Khamis, 5 April 2012

ISU AGAMA : Bencana balasan golongan tak tahu bersyukur


Oleh Amran Zakaria
bhagama@bharian.com.my


Nikmat kesenangan patut dibalas dengan tingkatkan keimanan

ADA empat kategori manusia di akhirat iaitu orang yang berjaya di dunia dan tidak berjaya di akhirat, orang yang tidak berjaya di dunia dan tidak berjaya di akhirat, orang yang tidak berjaya di dunia dan berjaya di akhirat dan orang yang berjaya di dunia dan berjaya di akhirat. Mungkin ramai yang terpedaya dan hanyut ketika hidup di dunia.

Hanyut dalam kelalaian dan kemewahan. Itu yang ditakuti Rasulullah SAW iaitu Baginda Rasul takut umatnya diuji dengan kemewahan. Sebab itu dalam apa juga keadaan, sama ada mewah atau susah kita hendaklah bersyukur kepada Allah.

Negara kita diizinkan Allah untuk menikmati keamanan, keharmonian, hasil ekonomi dan kestabilan politik yang begitu lama. Tidak ada lafaz yang mengesankan melainkan rasa syukur dan terus bersyukur atas nikmat yang diberikan-Nya.

Nikmat ekonomi yang diperoleh negara melalui hasil pendapatan yang dianggarkan RM26 bilion mendorong kerajaan untuk berkongsi dengan rakyat, tanpa memilih kaum, agama dan keturunan dengan menyalurkan bantuan sebanyak RM2.6 bilion kepada yang berhak menerimanya. Sehingga Mac lalu, kira-kira 3.8 juta orang atau 59 peratus daripada jumlah keseluruhan isi rumah sudah menerima peruntukan bantuan RM500 seorang bagi keluarga yang berpendapatan RM3,000 ke bawah.

Persoalannya, adakah kita benar-benar bersyukur dengan nikmat yang dikurniakan Allah? Malah kita perlu merasa bimbang dan takut, setelah sekian banyak menikmati rezeki kurniaan Allah yang kita gunakan sekiranya kita tidak tergolong di kalangan hamba-hamba yang bersyukur.

Allah memberi amaran keras terhadap mereka yang tidak tahu bersyukur atau tidak mahu bersyukur, dengan amaran azab yang dijanjikan. Lihatlah apa yang sudah berlaku kepada kaum terdahulu supaya menjadi pengajaran kepada kita.

Kaum Ad, umat Nabi Hud diberi tanah yang subur untuk dijadikan ladang pertanian. Rezeki mereka melimpah ruah, tetapi kerana tidak bersyukur dan bertindak melampaui batas, Allah menurunkan angin puting beliung yang memusnahkan kampung dan harta benda mereka. Kaum Thamud, umat Nabi Saleh dianugerahkan kekayaan dan kemewahan hidup, tetapi kekayaan menjadikan mereka bangga dan menyombong diri. Mereka tetap tidak bersyukur dan tidak beriman kepada Allah. Akhirnya Allah menurunkan halilintar yang kuat dan gempa bumi yang dahsyat menyebabkan kaum itu mati bergelimpangan.

Kaum Lut di Sodom pula diberikan Allah kehidupan yang sangat mewah. Kemewahan ini juga menyebabkan mereka lupa peringatan Allah dengan bertindak keterlaluan iaitu melakukan hubungan sejenis. Bumi kaum Nabi Lut diterbalikkan dan penempatan mereka musnah ditimpa hujan batu berapi.

Begitu juga dengan kisah kaum Nabi Syuib dikenali sebagai Madyan. Mereka bermewah hasil daripada perniagaan yang menjadi budaya hidup tetapi terkenal dengan sikap menipu dalam timbangan dan sukatan. Mereka ingkar amaran Allah dan akhirnya mati dalam gempa bumi yang dahsyat. Kaum Nabi Nuh juga tidak pernah bersyukur dengan nikmat yang Allah kurniakan. Sebaliknya segala ajaran yang dibawa oleh Nabi Nuh menjadi ejekan mereka. Mereka ingkar dan enggan menurut apa yang diajarkan oleh Nabi Nuh, termasuk anak dan isterinya. Akhirnya Allah menurunkan banjir besar dan kaum itu lenyap dari muka bumi.

Sesungguhnya nikmat yang dikurniakan Allah kepada manusia tidak terhitung banyaknya termasuk nikmat kesihatan. Apabila badan dan akal fikiran seseorang mukmin sihat, maka kehidupan mereka akan bahagia dan sejahtera. Mereka akan bekerja dan berusaha dengan penuh semangat, lebih berdaya saing serta hasilnya akan terus meningkat. Pembinaan sahsiah, pengukuhan kualiti insan dan kerohanian, perlu ditunjangi dengan akidah dan keimanan kepada Allah SWT.

Selain daripada keimanan yang boleh menjadi benteng kukuh, pembinaan sahsiah atau peribadi seseorang itu, perlu dihiasi dengan akhlak atau sifat terpuji seperti sabar, reda, merendah diri dan sebagainya.

Namun hakikatnya manusia mudah lupa dan senang alpa dengan nikmat yang diberikan Allah untuk menguji sejauh mana keimanan manusia. Sejarah Bani Israel boleh dijadikan bandingan walaupun pernah menjadi bangsa yang dimuliakan Allah. Namun kerana terlalu leka dan lalai dengan nikmat yang Allah kurniakan, mereka bertindak melampaui batas yang Allah tetapkan.

Firman Allah yang bermaksud: “Wahai Bani Israel, ingatlah akan nikmat-Ku yang telah Aku anugerahkan kepadamu dan (ingatlah pula) bahawasanya Aku telah melebihkan kamu atas segala umat. (Surah Al-Baqarah, ayat 47).

Mereka, yakni puak Yahudi dan Nasrani ini telah hanyut dengan nikmat Allah sehingga mereka lupa diri dan menjadi sombong dan angkuh. Daripada Abu Sa’id Al-Khudri berkata: “Bahawasanya Rasulullah SAW bersabda: “Kamu akan mengikuti jejak langkah umat sebelum kamu, sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta, sehingga jikalau mereka masuk ke lubang biawak pun kamu akan mengikuti mereka.” Sahabat bertanya: “Ya Rasulullah! Apakah Yahudi dan Nasrani yang kau maksudkan?” Nabi SAW menjawab: “Siapa lagi kalau bukan mereka.” (Hadis Riwayat Muslim)

Sepatutnya kita menerima nikmat dan pemberian Allah dengan penuh syukur di sebalik kegembiraan yang terpancar itu. Allah mengurniakan nikmat keamanan, nikmat kesenangan, nikmat ekonomi yang melimpah, terhindar daripada bala bencana gempa bumi, banjir, puting beliung dan kemarau dan banyak lagi. Sedangkan Allah tidak pernah lalai daripada mengingati kita. Allah sering memperingati kita atas kelalaian kita mengingati limpah kurnia-Nya. Allah teramat mengasihi dan menyayangi kita lalu diberikan peringatan sebelum terlambat.

Firman Allah yang bermaksud: “Wahai manusia, ingatlah akan nikmat Allah kepadamu. Adakah pencipta selain Allah yang dapat memberikan rezeki kepada kamu dari langit dan bumi? Tidak ada Tuhan selain Dia; maka mengapakah kamu berpaling (dari ketauhidan)?” (Surah Fathir, ayat 3)

Antara wasiat yang disampaikan oleh Nabi Muhammad SAW kepada Muadz bin Jabal: "Aku berwasiat kepadamu wahai Muaz, janganlah engkau meninggalkan doa setelah solat dengan doa: “Ya Allah berilah pertolongan kepadaku untuk sentiasa mengingatimu (zikir), dan mensyukurimu (syukur), serta beribadah dengan baik kepadamu."( Riwayat Imam Ahmad, Abu Daud dan An-Nasai’e)

Syukur kepada Allah bererti kita mengingat segala nikmat yang telah kita terima daripada Allah SWT dan menampakkan-Nya (tidak melupakan-Nya), manakala lawan bagi syukur ialah kufur, yakni melupakan nikmat Allah dengan menutup akan nikmat itu. Syukur sangatlah mudah untuk diucapkan tetapi berat untuk diamalkan. Begitulah apa yang berlaku kepada kaum Saba yang pernah mencapai puncak kegemilangannya.

Firman Allah Allah di dalam al-Quran yang bermaksud: “Sedikit sekali daripada hamba-hamba-Ku yang bersyukur.” (Surah As-Saba’, ayat 13).

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU PENDIDIKAN : Kesatuan sokong sastera jadi subjek sekolah rendah


Oleh Mohd Feroz Abu Bakar
feroz@bharian.com.my


Bahan pembelajaran beri kefahaman mengenai budaya semua kaum

KESATUAN Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) menyambut baik cadangan menjadikan sastera sebagai mata pelajaran wajib bermula di peringkat prasekolah atau sekolah rendah. Presidennya, Hashim Adnan, berkata cadangan Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA) itu akan meningkatkan penguasaan bahasa kebangsaan murid sejak peringkat kanak-kanak.

Namun, katanya, mata pelajaran sastera itu tidak harus dijadikan subjek baru tetapi sebahagian daripada mata pelajaran Bahasa Malaysia (BM) supaya tidak membebankan guru.

Beliau berkata, unsur sastera boleh diajar satu atau dua waktu daripada tujuh waktu subjek BM sekarang.

“Jika Kementerian Pelajaran hendak memperkenal satu subjek baru di hampir 10,000 sekolah rendah seluruh negara, ini memerlukan kos besar membabitkan latihan guru serta penyediaan bahan pengajaran dan pembelajaran yang baru.

“Tetapi, guru BM sedia ada mempunyai kemahiran untuk mengajar unsur sastera jika sebahagian daripada waktu subjek ini digunakan untuk menyampaikan elemen sastera seperti cerpen, novel pendek, drama atau puisi,” katanya ketika dihubungi Berita Harian.

Ketua Satu GAPENA, Prof Datuk Dr Abdul Latif Abu Bakar sebelum ini berkata, sastera patut dijadikan mata pelajaran wajib bermula prasekolah dan cadangan itu menjadi salah satu resolusi Hari Sastera Nasional Ke-15.

Hashim berkata, subjek sastera yang hendak diperkenal di peringkat sekolah rendah itu patut memasukkan bahan yang menyentuh sejarah dan budaya kaum utama di negara ini seperti Cina, India, Iban, Kadazan atau Sikh.

Katanya, bahan bacaan sastera itu akan mendedahkan kanak-kanak dengan bahasa, cara hidup dan adab kaum lain supaya mereka lebih faham dengan budaya orang lain.

“Unsur sastera dalam subjek BM ini akan menjadi penyatu kepada semua kaum dan kanak-kanak ini membesarkan dengan kefahaman terhadap adat atau budaya kaum lain.

“Ini akan memudahkan integrasi nasional kerana penduduk di wilayah berbeza sensitif dengan agama, bahasa dan budaya kaum lain,” katanya.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU SOSIAL : Judi, skim cepat kaya bentuk masyarakat malas berusaha


Oleh Nik Salida Shuhaila
salidasuhaila99@yahoo.com


Perbuatan dilarang agama dorong lakukan jenayah

REALITINYA, tiada siapa inginkan kehidupan yang sukar apatah lagi kesempitan wang ringgit untuk menanggung kehidupan. Justeru, kita berusaha mencari rezeki sedaya boleh untuk kesenangan tanggungan bukan meninggalkan mereka dalam kesusahan dan kepayahan. Kerja keras dan tidak berkira dengan keringat yang luruh sudah tentu demi mendapatkan ganjaran setimpal, berbanding menunggu durian runtuh tetapi putik pula yang jatuh.

Punca rezeki halal yang terbentang depan mata sering kali menjadikan si pencari serba salah untuk memilih. Tetapi ada pula tertarik dengan cara dilarang agama. Hari ini, mencuri, merompak, meragut, pukau, skim cepat kaya, penipuan dan rasuah sudah menjadi sebahagian punca rezeki.

Ia berpunca daripada kejahilan manusia mengenai dosa, pahala, syurga dan neraka. Berjudi, antara ‘kerjaya’ dipilih, salah satunya untuk cepat kaya turut mendapat tempat di hati sebilangan umat Islam hari ini.

Ini dapat dibuktikan dengan kemeriahan kedai judi, loteri dan pusat perjudian yang dikunjungi penganut agama Islam, walau pada hari Jumaat ketika saudara seagama lain khusyuk bersolat di masjid.

Islam melarang segala bentuk perjudian atau perbuatan mempertaruhkan wang dan apa saja taruhan. Perbuatan bertaruh menyebabkan seseorang malas berusaha, suka menimbulkan permusuhan sesama sendiri bahkan tidak mengingati Allah.

Sebaliknya, mengharapkan ‘kuasa-kuasa’ lain yang boleh memberi kemenangan kepada mereka dalam perjudian itu. Oleh itu, judi atau ‘al-maysir’ diharamkan Islam kerana ia perbuatan keji dan punca kepada kegagalan hidup seseorang.

Allah berfirman yang bermaksud: “Wahai orang beriman, bahawa sesungguhnya arak, judi, pemujaan berhala dan bertenung nasib dengan batang-batang anak panah, adalah kotor daripada perbuatan syaitan, oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.” (Surah Al-Maaidah, ayat 90)

Perbuatan syaitan seperti judi menjadi racun dalam diri manusia. Seseorang itu boleh bertikam lidah, menjadi tamak bahkan berbunuhan kerana sengketa. Orang yang berjudi juga akan melupakan tanggungjawab diri sendiri, juga tanggungjawab kepada keluarga, masyarakat, negara dan agama.

Ketagihan ditanggung akibat gila judi menyebabkan kaki judi tidak serik terus mencuba sehingga berjaya, tetapi kekurangan wang dan harta untuk dijadikan taruhan membuatkan mereka tidak keberatan mencuri atau merompak bagi mendapatkan modal.

Ada yang agak ‘baik’ tidaklah pula sampai melakukan kegiatan jenayah tetapi meminjam wang daripada ceti haram atau ‘along’ yang akhirnya berakhir dengan jenayah juga.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai sekalian manusia! Makanlah daripada apa yang ada di bumi, yang halal lagi baik dan janganlah kamu ikut jejak langkah syaitan kerana sesungguhnya syaitan itu musuh yang terang nyata bagi kamu.” (Surah Al-Baqarah, ayat 168)

Peluang ada buat sesiapa saja yang berusaha mendapatkan rezeki halal untuk memenuhi keperluan diri dan ahli keluarga. Kita juga harus percaya rezeki diberikan Allah SWT kepada orang yang berusaha keras mendapatkannya dengan jalan halal adalah rezeki yang berkat.

Rezeki daripada sumber halal bukan saja menjamin kehidupan lebih baik di dunia tetapi juga di akhirat kelak.

Apabila seseorang menjadikan judi sebagai punca rezeki, pastinya ia sentiasa mengharapkan kekayaan datang sendiri, tiada usaha dan ikhtiar tetapi hanya menunggu dan menanti, jika khayalan bakal menjadi realiti.

Padahnya, ia bukan saja membinasakan diri sendiri, juga orang disayangi kerana kaki judi akan dikeji dan dibenci.

Hari ini, judi dicipta dalam pelbagai bentuk yang boleh mengaburi mata. Kanak-kanak juga mudah terdedah dengan kegiatan perjudian di pusat permainan, malah ada kala ibu bapa pula yang mengajar anak bermain permainan berunsur judi, sekali gus merangsang minat mereka untuk bertaruh.

Bukan itu saja, permainan di jaringan maya juga ada kala mempunyai unsur judi bersifat taruhan menyebabkan kanak-kanak terleka dan ketagihan untuk terus menghadap komputer.

Hakikat ini perlu dikenal pasti dan dicegah sedari awal untuk mengelak kecelakaan terhadap akhlak umat Islam dan generasi akan datang. Selain penguatkuasaan undang-undang, pelbagai pihak perlu bersatu padu berusaha dengan serius menanganinya.

Penulis ialah Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia