Selasa, 9 Julai 2013

ISU AGAMA : Ramadan bukan sekadar iftar, tarawih, tazkirah


Oleh : Hassan Mohd. Noor

Malam tadi, umat Islam di negara ini  dimaklumkan puasa bulan Ramadan  tahun ini bermula esok (Rabu). Semoga kita diberi kekuatan kesihatan untuk menunaikan salah satu daripada Rukun Islam itu serta mengisi bulan yang penuh keberkatan ini dengan pelbagai amalan baik yang dijanjikan ganjaran pahala yang besar.

Ramadan bukan sekadar menahan lapar dan dahaga sebaliknya turut mengingatkan umat Islam untuk tidak melakukan perbuatan atau tindakan yang boleh mengurangkan ganjaran pahala seterusnya membatalkan puasa itu. Bukanlah bermakna di luar Ramadan, kita bebas melakukan apa yang dilarang. Ramadan mampu mengajar atau membentuk diri kita untuk meninggalkan perkara-perkara yang dilarang. Apa pun fadilat puasa lebih daripada itu. Begitu juga pengisian pelbagai amalan pada bulan yang penuh keberkatan ini. Eloklah ketika berehat pada waktu makan tengah hari pada bulan Ramadan ini, kita penuhkan surau dan masjid untuk solat berjemaah serta menghadiri majlis-majlis ilmu yang diadakan. Pada sebelah malamnya pula diisi dengan solat sunat tarawih dan witir.

Kehadiran Ramadan menandakan satu lagi bulan yang telah kita tinggalkan. Masa begitu pantas berlalu. Setiap kali Ramadan, beberapa isu pasti menjadi perbualan dan perhatian ramai. Ada ketikanya isu-isu ini menjadi perbahasan hangat dalam kalangan masyarakat. Bagaimanapun semuanya tidak menjejaskan ibadah Ramadan ini.

Bazar Ramadan serta berbuka (iftar)

Sudah menjadi kelaziman, bazar Ramadan akan tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan. Di seluruh pelusuk negara akan muncul gerai-gerai yang menjual pelbagai juadah berbuka termasuk yang jarang kelihatan pada hari-hari biasa. Rambang mata yang melihat seribu satu macam juadah. Elakkanlah pembaziran. Bersederhanalah. Bendung nafsu makan. Ini bukan bulan makan atau pesta makan. Jika tidak, akan berlaku pembaziran apabila tiba waktu berbuka. Lihat sahaja di bazar Ramadan. Setiap orang pasti akan membawa pulang sekurang-kurangnya sejenis kuih dan sejenis minuman untuk berbuka. Tidak menghairankan jika setiap jari di tangan akan memegang plastik berisi makanan atau minuman. Begitulah nafsu bagi sesetengah orang menjelang waktu berbuka. Apakah habis makanan yang dibeli itu atau menjadi ‘habuan’ bakul sampah? Nafsu makan terserlah apabila menjelang waktu berbuka, pinggan diisi penuh tetapi selepas azan berkumandang, makanan tidak mampu dihabiskan. Akhirnya berlakulah pembaziran. Mengikut kajian Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), pada tahun lalu, sebanyak 129,769 tan makanan dibazirkan setiap hari di negeri itu. Unjuran Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan pula menjangkakan Malaysia akan menjana 31,500 tan sisa pepejal setiap hari dan daripada jumlah itu, 45 peratus atau 14,000 tan adalah makanan, menjadikan kira-kira lima juta tan sisa makanan bakal dilupus dalam tahun 2020. Mungkinkah Ramadan ini turut menjadi penyumbang?

Kaki masuk dalam sink@singki

Jangan kerana terlalu mengikut nafsu makan terutama ketika menghadiri majlis berbuka di hotel, anda kekenyangan sehingga leka untuk menunaikan solat maghrib. Ingat, solat itu tiang agama. Mendahulukan berbuka atau solat? Tentulah berbuka. Kita diminta segera berbuka apabila tiba waktunya. Berbukalah sebelum mengerjakan solat maghrib. Ada sesetengah orang yang sekadar menjamah dua tiga biji kurma dan segelas air, kemudian menunaikan solat. Di Masjidil Haram, ada masa untuk jemaah mengambil kurma, buah-buahan lain, meneguk air zam zam, sebotol air, susu atau jus serta sekeping roti. Kemudian solat berjemaah. Sesudah solat berseleraklah jemaah mencari restoran. Di Malaysia, sesuatu yang menarik perhatian ialah apabila berbuka di hotel bertaraf empat atau lima bintang. Bufet Ramadan di hotel bukannya murah. Ada yang sampai mencecah RM100 seorang dan mungkin lebih. Sia-sialah kalau tidak makan sepuasnya. Di sebalik harga yang tinggi ini, orang Islam masih mampu berbelanja besar untuk berbuka. Malangnya harga bufet tidak sepadan dengan kemudahan yang disediakan sempena Ramadan. Di sesetengah hotel, memang ada surau atau ruang khusus untuk solat, sama ada kecil atau besar. Malangnya tidak ada tempat khusus untuk berwuduk. Kebanyakan pelanggan terpaksa mengambil wuduk di dalam tandas. Amat sedikit yang memperuntukkan ruang khusus untuk berwuduk. Seorang sahabat berkata, kalau pelancong nak tengok kaki masuk sink@singki, datanglah ke Malaysia pada waktu berbuka di hotel-hotel ini.

Pengurusan hotel tolong lihat keadaan ini. Bangunan dan kemudahan hebat tetapi akhirnya kaki terpaksa diangkat ke dalam sink@singki. Bagaimana pula bagi yang berbadan besar atau tidak mampu mengangkat kaki ke dalam sink@singki?

Tazkirah dan tarawih 8+3, 20+3

Solat sunat tarawih datang hanya sekali dalam setahun. Siang berpuasa, malam beribadah dengan solat sunat tarawih serta membaca al-Quran. Tidak ada tarawih dalam bulan Syaaban. Maka manfaatkanlah peluang untuk mendirikan solat sunat ini. Tidak perlulah berkomentar sama ada hendak dilakukan lapan rakaat tarawih campur tiga witir (8+3) atau 20+3. Terpulanglah kepada anda sama ada untuk melakukannya 20 atau sebaliknya. Apa yang penting ialah pelaksanaannya yang menekankan soal kualiti, bukan kuantiti. Apa gunanya 20 + 3 tetapi makmum sekadar mengikut imam. Ada juga yang melakukan secara ‘ekspres’ sehingga bacaannya tidak berkualiti.

Banyak masjid dan surau mengambil kesempatan kehadiran ramai jemaah pada bulan Ramadan untuk mengadakan tazkirah selepas isyak atau selepas empat rakaat pertama tarawih. Jarang yang mengadakannya selepas selesai semuanya. Langkah ini bagi memastikan jumlah jemaah yang mengikuti tazkirah tidak berkurangan. Jika selepas tarawih, pasti ramai ‘angkat kaki’. Maka tidak ada pilihan kecuali tazkirah selepas empat rakaat. Makmum yang mahu menghabiskan lapan rakaat terpaksa menunggu tazkirah.

Tarawih datang setahun sekali tetapi tazkirah boleh diadakan pada bila-bila masa. Jangan jauhkan ahli jemaah yang berkobar-kobar untuk menunaikan solat sunat setahun sekali itu. Seperkara lagi, elakkan tazkirah daripada unsur-unsur politik, sama ada yang memihak kepada kerajaan yang memerintah atau sebaliknya. Jangan musnahkan hubungan erat silaturahim, kasih sayang dan perpaduan semasa solat berjemaah dengan tazkirah berunsurkan politik. Ingatlah tidak semua jemaah adalah ahli parti. Akhirnya, kehadiran Ramadan harus dijadikan ruang terbaik kepada orang Melayu merapatkan hubungan seterusnya mewujudkan perpaduan yang lebih utuh.


Marhaban ya Ramadan. Selamat berpuasa! Jangan rosakkan puasa anda!

Sumber : http : //www.utusan.com.my/