah untuk satu hari dan ia tidak akan menjejaskan ekonomi Malaysia. Usaha ini bertujuan untuk mencabar anda untuk memikirkan kesan barang-barang yang anda beli terhadap alam sekitar.

Adakah program selama satu hari ini akan membuat sebarang perubahan?

Hari Tidak Berbelanja tidak bermaksud untuk untuk mengubah cara hidup anda dalam tempoh satu hari, tetapi ia menimbulkan kesedaran berpanjangan – yang mungkin merupakan satu pengalaman hidup! Hari Tidak Berbelanja ini akan terus terpahat dalam minda anda, iaitu setiap kali anda berbelanja, anda akan memikirkan kesan barang tersebut terhadap alam sekitar.

Langkah Yang Boleh Dilakukan Semasa Hari Tidak Berbelanja

Bancuh minuman anda sendiri sewaktu sarapan;

Bawa bekal untuk makanan tengah hari / snek ke pejabat atau sekolah;

Memasak sendiri makanan tengah hari (membawa ke pejabat untuk dimakan pada waktu tengah hari) dan malam;

Berjalan kaki atau menaiki pengangkutan awam, dan bukannya memandu kereta;

Merancang perjalanan terlebih dahulu untuk mengurangkan pembaziran bahan api;

Meluangkan masa bersama-sama keluarga dan kawan-kawan bermain permainan dalaman / melakukan aktiviti lasak;

Pergi ke perpustakaan untuk meminjam buku-buku;

Membuat satu senarai bahan-bahan mentah yang terdapat di rumah anda yang boleh dikitar semula atau mengubahnya menjadi sesuatu yang baru;

Memasak sesuatu masakan dengan menggunakan bahan-bahan yang sedia ada di rumah anda;

Membuat kad atau hadiah sendiri untuk diberikan kepada insan yang tersayang;

Berkebun;

Tinggalkan semua wang, kad ATM dan kad kredit di rumah;

Menjauhkan diri daripada kedai;

Membuat satu inventori barang-barang yang telah sedia ada di rumah untuk mengelakkan membeli barangan yang sama apabila anda pergi membeli-belah kelak;

Menyebarkan mesej dengan memberitahu kawan-kawan anda di pejabat atau sekolah, tulis di blog anda, menghantar sms atau e-mel kepada mereka;

Membuat pertukaran pakaian dengan kawan-kawan anda. Kumpulkan baju-baju dan kasut-kasut yang tidak anda gunakan lagi di rumah dan menukarkan barang-barang tersebut dengan kawan-kawan anda. Barang-barang yang tidak mahu diambil oleh sesiapa boleh didermakan kepada badan-badan kebajikan;

Menjadi tuan rumah dengan menonton wayang gambar di rumah anda. Anda boleh menonton cerita kegemaran daripada koleksi anda. Sekiranya tetamu yang datang ke rumah anda membawa bersama-sama makanan dari rumah mereka, ini dapat mengelakkan diri anda daripada pergi ke kedai untuk membeli snek.

Membuat aktiviti yang percuma seperti pergi ke muzium, membantu komuniti atau menawarkan diri untuk meluangkan masa bersama orang-orang tua atau anak-anak yatim.

Sedarlah Bahawa Melakukan Sesuatu Perkara Kecil Boleh Membawa Perubahan Yang Lebih Besar!

Sumber : http://mstar.com.my/

ISU PEMANSUHAN PPSMI 2012

Keputusan profesional penuh justifikasi

KEPUTUSAN yang ditunggu-tunggu penuh debaran oleh rakyat Malaysia tiba juga Rabu lepas. Akhirnya, Timbalan Perdana Menteri Malaysia merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan keputusan muktamad kerajaan memansuhkan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI).

Ada yang gembira, ada yang tak puas hati dan ada juga yang masih mengambil sikap tunggu dan lihat. Paling menarik barangkali, di sebalik gambaran 'penolakan seratus peratus rakyat terhadap dasar PPSMI' sebagaimana yang digembar-gemburkan oleh pihak pembangkang, ada juga beberapa bancian bebas yang dilaksanakan oleh beberapa blog popular membuktikan sebaliknya.

Hakikatnya, jika keputusan bancian anjuran blog bebas masih memihak kepada cadangan supaya PPSMI diteruskan sekali pun, keputusan tersebut masih boleh dipersoalkan.

Menurut perangkaan 2008 yang dikumpulkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), pengguna Internet berdaftar di rumah adalah 85 peratus tertumpu di kawasan bandar dan hanya 15 peratus di kawasan luar bandar.

Statistik ini jelas menunjukkan bahawa taburan pengguna Internet yang diambil sebagai 'sampel' bancian tersebut hanya tertumpu kepada kelompok rakyat di dalam bandar yang aktif berinternet, manakala pandangan dan undian keseluruhan rakyat luar bandar belum diambil kira dan pasti dipinggirkan.

Secara kesimpulannya, tidak kira sama ada undi pelbagai bancian di atas benar-benar boleh dipercayai atau tidak, keputusan akhir ke atas dasar PPSMI ternyata ada 'peminat' yang tersendiri!

Kerajaan bukanlah tidak mencuba untuk meneruskan dasar PPSMI. Bagaimanapun, hasil pelbagai kajian ilmiah bebas seawal 2004 yang dianjurkan oleh pelbagai institusi dan organisasi berkaitan serta data statistik yang dikumpulkan oleh Kementerian Pelajaran mengenai keputusan pelajar dan kemampuan guru terhadap PPSMI tidak condong kepada penerusan dasar PPSMI. Ini sekali gus 'memaksa' kerajaan bertekad kepada keputusan pemansuhan.

Menyedari hasrat dan falsafah dasar PPSMI, kerajaan di peringkat awal tidak pernah putus asa untuk meneruskan dasar tersebut. Buktinya adalah melalui pelaburan ratusan juta ringgit ke atas usaha memperkasakan pengetahuan serta kebolehan guru dalam kedua-dua subjek berkenaan melalui pelbagai kursus dan latihan. Penggunaan teknik-teknik pengajaran yang terbaik juga telah diguna pakai. Namun, tiada perubahan ketara dapat dilihat.

Pelajar Melayu akan terus kecundang, keyakinan diri terbantut dan terus menganggur

Statistik Kementerian Pelajaran juga menunjukkan bahawa guru-guru PPSMI tidak mampu mengajar Sains dan Matematik seratus peratus dalam bahasa Inggeris malah dicampuradukkan dengan bahasa Melayu semasa mengajar dua subjek tersebut. Senario ini tidak berlaku di sekolah-sekolah kebangsaan Cina dan Tamil kerana kedua-dua subjek tersebut diajar dalam bahasa ibunda masing-masing. Yang menjadi mangsa adalah para pelajar Melayu yang semakin keliru, memperolehi keputusan peperiksaan yang terus menjunam sehingga mengakibatkan keyakinan diri terbantut. Kurang keyakinan diri inilah punca sebenar mengapa pelajar Melayu terus menganggur.

Untuk dikatakan dasar PPSMI telah gagal rasanya tidak juga. Lebih tepat barang kali kalau dikatakan ia kurang berjaya mencapai sasaran yang diingini. Bagi saya sendiri, PPSMI bukanlah tidak baik. Hasratnya, murni.

Namun demikian, menurut statistik sahih kajian Kementerian Pelajaran jelas membuktikan guru-guru belum bersedia sepenuhnya dan sebilangan pelajar luar bandar ada kekangan. Jika PPSMI diteruskan juga, kita menghadapi kekesalan berpanjangan kerana sejumlah besar anak-anak kampung yang cerdik tetapi ada kekangan pemahaman bahasa Inggeris akan menjadi korban nanti. Sanggupkah kita?

Syukurlah hikmah di sebalik pelaksanaan dasar kontroversi ini sekurang-kurangnya telah meningkatkan kesedaran akan pentingnya penguasaan bahasa Inggeris. Inilah natijah dan nawaitu asal PPSMI sewaktu perencanaannya diilhamkan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad dahulu.

Melalui transformasi sistem pendidikan Malaysia yang dirancang oleh Kementerian Pelajaran ketika ini, ia akan tetap dapat memurnikan hasrat Tun Dr. Mahathir itu dengan kaedah memperkasakan pembelajaran bahasa Inggeris melalui 12 langkah yang diutarakan oleh Muhyiddin. Saya amat setuju agar bahasa Inggeris sepatutnya diperkasakan dahulu sebelum subjek Matematik dan Sains diajar dalam bahasa tersebut.

Saya berharap sangat jika silibus baru disusun supaya pelbagai jargon teknologi dan sains dapat diterapkan dalam pembelajaran bahasa Inggeris. Begitu juga dengan subjek Geografi hari ini yang hanya fokus terhadap ilmu alam Malaysia sahaja.

Saya yakin para pelajar akan lebih tertarik jika mereka dihidangkan dengan Geografi dunia sebagai salah satu silibus dalam subjek bahasa Inggeris. Dengan silibus tersebut, ia bukan sahaja seiring dengan pendekatan saluran National Geographic dan Discovery tetapi juga memupuk pemikiran generasi muda Malaysia untuk berbahasa Inggeris apabila mereka menjelajahi dunia suatu hari nanti.

Dalam perihal memartabatkan bahasa Melayu, iltizam Kementerian Pelajaran memperkasakan pembelajaran bahasa Melayu seharusnya telah menjawab tuduhan beberapa pihak yang mendakwa kerajaan tidak sensitif dengan nasib bahasa kebangsaan. Apatah lagi sekarang, dalam modul transformasi pendidikan ini, Muhyiddin telah mengangkat semula martabat bahasa Melayu menjadi bahasa ilmiah untuk memacu kemajuan ketamadunan Melayu masa hadapan.

Suka saya katakan, keputusan kerajaan sudah pun win-win (menang-menang) bagi semua pihak. Objektif murni PPSMI bakal diusahakan secara terbaik sementara bahasa Melayu pula akan terus dimartabatkan.

Sekalipun usaha menjurus kepada keputusan terhadap PPSMI telah dibuat, usaha untuk memperjelaskan falsafah di belakang transformasi pelajaran perlu dibuat secara crystal clear (sejelas mungkin).

Rakyat hari ini semakin peka terhadap hal ehwal semasa dan sentiasa mahukan penjelasan konkrit. Ingatlah, pihak pembangkang pula tidak pernah lelah mencari 'peluru' untuk mengelirukan rakyat daripada fakta sebenar.

Setiap keputusan perlukan penilaian profesional, penjelasan dan justifikasi rasional. Kalau ia demi kebaikan, rakyat tentu boleh menerimanya biarpun mungkin mengambil sedikit masa.

FERIZ OMAR ialah Presiden Pertubuhan Profesional Melayu dan Pewaris Bangsa (ProWaris)

Sumber : http://www.utusan.com.my/

Peminjaman istilah asing bantu bahasa Malaysia terus berkembang

SEJAK kebelakangan ini banyak pula ulasan berkaitan pemodenan dan pemantapan bahasa Malaysia dipaparkan di media massa. Saya tertarik dengan ulasan yang dibuat oleh beberapa penyokong Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) terhadap konsep penterjemahan istilah sains dan matematik dalam bahasa Melayu.

Kata mereka, istilah sains dan matematik mesti diterjemahkan dalam bahasa Malaysia tanpa meminjam daripada bahasa Inggeris, barulah bahasa Malaysia lebih dihormati dan mantap.

Mungkin mereka tidak tahu sekiranya bahasa Malaysia tidak meminjam daripada bahasa lain, maka bahasa Malaysia akan mengalami kesukaran berkembang dan seterusnya berkubur seperti bahasa Sanskrit suatu ketika dulu.

Soalnya, tahukah mereka bahasa Inggeris sendiri berkembang kerana berlaku proses peminjaman istilah daripada bahasa lain?

Mungkin mereka tidak tahu bahawa bahasa Inggeris meminjam lebih daripada 300 bahasa asing sebelum bahasa itu berdiri sebagai bahasa moden hari ini, berbanding bahasa Malaysia yang baru meminjam daripada 10 bahasa saja.

Kebanyakan perkataan dalam bahasa Inggeris berasal daripada bahasa Latin. Namun, hanya kerana kita tidak tahu bahasa Latin, maka kita tidak dapat 'melihat' berapa banyak istilah daripada bahasa Latin itu wujud dalam bahasa Inggeris.

Keadaan ini berlaku sebaliknya terhadap bahasa Melayu. Hanya kerana kita mahir bahasa Inggeris maka kita 'melihat' seolah-olah terlalu banyak pula perkataan bahasa Inggeris yang dipinjamkan ke dalam bahasa Malaysia. Adilkah penilaian ini?

Bidang ilmu adalah bidang sentiasa berkembang. Ketika bidang ilmu di dunia ini berkembang dalam bahasa Arab, hampir semua bangsa di dunia, termasuk bahasa Inggeris mengambil langkah meminjam istilah dalam bidang ilmu tersebut daripada bahasa Arab.

Begitu juga jika kita mengakui bahawa perkembangan bidang ilmu kini dikuasai oleh bahasa Inggeris, kita harus membenarkan pula semua bangsa di dunia ini meminjam istilah dalam bidang ilmu tersebut daripada bahasa Inggeris. Itu prinsip globalisasi.

Tidak ada salahnya kita meminjam istilah, sama ada meminjam secara langsung atau meminjam dengan mengubahsuai ejaan asalnya, demi memodenkan bahasa mengikut perkembangan bidang ilmu itu sendiri. Meminjam istilah adalah satu daripada beberapa cara bagi memastikan agar perkembangan bahasa Malaysia tidak terhenti dan terus mati.

Sesuatu yang harus dijadikan sebagai kesalahan dan wajar diberi perhatian adalah sikap pengguna bahasa Malaysia yang sewenang-wenangnya meminjam istilah dari bahasa Inggeris sedangkan istilah dalam bahasa Malaysia ada.

Contohnya, kita lebih gemar menggunakan perkataan 'informasi' sedangkan kita ada perkataan maklumat.

Janganlah menghentam pakar bahasa dan penterjemah tanpa usul periksa. Kaji dulu bagaimana bahasa Inggeris boleh berkembang kerana kaedah yang digunakan bagi mengembangkan bahasa Malaysia hari ini tidak jauh bezanya dengan apa yang pernah dilalui oleh bahasa Inggeris.

MARNIYATI MOHD NOR,
Universiti Tenaga Nasional Kajang,
Selangor.

Sumber : http://www.bharian.com.my/

BAHASA IMPIAN

dalam samar waktu
disisirnya kabut laku

ia dengar gema kidung

sekejap kau menubuh
luput dari jerat mata
ia lupa pada apa yang
mesti diucap

kelopak khayalnya rekah
seakan ia dalam bayang
putih tubuhmu

bayangmu dalam bahasa impian
disempurnakan dengan tanda baca
dirapalnya dengan gairah rasa.

Dharmadi (2008)

* kidung - nyanyian, sejenis syair yang dinyanyikan

Sumber : http://oase.kompas.com/

Nota hujung :

Dharmadi, penyair kelahiran Semarang 30 September 1948. Sejak tahun 1968 menetap di Purwokerto. Kini, sering berulang alik antara Jakarta, Tegal dan Purwokerto. Kebanyakan puisinya digolongkan bernuansa sufistik (ketuhanan).

BUKU SAINS & MATEMATIK DITERJEMAH

Oleh Haspaizi Mohd Zain
haspaizi@bharian.com.my

ITNM guna istilah dalam bahasa Malaysia selaras pembatalan dasar PPSMI

KUALA LUMPUR: Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) bersedia menterjemah buku Sains dan Matematik dalam bahasa Malaysia seperti dikehendaki Kementerian Pelajaran, untuk digunakan selepas pemansuhan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) pada 2012.

Pengarah Urusan ITNM, Mohd Khair Ngadiron, berkata pihaknya bersedia meningkatkan lagi terjemahan buku terbabit dan yakin mampu memenuhi keperluan Kementerian Pelajaran itu sebelum 2012.

"Bagaimanapun, bagi melaksanakan perkara ini kita memerlukan dana tambahan dan juga penterjemah. Saya kira ini adalah peluang terbaik kepada ITNM untuk membuka peluang pekerjaan kepada graduan dalam bidang terjemahan ini.

"Jika Kementerian Pelajaran memberi masa kepada ITNM mulai dari sekarang untuk menterjemahkan buku berkenaan, kita yakin ia dapat disiapkan sebelum 2012," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Kelmarin, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mahu keupayaan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta ITNM dipertingkatkan lagi bagi memperkasakan bahasa Malaysia.

Ia bagi memastikan tidak ada ketandusan istilah bacaan atau rujukan dalam semua bidang, baik akademik mahupun kerjaya, selaras dengan perubahan dasar kerajaan dalam PPSMI.

Muhyiddin berkata, kerajaan mahu proses terbabit dipercepatkan menerusi DBP dan ITNM, walaupun ia memerlukan Kementerian Pelajaran menyediakan sejumlah peruntukan yang besar.

Mohd Khair berkata, sehingga kini tumpuan utama ITNM adalah lebih kepada menterjemahkan buku sebagai bahan bacaan tambahan dan juga rujukan, bukan menghasilkan buku teks.

"Dana tambahan diperlukan ITNM adalah bagi menampung kos terjemahan dan kos mendapatkan hak cipta, kerana kita perlu mendapatkan kebenaran daripada penerbit asalnya.

"ITNM sudah bersedia, hanya menunggu arahan lanjut daripada kerajaan dan dengan penambahan kakitangan, kita yakin menterjemahkan sekitar 25 buah buku sebulan," katanya.

Sumber : http://www.bharian.com.my/

ISU PEMBANTU RUMAH ASING

Pusat jagaan kanak-kanak sistematik alternatif kemelut pembantu rumah

Oleh Jami'ah Shukri
jamia@bharian.com.my

ISU pembantu rumah kini menjadi agenda nasional yang masih belum bernoktah. Keadaan bertambah kalut apabila Kerajaan Indonesia yang menjadi sumber utama membekalkan pembantu rumah, memberhentikan sementara penghantaran rakyatnya ke negara ini gara-gara kes penderaan majikan ke atas pembantu rumah.

Dalam pada kemelut mendapat pembantu rumah melanda negara ini, dilaporkan kira-kira 50,000 hingga 60,000 wanita Islam dari kepulauan Mindanao di Selatan Filipina sedia dibawa masuk ke negara ini pada bila-bila masa bagi menggantikan pembantu rumah Indonesia.

Pada masa sama, Kementerian Sumber Manusia pula mengumumkan cadangan menimbangkan untuk memperkenalkan pakej lebih menarik termasuk menetapkan gaji minimum, caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Elaun Sara Hidup (Cola) bagi menarik minat rakyat tempatan menjadikan pekerjaan pembantu rumah sebagai profesion.

Apa juga resolusi berkaitan perkara itu sekarang, isu pembantu rumah masih tidak dapat diselesaikan sepenuhnya serta kebergantungan negara kepada pekerja warga asing seakan tiada penyudah.

Oleh itu, sudah tiba masanya, kerajaan memikirkan langkah jangka panjang yang lebih komprehensif untuk menyelesaikan kemelut ini dan seharusnya negara terus 'tutup buku' dengan membekukan terus pengambilan pembantu rumah pada masa depan.

Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Shamsuddin Bardan ketika mengulas mengenai isu berkenaan menegaskan, Malaysia perlu mengambil langkah jangka panjang dengan mengubah cara penjagaan anak dan orang tua yang sebelum ini diambil alih oleh pembantu rumah dengan kaedah lebih baik dan terurus.

Katanya, ketika ini, ramai rakyat Malaysia terpaksa menggaji pembantu rumah untuk menjaga anak atau orang tua ketika keluar bekerja.

Sehingga sekarang kira-kira 300,000 rakyat mengambil pembantu rumah dan hanya dua peratus saja yang menghantar anak ke pusat penjagaan.

Shamsuddin berkata, kerajaan kini perlu memperbanyakkan pusat jagaan kanak-kanak dengan konsep serta bentuk pengurusan yang lebih sistematik dan harga berpatutan sebagai langkah jangka panjang bagi mengelak kebergantungan kepada pembantu asing atau kes berbangkit seperti kes penderaan.

Kerajaan perlu memberikan subsidi pengecualian cukai sekurang-kurangnya dua kali ganda sebagai galakkan individu atau syarikat untuk menubuhkan pusat jagaan kanak-kanak.

"Kerajaan juga seharusnya menggalakkan graduan lepasan universiti menceburi bidang ini sebagai satu cabang perniagaan dan diberi insentif menarik.

"Pembabitan siswazah ini lebih bagus kerana mereka adalah kalangan orang berpendidikan tinggi. Penjagaan kanak-kanak ini perlu dijadikan Modul Nasional yang mampu dianggap sebagai sebuah institusi penjagaan bersifat profesional.

"Kepakaran mereka memberi keuntungan kepada anak kerana mampu memberi tunjuk ajar lebih sempurna berbanding jika ditinggalkan kepada pembantu rumah asing yang rata-rata berpendidikan rendah dan budaya serta gaya percakapan tidak sama sehingga menjadikan anak kurang matang dari segi pemikiran," katanya.

Shamsuddin berkata, ketika ini, memang ada pusat jagaan di merata tempat, tetapi masih ramai tidak menghantar ke pusat berkenaan kerana pengurusan yang kurang baik serta mengenakan harga tinggi.

Sekiranya mempunyai anak melebihi seorang sudah pasti mereka tidak mampu sedangkan masih tidak berpuas hati kerana suasana yang kurang kondusif.

Oleh itu, berdasarkan kajian, kira-kira dua peratus saja ibu bapa menghantar anak ke pusat jagaan sama ada yang dikendalikan pihak swasta atau kerajaan. Bagi menyelesaikan masalah menguruskan rumah seperti membasuh, mengemas dan membasuh pakaian, kerajaan juga perlu menyediakan syarikat atau ejen bertauliah yang boleh membekalkan pekerja dengan melakukan kerja terbabit mengikut jumlah jam atau bekerja separuh hari.

Justeru, Shamsuddin mencadangkan supaya kerajaan mewujudkan 'Pentadbir Rumah' untuk melakukan tugas terbabit dan dibayar secara berpatutan sebagai alternatif kepada tugas pembantu rumah seperti dilakukan sekarang.

"Pentadbir Rumah ini perlu diurus sebuah badan atau syarikat profesional dan mereka akan menyediakan tenaga kerja. Di sini, mereka yang bekerja boleh mendapat manfaat dan faedah seperti potongan KWSP, Perkeso dan sebagainya seperti pekerja biasa.

"Sekarang ini, tugas kerja separuh hari itu masih dilakukan warga asing yang disediakan ejen pembantu rumah. Mengapa tidak, ini turut dikendalikan syarikat tertentu dengan mengambil pekerja tempatan," katanya.

Banyak negara maju seperti United Kingdom (UK) menubuhkan agensi 'Pentadbir Rumah' yang ditadbir secara profesional dengan membekalkan pekerja separuh masa.

Sekiranya Malaysia ingin mencapai sebuah negara maju, mentaliti dan cara bekerja sebegini diubah bagi mewujudkan profesionalisme bertaraf global, sekali gus dapat mengelak kebergantungan kepada pekerja warga asing.

Rakyat Malaysia juga sebenarnya masih belum bersedia membayar gaji pembantu rumah pada harga yang sangat tinggi hanya untuk menguruskan rumah serta anak.

Sumber : http://www.bharian.com.my/