Khamis, 5 April 2012

ISU SOSIAL : Judi, skim cepat kaya bentuk masyarakat malas berusaha


Oleh Nik Salida Shuhaila
salidasuhaila99@yahoo.com


Perbuatan dilarang agama dorong lakukan jenayah

REALITINYA, tiada siapa inginkan kehidupan yang sukar apatah lagi kesempitan wang ringgit untuk menanggung kehidupan. Justeru, kita berusaha mencari rezeki sedaya boleh untuk kesenangan tanggungan bukan meninggalkan mereka dalam kesusahan dan kepayahan. Kerja keras dan tidak berkira dengan keringat yang luruh sudah tentu demi mendapatkan ganjaran setimpal, berbanding menunggu durian runtuh tetapi putik pula yang jatuh.

Punca rezeki halal yang terbentang depan mata sering kali menjadikan si pencari serba salah untuk memilih. Tetapi ada pula tertarik dengan cara dilarang agama. Hari ini, mencuri, merompak, meragut, pukau, skim cepat kaya, penipuan dan rasuah sudah menjadi sebahagian punca rezeki.

Ia berpunca daripada kejahilan manusia mengenai dosa, pahala, syurga dan neraka. Berjudi, antara ‘kerjaya’ dipilih, salah satunya untuk cepat kaya turut mendapat tempat di hati sebilangan umat Islam hari ini.

Ini dapat dibuktikan dengan kemeriahan kedai judi, loteri dan pusat perjudian yang dikunjungi penganut agama Islam, walau pada hari Jumaat ketika saudara seagama lain khusyuk bersolat di masjid.

Islam melarang segala bentuk perjudian atau perbuatan mempertaruhkan wang dan apa saja taruhan. Perbuatan bertaruh menyebabkan seseorang malas berusaha, suka menimbulkan permusuhan sesama sendiri bahkan tidak mengingati Allah.

Sebaliknya, mengharapkan ‘kuasa-kuasa’ lain yang boleh memberi kemenangan kepada mereka dalam perjudian itu. Oleh itu, judi atau ‘al-maysir’ diharamkan Islam kerana ia perbuatan keji dan punca kepada kegagalan hidup seseorang.

Allah berfirman yang bermaksud: “Wahai orang beriman, bahawa sesungguhnya arak, judi, pemujaan berhala dan bertenung nasib dengan batang-batang anak panah, adalah kotor daripada perbuatan syaitan, oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.” (Surah Al-Maaidah, ayat 90)

Perbuatan syaitan seperti judi menjadi racun dalam diri manusia. Seseorang itu boleh bertikam lidah, menjadi tamak bahkan berbunuhan kerana sengketa. Orang yang berjudi juga akan melupakan tanggungjawab diri sendiri, juga tanggungjawab kepada keluarga, masyarakat, negara dan agama.

Ketagihan ditanggung akibat gila judi menyebabkan kaki judi tidak serik terus mencuba sehingga berjaya, tetapi kekurangan wang dan harta untuk dijadikan taruhan membuatkan mereka tidak keberatan mencuri atau merompak bagi mendapatkan modal.

Ada yang agak ‘baik’ tidaklah pula sampai melakukan kegiatan jenayah tetapi meminjam wang daripada ceti haram atau ‘along’ yang akhirnya berakhir dengan jenayah juga.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai sekalian manusia! Makanlah daripada apa yang ada di bumi, yang halal lagi baik dan janganlah kamu ikut jejak langkah syaitan kerana sesungguhnya syaitan itu musuh yang terang nyata bagi kamu.” (Surah Al-Baqarah, ayat 168)

Peluang ada buat sesiapa saja yang berusaha mendapatkan rezeki halal untuk memenuhi keperluan diri dan ahli keluarga. Kita juga harus percaya rezeki diberikan Allah SWT kepada orang yang berusaha keras mendapatkannya dengan jalan halal adalah rezeki yang berkat.

Rezeki daripada sumber halal bukan saja menjamin kehidupan lebih baik di dunia tetapi juga di akhirat kelak.

Apabila seseorang menjadikan judi sebagai punca rezeki, pastinya ia sentiasa mengharapkan kekayaan datang sendiri, tiada usaha dan ikhtiar tetapi hanya menunggu dan menanti, jika khayalan bakal menjadi realiti.

Padahnya, ia bukan saja membinasakan diri sendiri, juga orang disayangi kerana kaki judi akan dikeji dan dibenci.

Hari ini, judi dicipta dalam pelbagai bentuk yang boleh mengaburi mata. Kanak-kanak juga mudah terdedah dengan kegiatan perjudian di pusat permainan, malah ada kala ibu bapa pula yang mengajar anak bermain permainan berunsur judi, sekali gus merangsang minat mereka untuk bertaruh.

Bukan itu saja, permainan di jaringan maya juga ada kala mempunyai unsur judi bersifat taruhan menyebabkan kanak-kanak terleka dan ketagihan untuk terus menghadap komputer.

Hakikat ini perlu dikenal pasti dan dicegah sedari awal untuk mengelak kecelakaan terhadap akhlak umat Islam dan generasi akan datang. Selain penguatkuasaan undang-undang, pelbagai pihak perlu bersatu padu berusaha dengan serius menanganinya.

Penulis ialah Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia

Tiada ulasan:

Catat Komen