Isnin, 13 Julai 2009

ISU PEMBANTU RUMAH ASING

Pusat jagaan kanak-kanak sistematik alternatif kemelut pembantu rumah

Oleh Jami'ah Shukri
jamia@bharian.com.my

ISU pembantu rumah kini menjadi agenda nasional yang masih belum bernoktah. Keadaan bertambah kalut apabila Kerajaan Indonesia yang menjadi sumber utama membekalkan pembantu rumah, memberhentikan sementara penghantaran rakyatnya ke negara ini gara-gara kes penderaan majikan ke atas pembantu rumah.

Dalam pada kemelut mendapat pembantu rumah melanda negara ini, dilaporkan kira-kira 50,000 hingga 60,000 wanita Islam dari kepulauan Mindanao di Selatan Filipina sedia dibawa masuk ke negara ini pada bila-bila masa bagi menggantikan pembantu rumah Indonesia.

Pada masa sama, Kementerian Sumber Manusia pula mengumumkan cadangan menimbangkan untuk memperkenalkan pakej lebih menarik termasuk menetapkan gaji minimum, caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Elaun Sara Hidup (Cola) bagi menarik minat rakyat tempatan menjadikan pekerjaan pembantu rumah sebagai profesion.

Apa juga resolusi berkaitan perkara itu sekarang, isu pembantu rumah masih tidak dapat diselesaikan sepenuhnya serta kebergantungan negara kepada pekerja warga asing seakan tiada penyudah.

Oleh itu, sudah tiba masanya, kerajaan memikirkan langkah jangka panjang yang lebih komprehensif untuk menyelesaikan kemelut ini dan seharusnya negara terus 'tutup buku' dengan membekukan terus pengambilan pembantu rumah pada masa depan.

Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Shamsuddin Bardan ketika mengulas mengenai isu berkenaan menegaskan, Malaysia perlu mengambil langkah jangka panjang dengan mengubah cara penjagaan anak dan orang tua yang sebelum ini diambil alih oleh pembantu rumah dengan kaedah lebih baik dan terurus.

Katanya, ketika ini, ramai rakyat Malaysia terpaksa menggaji pembantu rumah untuk menjaga anak atau orang tua ketika keluar bekerja.

Sehingga sekarang kira-kira 300,000 rakyat mengambil pembantu rumah dan hanya dua peratus saja yang menghantar anak ke pusat penjagaan.

Shamsuddin berkata, kerajaan kini perlu memperbanyakkan pusat jagaan kanak-kanak dengan konsep serta bentuk pengurusan yang lebih sistematik dan harga berpatutan sebagai langkah jangka panjang bagi mengelak kebergantungan kepada pembantu asing atau kes berbangkit seperti kes penderaan.

Kerajaan perlu memberikan subsidi pengecualian cukai sekurang-kurangnya dua kali ganda sebagai galakkan individu atau syarikat untuk menubuhkan pusat jagaan kanak-kanak.

"Kerajaan juga seharusnya menggalakkan graduan lepasan universiti menceburi bidang ini sebagai satu cabang perniagaan dan diberi insentif menarik.

"Pembabitan siswazah ini lebih bagus kerana mereka adalah kalangan orang berpendidikan tinggi. Penjagaan kanak-kanak ini perlu dijadikan Modul Nasional yang mampu dianggap sebagai sebuah institusi penjagaan bersifat profesional.

"Kepakaran mereka memberi keuntungan kepada anak kerana mampu memberi tunjuk ajar lebih sempurna berbanding jika ditinggalkan kepada pembantu rumah asing yang rata-rata berpendidikan rendah dan budaya serta gaya percakapan tidak sama sehingga menjadikan anak kurang matang dari segi pemikiran," katanya.

Shamsuddin berkata, ketika ini, memang ada pusat jagaan di merata tempat, tetapi masih ramai tidak menghantar ke pusat berkenaan kerana pengurusan yang kurang baik serta mengenakan harga tinggi.

Sekiranya mempunyai anak melebihi seorang sudah pasti mereka tidak mampu sedangkan masih tidak berpuas hati kerana suasana yang kurang kondusif.

Oleh itu, berdasarkan kajian, kira-kira dua peratus saja ibu bapa menghantar anak ke pusat jagaan sama ada yang dikendalikan pihak swasta atau kerajaan. Bagi menyelesaikan masalah menguruskan rumah seperti membasuh, mengemas dan membasuh pakaian, kerajaan juga perlu menyediakan syarikat atau ejen bertauliah yang boleh membekalkan pekerja dengan melakukan kerja terbabit mengikut jumlah jam atau bekerja separuh hari.

Justeru, Shamsuddin mencadangkan supaya kerajaan mewujudkan 'Pentadbir Rumah' untuk melakukan tugas terbabit dan dibayar secara berpatutan sebagai alternatif kepada tugas pembantu rumah seperti dilakukan sekarang.

"Pentadbir Rumah ini perlu diurus sebuah badan atau syarikat profesional dan mereka akan menyediakan tenaga kerja. Di sini, mereka yang bekerja boleh mendapat manfaat dan faedah seperti potongan KWSP, Perkeso dan sebagainya seperti pekerja biasa.

"Sekarang ini, tugas kerja separuh hari itu masih dilakukan warga asing yang disediakan ejen pembantu rumah. Mengapa tidak, ini turut dikendalikan syarikat tertentu dengan mengambil pekerja tempatan," katanya.

Banyak negara maju seperti United Kingdom (UK) menubuhkan agensi 'Pentadbir Rumah' yang ditadbir secara profesional dengan membekalkan pekerja separuh masa.

Sekiranya Malaysia ingin mencapai sebuah negara maju, mentaliti dan cara bekerja sebegini diubah bagi mewujudkan profesionalisme bertaraf global, sekali gus dapat mengelak kebergantungan kepada pekerja warga asing.

Rakyat Malaysia juga sebenarnya masih belum bersedia membayar gaji pembantu rumah pada harga yang sangat tinggi hanya untuk menguruskan rumah serta anak.

Sumber : http://www.bharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan