Isnin, 11 Mei 2015

ISU BAHASA : Ada apa dengan bahasa Melayu?


Oleh : RIDHUAN TEE ABDULLAH

RAMAI ultra kiasu yang tidak puas hati apabila saya mencadangkan agar calon wakil rakyat perlu mempunyai kelayakan minimum kredit Bahasa Melayu dalam SPM, sebelum dibenarkan bertanding dalam pilihan raya.

Mereka kata itu tidak penting. Fasih bahasa Melayu tidak semestinya boleh jadi wakil rakyat baik dan berintegriti. Penambahbaikan Proses Pilihan Raya (JPKP) yang mereka cadangkan itu lebih utama dari yang lain-lain. Cadangan saya itu dikatanya bodoh (stupid). Ada aku kisah!

Adakah bodoh mendaulatkan bahasa negara? Cadangan penambahbaikan JPKP SPR lebih bersifat politik, tidak banyak memberi kesan kepada pembangunan negara berbanding soal asas bernegara, seperti soal bahasa.

Tidak dinafikan bahawa wakil rakyat mesti menjadi YB yang sebenar, iaitu Yang Berkhidmat atau Yang Berkorban. Meletakkan kepentingan rakyat lebih utama dari diri sendiri. Inilah YB yang sebenar. Namun, bahasa adalah asas kenegaraan. Tanpa menafikan kepentingan belajar bahasa lain.

Setiap negara di dunia ini ada bahasa kebangsaan mereka sendiri dan wajib dikuasai. Kenapa bahasa Melayu begitu sukar dikuasai atas alasan berbilang bangsa?

Apakah bahasa negara perlu menjadi rojak hanya kerana berbilang bangsa. Banyak juga negara berbilang bangsa, tetapi bahasa negara mereka tetap didaulatkan.

Kenapa kita terlalu bebas, sehingga agenda negara tidak dipedulikan?

Apakah kita sudah lupa, apabila banci dilakukan pada 2010, sebahagian yang tinggal di bandar tidak boleh bercakap, memahami dan membaca bahasa Melayu?

Ada yang berkata, jika idea ini dilaksanakan, ramai wakil rakyat yang tidak layak kerana pada masa dahulu mereka tidak mengambil SPM. Mereka hanya ada sijil MCE dan HSC, yang tidak mengandungi kertas Bahasa Melayu. Ada juga yang langsung tidak ada sijil.

Cetek sungguh pemikiran. Cadangan saya itu untuk masa akan datang, bukan masa kini. Generasi tua hari ini akan bersara tidak lama lagi. Bukankah kita perlu bergerak ke hadapan?

Kenapa bahasa Melayu faktor yang sangat penting dalam pembangunan negara bangsa? Pertama, kerana ia bahasa negara. Sangat pelik apabila wakil rakyat tidak dapat bertutur dengan baik dalam bahasa Melayu, walaupun telah bergenerasi tinggal di Malaysia.

Negara barat tidak menetapkan bahasa sebagai syarat kerana, bahasa negara mereka dikuasai dengan baik oleh semua rakyat mereka. Sebab itu, semangat patriotisme mereka sangat tinggi. Sanggup mati untuk negara. Kita belum tentu lagi.

Apa yang menyatukan Amerika Syarikat hari ini jika bukan bahasa? Mereka mempunyai 322 jenis bahasa. Jika dibiarkan setiap etnik menjuarai bahasa masing-masing, apakah Amerika seperti adanya hari ini? Bagi mencapai matlamat nasional, maka dipaksakan bahasa Inggeris sebagai bahasa negara satu-satunya.

Bukan itu sahaja, bukti menunjukkan, ekonomi kalangan pendatang (imigran) juga meningkat melalui penguasaan bahasa negara. Kenapa dalam banyak hal kita mahu belajar dari Amerika? Kenapa tidak dalam soal memperkasakan bahasa?

Kedua, dalam sesebuah negara, selain sempadan; nama, bendera, atau mata wang, apa yang menjadikan sesebuah negara yang dihormati dan unik adalah bahasa kebangsaannya.

Bahasa kebangsaan adalah petunjuk jelas yang mewakili identiti sesebuah negara. Bahasa adalah sebahagian daripada warisan dan sejarah negara. Apakah Malaysia tidak ada sejarahnya?

Kefasihan dalam bahasa kebangsaan pasti akan membolehkan orang untuk memahami sepenuhnya sesebuah bangsa itu. Jika kita mengakui kita adalah bangsa Malaysia, apakah elemen utama jika bukan bahasanya.

Bahasa kebangsaan adalah nadi perpaduan nasional, yang membezakan kita dengan negara lain. Sejarah membuktikan bahawa setiap pemimpin yang hebat, akan mencari jalan terbaik untuk mengukuhkan bahasa kebangsaannya.

Misalnya, pemimpin revolusi China, Mao Zedong, memberi penghormatan yang sangat tinggi terhadap bahasa sendiri. Walaupun mengetahui bahasa-bahasa lain, dia tidak pernah menggunakannya. Mao lebih suka menggunakan bahasa Cina sebagai medium komunikasi beliau.

Begitu juga negara lain seperti Jerman, Iran, Perancisdan sebagainya, komitmen kecintaan kepada bahasa dan kesusasteraan mereka sangat tinggi dan berjaya melonjakkan pembangunan negara.

Tidakkah kita nampak segak berucap dalam bahasa Melayu ketika perhimpunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu? Lagi pula mereka ada penterjemahnya.

Akhirnya, apakah tentangan terhadap syor saya disebabkan oleh terlalu ramai yang pelat atau tidak berbahasa Melayu? Jika begitulah keadaannya, sudah sampai masanya undang-undang dikuatkuasakan untuk mendaulatkan bahasa negara.


* Profesor Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah, INSPIRE/PPI, UniSZA

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/